Laman Webantu (M) KM2: 5414 File Size: 23.7 Kb |
|
TAG SP 273: B10A - Perjalanan Yang Panjang By Nelson Mandela 10/9/2001 7:57 am Mon |
[Bandar Alexandra dibiarkan gelap, miskin dan bersarang dengan
aktiviti jenayah agar ia tidak diminati supaya rakyat Afrika akan
terus menetap di pendalaman dan terus hidup dengan sifat kesukuan.
Perbalahan antara suku akan melemahkan bangsa Afrika serta memudahkan
golongan kulit putih terus mencengkam.
Ada beberapa bibit cinta dalam babak ini yang telah melemaskan
teman Mandela seperti Didi dan Justice. Tetapi Mandela sekadar
memeram sahaja perasaannya kerana ada sesuatu yang lebih penting
yang perlu diberi tumpuan, Malah ia lebih hebat dari percintaan.
Ramai orang mudah tergoda oleh cinta sesama manusia sehingga
mengorbankan sesuatu yang tidak sepatutnya. Padahal mereka akan
berpisah jua bila tiba masanya. Pandang apa yang berada di dalam
bukan apa yang terserlah di luar kerana banyak manusia lebih
mementingkan diri sendiri dari pasangan yang kununnya dikasihi.
- Editor] Bab 10A Keadaan hidup di Alexandra memang menyeronokkan walaupun berbahaya. Keadaan
sekeliling sentiasa segar dengan segala fenomena penuh cabaran dan
masyarakatnya yang senantiasa berusaha. Tidak ada bangunan yang besar dan
tinggi di bandar membolehkan pekan itu dikira sebagai satu pekan marhaen
yang menjadi bukti betapa penjajah telah memperlekehkan kewujudan manusia di
situ. Jalanraya tidak bertar, dan berdebu. Keadaan sekeliling menunjukkan
manusia yang sentiasa lapar, anak-anak yang merempat dan berkeliaran tanpa
berbaju, ramai yang masih bertelanjang bogel setiap hari di situ. Angin
sekeliling dicemari asap tebal dariapada tungku dapur yang menggunakan arang
batu. Satu pili air digunakan secara berkongsi oleh ramai penduduk di situ.
Di kiri kanan terdapat lubang berlopak dengan air yang dipenuhi oleh ulat
tahi. Alexandara lebih terkenal sebagai Bandaraya-Gelita kerana ketiadaan
bekalan elektrik. Berjalan kaki pada malam hari adalah satu pengalaman yang
menakutkan, disebabkan ketiadaan lampu, kesunyian keliling yang dicemari
jeritan, ketawa dan ledakan senjata api, sekali-sekala. Memang jauh bezanya
dengan kegelapan di Transkei di mana gelap gelita di sana boleh dianggap
sebagai satu sambutan selamat datang. Alexandra memang sudah menjadi sesak dek manusia, setiap kaki persegi telah
dihuni dan dicacak dengan bangunan rumah yang dibina daripada kepingan besi
dan zink, berbumbungkan zink juga. Seperti yang terdapat di perkampungan
yang papa-kedana, segala unsur yang buruk-buruk mudah menonjol. Harga nyawa
terlalu murah, senjata api dan pisau belati adalah terlalu lumrah di malam
hari. Kumpulan bajingan ataupun samseng yang lebih terkenal sebagai
'tsotsis' berbekalkan pisau lipat, ataupun 'switchblades' memang ramai dan
menonjol. Di zaman itu mereka meniru gelagat pelakon filem Amerika dan
mengenakan pakaian barat dengan bertali leher. Serbuan polis menjadi amalan
hidup di Alexandra. Polis selalu menangkap manusia yang ramai kerana
melanggar peraturan pas lawatan, memiliki minuman keras dan kegagalan
membayar cukai undian. Di setiap penjuru jalan terletak beberapa 'shebeens'
yang merupakan bar minuman haram di mana bir yang disediakan di rumah dijual
secara haram. Di sebalik suasana ganas itu, Alexandra masih merupakan satu syurga dunia.
