Laman Webantu (M) KM2: 5423 File Size: 9.5 Kb |
|
TAG SP 279: B10B - Perjalanan Yang Panjang By Nelson Mandela 10/9/2001 9:51 pm Mon |
Awalkata: [Bab 10 dalam Nelson Mandela ini sengaja saya bahagikan kepada tiga bahagian
kerana ia merupakan satu bab yang penting dalam perjalanan hidup Mandela
sebelum dia menceburkan diri sebagai pejuang marhaen Afrika Selatan,
sekaligus menjadi lambang pejuang marhaen sejagat. Malahan Mandela sendiri
pun menulis Bab 9 dan Bab 10 khas untuk perjalanan hidupnya di Johannesburg,
sebelum dia memasukki era perjuangan marhaen yang bermula pada Bahagian Tiga
bukunya nanti. Bahagian Dua buku ini mengandungi banyak kata-hikmah yang
diciplak oleh ramai penulis muda dunia - penterjemah.]
Bab 10B Pada awalan 1942, untuk menjimatkan wang dan juga berada di bahagian
'downtown' Johannesburg, saya berpindah daripada rumah sewa kepunyaan Xhoma
dan menginap di kawasan perumahan WNLA. Mr. Festile ,'iduna' di Chamber of
Mines telah memainkan peranan yang merobah cara hidup saya, dengan usahanya
sendiri. Dia telah menawarkan penginapan percuma dalam kawasan perlombongan.
Perkampungan WNLA itu merupakan penempatan pelbagai rakyat Afrika yang
menjadikan Afrika Selatan, sebuah negara yang moden dan berpelbagai kaumnya.
Terdapat orang Sothos,Tswanas, Vendas, Zulu, Pedis, Shangaans, Nambian,
Mozambican, Swazis, dan Xhosas. Tidak ramai yang bertutur dalam Bahasa
Inggeris, maka tercetuslah satu bahasa campuran yang disebut 'Fanagalo'. Di
sana, saya telah melihat pelbagai cetusan perbalahan antara kaum, dan di
sana juga saya telah melihat keharmonian antara manusia daripada pelbagai
jenis kaum. Namun, saya hidup laksana seekor ikan yang ketandusan air. Saya
bukannya bekerja di bawah tanah (seperti pekerja lombong), saya sibuk
bekerja di pejabat guaman ataupun mentelaah buku kajian. Kalau adapun
aktiviti riadah, ia merupakan membuka fail di kabinet ataupun menghantar
fail mengikut arahan pejabat. WNLA merupakan tempat persinggahan ketua kaum yang datang melawat
Johannesburg. Ini yang memberikan saya peluang untuk bertemu hampir semua
ketua kaum daripada keseluruhan selatan Afrika. Saya masih teringat satu
majlis yang menemukan saya kepada ratu 'regent' Basutoland, yang kini
dikenali sebagai Lesotho, Mantsebo, Moshweshwe. Ratu ini telah diiringi oleh
dua ketua kaum yang amat kenal bapa Sabatha, Jongizliwe. Saya tanya mereka
kisah Jongilizwe dan mereka telah memberikan pelbagai kisah yang membawa
ingatan saya kepada Thembuland, apabila mereka menceritakan pelbagai kisah
muda beliau. Ratu itu menunjukkan minat terhadap saya dan telah bercakap kepada saya
secara terus dalam bahasa Sesotho. Saya terperangkap kerana saya tahu cuma
sepatah dua perkataan Sesotho. Sesotho ialah bahasa kaum Sotho dan Tsawana
yang ramai menghuni di Transvaal dan Orange Free State. Ratu itu menunjukkan
pandangan yang penuh kesangsian, dan kemudiannya bercakap dalam Bahasa
Inggeris. 'Apakah jenis peguam dan pemimpin yang akan kamu tonjolkan
seandainya kamu tidak mahir bertutur bahasa ibunda kaum kamu sendiri?' Saya
terdiam membisu kerana memang tidak ada jawapannya kepada soalan itu. Soalan
itu memalukan saya dan menanam satu kesedaran di hati muda; menyedarkan
kepincangan diri betapa saya belum bersiap diri lagi untuk mengabdikan diri
kepada kaum sendiri. Saya telah terperangkap dalam khayalan untuk
mementingkan perpecahan etnik yang disemai oleh kerajaan kulit putih
sehinggakan saya tidak boleh bertutur dalam loghat suku-kaum bangsa saya
sendiri. Tanpa pengetahuan bahasa, seseorang tidak berbual dengan suku
kaumnya dan memahami perasaan mereka. Kepincangan itu menidakkan hak rakyat
memahami harapan mereka, menyelami sejarah mereka, menghargai pantun dan
sajak serta lagu dan irama mereka. Saya sedar ketika itu, betapa kami
bukannya orang yang berbeza kerana perbezaan bahasanya; kami adalah satu
bangsa yang mempunyai bahasa yang berbeza.
Belumpun cukup enam bulan sejak Tuanku menziarahi kami di Johannesburg,
kami (Justice dan saya) telah menerima berita kematian baginda pada musim
sejuk 1942. Baginda memang kelihatan sugul ketika kami bersua muka dulu dan
kemangkatannya itu tidaklah memeranjatkan saya. Kami mengetahui kematian
baginda setelah membaca beritanya di akhbar kerana telegram yang dikirim
kepada Justice telah tersasar. Kamipun bertolak ke Transkei dengan secara
tergesa-gesa, dan tiba sehari selepas pengkebumian baginda.
