Laman Webantu (M) KM2: 5504 File Size: 19.2 Kb |
|
TJ SP 292: B16A - Perisik di Padang Pasir By GT 29/9/2001 3:12 am Sat |
Bab 16A: Perisik di Padang Pasir
(Spies In The Sand) Awalkata: Yang amat jelas, ketika peperangan 'Desert Storm' dilancarkan, CNN memainkan
peranan propaganda betapa askar Amerika berjuang dengan hebatnya dan Israel
tidakpun mengalami banyak masalah mempertahankan rakyatnya daripada serangan
SCUD Iraq. Tulisan dalam buku ini menyatakan perkara yang sebaliknya.
Yang paling menonjol dalam bab ini, ada persamaan antara Presiden George
Bush yang ada sekarang dengan insan yang sama namanya ketika itu.
PERISIK DI PADANG PASIR (Spies In The Sand) Pada 2 Disember, 1990, nun jauh di bahagian selatan Baghdad, satu lembaga
manusia yang bergelumang dengan pakaian kotor seorang penghuni padang pasir
sedang terbaring membujur kaku di pinggir sebuah wadi. Subuh memang terlalu
sejuk di situ dan pasirpun sejuk laksana airbatu, kerana cuaca malam yang
menurunkan suhu di bawah sifar. 'Kepala lembaga manusia itu disungkup dengan
bulu biri-biri yang dipanggil 'bupta', itulah sejenis tengkolok penutup
kepala yang menunjukkan dia adalah warga kaum Sarami, puak Islam yang
berfahaman Sufi, yang memang suka merayau-rayau padang pasir Iraq. Inilah
puak yang mempunyai fahaman fanatik yang tidak ada tolok bandingnya di
kalangan puak yang lain.' Namun, kesetiaan sebenar insan ini diberikannya
kepada sebuah negara yang terletak enam ratus batu jauhnya di bahagian barat
padang pasir itu. Di negaranya, Israel, dia dikenal sebagai seorang 'katsa'
(perisik). Pakaiannya itu dibekalkan oleh stor pakaian simpanan Mossad yang menyimpan
pelbagai jenis pakaian seluruh dunia yang sentiasa dikemaskini. Kebanyakan
pakaian itu dibekalkan oleh 'sayanim' dan diserahkan kepada kedutaan Israel
di merata dunia untuk dikirimkan kepada Tel Aviv dalam beg diplomatik. Ada
juga pakaian yang dibeli di negara Arab yang dianggap bermusuh dengan Israel
oleh para pelawat yang pro-Israel. Ada juga yang dijahit sendiri oleh tukang
jahit yang manjaga stor pakaian itu. Pengalamannya yang bertahun membolehkan
beliau dan para tukang jahit di bawah pengawasannya menyediakan pakaian yang
menepati segala butiran jahitannya, lengkap dengan benang dan cara potongan
yang mengkagumkan. Katsa yang ini mempunyai nama kod -Shalom- yang diberikan daripada satu
senarai nama samaran yang tersimpan di Jabatan Operasi; Rafi Eitan telah
memperkenalkan senarai ini selepas Operasi Menjejaki Eichmann (pegawai
tinggi Jerman dalam episod holokos- penterjemah). Shalom Weiss memang
merupakan antara tukang penciplak yang pintar dalam Mossad sebelum beliau
dipilih untuk menganggotai pasukan yang menangkap Adolf Eichmann. Shalom
Weiss telah mati kerana penyakit barah pada 1963, namun namanya telah
diabadikan dan digunakan banyak kali oleh masyarakat katsa. Hanya segelintir
pegawai tinggi IDF, Shabtai Shavit, dan ketua jabatan 'Shalom' yang tahu apa
sebab sebenar beliau menyorok di padang pasir itu.
Pada Ogos 1990, Saddam Hussein telah menakluki Kuwait, dan tindakannya itu
dianggap sebagai pemula Peperangan Teluk. Tindakan Iraq ke atas Kuwait
merupakan satu kegagalan industri risikan dalam perkhidmatan Barat, kerana
tidak ada satupun perkhidmatan negara Barat yang dapat menjangkakan perkara
itu boleh berlaku; Mossad telah cuba memperakukan laporan bahawa Saddam
sudahpun menyimpan beberapa jenis senjata kimia yang berbahaya di beberapa
tempat simpanan rahsia di sebelah selatan Baghdad, yang membolehkan senjata
itu digunakan dalam rangka serangan sasarannya, bukan sahaja ke atas bandar
Kuwait tetapi juga beberapa bandar di Israel.
