Laman Webantu (M) KM2: 5426 File Size: 31.6 Kb |
|
MMMM: 6A - Mahathir Mohamad Mesti Undur Secara Terhormat By Marhain Tua 11/9/2001 6:06 pm Tue |
[Tunku sudah lama menulis dan mengingati orang melayu siapa
Mahathir yang sebenarnya, malangnya ramai yang tidak memperdulikannya
atau 'mudah lupa'. Sekarang lihatlah bagaimana banyak pemimpin
melayu yang hebat-hebat sudah diaibkannya dengan surat khabar
(Ku Li), surat layang (Anwar) atau surat beracun (Tunku) yang
berbisa. Sekarang ia menggempur PAS dengan panah beracun KMM pula
selepas pemimpin Keadilan difitnah dengan grened dan bom. Bukan parti
politik sahaja menjadi mangsanya, tetapi pertubuhan ugama seperti al
Arqam dihapuskan sama sekali kerana menganggap Abu Ya itu wali.
Tetapi mengapa Umno tidak dihapuskan sahaja bila ahli Umno memanggil
Mahathir sebagai wali? Bab 6A: Mahathir Mohamad Mesti Undur Secara Terhormat
Mahathir Mohamad mesti undur secara terhormat, sebelum terlambat;
kerana masanya untuk berbuat demikian sudah semakin singkat. Tidak
ada gunanya Mahathir menyibuk pergi ke negara orang dengan tujuan
menjalin persahabatan diplomatik sedangkan dirinya dan masa depannya
sudah pupus dalam dunia politik. Lagi cepat Mahathir bertindak untuk
berundur secara terhormat, lagi baik untuk Malaysia dan rantau ini.
Malaysia memerlukan satu barisan pemimpin baru untuk menangani masa
depannya yang lebih mencabar dan Mahathir serta para juak pemimpin
yang ada di kelilingnya sudah tidak mampu berfikiran besar untuk
meletakkan kepentingan rakyat di hadapan sebagai agenda utama politik
mereka. Dengan kata mudah, Mahathir dan pimpinan UMNO yang ada sudah
tidak laku di mata hati rakyat di negara ini, tidak kira apakah
kaumnya, pegangan agamanya, budaya ibundanya dan apa juga tahap
pemikiran dan hidupnya. Sejak sebelas bulan yang lalu, BTN ataupun Biro Tata Negara telah
mengumpulkan maklumat akar umbi masyarakat Malaysia dan dijadikan
laporan bulanan untuk dihantar ke Putrajaya. Sejak itu, rumusan
lapuran adalah sama: Rakyat sudah jelak dengan pemerintahan Mahathir
dan ada tiga syarat sebelum rakyat mahu menyokong kembali UMNO dan
BN. Satu, Mahathir mesti mengundurkan diri secara terhormat. Dua,
Mahathir mesti bebaskan Anwar Ibrahim dan semua pemimpin Barisan
Alternatif yang kini dituduh mahu menggulingkan kerajaan sedangkan
tidak ada sebarang bukti terhadap dakwaan itu. Tiga, kerajaan harus
menghentikan segala sandiwara mengenai kumpulan bawah tanah dan apa juga
sandiwara mengatakan adanya kumpulan yang mahu menjatuhkan kerajaan.
Soalnya sekarang, apakah Mahathir tidak pernah diajukan lapuran BTN
itu? Pada bulan Jun tahun ini, Mahathir ada memberikan ucapan memberi
ingatan kepada rakyat Asian agar tidak terburu-buru mendesak
perubahan politik. (Sila lihat AFP: - Mahathir says Asians should go
slow on political change - 27 Jun). Beliau berkata rakyat Asia harus
menyerap sesuatu idea politik itu dengan berhati-hati dan perlahan.
http://202.160.235.81/my/content.phtml?2&010&news&afpmalaysia.txt
'Mereka tidak seharusnya melaksanakan perubahan dengan terburu-buru.