Inilah salah satu kawasan di Afrika yang masih membolehkan orang Afrikan
memiliki tanah pegangan bebas dan menguruskan perniagaan mereka sendiri, di
mana mereka tidak perlu membongkok (kowtow) kepada sikap kezaliman
penguatkuasa bandaran. Alexandra menjadi satu Tanah Harapan sehinggakan ramai
penduduk di situ sanggup memutuskan perhubungan dengan perkampungan mereka
dan menjadi orang kota untuk selama-lamanya. Tetapi, oleh kerana kerajaan
mahukan orang Afrikan terus menetap di luar bandar, bertegas dengan
propaganda bahawa orang Afrikan lebih sesuai hidup di pedalaman dan tidak
sesuai untuk hidup di bandar-bandar. Walaupun Alexandra mempunyai banyak
masalah dan kepincangannya, ia memberikan dalil yang kuat kenapa kerajaan
telah berbohong dalam hal itu. Jelas, penduduk Alexandra yang datang
daripada pelbagai suku kaum dan perkampungan yang berbeza dengan bahasa
pertuturan yang banyak bezanya, semakin selesa menyesuaikan diri di bandar
itu dan mula sedar akan pengaruh politik mereka. Hidup di bandar mula
mengajar penduduknya menyisihkan fahaman perkauman dan kedaerahan mereka dan
tidak memikirkan betapa mereka adalah orang Xhosa, Shotho, Zulu ataupun
Shangaan. Kami semua lebih selesa dikenali sebagai orang Alexandra
(Alexandran). Inilah yang mewujudkan semangat bersatu padu, yang menjadi
satu kesulitan kepada penguatkuasa kulit putih. Kerajaan memang sentiasa
mengamalkan pecah dan perintah sabagai taktik mengkucar-kacirkan orang
Afrikan, dan bergantung harap kepada pengukuhan etnik sendirian antara kaum
itu. Di tempat seperti Alexandra semangat dan perubahan kaum itu telah
terhakis jauh. Alexandra membawa makna yang besar dalam hati saya. Inilah tempat yang
pertama saya pernah hidup sendirian dan berjauhan daripada keluarga.
Walaupun saya kemudiannya berpindah untuk hidup di Orlando, sebuah kawasan
kecil di Soweto, untuk satu tempoh yang lebih lama daripada tempoh kehidupan
saya di Alexandra, saya masih menganggap Alexandra sebagai tempat tinggal di
mana saya tidak mempunyai rumah kediaman tertentu. Sedangkan Orlando
merupakan tempat saya mempunyai sebuah rumah tetapi tanpa kediamannya.
Pada tahun yang pertama, saya mengenal erti sebenar kemiskinan berbanding
hidup saya ketika masih di zaman anak-anak di Qunu. Saya tidak pernah
mempunyai wang yang cukup tetapi berjaya untuk terus hidup dengan pendapatan
yang tidak seberapa. Firma guaman itu memberikan gaji sebanyak 2 Pound
setiap minggu, tanpa mengenakan bayaran yang mesti saya lunaskan untuk
menjadi seorang 'article clerk' yang selalunya perlu dibayar kepada firma
itu. Daripada gaji sebanyak itu saya perlu membayar 13s (shillings) 4d
(pence) sebulan sebagai sewa bilik kepunyaan Xhoma. (Mengikut kiraan dulu
Satu Pound bersamaan Dua puluh shillling dan satu Shilling bersamaan 12
pence. Kini kiraan itu sudah menggunakan kiraan metrik di mana 100d (pence)
bersamaan dengan satu pound - penterjemah.) Keadaan yang paling murah keluar
masuk Alexndra ialah bas pribumi ataupun 'native bus' - untuk Afrikan
sahaja. Dengan tambang yang berharga satu pound 10 shilling setiap bulan
menjadikan hidup saya kurang selesa. Saya juga membayar yuran pendidikan di
University of South Africa untuk menyudahkan kajian ijazah saya secara
persuratan. Saya terpaksa berbelanja sekitar satu pound untuk makan.
Sebahagian besar gaji saya terpaksa dibelanjakan kepada satu barangan yang
penting - lilin - yang diperlukan untuk mentelaah pada malam hari. Saya
tidak mampu menggunakan lampu minyak ketika itu, lilin membolehkan saya
mentelaah hingga larut malam. Ini bermakna saya selalu kesempitan wang untuk berbelanja setiap bulan.