Di kalangan pegawai tinggi Mossad, memang wujud kesangsian apakah Iraq sudah
memiliki roket untuk melancarkan serangan berbisa itu. Gerald Bull telah
diketepikan oleh Amerika dan senjatanya yang bergelar 'supergun' itu
sudahpun diketepikan juga kerana gagal melepasi ujian pemantauan satelit
Amerika Syarikat. Pengamat Shavit telah mencadangkan kalaulah Saddam sudah
memiliki peluru berpandu, tidak ada kepastian apakah kepala peluru berpandu
itu boleh diisi dengan kimia, seperti yang dijanjikan oleh Saddam dulu.
Sebagai seorang pegawai yang baru sangat memegang jawatannya yang baru,
Shabtai Shavit, telah mengulang apa yang diberitahu kepadanya, betapa sikap
mencetuskan kewaspadaan boleh mencetuskan suasana panik yang tidak
diperlukan. Sahalom telah diberikan kelulusan khas untuk mencari
kebenarannya. Dia telahpun melaksanakan beberapa operasi seperti itu dulu di
Iraq. Dia pernah pergi ke Baghdad setelah menyamar sebagai seorang peniaga
daripada Jordan. Di Baghdad memang terdapat 'sayanim' yang dapat
membantunya. Tetapi, di satu kawasan padang pasir yang luas, dia terpaksa
menyesuaikan diri mengikut keadaan dan keupayaannya - dan segala didikan
yang diturunkan oleh para jurulatih yang sudahpun mengujinya.
Shalom pernah menjalani latihan lasak di padang pasir Negev, sambil
menjalani kaedah 'latihan memori', cara mengenal sasaran walaupun ketika
dihujani taufan pasir; dan 'perlindungan imej diri' yang membabitkan usaha
menyesuaikan diri dengan keadaan sekelilingnya. Dia telah mengenakan pakaian
yang sama untuk melusuhkan kainnya. Dia telah menghabiskan sehari suntuk di
padang tembak, sambil mempamerkan kepintaran menggunakan senjata dalam
latihan pertembungan jarak dekat. Kemudian dia menghabiskan satu jam dengan
pakar farmasi untuk mengetahui kaedah terkini menggunakan perubatan
kecemasan di padang pasir; kemudian dia menghabiskan satu bahagian pagi
untuk menghafal peta kawasan yang akan diharunginya untuk merentas padang
pasir itu. Semua jurulatihnya mengenal Shalom hanya melalui nombornya sahaja; mereka
tidakpun merendahkannya ataupun memberi kepujian kepadanya. Mereka tidak
pernah memberitahu Shalom apakah kedudukan latihan yang dipelajarinya,
kerana mereka sudah bersifat laksana robot sahaja. Sebahagian dari setiap
hari latihan dihabiskan untuk membina stamina dan fisiknya dengan cara
berjalan di tengah panas terik sambil menggalas satu beg yang diisi batu.
Shalom sentiasa menepati waktu jadualnya, tetapi tidak ada sesiapapun yang
berleter apakah dia menepati jadualnya itu. Ada satu ujian yang menghentikan
setiap latihan yang sedang dijalaninya untuk membolehkan Shalom 'didera'
dengan soalan seperti begini: 'Seorang anak Badui ternampak kamu: apakah
kamu akan membunuhnya untuk meneruskan misi kamu?'. 'Anda hampir ditangkap.
Apakah anda menyerah diri ataupun membunuh diri?'. 'Anda terserempak dengan
seorang askar Israel yang tercedera dalam satu misi yang berbeza, apakah
anda akan berhenti membantunya ataupun membiarkan sahaja beliau begitu
setelah menyedari dia akan mati akhirnya?' Segala jawapan Shalom tidak perlu
berupa sesuatu yang menentu, kerana soalan yang diarahkan hanya merupakan
satu cara lain untuk menguji keupayaannya membuat keputusan ketika
perasaannnya ditekan. Berapa lamakah dia membuat keputusan untuk menjawab?
Apakah dia bercelaru ataupun menunjukkan keyakinan ketika memberikan jawapan
itu? Dia hanya akan makan apa juga jenis makanan yang ada di padang pasir;
ketulan yang dicampurnya dengan air payau yang memang boleh didapati
bertakung di tempat tertentu di padang pasir. Dia pernah menerima latihan
perseorangan dengan seorang pakar psikiatri Mossad cara menangani 'stress'
(tekanan jiwa) dan cara menenangkan perasaan. Doktor pakar itu mahu
menentukan Shalom berupaya berfikir sendirian supaya dia mampu bertindak
pantas dan ganas mengikut keadaan yang mungkin dihadapinya di padang pasir
itu.. Ujian bakat itu dapat menentukan keadaan emosi dan keyakinan dirinya.