Bukannya mudah menukar satu kerajaan yang ototkratik kepada kerajaan
berunsur demokrasi dengan sekelip mata kerana rakyat belum bersedia dan
mudah tergugat. Rakyat tidak mudah menyesuaikan diri kepada kebebasan
baru dan mungkin mengganas di jalan ....menjatuhkan sebuah kerajaan dan
menegakkan yang baru dan menjatuhkannya pula. Akhirnya inilah yang
mencetuskan anarki.' Keitka berucap itu, Mahathir tidakpun menyebut perkataan Indonesia
tetapi semua orang tahu, kiasannya adalah menyindir Indonesia di bawah
pemerintahan Suharto yang digulingkan dan diganti oleh Habibie,
kemudian memberi ruang meletakkan Gus Dur (Abdulrahman) yang
digulingkan untuk meletakkan Megawati Sukarno.
Mahathir berfalsafah: 'Demokrasi sudah berubah daripada menjadi ketegasan
majoriti rakyat kepada ketegasan seseorang individu. Saya percaya
kepada keunggulan demokrasi kerana ia subur di Malaysia tetapi tidak
mampu bercambah di negara lain.' Demikianlah telatah Mahathir yang sudah mencengkam kuasa selama dua
puluh tahun sebagai perdana menteri. Dia telah melihat segala-galanya,
dan melaksanakan segala idamannya, termasuk memusnahkan karier politik
sesiapa sahaja yang sanggup menentangnya. Mahathir pernah berkata: 'Dua
puluh tahun memegang jawatan Perdana Menteri mengajar saya banyak
perkara, tetapi ramai anak muda zaman ini percaya mereka sudah tahu
semuanya. Pelajar tahun satu universiti berani mengajar saya bagaimana
memerintah negara.' Dua puluh tahun memerintah negara ini Mahathir sudah menjadi angkuh dan
sombong. Dia sudah tidak dapat membezakan antara kritikan dengan arahan.
Dia fikir apabila rakyat mengkritik pemerintahannya mereka itu adalah
musuhnya sedangkan orang yang mengkritik secara lisan ataupun tulisan
mungkin mempunyai semangat yang lebih besar dan taat kepada negara
ini daripada Mahathir sendiri serta kaum keluarganya.
Cemohan Mahathir terhadap kritikan rakyat dijawabnya sendiri pada majlis
ucapan yang sama: 'Dua puluh tahun adalah satu masa yang lama untuk
menjadi seorang perdana menteri. Saya tidak fikir orang lain akan
mempunyai peluang ini tetapi saya lega kerana diberikan peluang
tersebut.' Mahathir juga menyebut bagaimana pemimpin negara mesti diberikan masa
untuk menentukan kesinambungan dasar pemerintahan. 'Ketika menjadi
perdana menteri saya mengambil dua tahun untuk mempelajari tugas saya,
lagi dua tahun untuk merencana banyak perkara dan sepuluh tahun untuk
melihat kesannya.' Inilah kunci pembuka segala muslihat pemerintahan Mahathir. Kalau kita
ambil empat belas tahun sebagai sanggang-masa (time-frame) pemerintahan
awalan Mahahtir dan dicampurkan kepada 1981, tahun dia mengambil alih
jawatan perdana menteri Malaysia yang ke-4, kita dapat jawapannya,
betapa 1995 adalah tahunnya Mahathir melihatkan kesan dan hasil segala
perancangannya. Apakah jawapannya itu memberikan kepuasan kepada
Mahathir? Jawapnya tidak. Walaupun negara sedang rancak dengan segala
bentuk pembangunan pada tahun itu dengan ketumbuhan ekonomi yang berada
di paras 8% betahun lamanya, Mahathir sudah nampak bahawa pencapaian
pemerintahannya mengikut kadar jangkaan 14 tahun itu sebenarnya sudah
menyerlahkan banyak kepincangannya. Tahun 1995, memberikan satu gambaran yang amat menakutkan Mahathir
tetapi dia pandai menyoroknya tanpa dikesan oleh rakyat jelata. Dia
