Laman Webantu (M) KM2: 5421 File Size: 7.8 Kb |
|
TJ SP MGG: Presiden MCA Menghambat Jembalang By M.G.G. Pillai 10/9/2001 7:22 pm Mon |
[Pengedaran VCD berhantu adalah kesan dari cengkaman presiden
parti BN sendiri. Ahli parti sudah semakin pandai melawan tanpa
dapat dicam identiti mereka. Kalaulah penyakit VCD berhantu ini
merebak ke dalam Umno tentu lagi gila jadinya dan ramai yang tidak
akan mampu tidur lena. Apakah nanti mereka akan menjadi hantu di
laman web pula? Kita di sini sentiasa mengalu-ngalukan mereka....
- Editor] (The MCA President Chases Human Ghosts Now)
Mula-mula, MCA telah meniru amalan MIC cara menguruskan mesyuarat dan
persidangan, dengan cara membaling kerusi dan apa juga yang tercapai tangan.
Kemudian MCA mempelajari pula daripada PAS bagaimana caranya memberitahu
dunia apa yang tidak dapat dilaporkannya. Apabila diadun dua pengajaran itu,
presiden MCApun mula menggigil dalam seluarnya. Inilah kesan yang dialami
dengan keahlian parti pimpinannya kerana keputusan mereka yang menghantui
masa depannya. Pembelian Nanyang Press bukannya satu usaha terbaik untuk
digembar-gemburkan oleh presiden MCA itu. Dia tersilap langkah dan kini
pelaburan MCA sedang terjerat dalam masalah yang dalam.
Dr, Ling semakin terdesak apabila kisah perbalahan pada perjumpaan Tahunan
Pergerakan Pemuda MCA pada 3 Ogos lalu telah dirakamkan dalam VCD dan
diedarkan. Yang anehnya, ketika itu perjumpaan MIC berjalan dengan licin
tanpa balingan kerusi. Dr. Ling merasa hampa dengan berpendapat sesiapa yang
mengedarkan VCD kekecohan itu tidak berhati perut. Mereka adalah laksana
hantu-hantu yang dibiarkannya menganggotai beberapa cawangan MCA dulu.
Memanglah dia tidak tahu menahu akan hal-hal menyangkuti hantu di kalangan
ahli partinya, seperti juga dia tidak dapat meneka apakah jenis hantu yang
mengedarkan VCD itu. Dia tidakpun tahu apakah cerita VCD itu, dan terpaksa mempercayai apa yang
diceritakan oleh pegawai dan pembantunya sahaja. Lagipun dia tidak berminat
untuk mengetahui sebab-musababnya. Patutlah dia difikirkan berguna dalam
kabinet yang sedia ada. Seperti rakannya yang lain dalam kabinet, dia
membuka mulut untuk bercakap mengenai apa yang dia tidak tahu. Kini dia
mencabar sesiapa yang bersikap semacam hantu mengedar VCD itu untuk
menunjukkan muka dan mengakuinya. Ada satu tugas seorang presiden parti yang dikira tidak relevan lagi ialah
untuk menjadi penasihat utama mengenai akhlak yang baik. Dia mahu
menghentikan kerja-kerja menghantar surat layang dan mahukan sesiapa yang
membuat kerja itu tampil untuk bertaubat. Itulah yang diharapkannya seperti
juga harapan ahli MCA yang menantikan pengundurannya seperti yang telah
dikemukakannya dahulu. Tidak ada sesiapa yang menyahut cabarannya itu.
Begitu juga dengan sahutan cabaran kepada penghuni lama jirat orang Cina di
Malaysia. Tetapi, cara Dr.Ling menyelesaikan masalah dalam MCA adalah gambaran betapa
serius isu itu. Dia percaya apa yang sepatutnya dilakukan ialah bercakap
berdegar-degar di tahap yang paling tinggi. Dia sudah begitu terpencil
daripada anggota parti seperti Perdana menteri yang semakin dipulau oleh
masayarakat bangsanya. Namun ada perbezaan antara mereka berdua: apabila
Mahathir mahukan sokongan orang Cina, orang terakhir dia cakapkan niatnya
ialah presiden MCA. Bukannya usaha itu dapat menyelamatkan Mahathir. Tetapi itulah gambaran
betapa pemimpin setiap masyarakat di negara ini tidak mampu bertentangan
mata untuk memberi ucapan kepada masyarakatnya ataupun merelakan
pertandingan mereka secara terbuka. Mereka semua sudah lama berkuasa dan
sudah lupa daratan sehingga beranggapan betapa peranan mereka yang utama
ialah untuk terus mengekalkan kuasa. Apa juga masalah masyarakat yang mereka
wakili, adalah sesuatu yang tidak penting lagi.