Ujian dibuat untuk menentukan apakah dia sudah menunjukkan tanda-tanda mampu
bersikap laksana 'serigala keseorangan', kerana sikap demikian memang
mencurigakan sehingga ramai katsa yang terpaksa diberhentikan khidmat mereka
kerana sudah memiliki sifat itu. Seorang jurulatih 'loghat'(dialect) telah mengajarnya beberapa jam lamanya,
sambil mendengar beliau mengulang-ulang loghat orang Sufi. Kerana Shalom
pintar berbahasa Parsi dan Arab, dia memang mudah menjadi pakar dalam loghat
yang dituturkan oleh puak badui. Setiap malam dia dihantar ke beberapa
bahagian kawasan padang pasir Negev untuk tidur. Sambil menggali pasir untuk
menyorok dirinya, dia akan berehat untuk beberapa ketika tanpa sempat
berdengkur di situ, sebelum beralih tempat, untuk mengelakkan dikesan oleh
para jurulatih yang sentiasa memburunya di malam hari. Jikalau dia dikesan,
maka berakhirlah misinya itu ataupun sengaja ditunda untuk beliau menambah
latihan lagi, ataupun dia dipindahkan untuk membolehkan misinya itu
diambil-alih oleh seorang katsa yang lain.
Shalom berjaya mengelakkan dirinya daripada dikesan oleh sesiapa. Pada
petang 25 November 1990, dia telah menaiki pesawat CH-536 helikopter
Sikorsky kepunyaan 'Israeli Defense Forces Central Regional Command.'
Anak kapal helikopter telah diberikan latihan yang berasingan untuk misi
itu. Di satu bahagian lain padang pasir Negev, mereka telah mebuat latihan
terbang rendah sambil berlatih melepasi pelbagai rintangan yang sengaja
dipasang di waktu malam. Ada 'turbine' khas yang memancutkan pasir ke arah
helikopter itu untuk membolehkannya memperbaiki teknik terbang melalui
tekanan udara yang berbeza di padang pasir Iraq. Pemandu pesawat telah
berjaya terbang serendah mungkin tanpa mencetuskan bencana. Dalam satu
latihan yang lain, jurulatih telah bergayut pada tapak pendaratan, sambil
menembak pada sasaran di kaki langit, sambil juruterbang mengawal pesawatnya
tanpa bergerak. Ketika latihan begitu anak-kapal berlatih untuk menentukan
hala tuju pesawat itu seterusnya. Hanya ketua pemerintah, Major General Danny Yatom, mengetahui laluan sebenar
yang mereka gunakan untuk menuju sempadan Iraq. Yatom pernah menganggotai
unit komando elit Sayeret Matkal, yang merupakan pasukan beret hijau Israel
yang pada 1972 dulu telah menyerang sebuah pesawat Belgium di Lapangan
Terbang Tel Aviv. Anggota lain komando yang sama ialah Benyamin Netanyahu.
Persahabatan antara mereka berdua akhirnya menaikkan pangkat Yatom menjadi
ketua utama Mossad, ketika Netanyahu menjadi perdana menteri. Itu juga
pangkat yang menamatkan perhubungan baiknya dengan Netanyahu, akhirnya.
Tetapi, cerita itu adalah kisah masa depan mereka.
Pada pagi Disember itu, Shalom masih lagi meneliti keadaan di persekitaran
wadi, dia tidakpun menyangka betapa perjalanan yang jauh dan berbahaya itu
telah diputuskan di satu bilik persidangan di Kirya, ibupejabat pertahanan
di Tel Aviv. Selain Yatom, hadir juga Amon Shahak, ketua Aman, bahagian risikan tentera,
dan Shabtai Shavit. Mereka sedang membincangkan satu maklumat terkini yang
mereka perolehi daripada seorang perisik yang bergerak secara senyap-senyap
di dalam jaringan kumpulan ganas Iran di Eropah. Talibarut khas mereka ini,
tidak dikenali oleh orang lain, apakah dia seorang lelaki ataupun wanita.