menyorokkan semua itu dengan memacu ekonomi negara sebagai satu
ketumbuhan ekonomi yang palsu. Dia melancarkan pelbagai projek mega
sejak 1993 untuk menghayun kerancakan ekonomi pada 1995 kerana dia
sedar itulah tahunnya dia mahukan kesan pemerintahannya itu dinilai
untuk mencari tahap kejayaannya yang sebenar. Kerana itu Mahathir
telah membubarkan Parlimen pada 6 April, 1995 dan disusuli sehari
kemudiannya oleh pembubaran dewan-dewan undangan negeri. 15 April
ditetapkan sebagai hari penamaan calon sementara 24 dan 25 April
diisytiharkan sebagai hari mengundi. Pemilu ke-8 itu berjalan sekitar
sepuluh hari sahaja. Hasil pemilu 1995 itu, BN mengekalkan 10 kerajan negeri dengan
memenangi 338 daripada 394 kerusi Dewan Undangan Negeri. Pembangkang
hanya menang 56 kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri) dan 30 kerusi
Parlimen. Ini mencatatkan penurunan berbanding pemilu 1990 di mana
pembangkang dapat 96 kerusi DUN dan 53 Parlimen. Pemilu 1995 memberi
banyak kejutan kerana itulah pemilu yang meruntuhkan kekuatan DAP dan
Semangat 46. Projek Tanjung III DAP telah menjerut DAP, dan Semangat
46, terus kecundang kerana Tengku Razaleigh menuduh media massa yang
memutarbelitkan manifesto partinya. Kalau diambil kira teori Mahathir betapa seseorang pemimpin utama
sebuah negara memerlukan 14 tahun untuk menonjolkan hasil usahanya, kita
akui betapa 1995 merupakan tahun kegemilangan Mahathir dan sepatutnya
dia mengundurkan dirinya untuk menjadi seorang menteri kanan seperti yang
dilakukan oleh rakan sejawatnya Lee Kuan Yew di Singapura, yang meniru
gelagat seorang tokoh besar politik Britain, Sir Winston Churchill.
Mahathir enggan berbuat demikian kerana telah dirasuk syaitan
disebabkan kerakusannya. Kalaulah dia tidak dirasuk syaitan dia mampu
melaksanakan apa saja untuk menegakkan syiar Islam di Malaysia sehingga
menjadi satu negara Islam yang terunggul dalam sejarah moden Islam
di dunai ini. Kalaulah ada satu kumpulan ulama muktabar yang mampu
mempengaruhi Mahathir selepas kemenangan April 1995 dulu, Mahathir
mampu merencana satu program di mana Islam dapat disemai dalam negara
menjadikannya dihormati oleh semua kuasa besar di dunia ini.
Kemenangan 1995 telah mampu memberikan kuasa yang besar kepada Mahathir
mengajak PAS dan Tuan Guru Nik Aziz berbincang secara berahsia untuk
menegakkan satu negara Islam di negara ini. Kenapakah Mahathir tidak
melakukannya dan berbaik semula dengan PAS sedangkan pada waktu itu dia
merencana untuk berbaik semula dengan Tengku Razaleigh Hamzah agar
masuk semula menganggotai UMNO dan membubarkan Semangat 46? Kalau niat
Mahathir memancing Semangat 46 dan Tengku Razaleih rujuk kepada UMNO
adalah berpaksikan penyatuan bangsa Melayu, kenapakah tidak diusahakannya
penyatuan itu bersama Dato' Fadhil Nor, TG Nik Aziz dan TG Awang Hadi?
Jelas, Mahathir berminat untuk memancing Tengku Razaleigh rujuk kerana
dia mahu Semangat 46 itu dihancurkan. Dia tidak berminat dengan
penyatuan UMNO dengan PAS kerana dia mahu terus menjadikan PAS beg
belasahan politiknya sambil dia berusaha mencetuskan satu fahaman
Islam baru olahannya dengan bantuan agamawan yang menganggap diri
mereka pakar dalam ajaran Islam seperti Kassim Ahmad, Astora Jabat,
Zainuddin Mamak Maidin dan Aziz Shamsuddin.
