Laman Webantu (M) KM2: 5464 File Size: 8.0 Kb |
|
TAG SP 283: MM - Mahathir, Jakarta dan Manila Memerangi Kebangkitan Militan Islam By Abdar-Rahman Koya 17/9/2001 7:27 pm Mon |
Mahathir, Jakarta dan Manila Memerangi Kebangkitan Militan Islam
(Mahathir forms alliance with 'J' and 'M' to fight 'Islamic Militancy')
Oleh: Abdar-Rahman Koya Pada akhir Ogos yang lalu, Yasser Arafat tiba di Kuala Lumpur dan dapat
merasakan sambutan tuan rumahnya yang semakin dingin berbanding sambutan
yang lalu. Arafat dapat merasakan perbezaan itu disebabkan tuan rumahnya
sedang dihantui pertentangan militan Islam dan terpaksa memangsakan delegasi
Palestin yang datang. Dilema kerajaan Malaysia itu memang tidak sukar
dimengerti. Kerana terlalu gian untuk dijemput melangkahkan kaki ke ambang
Rumah Putih, perdana menteri Mahathir memang berusaha sedaya mungkin
menggugurkan label 'tukang ganyang Barat' yang satu ketika menjadi label
yang mengkagumkan dunia Islam. Sejak reformasi lahir pada 1998, Rakyat Malaysia sudah lali dengan
penggunaan perkataan 'militan' sehinggakan mereka sudah mampu mencemuh label
yang diulang-ulang oleh regim Mahathir. Namun, Mahathir sedar, tindakan
mengulang-ulang isu itu dapat maraih kerjasama Indonesia dan Filipina - yang
sedang dihantui kebangkitan puak Islam yang mahukan kemerdekaan wilayah
mereka - untuk memberikan perhatian serius kepada kelentongnya.
Kini dia mahu memanjangkan kempen pergerakan anti-Islam itu melangkau
sempadan Malaysia, sambil mendapatkan persetujuan dua rakan sejawatnya di
rantau ini, itulah dia presiden yang baru dilantik di Indonesia, Megawati
Sukarnoputri dan Gloria Arroyo Macapagal di Filipina. Setiap presiden wanita
ini telah mengadakan lawatan ke Malaysia dan memuji-muja pentadbiran
Mahathir. Mereka bertiga seolah-olah sudah membuat satu pakatan untuk
memerangi apa yang disebut kumpulan pelampau Islam yang dikatakan
'gila-kuasa'. Mahathir sendiri telah mendedahkan fenomena itu pada 1
September, dengan mengatakan betapa wujudnya 'unit Islam militan' di
Malaysia. 'Mereka mempunyai agenda besar untuk menubuhkan kerajaan Islam di
Malaysia, Indonesia dan Filipina melalui kekerasan - tetapi perkara ini
tidak mudah,' katanya. Manila telah menyambut pendedahan Mahathir itu, dengan menyebut akan adanya
laporan risikan betapa kumpulan fundamentalis Malaysia telah 'mencuba untuk
bergabung dengan kumpulan Islam di negara ini'. Kerajaan Filipina telah
menyebut Moro Islamic Liberation Front (MILF), yang memang sudah lama
berperang kerana menuntut kemerdekaan bagi wilayah selatan negara itu.
Beberapa hari sebelum itu Megawati telah pulang ke Jakarta setelah mencapai
kefahaman dengan Malaysia yang berjanji mahu memerangi pergerakan kebebasan
Acheh. Berbeza dengan tindakan orang yang mendahuluinya yang berjanji
memikirkan kemungkinan diadakan referandum di Aceh persis yang telah
dibenarkan kepada kumpulan Kristian di Timur timur, Megawati yang selama ini
dikenali kerana sokongan kumpulan Kristian kepadanya, telah membuat
pengumuman hak memerintah sendiri kepada Aceh yang kaya dengan hasil
minyaknya. Permulaan kempen anti-Islam itu telah dilancarkan oleh Mahathir dengan cara
yang mengecewakan, apabila pada awal Ogos, dia telah melancarkan penangkapan
terhadap beberapa aktivis Islam tempatan yang pernah berkhidmat di medan
perang Afghan pada tahun lapan puluhan. Sejak itu beberapa ramai rakyat
Malaysia telah ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), di
mana mereka telah ditahan tanpa perlu dibicara untuk satu tempoh yang lama.
