Laman Webantu (M) KM2: 5447 File Size: 12.0 Kb |
|
TAG SP 281: Dagangan Asing dan Hutang Negara By Harun Rashid 13/9/2001 7:00 pm Thu |
[Menurut Ustaz Fadhil Nor, Harimau Asia ini sudah menjadi kucing
gemuk yang berhutang keliling pinggang. Dulu kita mampu goyang kaki
kerana pelabur suka kemari tetapi sekarang sudah tidak lagi. Sebaliknya
menteri perdagangan kita dan Mahathir sendiri yang asyik ke sana kemari,
mengubah polisi secara mendadak dan terpaksa mencipta berita palsu agar
pelabur tertarik hati. Tetapi mereka semakin lari sehingga kilang-kilang
elektronik pun tidak terkecuali. Inilah antara faktor yang menolong Malaysia
ketika krisis 97-98 dulu di samping harga minyak yang tinggi. Tapi
jangan lupa rezab minyak negara akan habis juga dan Amerika yang sedang
marah gila ketika ini mungkin akan menyerang pelantar kita pula kerana Dollah
Badawi mengatakan Malaysia adalah pusat terbaru pengganas antarabangsa....
- Editor] (Foreign Trade and the National Debt)
Oleh : Harun Rashid Secara umumnya telah dipersetujui bahawa fenomena Harimau Asia adalah
berdasarkan kepada pelaburan asing. Gelaran harimau itu dengan
cepatnya menjadi pupus apabila pengeluaran dana asing berlaku secara
berterusan. Buat seketika telah diumumkan bahawa Malaysia berupaya secara bebas,
dengan ketahanan dan kekuatan dalaman; bahawa permintaan domestik
akan meningkat untuk menyediakan aktiviti ekonomi yang secukupnya bagi
menghalang sebarang kemerosotan. Kini terdapat kesedaran yang
meningkat bahawa aktiviti dagangan asing memainkan peranan yang lebih
besar dari apa yang sanggup diperakui oleh kerajaan.
Perangkaan terkumpul, yang diperolehi dari jumlah perangkaan import dan
eksport bulanan, kelihatan berubah-ubah, dan arah alirannya (trend)
adalah sukar untuk dilihat. Namun begitu kiraan purata perangkaan
tersebut mungkin sengaja dibuat supaya arah alirannya menghampiri
lingkungan yang lancar (smooth curve). Di dalam gambar rajah 1,
lingkungan biru yang ditunjukkan adalah berdasarkan kepada data kasar,
diambil dari jumlah rasmi kerajaan (dalam bilion ringgit). Lingkungan merah
yang lancar adalah purata pergerakan dari bulan Febuari sehingga Julai
tahun lalu. Gambar rajah tersebut menunjukkan bagaimana pertumbuhan
yang cergas dapat dilihat pada sebuah graf.
Perangkaan bagi bulan Julai, 2001 baru sahaja diumumkan, dan graf yang
sama mungkin boleh dilakarkan, di mana garisan biru menyambungkan
angka-angka kasar, dan lingkungan merah menunjukkan purata
pergerakan. Adalah mudah untuk melihat bahawa tidak semuanya sama,
dan dijangkakan gambarannya akan menjadi lebih teruk lagi. Sudah pasti
arah aliran bukannya mendatar. Ianya menurun, walau pun tidak turun
menjunam seperti yang sepatutnya, kerana perangkaan tersebut merujuk
kepada aktiviti perniagaan yang lepas. Data yang paling terkini
menunjukkan tiada perubahan dalam aliran arah tersebut, malahan, sudut
penurunan lingkungan tersebut mungkin dijangkakan akan meningkat pada
tempoh masa hadapan. Ini adalah disebabkan data kasar bulan Julai (49.6)
adalah yang paling rendah dari yang ditunjukkan oleh bulan-bulan yang
lain. Data bagi tahun 2000 dan 20001 mungkin dilakarkan pada carta yang
sama untuk perbandingan. Perbezaan dalam keadaan dagangan dapat
dilihat dengan ketara. Pada tahun lalu dalam tempoh masa yang sama ini
terdapat sokongan terhadap keyakinan yang tidak terbatas, dan
polisi-polisi ekonomi kerajaan dapat dipertahankan. Pada tahun ini, walau
bagaimana pun, keadaan berubah dengan begitu jelas. Tahap aktiviti
ekonomi yang berkaitan dengan dagangan asing adalah lebih rendah dari
mendatar, manakala perangkaan bulan Julai pula lebih mengecewakan.