Sebenarnya Mahathir tidak berminat dengan ajaran Islam yang diamalkan
oleh majoriti umat Islam di negara ini. Islam yang Mahathir lihat
harus diamalkan, ialah Islam yang mahu ditonjolkannya, seperti mana dia
ghairah mahukan Al Kuran yang diterjemah mengikut selera
nafsu-nafsinya. Kita hanya perlu mengimbas ucapan utama Mahathir
dalam persidangan UMNO sejak 20 tahun dulu untuk memahami betapa
terpesongnya Mahathir daripada ajaran Islam yang sebenar. Jika tidak
masakan Mahathir sanggup menghina Nabi Mohamad s.a.w. dan hukum hudud
yang merupakan hukum yang diturunkan oleh Allah kepada rasulnya.
Begitu juga dengan cara memperlekehkan adanya kesiksaan neraka kerana
katanya: 'sehingga hari ini belum ada sesiapa yang pulang
memberitahu akan keazabannya.' Keghairahan Mahathir menghina Islam adalah hasil kejayaannya
mengharamkan pergerakan Al Arqam pimpinan Abuya Ashaari Muhammad.
Kegemilangan yang Memuncak Tidak dapat dinafikan betapa 1995 merupakan tahun kegemilangan dinasti
Mahathir. Rakyat melihatnya seolah-olah mempunyai sentuhan jejari
ajaib kerana apa yang dicakapkannya disetujui oleh sebilangan besara
rakyat. Tetapi, mengikut pepatah Yunani kegemilagan bintang yang paling
cerah menandakan permulaan kehancurannya. Inilah yang disebut dalam
ilmu astronomi sebagai fenomena 'supernova' di mana bintang yang
bergerlapan dalam hayatnya akan memasuki fasa perpecahan dan jatuh ke
bumi. Saya pernah penulis perbandingan ini di alam nyata dengan
mengambil contoh satu lampu minyak yang akan menyinar terang-terangan
di saat hampir kehabisan bahan bakarnya, sebelum lampu itu mati dengan
sendiri. Mahathir sudah menghampiri tahap 'supernova' ini sejak 1995 dulu lagi.
Tetapi disebabkan pengaruh syaitan yang bergelumang di dadanya, dia
lalai dan tidak sedarkan fenomena ini. Sebaliknya dia menjadi riak
dan rakus untuk terus berkuasa sampai mati. Bukankah selepas kemenangan
1995 itu dia membuat janji bahawa dia sudah bersedia bersara?
Kenapakah tiba-tiba dia merobah fikiran sehingga mencetuskan huru-hara?
Kalau kita amati betul-betul perjalanan hidup Mahathir sejak menjadi
Perdana Menteri, kita akan faham betapa dia telah mencengkam kuasa
begitu lama kerana kepintaran untuk menggunakan bakat dan kebolehan
yang ada pada orang lain untuk terus mengekalkan kuasanya. Dengan lain
perkataan sejarah telah merakamkan selama ini, Mahathir menggunakan
sentimen manusia untuk menggerakkan satu gelombang keadaan politik yang
mempengaruhi minda rakyat untuk menyokongnya.
Secara ringkas kita boleh imbas kembali bagaimana Mahathir naik
menonjol dalam percaturan politik Melayu dengan menghina kepimpinan
Tengku Abdul Rahman Putra Al Haj sehingga tercetusnya kucar-kacir yang
kini dikenali sebagai Peristiwa Mei 13, 1969. Rakyat jelata tidak sedar
peranan besar Mahathir mencetuskan huru hara itu. Tetapi kalau
difikirkan keupayaan polis Malaysia menangani serangan komunis yang
ganas ketika zaman pancaroba pengaruh komunis di hutan dan bandar,
adalah tidak masuk akal perhimpunan rakyat daripada parti pembangkang di
Kuala Lumpur boleh menjadi ganas sehingga berlaku pertempuran yang
mengorbankan banyak nyawa dan hartabenda.