Pernah juga saya berjalan kaki sejauh enam batu di pagi hari dan enam batu
untuk pulang di waktu petang hanya untuk menjimatkan daripada belanja
tambang bas. Saya selalu terpaksa mengikat perut semasa tiba waktu makan dan
tidak mampu untuk membeli pakaian tambahan. Mr.Sidelsky yang sama tingginya
dengan saya, pernah memberikan sepasang pakaian 'suit' yang tidak
digunakannya lagi. Saya jahit mana yang rabak dan tampal mana yang koyak,
itulah pakaian saya setiap hari untuk hampir lima tahun lamanya. Akhirnya
lebih banyak tempat bertampal daripada bahagian asal pakaian itu.
Pada satu hari, ketika pulang daripada Alexandra dengan bas, saya duduk di
sebelah seorang lelaki yang sama usianya dengan saya. Dia berpakaian tampan
laksana seorang anak muda yang persis seorang samseng dalam filem Amerika.
Saya sedar pakaian saya mencecah hujung bucu jeket yang dipakainya. Dia
turut menyedarinya dan secara perlahan-lahan dia mengengsot kedudukannya
supaya jeket saya tidak mencemar bucu jeketnya. Itu merupakan satu pegerakan
yang lucu, tetapi amat memilukan hati ketika itu.
Memang tidak banyak boleh disebut mengenai kemiskinan, tetapi ia kerap
menjadi satu inkubator yang melahirkan jalinan persahabatan yang tulen.
Ramai orang suka bersahabat dengan kita ketika kita kaya-raya, tetapi tidak
ramai yang sanggup melakukannya ketika kita papa kedana. Kalau kekayaan itu
laksana besi berani, kemiskinan adalah laksana ubat serangga. Namun,
kemiskinan kerap menyerlahkan kemurahan hati yang ada pada orang lain. Pada
satu subuh, saya bertindak berjalan kaki untuk menjimatkan wang. Saya
terlihatkan seorang gadis ayu yang pernah belajar bersama saya di Fort Hare.
Namanya ialoah Phyllis Maseko, dan dia sedang berjalan ke arah saya di
lorong yang sama. Saya merasa malu dengan pakaian saya yang tidak seberapa
itu dan melintas jalan untuk mengelakkan pertemuan kami. Tetapi, saya
terdengarkan suaranya memanggil nama saya; 'Nelson.... Nelson!' Saya
terhenti dan melintas jalan itu semula. Dia gembira bertemu semula dengan
saya, tetapi saya sedar bagaimana dia melihatkan keadaan pakaian saya yang
sungguh hodoh itu. "Nelson," katanya, "ini alamat saya di 234 Orlando East.
Jemputlah ke rumah." Saya bertindak nekad tidak mahu mengaibkan diri lagi.
Tetapi pada satu hari saya memang mengidam satu masakan yang sempurna dan
singgah di rumahnya. Dia telah memberikan jamuan makan tanpa mengungkit
keadaan kepapaan saya, dan sejak itu saya kerap menziarahinya.
Tuanpunya rumah tumpangan saya bukannya seorang manusia yang kaya, tetapi
dia merupakan seorang dermawan. Setiap pagi Ahad, sepanjang saya menginap di
rumah sewaan itu, dia dan isterinya menjamu makan tengah hari kepada saya.
Hidangan panas termasuk sayuran yang lazat merupakan hidangan makan panas
pada setiap minggu untuk saya. Tidak kiralah apa yang saya lakukan dan di
mana saya pergi, makan tengah hari percuma pada hari Ahad di rumah Xhoma
adalah satu kemestian untuk saya. Pada hari-hari yang lain di setiap minggu
itu, saya kerap bergantung kepada roti, dan ada kalanya setiausaha di
pejabat yang membawa makanan untuk saya.