Hanya Shavit yang mengetahui jantinanya, kerana itu nama kod talibarut itu
diberikan sebagai abjad 'I' sahaja. Shahak dan Yatom hanya boleh membuat
andaian betapa talibarut ini berjaya menyerap masuk kompeks kubukuat Iran di
tingkat tiga di kedutaan Iran di Bonn, Jerman. Keseluruhan kawasan itu telah
diperkuatkan untuk menahan ledakan bom dan ia sentiasa dikawal oleh sekitar
20 Pengawal Revolusi (Revolutionary Guards) yang mempunyai peranan seiring
untuk menyelaraskan aktiviti keganasan Iran di Eropah Barat. Mereka pernah
mencuba menghantar satu ton 'Semtex' dan pemacu elektronik keluar daripada
Lebanon untuk memasuki Sepanyol. Pengiriman itu bertujuan menambun (bekalan
tambahan) bahan peledak untuk beberapa kumpulan pejuang pro-Iranian di
negara Eropah. Setelah menerima maklumat daripada Mossad, kastam Sepanyol
telah menaiki kapal itu sebaik sahaja ia memasukki perairan antarabangsa.
Apabila munculnya musim panas 1990, Iran telah mengagihkan dana melalui
kedutaannya di Bonn untuk mempertingkatkan pengaruhnya di kalangan kumpulan
fundamental Islam di Eropah. Jumlah wang yang dilibatkan itu memang
mengejutkan kerana Iran telah dihenyak oleh kegawatan ekonomi disebabkan
peperangan dengan Iraq yang berlanjutan selama lapan tahun, dan berakhir
dengan satu perdamaian hanya pada 1988.
Akan tetapi, pada suatu hari dalam November, di kamar persidangan yang
terkawal di Kirya itu, bukannya kemunculan satu ancaman baru daripada Iran
yang telah dibongkar oleh agen perisik talam-dua-muka itu. Maklumat yang
dibongkar oleh 'I' membabitkan Iraq, dan dia sudah berjaya mendapatkan satu
salinan yang terperinci mengenai rencana perang Iraq yang dicuri oleh
pasukan risikan Iran daripada ibupejabat ketenteraan Baghdad. Rencana Iraq
itu membabitkan cara penggunaan peluru berpandu 'Scud' yang akan diisi
kepalanya dengan kimia dan senjata biologi yang beracun terhadap Iran,
Kuwait dan Israel. Setiap peserta yang bersidang ketika itu hanya mempunyai satu soalan utama
untuk diketengahkan. Apakah maklumat itu dapat dipercayai? Sebelum itu 'I'
memang telah membuktikan kesahihan segala maklumat yang dikirimkannya.
Namun, segala maklumat sebelum itu tidak sehebat maklumat yang terkini
darinya. Apakah kemungkinannya, maklumat yang baru diterima itu bertujuan
untuk menipu Israel agar melancarkan serangan awal terhadap Iraq? Apakah
kemungkinannya 'I' sudah tertangkap dan dia kini digunakan oleh Iran?
Untuk mencari jawapan kepada soalan itu mencetuskan risiko juga. Masa untuk
membolehkan seseorang katsa menghubungi 'I' mungkin memerlukan beberapa
minggu. Proses mudah jadi bercelaru untuk menarik perhatian seorang perisik
yang jauh di lubang risikan untuk timbul di permukaan. Kalau 'I' masih lagi
setia, keselamatannya mungkin terjejas menjadi bahaya. Namun, kesan
bertindak terhadap dokumen Iraqi tanpa menyelidik kesahihannya akan
mencetuskan bencana kepada Israel. Satu serangan awal untuk memintas sudah
tentu mencetuskan satu tindak balas. Sudah tentu ini akan menjejaskan satu
permuafakatan yang telah dijalin dan dipersetujui di Washington untuk
menghapuskan Saddam Hussein daripada Kuwait. Lagipun, banyak negara Arab
yang akan menyokong Iraq kalau ia beperang menentang Israel.
