Laman Webantu (M) KM2: 5451 File Size: 9.5 Kb |
|
TJ SP MGG: Amerika Dihantui 'Ibu Segala Peperangan' By M.G.G. Pillai 14/9/2001 6:44 pm Fri |
[Kalaulah Amerika tidak membuat kacau di negara lain ia tidak
akan diserang dan diaibkan sebegini dahsyat. Amerika sudah lama
melakukan kerosakkan di muka bumi orang (pinjam istilah al Quran)
dengan pelbagai alasan yang sengaja dicipta sehingga orang yang
tidak berdosa (seperti kanak-kanak dan orang awam) pun menjadi
korban. Kerapkali gambar-gambar yang menyayat hati tidak dipaparkan.
Sebaliknya, yang lebih banyak disiarkan adalah kehebatan pelurunya
mengenai sasaran. Pendeknya, dasar Amerika itulah punca ia diserang.
- Editor] Malaysiakini 13.09.2001 Amerika Dihantui 'Ibu Segala Peperangan'
(America gets its 'Mother of All Battles')
Oleh: MGG Pillai 1:20 p.m. Khamis: Cara Presiden Bush menangani masalah yang meledak
di Pentagon dan Pusat Dagangan Dunia (WTC) adalah persis cara yang tangani
Presiden Saddam Hussein ketika bapa Bush, Presiden George Bush Sr. menyerang
Iraq sepuluh tahun yang lalu. Ketika itu Amerika bersorak dengan bangga
sedangkan dunia Arab bermandikan airmata. Ini sudah menjadi berbalasan
dendam di mana keadaan bertukar cerita.
Kumpulan yang termangsa dalam setiap konflik itu ialah orang awam. Inilah
yang dikatakan 'collateral damage' (mangsa yang tergadai) dalam istilah
Pentagon. Semua itu tidak diambil kira dalam perhitungan ketika Baghdad dan
beberapa kota Arab dihujani bom yang bertubi-tubi. Kenapakah mereka mesti
diambil-kira ketika Washington dan New York menjadi sasarannya?
Kita tidak mahu peduli apakah masyarakat Palestin naik megah dengan
peristiwa berdarah orang Amerika, walaupun Amerika riang ria ketika Iraq
diserang dalam Peperangan Teluk yang menggila. Mereka yang menonton liputan
CNN ketika itu tentu masih dapat mengingatkan peristiwa itu. Jadi, apa
salahnya kalau peristiwa itu bertukar halaman? Presiden Saddam telah
menjanjikan 'Ibu Kepada Segala Peperangan', dan satu dekad kemudian Amerika
Syarikat merasakan bisanya. Tetapi, ini bukannya cara untuk mengamati kegilaan yang terbaru itu. Ini
adalah satu keruntuhan moral yang menjurus sikap orang pengecut. Itulah
yang disebut oleh Presiden Bush. Tetapi, sejak bilakah Amerika Syarikat
memberi kepentingan kepada moraliti dalam dasar negaranya. Malapetaka yang
menghantui New York dan Washington DC sepatutnya tidak menjadi satu ruangan
yang istimewa apabila Amerika bersorak riang ketika manusia yang tertekan
di negara orang merempat tidak ketentuan mencari perlindungan daripada
serangan senjata pemusnahan yang ditaburkan oleh Amerika Syarikat.
Kejutan yang ditimpakan oleh para pengganas, yang tidak dikenali lagi,
adalah sama dahsyatnya dengan bencana yang dicetuskan oleh Jepun ketika
menjahanamkan Pearl Harbour. Jumlah mangsa yang kehilangan nyawa akan
mencapai ribuan angkanya dan melepasi 2,400 yang terkorban di Pearl
Harbour. Kali ini, kemungkinan besar angka itu akan melepasi catatan
korban dalam sehari ketika Perang Saudara Amerika: 23,000 kematian.
Hari Kekejian Kematian memang amat dirasakan apabila ia melibatkan orang sendiri. Kerana
itu, segala reaksi Amerika Syarikat itu memang mesti difahami. Namun,
segala retorik dan ulasan ulangtayang, tidak sanggup membincangkan
kebijaksanaan yang terancang untuk melumpuhkan kerajaan Amerika, yang
sekaligus mengaibkan segala lambang keangkuhan dan kekuasaan tentera dan
perdagangan Amerika. Tidak kisahlah siapa yang mencetuskan kemusnahan itu,
kalau mereka belum mati lagi mereka pasti akan dihambat, dan berkemungkinan
besar menghadapi hukuman mati juga, akhirnya. Tetapi, itulah risiko yang
mereka telah pertaruhkan ketika melakar balas dendam yang lama berakar.
New York Stock Exchange (Bursa Saham New York) lambang perdagangan Amerika,
kini pupus dalam timbunan keruntuhan bangunan WTC. Kita telah lama melihat
kemunculan patriotisme dan nasionalisme Amerika di banyak negara, termasuk
Iraq, selepas mereka melancarkan pengeboman 1991 bersama negara Barat,
sekutu mereka. Ketika itu, Presiden Bush Sr. memegang kuasa di Rumah Putih.
Tetapi bagaimanakah mereka akan membuat penilaian terhadap kesan keganasan
yang baru menimpa mereka, yang lebih dahsyat daripada serangan terhadap
Pearl Harbour ketika mereka berperang dulu?
Ini bukan lagi mengenai dendam terhadap pihak yang mencetuskan huruhara.
