Laman Webantu (M) KM2: 5463 File Size: 12.3 Kb |
|
TJ SP MGG: Tanggapan Amerika terhadap keganasan yang berbentuk jenayah By M.G.G. Pillai 17/9/2001 6:00 pm Mon |
Tanggapan Amerika terhadap keganasan yang berbentuk jenayah
(American view of terrorism as criminal act wrong)
Oleh MGG Pillai Tumpuan Amerika sudah berubah daripada melapetaka kesan serangan ganas
di New York dan Washington DC kepada rencana terbaru yang memang tepat
tindakannya. Hakikatnya sudah diterima bahawa Osama bin Laden adalah
manusia yang mencetuskan huru-hara sehingga Kongres dan Dewan Senat
merancang untuk menangkapnya tanpa mengorbankan nyawa rakyat Amerika.
Pihak Taliban kini menjadi sasaran kerana memberinya perlindungan.
Pakistan, sebagai salah sebuah negara yang mengiktiraf Taliban, sedang
tertekan, agar memberikan kerjasama kepada Amerika dan memberikan
maklumat yang diketahuinya mengenai Osama Laden dan pertubuhan
rahsianya. Ada satu perkara yang mungkin ramai terlupa: semua opsyen ini
dibincangkan secara terbuka dalam sessi liputan perbualan 24 jam yang
diadakan oleh CNN, CNBC dan saluran yang lain. Ini adalah lambang
kurangnya keyakinan disebabkan keaiban. Inilah yang dianggap boleh
diselesaikan dengan menyerang musuh yang tidakpun dipastikan, di tempat
persembunyiannya. Apabila keperitan yang sedang menyiksa menghilang
ditelan masa, keaiban yang menghantui kerajaan Amerika yang dianggap
paling kuat di dunia ini, akan terpahat di lubuk hati setiap rakyat
Amerika laksana keaiban yang pernah memukul martabat mereka ketika Pearl
Harbour dimusnahkan. Amerika mungkin menggugurkan bom di beberapa tempat sebagai tanda
bertindak balas, mungkin secara rambang, kalau perlu. Beberapa tahun
yang lalu, Amerika pernah mengebom sebuah kilang mengeluarkan vaksin di
Khartoum, sebagai tindak balas, demikianlah kita diberitahu, terhadap
Sudan kerana melindungi Osama bin Laden. Rupanya sasaran itu adalah satu
kesilapan. Seperti yang berlaku dalam perang Vietnam dulu yang membabitkan
pembayaran wang pampasan, Amerika Syarikat telah membayar wang kepada
pemilik kilang untuk menutup kerugian sambil diiringi kemaafan. Tidak
adapun yang disebut mengenai mangsa yang terbunuh, ataupun kisah
bagaimana sebuah kilang telah dimusnahkan kerana satu kesilapan.
Saya telah menerima banyak emel *(sila baca Catatan Penterjemah) yang
menjijikkan kerana mereka tidak senang dengan tulisan saya. Namun,
keganasan selalunya membiak keganasan juga dan apa yang telah berlaku
di New York dan Washington adalah sesuatu yang sepatutnya dijangka oleh
Amerika Syarikat kerana segala kecelaruan yang disebarnya serata dunia.
Terutama sekali di Timur Tengah. Apabila angin kematian menghembus di
bumi sendiri, perasaan mula muncul mencuit hati. Kebanyakan emel
kebencian itu datangnya daripada rakyat Amerika disebabkan kekosongan
di hati mereka untuk memahami apa sebenarnya yang telah terjadi.
Ini bukannya kali pertama saya melihat keadaan terkapai-kapai ini. Saya
telah banyak melihatnya ketika Perang Vietnam pada tahun 1960-an dulu.
Ketika itu saya menjadi seorang pemberita kepada Reuters dan telah
melihat beberapa kesan pengeboman Amerika di luar kawasan yang
disasarkan sebagai tumpuan pengeboman. Ketika itu ada pengiktirafan
kerana menyorokkan Vietcong yang tidak dikenali. Kini, Afghanistan sudah
dijadikan sasaran kerana menyorokkan Osama bin Laden yang cukup pandai
berahsia. Inilah yang kita lihat selepas berlakunya malapetaka dan kemusnahan.
Apakah ia dapat menyelesaikan semua perkara? Tentu tidak. Musuh Amerika
dewasa ini bukan lagi negara dan ideologi yang pelbagai rupa, tetapi
mereka yang terpinggir dengan hinanya oleh dasar Amerika di seluruh
dunia. Washington menayangkan keangkuhannya di Timur Tengah laksana
kerbau garang hiasan kedai tembikar (chinaware), segala sikap
berkecualinya lebih condong memihak kepada Israel.
