Laman Webantu (M) KM2: 5513 File Size: 11.0 Kb |
|
TJ SP MGG: Minda Yang Terjajah By M.G.G. Pillai 29/9/2001 3:19 am Sat |
[Apabila media pro A.S. dan Astro sendiri sebegitu galak
menayangkan propaganda berlebihan kita sebenarnya sudahpun
berperang. Ia adalah satu muslihat yang telah dirancang supaya
tiada bantahan hebat jika A.S. nanti datang menyerang - kerana
minda sudahpun tertawan - lantas segala tindakkan direlakan.
Ramai tidak sedar serangan Amerika lebih banyak mengorbankan
orang yang tidak kena mengena langsung dari orang yang ingin
diperkenakan. Serangan kepada Iraq misalnya bertujuan untuk
menimbulkan huru-hara dalaman serta melumpuhkan ekonomi agar
rakyat Iraq memberontak terhadap Saddam. Tetapi rancangan itu
tidak pula kesampaian namun ribuan mati atau hidup dengan penuh
kesengsaraan. Bilangan mereka ini jauh lebih ramai dari mangsa
WTC - malah kebanyakkan mereka itu hidup jauh lebih miskin.
- Editor] Minda Yang Terjajah (The colonialism of the mind) Oleh: M.G.G. Pillai Apabila CNN, CNBC dan beberapa saluran TV Amerika yang lain
menggembar-gemburkan cara hidup orang Amerika yang sepatutya ditiru oleh
seluruh dunia - seperti yang kerap diperbesar-besarkan oleh dunia
pengiklanan - sekaligus minda sejagatpun terjajah sehingga mencetuskan satu
ketaksuban betapa setiap kali orang Amerika dihempap tragedi, keperitannya
adalah lebih dahsyat daripada kesengsaraan orang lain yang dihantui bencana
yang serupa. Kematian yang dialami masyarakat Amerika dianggap lebih dahsyat berbanding
kejadian sama di Eropah, dan keduanya itu adalah lebih dahsyat lagi
berbanding keadaan yang menghempap Afrika ataupun Asia. Apatah lagi kalau
yang tertindas itu adalah disebabkan dasar Barat yang songsang - seperti
yang kerap berlaku di Timur Tengah, sekarang.
'Malaysiakini' ada menyiarkan beberapa surat yang mengkritik penulisan saya
mengenai serangan terhadap Pusat Dagangan Dunia (WTC) dan Pentagon dan
kebanyakan surat ini menggambarkan wujudnya pemikiran yang jumud ini.
Bukanlah sesuatu yang menyeronokkan apabila munculnya pendapat yang
menongkah arus pemikiran biasa, namun ia merupakan satu gambaran betapa
setiap kali munculnya pendapat yang berbeza ini, orang yang melahirkan
pendapat itu seharusnya dinyahkan keluar. Hakikat ini harus difahami oleh
penghuni Malaysia, gara-gara pengaruh Astro yang mencengkam minda. Saya
dibesarkan di zaman buku mencanai perbincangan, dan jarang melihat TV,
sehinggakan saya merasa kerasan hidup bertemankan keceriaan minda.