Sementara lingkungan (merah) 2001 kelihatan semakin mendatar, selepas
perangkaan bulan Ogos yang dilakarkan bersama-sama dengan
perangkaan bulan Julai (49.6) yang rendah, aliran arah lingkungan akan
terus menurun. Terdapat kejatuhan yang mendadak dari RM61.4 bilion
dalam bulan Julai tahun lalu kepada RM49.6 bilion tahun ini. Ini adalah
penurunan dari tahun-ke-tahun sebanyak RM11.8 bilion dalam aktiviti
dagangan asing (-19.2%). Adakah kejatuhan sedemikian merupakan satu
isu yang serius terhadap ekonomi negara? Perdana Menteri berkata
'Tidak, kemelesetan ekonomi tidak berlaku. Pertumbuhan KDNK sepanjang
tahun akan mencapai +2 peratus.' Ramai yang tidak bersetuju. Harimau
telah dibaham oleh dagangan asing.
Berita dari Jepun dan US, rakan kongsi terbesar kita, adalah tidak
menyenangkan, dan Singapura juga sedang mengikat perutnya. Lebih
banyak pembuangan kerja dilaporkan setiap hari. Lebih 200,000 rakyat
Malaysia berkerja di Singapura, dan mereka pasti merasai kesannya apabila
Singapura bertindak untuk melindungi pekerja-pekerja dari rakyatnya
sendiri. Oleh kerana Singapura adalah pusat perkapalan ke Jepun dan US,
bagi Malaysia sendiri, ketiga-tiga rakan kongsi dagangan itu adalah
berkait antara satu sama lain. Sekiranya ketentuan ekonomi Malaysia bebas dari pergantungan terhadap
aktiviti dagangan asing, sebagaimana yang dinyatakan oleh kerajaan,
kejatuhan di dalam sektor ini tidak akan membimbangkan bagi jangka
waktu yang panjang. Tidak timbul rasa terdesak atau merasa terancam juga
tiada langsung kesedaran bahawa Malaysia sedang berhadapan dengan
satu keadaan yang serius. Gambaran ekonomi tersebut, walau bagaimana
pun, diberi perhatian yang serius di Jepun, Singapura dan US. Soalannya
sekarang adalah sama ada permintaan domestik di Malaysia sudah cukup
kuat untuk mengabaikan statistik dagangan asing yang rendah.
Banyak perkara yang berlaku di Malaysia berkait secara langsung dengan
Menteri Kewangan yang tersingkir, Anwar Ibrahim. Sewaktu beliau
memegang jawatan tersebut pada tahun 1991, hutang negara adalah
sekitar RM25 bilion. Selama lapan tahun beliau berjaya menurunkan jumlah
tersebut sehingga menjadi RM10 bilion. Semasa 'krisis 1997' terdapat
tekanan yang amat besar untuk meningkatkan perbelanjaan awam dengan
banyaknya, terutamanya dalam projek-projek mega yang disenangi oleh
Perdana Menteri. Salah satunya adalah projek Empangan Bakun, yang
digantung oleh Anwar bersama-sama projek-projek yang lain, yang beliau
rasakan sebagai satu penyalahgunaan harta rakyat bagi menyelamatkan
kedudukan kewangan rakan-rakan rapat Perdana Menteri.
Semenjak penyingkiran Anwar Ibrahim dari jawatannya dalam bulan
September 1998, hutang negara pada peringkat persekutuan telah
bertambah kepada lebih RM200 bilion. Jumlah ini tidak termasuk hutang di
peringkat negeri dan lain-lain hutang peringkat bawah, juga hutang di
dalam sektor swasta. Kebanyakan dari hutang ini tidak akan dapat dibayar
semula. Ia sudah menjadi satu kegilaan. Akan tetapi itu bukanlah cerita
keseluruhannya. Sebagai tambahan kepada peningkatan beban hutang ini,
kerajaan telah menyapu bersih badan-badan korporat yang berada di
bawah kawalannya. Maybank, Petronas, Telekom dan terutamanya Tenaga
Nasional sedang dibebani teruk sehingga bankrap secara teknikalnya.
Hutang-hutang dan pinjaman-pinjaman tidak berbayar pada hari ini
terlalu membebankan untuk menghadapi kemerosotan yang ketara, dan
tahap terkini kegagalan membayar kadar faedah akan segera menjadi
faktor utama yang membawa keaiban kepada sistem kewangan negara.