Perjuangan Palestin, betapapun kesengsaraan yang menodainya, masih
tertanam dalam malapetaka yang terbenam. Kalau itu dapat diselesaikan,
bolehlah Amerika merasa kelegaannya. Bukannya mudah kerja itu, walaupun
Amerika angkuh dengan kecanggihan teknologi dan kekuatan IT yang tidak
disokong oleh maklumat sahih di muka bumi.
Apabila Amerika menggugurkan bom di kawasan yang menimbulkan
pertelagahan, kehampaan kerajaan yang dihambat kesengsaraan oleh
tindakan Amerika itu, adalah sama dengan kehampaan yang sedang
menghambat George Bush Jr ketika ini. Presiden Bush menjadi bingung,
sebingung-bingungnya. Segala 'chat shows' (program perbualan) di TV
memaparkan hakikat ini. Segala usaha sedang dipacu agar rakyat Amerika
memberikan sokongan kepada kerajaan Amerika, dan segala pendapat yang
bertentangan tetapi berfikiran waras sengaja diketepikan.
Bukannya tidak bersebab apabila kebanyakan laporan yang waras mengenai
episod yang tidak menyenangkan ini muncul daripada akhbar Eropah dan
saluran telivisyen mereka. Amerika Syarikat tidak pernah senang hati
menerima pendapat yang bercanggah dengan pendiriannya. Inilah yang
menggelodak di tengah-tengah segala kerancakan pendapat rasmi dan
histeria orang awam. Dilema Pakistan Kita bukannya berminat memperlekehkan keperitan tragedi yang sudah
melanda. Tetapi, tragedi itu mesti dinilai dengan kejituan yang saksama.
Kini, ia dilihat sebagai satu tragedi besar dari kacamata Amerika
Syarikat. Bukan begitu pula tanggapan di tempat lain di penjuru dunia.
Terutama sekali di Timur Tengah. Ada dasar rasmi kerajaan Amerika Syarikat mahu membasmi keganasan kerana
menganggapnya sebagai satu tindakan jenayah. Di sinilah terletaknya
kesilapan itu. Sepatutnya episod ini dilihat sebagai satu serangan
peperangan dan membasminya seperti yang dilaksanakan oleh Angkatan
Sekutu (Allied Forces) menumpaskan Jerman pada Perang Dunia Kedua dulu.
Jika tidak, Amerika akan tumpas lagi laksana yang diajar oleh Vietnam
dulu. Segala rencana yang diumumkan oleh Amerika setakat ini sudahpun
membuatkan banyak kerajaan yang bersahabat dengannya dalam keadaan kecut
perut. Pakistan sedang tertekan kerana ia sudah lama mengiktiraf puak
Taliban. Pemimpin di Kabul adalah warga Pathan yang mempunyai pertalian
darah dengan penduduk Pakistan di Wilayah Northwest Frontier. Setiap
jurucakap Pakistan yang saya lihat dan dengar bersuara di TV, dan
mempunyai pengetahuan mendalam mengenai Taliban, adalah orang Pathan.
Jadi, kalaulah Presiden Pakistan, Perves Musharaff membuat keputusan
menyerahkan apa juga maklumat yang disimpan oleh negaranya mengenai
Osama bin Laden kepada Amerika, seperti yang dilaporkan, dia akan
terjebak dalam perangkap kegelisahan yang tidak akan dapat
melepaskannya. Sebagai sebuah negara yang bersempadan dengan
Afghanistan, Pakistan adalah lebih terdedah kepada tekanan besar
berbanding Amerika Syarikat yang terletak 15,000 kilometer lebih jauh
dari situ. Melainkan Amerika Syarikat dapat menubuhkan satu ketumbukan
tentera yang dianggotai oleh orang Pathan yang dapat menumpaskan
kumpulan Taliban, usaha terbaru Amerika itu akan menemui kegagalan
akhirnya. Andaikata Osama bin Laden tertangkap dan terbunuh, mampukah perkara ini
menemui penyelesainnya? Tidak mungkin. Ia hanya akan mencetuskan satu
lagi keadaan kecelaruan di satu keadaan yang memang sudah bercelaru, dan
mencetuskan satu tekanan terhadap sekutu Amerika di rantau ini, termasuk
India dan Soviet Union. Apakah Amerika mampu membasmi keganasan di
rantau ini? Amerika Syarikat hanya dapat satu keadaan yang melegakan
untuk sementara sahaja. Kegaganasan yang dimaksudkan itu tidak akan terhenti hanya kerana
seorang ketua kumpulan mati dibunuh. Terlampau banyak kumpulan yang kini
menggunakan keganasan sebagai alat menakutkan untuk mengganyang Amerika
disebabkan dasarnya menangani masalah Palestin. Lagipun, seperti yang
ditulis oleh Robert Fisk, (Kekejaman & Keganasan Yang Menakjubkan) dalam
The Independent di London, Osama bin Laden pernah memberitahu beliau
dalam beberapa wawancara dengannya betapa Osama mempunyai dua sasaran
berkembar untuk menumpaskan Amerika Syarikat dan segala
negara-pembodeknya di rantau ini. Rencana Jahat israel? Ada satu soalan yang belum diselesaikan: bagaimanakah satu rencana yang
dilakar dengan penuh bijaksana dapat dilaksanakan menjadi satu operasi
yang ditaja oleh Osama bin Laden ataupun orang lain? Laporan terkini
memberi andaian betapa para perampas pesawat terbang itu mempunyai
maklumat rahsia yang paling berharga sehingga ia mencetuskan persoalan
apakah rahsia itu telah dibocorkan oleh seseorang yang berpangkat tinggi
dalam pentadbiran negara? Sama ada orang itu (lelaki ataupun perempuan)
merupakan talibarut upahan, bukan menjadi bahan perdebatan, apabila
diambil kira kebijaksanaan merancang segala rencana.