Eloklah kita merujuk kepada buku 'Mei 13 - Sebelum dan Selepas' oleh
almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Ah-Haj. (Buku setebal 259 harus
menjadi simpanan setiap rakyat Malaysia yang cintakan bangsanya. Saya
tidak tahu apakah pewaris almarhum masih mendapat royalti buku ini
kerana yang terbaru saya beli nampaknya terbitan rompakan yang berharga
RM12.00) Ada beberapa bab penting dalam buku ini yang akan saya
turunkan sebagai iktibar, kerana ia memberi satu pengajaran betapa
sejarah telah dilakar dengan pendedahan Tunku itu yang dirakamkan
dengan ejaan baru:: 'Sampai di sini perlulah saya berbalik ke belakang sedikit untuk
menghuraikan niat yang terpendam dalam setengah kalangan dari semenjak
beberapa lama, dan niat itu telah mereka kemukakan ke hadapan selepas
dari rusuhan pada 13 hb. Mei. 'Saya telah menyebut di atas tadi bahawa selepas saya keluar dari
hospital pada 16 hb Jun, satu peristiwa yang telah berlaku pada ketika
itu amatlah menyedihkan saya. Selang dua hari sahaja daripada itu saya
telah menerima sepucuk surat yang kasar dari Dr. Mahathir bin Mohamad
seorang calon Parlimen UMNO yang telah kalah dalam Pilihanraya di
kawasan Kota Star Selatan di negeri Kedah. Beliau juga adalah salah
seorang Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO.
Surat yang seperti itu tidaklah pernah saya lihat terdahulu darinya
sepanjang masa saya menceburkan diri di dalam politik. Saya tidak pernah
sekali-kali menjangka bahawa surat yang seperti itu boleh ditulis oleh
seorang yang menggembar-gemburkan dirinya, sekurang-kurangnya pada
pandangan orang, sebagai seorang penyokong yang kuat, sekalipun dia tidak
bersetuju dengan beberapa polisi yang dijalankan oleh parti.
Surat itu ditulis di atas empat helai kertas yang bertaip dalam Bahasa
Melayu bertarikh 17hb Jun dan telah dihantar dari alamat rumahnya
sendiri di Alor Star di mana ianya menjadi seorang doktor yang mempunyai
kliniknya sendiri. Bagi seseorang penyokong parti, lebih-lebih lagi
sebagai seorang ahli Parlimen selama lima tahun dan Anggota Majlis
Tertinggi UMNO selama dua belas bulan, perbuatan menulis surat seperti
itu kepada Perdana Menterinya sendiri, adalah merupakan satu perbuatan
yang tidak patut. Sungguh pun begitu beliau belumlah puas hati dan tidak
membataskan perbuatan itu setakat itu sahaja.
Beliau telah menghantarkan salinan-salinan surat ini kepada
kawan-kawannya. Surat itu dibuat beribu naskah (saiklostail) dan telah
disebarkan dengan luasnya di kalangan Pegawai-pegawai Perkhidmatan Awam
(Civil Service) penuntut-penuntut Melayu yang ada di Institiut Pengajian
Tinggi dan juga kepada orang-orang Melayu di kampung-kampung.
'Sekalipun jika Dr. Mahathir tidak bertanggung-jawab melakukan sendiri
penyibaran suratnya itu, tetapi tidak pula ia menahan kejadian itu
daripada berlaku.' Rentetan pengedaran 'Surat Berachon' itu, Majlis Tertinggi telah
bersidang tanpa Tunku, dan dipengerusikan oleh Almarhum Tun Abdul Razak
dengan dibantu oleh Tun Dr. Ismail. Mahathir telah hadir mesyuarat
yang diadakan secara tertutup selama tiga jam.
Menteri Penerangan dan Penyiaran, Encik Hamzah bin Dato' Abu Samah telah
mengeluarkan satu kenyataan tujuh belas baris kepada wartawan-wartawan.
Kenyataan itu ditandatangani oleh Setiausaha Agong UMNO Encik Senu
Abdul Rahman. Kenyataan itu antara lainnya berbunyi:-
'Satu persidangan Khas Majlis Kerja Tertinggi UMNO telah diadakan pagi ini
untuk menimbangkan tindakan yang patut diambil mengenai dengan penyibaran
yang luas salinan-salinan surat di antara Dr. Mahathir, seorang anggota
Majlis Tertinggi UMNOdengan Tunku Abdul Rahman, Yang diPertua UMNO.