Hanya ada satu jalan untuk mengesahkan berita yang dicuri daripada medan
perang itu dengan menghantar Shalom memasuki Iraq. Helikopter yang
membawanya telah terbang rendah di atas permukaan padang pasir Jordan di
malam buta yang gelap gelita. Pesawat yang dicat dengan pewarna khas untuk
menepis pemantauan cahaya radar, mempunyai injin khas yang tidak bising
sehinggakan Sikorsky itu tidak dapat dikesan oleh sebarang radar Jordan yang
canggih-manggih. Keupayaannya terbang dengan 'silent mode' (senyap-sunyi)
membolehkan helikopter itu terbang menuju tempat pendaratan yang berdekatan
sempadan Iraq. Di situlah Shalom digugurkan pada malam buta itu. Walaupun telah diberikan
latihan yang bertubi-tubi, tidak ada sebarang persediaan yang mampu
memberikan keselesaan kepadanya ketika itu. Dia sudah bersendirian, dan
untuk selamat dia terpaksa menghormati keadaan sekelilingnya. Setiap kawasan
padang pasir memang tidak ada perbandigannya dari segi unsur kejutan yang
mampu dicetuskannya. Pada bila-bila masa taufan pasir boleh melanda,
merobahkan keadaan alam (landscape) dengan tidak semena-mena sehingga mampu
menimbusnya. Satu bentuk keadaan langit mempunyai makna yang tersendiri
berbanding satu bentuk yang lain yang datang berganti. Shalom rerpaksa
membuat kajian cuaca mengikut tafsiran yang dipelajarinya, semuaitu terpaksa
dibuatnya sendiri sambil menggunakan telinga sebagai alat untuk menyesuaikan
diri kepada malam yang sunyi. Dia terpaksa berwaspada mengingati bahawa
kesunyian padang pasir di malam hari bukannya keadaan yang sembarangan. Dia
juga perlu mengingati selalu, betapa kesilapan pertamanya adalah juga
kesilapannya yang terakhir di situ. Tiga hari selepas digugurkan oleh helikopter dan pada subuh Disember itu,
Shalom masih terbaring kekejangan di wadi Iraq. Dia memang memakai
cermin-mata hitam khas di sebalik 'bupta' yang digunakannya. Lensa khas
'goggle' itu memberikan gambaran bentuk keadaan alam di persekitarannya.
Shalom hanya bersenjatakan satu senjata yang kerap digunakan oleh Sarami di
situ: sebilah pisau belati untuk memburu. Dia memang terlatih menggunakan
pisau itu dengan pelbagai cara. Apakah dia akan menggunakan pisau itu
menentang kuasa yang lebih kuat darinya, belum lagi dipastikannya. Seperti
juga apakah dia akan menyerah diri kalau diperangkap di situ. Ataupun apakah
dia akan menelan pil beracun yang dibekalkan untuknya. Sejak Eli Cohan
ditangkap, diazab dan didera sampai mati, setiap katsa yang bertugas di
Iran, Iraq, Yemen, ataupun Syria telah diberi kuasa membuat pertimbangan
sendiri sama ada mahu membunuh diri daripada ditangkap untuk diseksa oleh
pihak yang menangkap mereka. Sementara itu Shalom terus melihat keadaan dan
menunggu. Orang badui di perkhemahan yang terletak kira-kira setengah batu di seberang
wadi sedang mengerjakan solat subuh. Suara salakan anjing mereka sudah
kedengaran sayup-sayup di bawa bayu. Tetapi, anjing-anjing itu tidak akan
keluar daripada kawasan perkhemahan mereka sehinggalah sinaran matahari
sudah kelihatan di bahagian kaki langit Inilah corak hidup yang pertama kali
dipelajari oleh Shalom ketika 'bertapa' di padang pasir dulu.
Mengikut maklumat yang diperolehinya pada majlis penerangan dulu, konvoi
pertama seharusnya muncul di antara dua bukit di bahagian kiri tempat
persembunyiannya. Mata yang tidak terlatih tentu tidak dapat mengesan jejak
kesan yang dilalui oleh konvoi itu dulu. Kepada Shalom kesan itu amat jelas
sekali kerana antara kesan tayar kenderaan itu sudah ada kesan lubang yang
dikorek oleh ulat-ular padang pasir untuk hidup di situ.
Matahari sudah naik meninggi, ketika konvoi yang dikatakan muncul di situ.
Satu kenderaan pelancar Scud dan sebuah kenderaan sokongan muncul dan
berhenti kira-kira setengah batu daripada lubang persembunyian Shalom. Ini
membolehkan Shalom mengambil gambar dan mencatatkan waktu penggambarannya.
Pasukan tentera Iraq itu mengambil lima belas minit untuk melancarkan peluru
berpandunya. Ia muncul dalam satu lengkongan dan hilang di kaki langit.
Beberapa minit kemudian, konvoi itu berpatah balik meluncur di celah-celah
bukit. Dalam masa beberapa minit, Scud yang dilancarkan itu mengenai
sasarannya di Tel Aviiv ataupun apa juga bandar Israel. Mujurlah tembakan
itu hanya satu latihan sahaja. Shalompun memulakan perjalanannya pulang
menghala ke Tel Aviv.
|