Laman Webantu (M) KM2: 5424 File Size: 3.7 Kb |
|
BH: Tabung Haji: Kenyataan Hamid bercanggah By Wan Esuriyanti 10/9/2001 11:15 pm Mon |
[Alangkah baiknya jika Pemuda Umno menghala kritik itu terus
PM kerana beliaulah yang melantik Hamid selama ini. Nampaknya pemuda
Umno seperti banyak membaca dari laman web pro reformasi..... Tidak
sia-sia MGG Pillai dan Harun Rashid mengupas isu ini. Yang peliknya
mengapa Hishamuddin tidak mengepalai tindakan seperti ini?
- Editor] Tabung Haji: Kenyataan Hamid bercanggah
Oleh Wan Esuriyanti Wan Ahmad KUALA LUMPUR, Ahad - Pemuda Umno hari ini menyifatkan
kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Hamid
Zainal Abidin bahawa masalah Tabung Haji tidak seteruk seperti
dilaporkan bercanggah dengan penjelasannya kepada pergerakan itu.
Mereka juga kesal apabila Abdul Hamid menyatakan Badan Pencegah
Rasuah (BPR) tidak perlu menyiasat masalah Tabung Haji.
Pengerusi Biro Pembinaan dan Pembelaan Masyarakat pergerakan itu, Ismail
Sabri Yaakob, berkata dalam penerangan kepada Pemuda Umno, Abdul
Hamid menjelaskan secara terperinci masalah dan kesilapan Tabung Haji,
terutama dalam aspek pelaburan.
Penjelasan itu diadakan dalam pertemuan wakil Pemuda Umno dengan Abdul
Hamid selama lebih sejam sebelum menteri itu mengadakan sidang
akhbarnya di Pusat Islam, semalam. 'Pada pertemuan itu, beliau mendedahkan banyak penyelewengan berlaku
dalam Tabung Haji, termasuk mengenai pelaburan di Indonesia dan
pembelian tanah di Negeri Sembilan. 'Dari segi pengamatan Pemuda, kami dapat merasakan beliau menganggap
masalah itu sebagai sesuatu yang besar dan beliau juga bersetuju
membersihkan nama baik Tabung Haji. 'Oleh itu, Pemuda turut memberi jaminan menyokong Tabung Haji dalam
usaha itu. 'Bagaimanapun, saya terkejut apabila dalam sidang akhbar, dia mengatakan
masalah itu tidak teruk. Ini seolah-olah dia ingin melindungi sesuatu,'
katanya kepada Berita Harian, hari ini.
Pemuda Umno mengadakan pertemuan itu bagi menyerahkan memorandum
mendesak Tabung Haji menilai semula tambang haji dan menyegerakan
tindakan undang-undang ke atas pihak bertanggungjawab atas kehilangan
lebih RM9 juta daripada akaun pendeposit agensi itu.
Akhbar hari ini melaporkan penjelasan Abdul Hamid mengenai beberapa isu
membabitkan Tabung Haji, termasuk kehilangan wang daripada akuan
pendepositnya dan terbaru, kelewatan pembentangan Laporan Tahunan
1999. Pada sidang akhbar itu, Abdul Hamid dipetik sebagai berkata:
'Saya akui ada kelemahan tapi nak kata teruk sangat, tak sampai ke situ.
Saya sudah umumkan penubuhan panel pelaburan baru dan dalam beberapa
hari lagi, kita akan umumkan pelantikan anggota panel profesional yang
boleh membantu Tabung Haji membuat pelaburan lebih baik.'
Ismail berkata, Pemuda Umno bukan menuduh Abdul Hamid berbohong,
tetapi mahu beliau bersikap lebih telus supaya masyarakat khususnya
pendeposit Tabung Haji tidak bimbang dengan simpanan mereka.
'Kami juga kesal keputusan Abdul Hamid yang tidak mahu BPR menyiasat
masalah dalaman Tabung Haji kerana memberi alasan ia sudah diserahkan
kepada Jabatan Audit Negara. 'Dalam perbincangan kami, dia mengatakan Tabung Haji sedia bersikap
terbuka untuk memberi mana-mana badan berkuasa menyiasat
penyelewengan organisasi itu. Mengapa dia tiba-tiba mengatakan BPR tidak
perlu siasat,' katanya.
|