Ada satu surat yang begitu yakin betapa Perang Salib sudah lama berlalu dan
di zaman moden ini, pelbagai keadaan yang berbeza sudah mempengaruhi suasana
hidup kita. Tidak dinafikan, kenapa Presiden Bush membuat pengisytiharan
'Perang'nya sebagai satu bentuk Perang Salib, dan mahu mencari musuhnya
persis panglima Perang Salib menghambat kumpulan Islam. Ada pula seorang
penulis yang mempertikaikan rujukan saya bahawa Osama bin Laden adalah
menjadi sasaran Amerika. Memomokkan Musuh Setiap berita CNN, CNBC dan beberapa program berita TV yang lain di Astro
menumpukan serangan mereka terhadap Osama bin Laden. Saya tidak nampak
perkara lain lagi - seperti yang berlaku pada 1991 ketika Amerika memomokkan
bekas sekutunya, Presiden Saddam Hussein - AS sudah bersedia untuk
menghambat Osama Laden dengan stail Rambo, di tempat persembunyiannya di
pergunungan Afghanistan. Amerika Syarikat tidak berjaya menumpaskan Fidel Castro, Saddam Hussein, Ho
Chi Minh; kerana itu ia ghairah mahukan Osama Laden dan darahnya sekali
sebagai sebagai tangkal menonjolkan kehebatannya di Timur Tengah selain
menjadi sekutu terkuat Israel. Demikianlah begitu terjajahnya minda seorang penulis sehingga dia sanggup
merobah sejarah: katanya Malaysia bukan merupakan ahli Seato (Southeast Asia
Treaty Organisation), kerana itulah imaginasinya, disebabkan kegagalan Seato
membantu Malaysia ketika diganyang oleh konfrontasi Indonesia. Sedangkan
perjanjian pertahanan Anglo-Malaysia yang membuatkan British berdepan dengan
Indonesia. Itulah waktunya British mengeletar, sanggup menumpahkan darah mempertahankan
Malaysia, walaupun ia menjadi sebuah bekas jajahannya: kini, yang wujud
hanyalah satu perjanjian pertahanan yang tidak bermakna antara lima 'kuasa'
- Malaysia, Singapura, Great Britain, Australia dan New Zealand. Mereka
hanya akan berbincang dulu kalau ada sesiapa yang diserang. Ini amat berbeza
daripada persyarikatan NATO yang berlari membantu Amerika ketika ia bangkit
untuk membalas dendam. Saya melihat serangan terhadap Pusat Dagangan Dunia dan Pentagon secara
hakikatnya. Ia merupakan satu rancangan yang sungguh bijaksana
pengolahannya, walaupun ia telah membawa malapetaka dan menghancurkan
kekuasaan Amerika dan setiap rakyatnya. Saya tidak menulis perkara itu
dengan penuh ceria ataupun kerana suka-suka, cuma mengambil pendirian
berkecuali bahawa dalam keadaan yang sungguh menyemarakkan kebencian, di
Amerika Syarikat dan Timur Tengah, kalau ada hanya satu pilihan pada setiap
pihak itu; ialah bayangan keganasan yang lebih dahsyat terhadap musuhnya
sebagai tindak-balas. Ternyata perkara ini semakin diperkasakan.
Ramai manusia yang tidak berdosa akan terkorban, seperti yang menjadi mangsa
di Pusat Dagangan Dunia dan Pentagon. Begitulah juga penghuni khemah
pelarian yang selama ini menanggung azab sambil berselindung laksana
ulat-tahi gara-gara pertandingan menentukan ketuanan dunia Arab. Amerika
Syarikat merasa terperanjat apabila ada orang luar yang bersuka-ria ketika
ia ditikam bencana, dan bertindak marah terhadap Palestin yang menari di
jalanraya sambil menikmati gula-gula yang ditabur sebagai lambang
tercetusnya malapetaka. Lebih-lagi setelah beberapa pelawat China disuruh
pulang ke Amerika Syarikat kerana keseronokan menyambut peristiwa serangan
keganasan itu. Washington tidak senang hati dengan gelagat itu. Tetapi, Amerika Syarikat
pernah bersuka ria ketika Presiden Saddam Hussein ditimpa bencana hasil
bikinan Amerika pada 1991 dulu. Pada waktu itu CNN menayangkan rakaman
pesawat Amerika yang menyerang Iraq sementara rakyat yang diserang tidak
mampu berbuat apa-apa. Tatkala Washington menerima padah yang serupa, ia
bertindak dengan murka. Apakah ini bererti gambaran kedukaan itu satu
lambang kepada pihak yang benar-benar berduka?
Singa Yang Terluka Apabila seekor singa yang luka masih bebas gerakannnya, ramai haiwan di
hutan yang tidak berani bertentang mata dengannya. Kita dapat merasakan
kenapa wujudnya perasaan ketakutan di kalangan beberapa negara yang terpaksa
pergi menghadap Washington dalam Perang Salib terhadap keganasan. Ini
bukannya satu dasar kerajaan tetapi dilakukan disebabkan ketakutan dan
kecurigaan, seperti peristiwa menyerang Presiden Saddam Hussein pada 1991.