Saya memang lembab di zaman dulu, dan kemiskinan serta fahaman kedaerahan
telah membuatkan saya mengharungi bermacam pengalaman yang melucukan. Pada
satu hari, selepas pindah ke rumah sewaan Xhoma, saya dalam perjalanan
pulang daripada Johannesburg dan sedang merasa lapar. Saya ada menyimpan
sedikit wang yang membuatkan saya bertindak untuk berbelanja membeli daging
segar, yang memang sudah lama tidak saya nikmati. Oleh kerana tidak berjumpa
kedai menjual daging, saya telah masuk kedai 'delicateseen' (seperti
Delifrance ataupun Delikorea - penterjemah). Ini merupakan satu jenis kedai
yang tidak pernah saya jumpa sebelum itu sehinggalah saya tiba di
Johannesburg. Melalui kaca dinding saya nampak satu potongan daging yang
kelihatan segar dan menyelerakan, lalu saya minta seorang penjual untuk
memotong dan membungkusnya. Diapun membungkusnya dan saya pun mengepitnya di
ketiak untuk dibawa pulang, sambil membayangkan makan malam yang sungguh
menyelerakan. Setiba di Alexandra, saya telah memanggil nama salah soerang anak gadis
Xhoma di tengah rumah. Dia berumur tujuh tahun ketika itu, tetapi pintar.
Saya berkata kepadanya, 'Bolehkah anda ambil daging ini kepada salah seorang
kakak kamu dan minta dia memasaknya untuk saya?" Saya nampak dia mahu ketawa
ketika itu tetapi kerana hormat kepada yang tua dia memeram sahaja ketawanya
itu. Saya menjadi keliru dan menyoalnya apakah ada sesuatu yang tidak kena.
Dia menjawab secara berhemah, "Daging ini sudah bermasak." Saya soal semula
apa maksudnya. Dia memberitahu saya bahawa daging yang saya beli itu adalah
daging salai, yang sepatutnya di makan seperti itu sahaja. Ini merupakan
satu pengalaman baru untuk saya, tetapi saya tidak mahu menunjukkan kebodohan
saya itu. Saya memberitahu dia bahawa saya mahukan pertolongannya untuk
memanaskan daging itu semula. Dia tahu saya berbohong ketika itu, namun dia
berlari juga melunaskan permintaan saya. Daging salai itu memang sungguh
lazat rasanya. Di Alexandra, saya dapat menyambung semula persahabatan dengan seorang gadis
yang ayu dan ceria bernama Ellen Nkabinde yang saya mula-mula kenal ketika
di Healdtown. Dia mengajar di sebuah sekolah di bandar ketika itu.
Sebenarnya Helen dan saya sudah bercinta. Ketika di Healdtown, saya hanya
mengenali dia secara begitu sahaja. Tetapi, apabila saya menemuinya semula
di Alexandara persahabatan lama kami itu bercambah semula dengan bibit
cintanya. Apa juga masa yang terluang ketika itu saya habiskan untuk
bersamanya. Berkasih sayang bukannya perkara yang mudah kerana kami sentiasa
dikelilingi manusia lain, sedangkan tidak banyak tempat sunyi yang boleh
kami pergi. Kalau adapun tempat kami dapat bersendirian ialah di bawah
pancaran suria ataupun bintang-bintang. Kami kerap bersiar-siar di kawasan
Veld dan bukit-bukau di bandar itu. Selalunya kami habiskan masa
bersiar-siar dan kalau ada masa terluang, kami pergi berpiknik.