Jadi, apabila Dr. Ling mencabar hantu yang berani merakamkan kekecohan pada
persidangan pergerakan pemuda MCA dulu, dia telah terlupa hakikat sebenar
dalam kenyataan hidup moden ini. Terdapat banyak kamera video di setiap
persidangan, merakamkan setiap gelagat dan peristiwa untuk dirakamkan
sebagai bahan sejarah sedangkan yang sebenarnya mahu menunjuk-nunjuk betapa
pentingnya mereka itu kepada masyarakat yang mereka wakili. Setengah
jurukamera itu sengaja dilantik dengan rasmi, ramai pula yang sengaja
melakukannya untuk menguji kamera baru mereka sambil menunjuk-nunjuk betapa
pentingnya kamera itu. Beberapa bahagian rakaman kamera itu mungkin telah disunting ataupun ia
mungkin sengaja dirakamkan oleh salah seorang yang hadir dan dirakam pula
dalam bentuk VCD. Apakah perlunya orang yang melakukan kerja itu mengaku
untuk dimusnahkan? Hanya satu soalan yang perlu dikemukakan, yang tidakpun
disebut oleh Dr. Ling: Apakah benar kekecohan itu berlaku? Kalau ya,
kenapakah Dr. Ling menjadi tertekan kepada kejadian yang dirakamkan untuk
bahan sejarah? Oleh kerana semua parti tidak memberikan kebebasan hubungan antara pemimpin
dengan anggota keahliannya, dan sesiapa yang menyanggah pemimpinnya akan
ditekan, seperti yang berlaku dalam banyak parti politik yang tidak perlu
disebutkan di sini akan identitinya, baik di pihak kerajaan mahupun di pihak
pembangkang. Kewujudan parti ialah untuk mendewakan presidennya sebagai dewa
separuh-Tuhan, dan untuk memenangi pilihanraya. Ahli parti yang menganggap tugas
mereka menganggotai parti ialah untuk bergiat cergas dalamnya, perlu melihat
tempat lain untuk cergas dalam perkara yang lain pula.
PAS telah menunjukkan keunggulan dalm hal ini, mengedarkan VCD ceramah parti
dan mengedarkan ratusan ribu banyaknya VCD itu untuk menghindarkan sekatan
kerajaan terhadap kegiatan mereka. Pemuda UMNO kena lebam mata apabila
rakaman debat antara pergerakan pemuda dengan pemuda PAS telah diedarkan
dengan meluasnya. Inilah yang membuatkan kerajaan menjalankan serangan untuk
mengharamkan video prono dan VCD politik. Sasaran pertama ialah video porno,
sedangkan sasaran sebenar ialah untuk merampas VCD politik. Kini, ada pula
VCD yang menunjukkan gelagat pemuda MCA yang telah mengikut gelagat
persidangan MIC. Yang anehnya, presiden MCA tidak melakukan apa yang pernah dibuat oleh
orang lain dengan penuh kerelaan. Dia tidakpun melaporkan perkara itu kepada
polis. Kenapa? Kalaulah perkara itu begitu berat dan patut dicela, seperti
dakwaannya, pihak polis sepatutnya mesti dikerah untuk membuang masa
mengesan pengedaran VCD haram itu - terutama sekali VCD itu tidak ada
kelulusan pihak berkuasa yang menapisnya mengikut hukum undang-undang.
Kenapakah yang menghindarnya mengambil tindakan itu?
Mungkinkah rakaman VCD itu hasil suntingan rakaman rasmi parti yang
dijadikan bahan VCD dan diagihkan oleh orang suruhan presiden MCA untuk
menunjukkan betapa liarnya persidangan pergerakan pemuda MCA? Oleh kerana
ketua pergerakan pemuda itu adalah orang daripada kem timbalan presiden MCA
dan bukannya orang beliau, rakaman VCD itu adalah bertujuan mendedahkan
betapa ketua pergerakan itu adalah orang yang liar juga. Malangnya usaha itu
melantun balik dan mempersoalkan kepimpinan beliau. Kerana itu dia bercakap
itu seolah-olah dia berada di puncak Gunung Tahan, untuk mengelirukan
suasana. Jadi, apa pula yang terbarunya?
Terjemahan: SPAR-01-1611 KM2 5408: MGG: The MCA President Chases Human Ghosts Now
|