Surat-surat itu mengandungi perkara-perkara dan keterangan-keterangan
parti yang amat penting yang sepatutnya dibincangkan terlebih dahulu oleh
Majlis Kerja Tertinggi UMNO memandangkan kepada suasana yang terdapat
dalam negeri pada masa sekarang. Persidangan itu mengambil keputusan bahawa perbuatan Dr. Mahathir itu
adalah merupakan satu kesalahan berat melanggar disiplin dan
peraturan-peraturan parti. Jika perbuatan itu tidak dicegah maka ianya akan
merosakkan perpaduan di dalam parti dan juga Kerajaan yang didukung oleh
parti. Majlis Kerja Tertinggi yang dihadiri oleh semua menteri kabinet dan
menteri-menteri besar yang menjadi Anggota Majlis itu, telah mengambil
keputusan bahawa Dr. Mahathir tidak lagi menjadi Anggota Majlis itu
mulai dari hari ini. Tunku tidak hadir dalam persidangan itu.'
Al marhum Tunku tidak tergamak menyiarkan kandungan sepenuhnya
surat-surat Dr. Mahathir itu. Lagipun, oleh kerana surat itu dianggap
terlampau merbahaya membuatkan Tun Dr. Ismail mengeluarkan perintah di
bawah Undang-undang Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi mencegah sesiapa
jua pun daripada menyiar, menyibar serta memilikki salinan surat
Mahathir itu. Demikian, betapa berhemahnya bapa kemerdekaan negara
dalam menceritakan satu kisah yang merobek perjalanan perjuangannya.
Namun, kita mahu rakamkan di sini beberapa bahagian tulisan Tunku itu untuk bacaan mereka yang tidak mempunyai masa mencari buku itu, sambil memberi peluang kepada generasi tua memperakukan catatan Tunku itu.
Ramai penulis ternama telah memberikan nama jolokan kepada Mahathir
sebagai seorang 'pathological liar'. Ini bermakna membohong itu adalah
merupakan darah daging dalam hidup Mahathir.
Dalam ucapannya yang dirakamkan oleh AFP yang bertajuk 'Mahathir says
Asians should go slow on political change,' Mahathir pernah berkata:
'When I became a prime minister it took me two years to learn, another
two years to work things out and it took me 10 years to see results.'
Tetapi apakah yang dilakukannya sebaik sahaja mengambilalih jawatan
perdana menteri? Belum pun sampai satu tahun di memegang jawatan itu
dia telah melakukan beberapa perubahan seperti mengenakan setiap pegawi
kerajaan memasang 'tag' nama di baju mereka, seperti anggota tentera.
Kemudian dia mengenakan perakam waktu sebelum mengajak rakyat memandang
ke Timur. Bagaimana pula dengan membeli barangan British hanya di
waktu terakhir (Buy Brtish Last)? Semua itu dibuatnya dalam masa dua
tahun memegang jawatan, sedangkan itulah tempoh yang dia kata dia
memerlukan masa untuk memahami banyak perkara.
Kalau kita perhatikan sejarah negara ketika Mahathir mengambil alih
jawatan perdana menteri yang berpaksikan motopentadbiran berbunyi;
'Bersih, Cekap dan Amanah'; kita boleh merumuskan bahawa ini adalah
manusia yang tidak tahu bersyukur kepada Allah atas kesetiaan orang
Melayu memberikan kepercayaan kepadanya untuk memimpin negara. Tidak ada
pemimpin Melayu sebelum Mahathir yang telah disingkirkan oleh UMNO
dapat naik semula dalam parti dan akhirnya menjadi seorang perdana
menteri, walaupun pemimpin itu seseorang yang popular dan mempunyai
sokongan yang kuat di akar umbi. Walaupun Mahathir sudah disingkirkan oleh Majlis Tertinggi UMNO ketika
Tunku diasak dan dihina sehingga beliau meletakkan jawatannya, Mahathir
telah dilantik oleh Tun Razak untuk menjadi seorang senator dan
kemudiannya menganggotai kabinet Tun Razak. Sedangkan orang-orang yang
menjatuhkan Mahathir dalam majlis Tertinggi UMNO ketika pemerintahan
Tunku adalah orang yang sama menganggotainya ketika Tun Razak menjadi
Perdana Menteri. Di sinilah mungkin tepatnya konsep amalan hidup di
mana Melayu itu adalah bangsa yang mudah lupa, seperti yang katakan
oleh Mahathir tiga puluh tahun kemudiannya.