Kerajan menuduh mereka cuba menegakkan sebuah negara Islam dengan
menggunakan kekerasan. Jelas, Islam sudah digunakan satu alat untuk Mahathir berselindung dalam
usaha menyelamatkan karier politiknya. Kenyataan serta tindakannya yang
terbaru melambangkan ketakutannya yang membuak terutama terhadap
kecenderungan warga siswa universiti yang semakin tertarik kepada ajaran
Islam yanag berbeza kepada fahaman sekular yang telah beliau cuba semaikan
melalui UMNO. Tidak puas dengan mengcap para pelajar Melayu sebagai golongan
yang 'malas' dan 'tidak tahu bersyukur' kepada kerajaannya, kini dia telah
melancarakan satu kempen terbaru terhadap mereka. 'Mengikut satu kajian yang
dibuat oleh kerajaan, terdapat sekurang-kurangnya 300 pelajar Melayu di
universiti yang telah mengaku betapa tidak menganggap diri mereka sebagai
orang Melayu, tetapi lebih cenderung mengambil sikap bahawa mereka adalah
warga Islam.' Demikian kenyataan Mahathir dengan keluhan penuh sesalan.
Diapun mula mengutuk warga guru dan penyarah universiti, sambil mengitar
semula tuduhan lama betapa mereka inilah yang mengapikan para pelajar agar
terus membenci regimnya. Kita tidak menafikan adanya sedikit kebenaran dalam tuduhan Mahathir itu.
Sejak dia menyingkirkan bekas timbalannya Anwar Ibrahim, dan memenjarakannya
atas tuduhan yang gagal dibuktikan oleh pendakwa raya di mahkamah, maka
bercambahlan semangat membenci kerajaan Mahathir di kalangan orang Melayu
yang hampir keseluruhannya beragama Islam. Ribuan Melayu pernah membanjiri
jalanraya melaungkan cogankata anti-kerajaan. Walaupun populariti Mahathir
telah ditentangi oleh sokongan rakyat terhadap Anwar, yang meraih keuntungan
besar dalam kemelut itu ialah PAS. Inilah yang menjadikan PAS satu faktor
menonjol dalam percaturan penentuan parti pembangkang sehingga membolehkan
beberapa calon PAS memenangi beberapa kerusi tradisi kerajaan yang
memerintah pada pemilu 1999. PAS menonjol, walaupun wujud penipuan yang
hebat melalui pengundi hantu dan undi tipu yang direncana secara menyeluruh
oleh kerajaan pimpinan UMO. Semua ini adalah petunjuk kepada satu kebangkitan di rantau ini. Singapura,
yang merupakan negara yang paling utuh ekonominya di rantau ini, telah lama
diberikan tanggapan oleh masyarakat Islam sebagai satu kerajaan versi israel
di Asia Tenggara, telah membuat pengakuan terhadap kebangkitan Islam ini.
Lee Kuan Yew, menteri kanan Singapura telah membuat pengakuan terhadap
kebangkitan pergerakan Islam sejagat (yang disebutnya sebagai 'satu bentuk
globalisasi Islami') sejak 20 tahun yang lalu. 'Ia sudah menjadi satu jenis
aktiviti sejagat yang anti-Zionis, anti-krused......yang perlu kita awasi
kerana kalau pergerakan ini berakar umbi di Indonesia, menjalar ke Malaysia
dan menular ke Johor, bererti kita akan diserang pula,' demikian Lee memberi
ingatan kepada jirannya. Mahathir sebenarnya tidak berminat mendengar apa kata orang lain. Yang
menjadi agendanya yang terutama sekarang ini ialah mendapatkan jemputan ke
Rumah Putih. Itulah yang diharapkannya menjadi satu langkah menukar haluan
agar diterima oleh kuasa Barat setelah begitu lama bertindak liar dan
memandai-mandai menyanggah mereka. Kerana itu dia tidak mampu mengenepikan
apa juga bentuk hubungan awam yang sengaja dilakonkan. Satu contoh terbaik
ialah terbitan sebuah artikel di Washington Times bulan lalu yang
memuji-muja Mahathir menggunung tingginya, sambil menuduh Anwar mempunyai
kaitan dengan kumpulan militan Islam. Artikel yang ditulis oleh satu
'kumpulan pemikir yang tidakpun dikenali' sebelum ini, telah memberi amaran
kepada Amerika supaya tidak mudah diperdaya oleh kebangkitan reformasi
Anwar, sambil menyebut lawatan Anwar menemui Imam Khomeini di Teheran
selepas tercetusnya Revolusi Islam pada 1979. Tidak lama kemudian barulah
terdedah bahawa apa yang disebuat kumpulan pemikir itu adalah sebuah
syarikat kepunyaan sepasang suami-isteri. Tidak hairanlah apabila media
tempatan yang dikuasai sepenuhnya oleh Mahathir, terpaksa bersuara menafikan
adanya sogokan wang dan korupsi dalam kempen publisiti haprak ini.
Terjemahan: SPAR-20 14/9/01. Asal: Muslimedia
atau KM2 5456 MM: Mahathir forms alliance with Jakarta and Manila to fight 'Islamic militancy'
|