Ellen ialah gadis suku kaum Swazi. Walaupun semangat perkauman semakin
terhakis di tempat itu, seorang teman saya telah mengutuk perhubungan kami
itu disebabkan sentimen perkauman. Saya menolak cemuhannya itu. Namun,
perbezaan kaum itu menjadikan masalah juga. Puan Mabutho isteri kepada
agamawan Rev. Mabutho tidak suka melihat Ellen. Pada satu hari saya berada di
rumahnya dan pintu depan diketuk orang. Ellen datang bertanyakan saya tetapi
Puan Mabutho menjawab saya tidak ada di rumahnya. Lama kemudian barulah dia
memberitahu saya akan kedatangan Ellen. "Oh Nelson, ada seorang gadis yang
datang mencari kamu." Kemudian dia bertanya saya, "Apakah gadis itu seorang
Shangaan?" Walaupun Shangaan merupakan satu kaum yang mulia dan dihormati,
pada waktu itu Shangaan dianggap sebagai satu sindiran tajam. Saya merasa
tersinggung dengan penghinaan itu dan menjawab, "Tidak, dia bukannya seorang
Shangaan, dia adalah orang Swazi." Puan Mabutho memang amat taksub supaya
saya hanya mengahwini gadis Xhosa. Nasihat semacam itu memang susah mempengaruhi saya. Saya mencintai dan
menghormati Ellen, dan merasakan sedikit tersinggung apabila terdengar
nasihat mereka yang tidak menyetujuinya. Saya menganggap perhubungan itu
sebagai satu novelti, dan saya merasa berani mempunyai hubungan rapat dengan
seorang wanita yang bukan daripada kaum Xhosa. Saya masih muda dan
keseorangan di bandar itu, dan Ellen memainkan peranan bukan sahaja sebagai
pasangan hidup tetapi persis seorang ibu memberi galakan kepada saya,
menaikkan kekuatan saya dan kegigihan serta harapan. Tidak berapa lama
kemudian, Ellen telah berpindah dan kami pun putus hubungan
Keluarga Xhoma mempunyai lima orang anak perempuan, setiap seorang memang
cantik; yang paling cantik ialah anaknya yang bernama Didi. Didi bekerja
sebagai seorang pembantu rumah seorang keluarga kulit putih di Johannesburg.
Pada mula saya menyewa bilik keluarganya, saya jarang bertentangan mata
dengan Didi. Tidak lama kemudian apabila kami berkenalan dengan betul,
sayapun jatuh cinta kepadanya. Tetapi, Didi tidakpun menghiraukan saya,
kerana dia melihat saya mempunyai hanya sepasang pakaian yang
bertampal-tampal dan sehelai baju, dan rupa saya tidak banyak bezanya dengan
rupa seorang peminta sedekah. Setiap hujung minggu Didi pulang ke Alexandra ditemani oleh seorang anak
muda yang saya anggap teman lelakinya. Dia berpakaian tampan dan semacam
orang berada kerana mempunyai sebuah kereta, yang merupakan satu fenomena
luarbiasa. Dia mengenakan pakaian ala-Amerika dan memakai topi yang lebar
tepiannya, sambil sentiasa memberikan perhatian kepada gaya pakaiannya. Dia
membuatkan saya mengsyakinya sebagai seorang samseng, tetapi saya masih
tidak pasti. Dia kerap menanti di luar dan bercekak pinggang selalu
menunjukkan kuasanya itu. Dia kerap menegur saya dengan hormatnya tetapi
saya sedar dia tidak pernah menaruh syak yang saya dapat menandinginya.
Ada juga masanya saya memang terlalu ghairah mahu memberitahu Didi yang saya
cintakan dia. Tetapi saya takut lamaran semacam itu tidak akan laku. Lagipun
saya bukannya seorang Don Juan. Saya masih merasa janggal apabila bertemu
perempuan, saya tidak faham bagaimana memainkan peranan seorang romantik
seperti yang mampu dilakukan oleh orang lain dengan mudah. Pada hujung
minggu, ibu Didi kerap menyuruhnya menghantar sepinggan juadah kepada saya.
Didi kerap muncul di tangga pintu dengan pinggan hidangan dan saya kerap
perhatikan betapa dia mahu cepat berlalu walaupun saya kerap mahu menahannya
agar lama sedikit di situ. Saya kerap menyoalnya dengan pelbagai soalan.
"Kamu belajar dulu sehingga darjah berapa?" demikianlah contoh soalan saya
kepada Didi. "Darjah Lima," jawabnya. "Kenapa kamu berhenti?" tanya saya
lagi. "Umur kamu adalah sama dengan umur saya," demikian saya mengomel lagi.
"Apa salahnya kalau kamu sambung pelajaran lagi? Nanti kamu menyesal di hari
tua. Kamu mesti fikirkan perkara ini secara serius. Mungkin sekarang kamu
merasa selesa kerana masih cantik dan masih muda dan mempunyai banyak
peminatnya, tetapi kamu memerlukan satu profession yang bebas."
Saya sedar semua perkataan itu bukannya perkataan yang paling romantik yang
pernah dituturkan oleh seorang anak muda kepada seorang gadis yang
dicintainya, tetapi saya tidak tahu cara lain untuk bercakap dengannya. Dia
mendengarnya dengan serius, tetapi saya sedar dia tidak berminat sangat,
malahan dia beranggapan bahawa dia adalah lebih mulia daripada saya.