Yang anihnya, apabila Tun Abdul Razak naik menjadi perdana menteri,
baru dia tahu bahawa dia mengidap penyakit leukimia (tetapi M.G.G Pillai
memberitahu bahawa itu bukan penyakit sebenarnya). Namun, Tun Razak
berjaya menubuhkan Barisan Nasional dengan penglibatan PAS dan juga
merasmikan hubungan diplomatik dengan negara China pada tahun yang
sama. Sepanjang hayat beliau bertugas itu Tun Abdul Razak telah
mencatatkan perjalanan sebanyak 50,000 batu setahun di seluruh negara.
Hasilnya projek pembangunan tanah telah membangun dengan jayanya. Kesan
sumbangan Razak yang terbesar ialah Dasar Ekonomi Baru yang mengambil
kira jurang ekonomi Cina:Melayu yang terlalu besar dan amat ketara
sehingga dikatakan menyumbang kepada Episod Mei 13.
Kalau ada sejarah hitam dalam zaman pemerintahan Tun Razak, ialah
musibah yang melanda Pergerakan Pemuda UMNO dan Dato' Harun Idris yang
kecundang disebabkan peristiwa Perlawanan Tinju Mohamad Ali-Joe Bugner,
yang pernah saya tulis dengan panjang lebar dalam siri yang lalu.
Apabila dilihat segala halangan yang menghambat Dato Harun dulu dengan
segala peristiwa kerajaan Mahathir membalun wang rakyat dalam pelbagai
projek mega dan proses penyelamatan 'bail-out' yang berbilion ringgit,
ramai orang Melayu yang sedar bahawa nasib malang yang dilalui Dato'
Harun dulu adalah satu rancangan jahat untuk menendangnya keluar daripada
singgahsana politik UMNO. Di saat Tun Razak menghampiri ambang terakhir hidupnya, Mahathir mampu
menonjol dan meyakinkan Razak membuat sokongan kepada Tun Hussein
Onn agar birasnya itu memberi pertimbangan kepada Mahathir sebagai
timbalan perdana menteri, seandainya dia mengambil alih jawatan itu.
Hussein Onn memilih Mahathir walaupun dia bukannya naib presiden yang
mempunyai undi tertinggi di antara naib presiden UMNO ketika itu.
Tun Razak meninggal pada awal 1976. Pemilihan Majlis Tertinggi yang
terakhir sebelum kematiannya, kemenangan telah dirakamkan kepada
manusia berikut: Ghafar, 838; Razaleigh, 642; Mahathir, 474; Harun, 427.
Kematian Tun Razak telah meletakkan Tun Hussein di jawatan Perdana
Menteri, sedangkan Husein telah diserang angin ahmar setahun sebelum itu.