Seolah-olah semua ini masih belum mencukupi, tabung pencen bagi
kakitangan awam pula telah digunakan di dalam skim mengepam modal ke
dalam industri yang tenat (pump priming scheme) dan adalah mustahil
untuk mendapatkan pengiraan yang tepat tentang kerugian yang mereka
alami. Sayap kewangan kerajaan telah dipatahkan, dan berbagai tabung
yang berada di bawah kawalannya telah kehilangan kefleksibelannya,
bersama-sama dengan keselamatan rakyat.
Analisis yang disampaikan di sini adalah menyedihkan, dan diharapkan
ianya tidak benar. Namun kerajaan begitu taksub dengan kerahsiaannya,
dan dipercayai tiada sebarang pendedahan akan dibuat. Buktinya telah
ada, dengan lanjutan tarikh bayaran yang sering berulang, tiadanya audit
luar, perlanjutan tempoh bon-bon yang telah matang, dan keengganan
yang sepenuhnya untuk membenarkan sebarang penyiasatan atau
pendakwaan jenayah-jenayah dan penipuan-penipuan besar yang telah
pun didedahkan sehingga kini. Di dalam keadaan sekarang, seharusnya kita bersikap merendah diri dan
berhemah. Dengan menunjukkan minat dalam konservatisme kewangan
adalah satu sikap yang bijak. Tetapi tidak, akhbar-akhbar kerajaan
mengumumkan projek-projek mega yang baru bahkan tidak memberi
sebarang faedah bagi menambahkan lagi beban kepada orang awam untuk
ditanggung selama beberapa generasi yang akan datang. Gambaran ini
tidak ubah seperti kisah dongengan segerombolan tikus yang meluru ke
sebuah tebing sebelum terjun dan mati lemas di dalam laut. Begitulah nasib
tikus-tikus yang tidak jujur. Sungguh pun demikian segala hutang akan
ditinggalkan kepada para pembayar tol dan cukai. Mereka yang merancang
dan membina jambatan-jambatan dan empangan akan mengaut
keuntungan sekarang, dan dijangka akan mencari tempat yang selamat
sebelum keruntuhan yang tidak dapat dielakkan berlaku.
Seandainya tempoh lapan tahun diambil untuk membayar semula hutang
sebanyak RM15 bilion dalam tahun-tahun yang cemerlang 1991 hingga
1998, berapa tahun pula akan diambil untuk membayar semula tahap
hutang masa kini, yang hampir sepuluh kali ganda dari jumlah itu?
Bolehkah kerajaan Malaysia meneruskan skim mengepam modal ke dalam
industri-industri yang tenat pada tahap yang sama untuk satu jangka
masa yang tidak pasti? Sudah tentu tidak. Minyak dijual untuk beberapa
tahun ke hadapan, sumber balak semakin berkurangan, dan harga
komoditi pertanian adalah rendah. Ahli ekonomi Keynes merumuskan
bahawa sebuah negara tidak boleh jatuh bankrap, memandangkan hutang
negara boleh diputar di dalam negeri secara berterusan. Teori itu kini
sedang diuji di seluruh dunia.
Sumber-sumber asing bagi pinjaman seterusnya pasti akan kekeringan
kerana kegagalan membayar balik pinjaman menjadikan keadaan lebih
ketara, memaksa pihak kerajaan untuk mengakui bahawa polisi-polisi
'berbelanja mengikut cara kita' yang tidak munasabah itu telah
betul-betul membawa bencana. Perbelanjaan defisit kerajaan pada kadar
melebihi RM75 bilion setahun telah menjadikan keadaan pada satu ketika
kelihatan lebih baik dari yang sebenarnya. Akan tetapi segala yang
indah-indah itu sudah hilang kini., dan masa-masa yang sukar menanti di
hadapan. Namun begitu tiada kenyataan rasmi yang menunjukkan sebarang
kesedaran mahu pun kebimbangan. Kerajaan tetap meneruskan
perancangan mereka dengan sepenuhnya. Satu-satunya insan di Malaysia
yang akan dan boleh bertindak untuk melindungi kepentingan awam
sedang berada di dalam penjara, sementara para konspirator yang
menjatuhkannya hidup riang, dengan enjin-enjin jet yang
mengaum-ngaum di lapangan terbang.
Link Reference : Harun Rashid Worldview: Foreign Trade and the National Debt |