Apakah ini akan membantu Presiden Bush dalam usaha membasmi keganasan? Saya
tidak fikir begitu. Besar kemungkinannya ia mencetuskan percambahan kumpulan
ganas lain yang akan menghantui kehidupan setiap orang. Ia akan menjadikan
Pakistan, sebagai negara di hadapan yang mudah tertekan. India memang
seronok dengan kemungkinan ini, tetapi apakah India mampu berhadapan dengan
Afghanistan dan Pakistan jika sempadannya bergolak? Saya tidak fikir begitu.
Yang peliknya pada episod yang menyedihkan ini, ialah saranan Bush betapa
Amerika Syarikat sedang 'berperang' yang tidak membawa sebarang makna. Kuasa
isytihar perang terletak kepada Dewan Senat, dan ini belum dilakukan lagi.
Besar kemungkinan ia tidak akan dilakukannya.
Apa yang Bush harapkan ialah satu lesen terbuka untuk melancarkan perang
tanpa restu Kongres, seperti yang dilakukan oleh Presiden Lyndon B Johnson
di Teluk Tonkin. Resolusi itu diluluskan setelah dia mendakwa kapal peronda
Vietnam Utara telah menyerang kapal perang Amerika di Teluk itu. Hanya
kemudian, baru muncul berita kapal Amerika yang memulakan serangan. Hampir
60,000 askar Amerika mati sebagai kemuncak nafsu seorang pemimpin Amerika
yang mahukan negaranya berperang.
Bush akan mendapat kelulusan itu. Tetapi kali ini Nato akan turut menyerang
sama sebagai memenuhi perjanjian yang terikat, betapa negara di Eropah
adalah sehaluan dengan Amerika Syarikat. Ini akan memberi ruang kepada semua
pemimpin menghenyak keganasan, dengan syarat tidak ada askar mereka yang
kehilangan nyawa. Peperangan di Asia Kenapakah begitu niat mereka sedangkan Amerika Syarikat liat sangat mengaku
musibah yang akan melanda, rentetan pengakuan rasmi Washington bahawa
peperangan kali ini akan lebih panjang tempohnya berbanding Perang Dunia
Pertama dan yang Kedua, kalau dihitung semuanya?
Amerika Syarikat belum bersedia melancar perang di Asia, memandangkan
kemungkinan ianya boleh memakan satu dekad lamanya. Namun, Asia memberinya
peluang menunjuk-nunjuk kuasanya. Apakah maknanya semua itu apabila ia
terlalu takut menghadapi musibah perang itu?
Jadi, tidak ada yang akan dapat diselesaikan. Washington hanya menghembuskan
angin panas kelentongan untuk melegakan rakyatnya sambil mereka maratapi
tragedi ini. Tujuan Washignton itu tidak banyak berbeza daripada gelagatnya
di Baghdad pada 1991 dulu: satu sikap kecelaruan dan kedayusan apabila
tragedi menjenguk di depan pintu. Presiden Bush bertindak saling tak tumpah
gelagat Presiden Saddam dulu. Setiap gerak langkah melindungi kedayusannya. Dia akan meneruskan suasana
ini sehingga rakyat Amerika serasi dengan keadaan untuk menyambung kehidupan
mereka dan melupakan tragedi itu. Demikianlah, sejak lima puluh tahun
Amerika mencetuskan mainan ini di Timur Tengah, dan kalau direnung kembali
semua itu, apa yang berlaku di New York dan Washington DC menaikkan kembali
semangat masyarakat yang telah tertindas begitu lama dan episod pecah-belah
masyarakat Islam di dunia. Inilah yang sepatutnya menjadi usaha Amerika Syarikat kalau mahu terus
menjadi polis dunia. Dia mesti sanggup menumpahkan darah untuk menunjukkan
kata-kata keangkuhannya. Apa ertinya menyibuk meminta seluruh dunia menerima
definisi keganasan mengikut tafsirannya. Membunuh Osama bin Laden tidak
membawa sebarang makna, sedangkan banyak perkara yang akan lebih bermakna
kalau Amerika Syarikat tumpas dan jatuh kerananya.
Yang menjadi malang dalam peperangan ini nanti adalah pihak yang tidak
berdosa, di Amerika Syarikat dan di mana juga di dunia ini, dan mereka yang
mempunyai minda yang dijajah sepenuhnya, sehingga ketaksuban bahawa berita
yang elok dipercayai adalah yang dicetuskan oleh Barat sahaja.
Terjemahan: SPAR-01-1651 Asal: KM2 5481 The colonialism of the mind |