Kerajaan AS mahu bertindak membalas dendam itu, seperti hasrat Saddam
Hussin pada 1991 dulu, namun keaiban yang sudah menconteng dua muka kedua
negara adalah serupa. Yang pentingnya, kenyataan betapa serangan ganas
telah dihidangkan ke ruang rehat setiap rumah kediaman Amerika sudah
menjadi kenyataan juga. Begitu juga kepada negara yang menyediakan ruang
rehat kepada kuasa tentera Amerika di seluruh dunia.
Sepanjang abad kedua-puluh, Amerika Syarikat telah memperlekehkan dunia
sejagat dengan segala keangkuhannya dengan anggapan tidak ada sesiapa yang
mampu menjentik tanah besar Amerika Syarikat itu. Keangkuhan itu adalah
hasil kemunculan AS pada waktu dan ketika yang tepat sepanjang Perang Dunia
Pertama dan Kedua itu untuk membolehkannya meraih kejayaan. Tetapi, setiap
kali mereka bertindak sendirian, bahananya memang mengaibkan. Perang
Vietnam dan Korea, dan sokongan mutlaknya terhadap Israel adalah testimoni
kepada banyak lagi keaiban ini. Seorang ketua perisik Peranchis yang sudah bersara pernah menulis dalam
memoirnya pada 1992 dulu; dunia harus memikirkan bahana ancaman pengganas
yang bertindak di luar sempadan negara mereka. Amerika Syarikat sudah
sekian lama memperlekehkan kemungkinan munculnya tindak balas terhadap
dasarnya menjadi polis Timur Tengah dan juga dunia sejagat. Kini, ia
menanggung bahana keangkuhan itu.
Momok Utama Momok terbesar yang menghantui suasana politik Amerika kini ialah Osama bin
Ladin, seorang warga Arab Saudi yang kaya raya dengan dunia niaganya, dan
kini ditarik kerakyataannya oleh Arab Saudi. Kini dia terpaksa hidup di
Afghanistan dan dituduh terbabit menyerang tapak ketenteraan Amerika di
serata pelosok dunia. Ketokohannya meninggi setiap kali ada serangan
dahsyat yang mengenai Amerika Syarikat. Serangan terbaru di AS itu telah
membabitkan nama Osama sebagai insan yang mempunyai kebijaksanaan dan kuasa
yang menaikkan tarafnya sehebat Saladin.
Akan tetapi, apakah Osama merupakan punca segala musibah itu? Boleh jadi,
dan serba mungkin. Namun, terlalu banyak ulangtahun keperitan dan kesiksaan
yang menghantui kehidupan bangsa Arab yang berkemungkinan besar
menyatu-padukan beberapa kumpulan Arab dalam perhitungan itu. Tiga puluh
tahun yang lalu dan bertepatan dengan ulangtahunnya sejak 1971 dulu,
beberapa orang Palestin telah merampas pesawat penumpang Amerika dan
meletupkannya di padang pasir Jordan.
Satu dekad dulu, Perang Teluk bermula dengan kehancuran Iraq, dan
berkesudahan dengan satu sekatan ekonomi yang masih lagi berkesinambungan
hingga hari ini. Dan banyak ceritanya lagi. Sudah tentu semua itu
melahirkan ramai orang Arab secara persendirian mempunyai dendam kesumat
dan kebencian terhadap Amerika Syarikat sehinggakan lahir satu semangat
menegakkan martabat keluarga dan maruah bangsa untuk berkorbankan diri
menebus dendam yang tidak terbela.
Apapun, tindak balas yang mengikut istilah Amerika Syarikat adalah perilaku
yang mesti ditunaikan. Apakah itu jalan yang terbaik? Tidak ada sesiapa
yang akan menganalisanya. Namun, kerunsingan di Amerika Syarikat adalah
sama getarannya di Timur Tengah, walaupun CNN tidak mahu merakamkannya.
Lagipun takkan masuk akal, untuk mengandaikan pejuang berani mati menjadi
juruterbang pesawat komersial dan melancarkan serangan ganas hanya selepas
membaca buku panduan asas pernerbangan.
Ketinggalan masa Ada satu perkara yang pasti: serangan itu telah mengaibkan martabat Amerika
dan keangkuhan kuasanya. Inilah yang lebih menghenyak Washington berbanding
kerisauan terhadap kemalangan yang ditanggungnya. Yang menjadikan ia tidak
dapat diterima, adalah keengganan Washington untuk menerima kenyataan
malapetaka itu. Inilah yang difahami oleh dunia yang membuatkannya terkedu
setelah memikirkan malapetaka itu. Amerika memang tidak senang menerima malapetaka yang menghenyaknya. Itulah
sebab ia menarik bala tenteranya di Timur Tengah setelah menghadapi
serangan yang mengorbankan banyak nyawa di luar jangkaan. Tetapi, seperti
yang disebut oleh CNN pada pagi tadi;
'Kalau anda mahu membunuh tikus, anda mesti bersedia mengharung
longkang-longkang.' Jika tidak, ramai musuh Amerika yang terus menguji di
buminya sendiri, walaupun tidak dengan kerakusan yang sama.
Mungkin yang lebih penting, Amerika Syarikat sudah ketinggalan zaman dengan
apa yang bergetar dalam dunia Arab. Jika tidak, masakan Amerika tidak
bertindak untuk memintasnya. Ini bukannya lambang kegagalan dasar negaranya
ataupun kebijaksanaannya. Tetapi inilah satu anggapan rasmi yang perlu
ditangani. Tetapi, bencana sudahpun melanda dan Amerika tidak akan menjadi
seperti dahulu kala, lagi. Tamat M.G.G. Pillai Terjemahan: SPAR-01-1631 Asal: KM2 5450 MGG: America gets its 'Mother of All Battles' |