Ada dua kemungkinan dalam fikiran: ada satu kumpulan Islamiah yang
mencadangkan bahawa episod ini adalah satu rencana yang disengaja
dirancang oleh israel untuk mengaibkan dunia Islam kerana malapetaka
yang sungguh menjahanamkan keadaan. Yang kedua, pakar risik bertaraf
jembalang, tidak semestinya daripada KGB (perisik Russia) tetapi mungkin
daripada agensi Barat juga, berkemungkinan merancang ini untuk bayaran
yang tinggi. Saya tidak fikir kemungkinan sebarang organisasi Arab yang
mampu melaksanakan perkara ini dengan sendirinya. Sesiapa sahaja yang
melaksanakan huruhara ini sudah pasti menerima bantuan kepakaran yang di
luar keupayaannya. Ada satu teori Francis Fukuyama yang menyebut bahawa kepupusan sejarah
dunia kita ini adalah disebabkan kecuaian pihak monopolis. Ini adalah
disebabkan kecuaian mereka mengabaikan kuasa yang ada di pihak yang
tertekan. Apa yang telah dialami oleh Amerika Syarikat awal minggu ini adalah
serupa dari segi skop dan penglibatannya kepada keadaan merebaknya virus
komputer yang menjahanamkan sistem dunia siber. Begitu juga dengan
meningginya penyakit Aids disebabkan kecuaian dan kepercayaan betapa
malapetaka dan bencana hanya akan menimpa orang lain. Tesis Samuel P
Huntington dalam 'Clash of Civilizations' (Pertembungan Tamadun) dan
'Remaking of World Order ' (Pengolahan Tatacara Baru Dunia) ada menyebut
betapa dunia ini terbahagi kepada beberapa peradabannya.
Saya mempunyai tanggapan bebeza terhadap peristiwa yang telah melanda.
Apa yang telah berlaku adalah rentetan kepada terbelahnya Empayar
Osmaniah. Kebangkitan kuasa Eropah tengah di Jerman pada 1970-an telah
menghenyak keruntuhan empayar Osmaniah itu, yang bermula pada 1848 dan
berakhir pada 1922. Akan tetapi, kegoyahan yang tercetus itu telah menjerumuskan Empayar
Jerman itu ke kancah Perang Dunia Pertama, sehingga melahirkan
Perjanjian Versailles (Treaty of Versailles) yang mengaibkan Jerman. Ini
juga yang mencetuskan semangat 'lebensraum' dalam jemala pemikiran
setiap individu Jerman yang menghasilkan kemunculan Hitler, Perang
Dingin dan akhirnya perpecahan Soviet Union pada 1989. Ia memerlukan
satu abad ataupun lebih sedikit dari itu sebelum sesuatu empayar boleh
hancur-lebur. Kita sedang melihat ekornya sekarang. Segala domino kepada
keguguran itu semakin hampir akan tersungkur juga.
Tamat. MGGPillai Terjemahan: SPAR-01-1641 Catatan Penterjemah: Adalah satu ironi, sejak tersembamnya WTC, orang yang membela masyarakat
Islam yang sekian lama tertekan ialah seorang wartawan unggulan Malaysia
yang bukanpun beragama Islam. Sekaligus MGG Pillai telah merampas 'kuasa
pelanyak' yang satu ketika dulu dimonopoli oleh seorang Wira Dunia
Ketiga dan Melayu Terunggul Millineum ini hasil hadiah anak seorang
diktator tua. To MGG Pillai: Thank you......! Your sincerity in writing the truth has usurped the
salient right of a 'Western-basher cum the Self-glorified Spokesman of
the Third World'. It is amazing that he remains silent for the moment,
perhaps enjoying the glory of being 'The Super Malay of the Mellinium',
accorded to him by his son(s). Asal: |