Saya memang berasa hampa kerana terlepas majlis pengkebumian itu, dalam hati
saya memang wujud rasa kelegaan betapa kami telah berjumpa beberapa bulan
sebelum itu untuk saya menuntut maaf kepadanya. Ini tidak bermakna saya
masih tidak merasa berdosa ketika itu. Saya sentiasa sedar walaupun ketika
kami berenggang dulu, betapa semua kawan dan taulan mampu meninggalkan saya,
betapa semua rencana saya mungkin musnah daripada rancangan asalnya, betapa
semua harapan saya musnah berkecai, Tuanku tidak pernah melupakan saya.
Namun saya telah mengecewakannya, dan inilah yang membuatkan saya terfikir
apakah perangai saya itu yang telah meremukkan perjalanan hidupnya.
Pemergian Tuanku telah mengengsotkan satu imbasan seorang tokoh yang ceria
dan penyabar yang telah berjaya melayari hidupnya dengan penuh kejayaan dan
menjadi satu contoh kepimpinan yang memang merupakan jalinan hidup orang
besar-besar. Dia berjaya menyatukan rakyatnya. Mereka yang bersikap liberal
ataupun konservatif, para tradisionalis dan reformis, petugas pejabat
ataupun mereka yang berkolar biru melombong di perut bumi, semuanya
menyatakan kesetiaan kepada baginda, bukannya kerana mereka sentiasa
bersetuju dengan baginda, tetapi kerana baginda mendengar rintihan dan
memahami pelbagai pendapat mereka.
Saya menghabiskan hampir satu minggu di Mqhekezweni selepas majlis
pengkebumian, dan bermula satu sejarah untuk mencari tapak hidup sendiri
selepas mengimbau sejarah silam. Memang tidak terbayangkan perasaan pulang
ke tempat asal yang tidak berubah dan menyedari betapa diri sendiri yang
mengalami perubahannya. Istana 'The Great Place' terus dengan lakaran
sejarahnya, tidak berbeza daripada keadaan ketika saya masih membesar di
situ. Inilah yang menyedarkan saya kepada putaran sejarah diri saya. Saya
tidak lagi tertarik kepada peluang berkhidmat dengan perkhidmatan awam,
ataupun menjadi seorang penterjemah di 'Native Affairs Department'. Saya
tidak lagi melihat satu masa depan yang terpaut kepada Thembuland ataupun
Transkei. Malahan ada orang yang memberitahu betapa pertuturan bahasa Xhosa
saya sudah semakin kehilangan keasliannya kerana dicemari pengaruh bahasa
Zulu, yang merupakan bahasa utama di Reef. Hidup yang saya harungi ketika
itu sudah semakin terdedah kepada manusia lain seperti Gaur Redebe, dan
pengalaman kerja di syarikat guaman yang telah merobah pemahaman saya
terhadap perjalanan hidup secara radikalnya. Saya telah mengimbau kembali
perjalanan hidup seorang anak muda melangkahkan kakinya keluar daripada
Mqhekezweni dulu sebagai seorang anak muda yang mentah dan canggung dalam
perilakunya. Kini, saya percaya sudah melihat keadaan sebenar dan itupun ada
juga ilusinya. Namun saya dapat merasakan satu konflik dalaman antara apa yang difikirkan
oleh kepala dan yang dicetuskan oleh hati. Otak saya memberitahu betapa
sebagai seorang anak muda yang dibesarkan di Thembu dan telah diberikan
pendidikan, saya boleh memulakan khidmat untuk menjaga ketuanan istana.
Apakah saya tidak merasa berdosa kepada mendiang yang mati? Bagaimanakah
perasaan mendiang bapa yang telah menyerahkan harapannya kepada mendiang
Tuanku? Bagaimana pula perasaan mendiang Tuanku yang telah membesarkan saya
dengan peranannya sebagai seorang bapa? Namun, otak saya memberitahu akan
hak asasi seseorang untuk merencana masa depannya mengikut seleranya dan
memilih hala-tuju kehidupannya. Apakah saya tidak dibenarkan untuk membuat
pilihan hidup tersendiri? Keadaan Justice memang berbeza daripada nasib saya. Dia terpaksa
mengambil-alih tangggungjawab yang disebabkan kematian baginda. Setelah
memilih untuk menggantikan tempat yang dikosongkan oleh baginda ayahnya,
Justice membuat keputusan terus tinggal dan mewarisi tanggungjawab itu. Saya
terpaksa pulang ke Johannesburg dan tidak dapat menunggu hari pertabalan
Justice. Ada satu bidalan dalam bahasa ibunda saya yang berbunyi
'Ndiwelimilambo emamagama' (saya telah menyeberangi banyak sungai ternama).
Maknanya, (sama dengan pepatah Melayu; lagi jauh perjalanan luas pandangan,
lagi banyak pengalaman). Saya telah memikirkan pepatah ini ketika dalam
perjalanan pulang ke Johannesburg sendirian. Sejak 1943, saya telah
menyeberangi banyak sungai ternama seperti Mbashe dan Great Kei, ketika saya
pergi belajar di Healtdown; Sungai Orange dan Sungai Vaal ketika saya pegi
ke Johannesburg. Namun, saya tahu masih banyak lagi sungai ternama yang
perlu saya harungi. ....bersambung.... Terjemahkan: SPAR11 |