Ketika menjawat jawatannya, kesihatan beliau tidak berapa sihat
sehinggakan beliau menjalani pembedahan jantung pada 1981. Sebenarnya
Tun Hussen lebih selesa melantik Tan Sri Ghazali Shafie walaupun dia
tidak berada di jawatan tertinggi dalam parti berbanding empat orang
yang lain. Di waktu pemerintahan Hussein Onn, Mahathir berbuat sikap ayam betina
tanpa banyak menonjol dalam peranannya membangunkan ekonomi orang
Melayu. Dia seoalah-olah sudah tahu betapa Hussein Onn tidak akan lama
memerintah berdasarkan keadaan kesihatannya. Lagipun, sepanjang
pemerintah Hussein, orang Melayu masih lagi sibuk dengan dilema Dato'
Harun yang dipenjarakan kerana kes 'pecah amanah' membabitkan Bank
Rakyat. Penulis pernah berbincang dengan Dato' Harun secara
bersendirian selama hampir satu hari suntuk untuk mengimbau
pengalamannya dalam episod Bank Rakyat. Dia pernah mengaku ada mainan
politik daripada pihak yang tidak mahu melihatnya naik terus dalam pucuk
kepimpinan UMNO. Ketika Mahathir berkuasa dia lebih menumpukan perjalanan yang lebih
jauh ke luar negara untuk bersuara lantang menjadi Wira Dunia
Ketiga. Segala belanja perjalanannya itu (termasuk lebih 50 kali ke
Jepun) ditanggung oleh rakyat, termasuklah kalau dia bercuti bersama
ahli keluarganya. Selama dua puluh tahun Mahathir memerintah tidak ada satu institusi yang
tidak terjerat olehnya untuk dihamba-abdikannya. Badan Kehakiman Negara,
Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Suruhanjaya
Pilihanraya, Majlis Raja-Raja, Dewan Undangan Negeri dan Parlimen dan
banyak lagi. Semua institusi ini dirobotkannya sehingga menjadi mudah
untuk beliau menggunakan segala wang dan dana yang terkumpul di Tabung
Haji, KWSP, segala dana pencen yang ada di negara ini termasuk juga
sistem perbankan negara. Sambil Mahathir merobotkan semua institusi ini dia telah berjaya
dengan semua rencana itu dengan kepintaran merampas kuasa untuk
mengawal media massa di negara ini sehinggakan semua akhbar perdana
menjadi lidah rasmi Mahathir bin Mohamad dan UMNO.
Kepimpinan Mahathir pada awalannya sehinggalah ke hari ini, tidak
memberikan perhatian yang serius terhadap tahap kemiskinan orang yang
daif. Mahathir tidak pernah serius dengan menaikkan tahap kehidupan
orang Melayu dan kerana itulah kita lihat sekarang ini majoriti
orang Melayu yang miskin ketika dia menjadi perdana menteri dulu kini
menjadi orang merempat dan daif hidupnya. Orang Melayu yang berada di
tahap kelas menengah ketika dia menjadi perdana menteri dulu, kini
ramai yang menjadi masyarkat yang muflis.
Yang anihnya sebilangan besar masyarakat Melayu yang mampu terus
bernafas sekarang ini kebanyakannya adalah golongan yang satu ketika
dulu adalah ahli al-Arqam yang telah dimusnahkan oleh Mahathir
berasaskan fitnah bahawa Ashaari Mohammad telah terpesong akidahnya.
Inilah juga kumpulannya yang meneruskan usaha mereka dulu setelah
mengenepikan pakaian berwarna hijau, gara-gara tuduhan Mahathir bahawa
al-Arqam sudah mempunyai satu pasukan bersenjata bawah tanah untuk
menjatuhkan kerajaan. Kunpulan Al-Arqam ini terus gigih dengan usaha perniagaan mereka
walaupun mereka telah dilbusukkan sebagai kumpulan yang tersungkur di
pintu syurga. Untuk terus melumpuhkan pengaruh mereka ini, Mahathir
dan UMNO telah menguatkuasakan undang-undang bahawa ahli jawtankuasa
masjid dan surau dianggotai oleh orang-orang yang direstuai kerajaan
UMNO sahaja. Tidak cukup dengan tohmahan dan tindakan yang jijik ini, orang-orang
Mahathir melancarkan beberapa sandiwara untuk mengaitkan apa juga
kumpulan yang tidak menyokong UMNO sebagai kumpulan yang ada kait
mengait dengan pergerakan bawah tanah. Bermula daripada alim ulama,
menurun kepada pensyarah guru-guru dan kini kepada golongan pelajar di
pusat pengajian tinggi UMNO dan Mahathir telah mengenakan pelbagai
tekanan dengan tujuan meraih sokongan orang Melayu walaupun bersifat
menggunakan kekerasan untuk memaksa, mencuri harta rakyat jelata untuk
memperkayakan para kroninya, dan penipuan untuk memutarkan minda.
-marhaintua-
|