Saya memang mahu melamarnya, tetapi saya masih tidak bersedia kecuali saya
yakin dia akan menerima lamaran itu. Walaupun saya mencintainya, saya tidak
mahu memberikan dia satu kepuasan untuk menolak saya. Saya teruskan impian
itu walaupun saya takut dan masih ragu-ragu. Dalam percintaan, seperti juga
politik, kewaspadaan bukannya satu kemestian. Saya bukan sahaja tidak yakin
diri untuk memikirkan bahawa saya mungkin berjaya ataupun berupaya menangani
kemungkinan gagal dalam usaha saya itu.
Saya menyewa bilik Xhoma untuk satu tahun dan akhirnya saya tidakpun
menyerlahkan perasaan saya itu. Didi tidakpun menunjukkan minat yang kurang
terhadap teman lelakinya, ataupun menambahkan minatnya kepada saya. Sayapun
mengucapkan selamat tinggal dengan penuh berterima kasih kepada keluarga
Xhosa kerana kemurahan hati mereka dan kepada Didi kerana persahabatannya.
Pada satu hari beberapa tahun kemudiannya, seorang wanita muda dan ibunya
datang memasuki ruang pejabat saya di Johannesburg. Wanita muda itu
mengendong anak kecilnya, sedangkan teman lelaki yang merupakan ayah anak
itu enggan mengahwininya. Wanita itu cuba mendakwa lelaki itu. Wanita muda
itu ialah Didi, dia kelihatan selekeh dan memakai pakaian yang lusuh. Saya
terkejut melihatkan keadaannya sambil memikirkan betapa keadaan mungkin
tidak menjadi semacam itu. Akhirnya dia gagal mendakwa teman lelakinya itu
dan sayapun tidak menemuinya lagi. Di sebalik kegagalan saya bersifat romantik, saya akhirnya mampu
menyesuaikan diri dengan cara hidup di bandar dan mula mengamalkan ketahanan
dalaman diri. Inilah satu keyakinan saya dapat berjaya mencapai cita-cita
saya. Saya semakin sedar bahawa saya tidak lagi perlu bergantung kepada
sokongan diraja dan keluarga saya untuk terus hidup dan maju. Saya berjaya
berkawan rapat dengan orang luar yang tidakpun sedar akan status diraja saya
ataupun mengendahkan segala sejarah yang mengaitkan saya kepada istana
Thembu. Saya sudah mempunyai rumah sendiri, walaupun berupa pondok sahaja,
tetapi saya mampu menjana keyakinan diri dan jatidiri yang amat penting
untuk hidup secara bermandiri. Pada akhir 1941, saya terima berita bahawa tuanku mahu melawat Johannesburg
dan mahukan saya menemui baginda. Saya kaget, tetapi sedar saya mempunyai
tugas untuk menemui baginda, dan memang saya mahu melaksanakannya. Dia
bercadang menginap di WNLA, ibupejabat Witwaterstrand Native Labour
Association, agensi pengambilan Tenaga pekerja di wilayah Reef.
Tuanku kelihatan sudah banyak berubah, ataupun apakah saya yang banyak
berubah. Baginda tidakpun menyebut kisah kami lari daripada Fort Hare,
ataupun daripada majlis perkahwinan yang telah diaturkannya. Baginda
bersikap berhemah dan berlembut, menyoal saya semacam seorang ayah mahu tahu
akan keadaan pengajian dan rencana masa depan saya. Dia sudah sedar betapa
cara hidup saya semakin ligat dan amat berbeza daripada ruang hidup yang
pernah dirancangnya untuk saya satu ketika dulu. Dia tidak pula cuba
mendesak agar saya mengubah cara hidup saya itu, dan saya amat berbangga
kerana dia telah menerima hakikatnya bahawa saya tidak lagi menjadi
tanggungjawabnya. Petemuan saya dengan tuanku membawa dua kesan. Saya telah memulihkan diri
saya dan pada waktu yang sama mengembalikan maruah diri serta martabat
baginda dan istana Thembu. Saya bersikap menyepikan kaitan saya yang lama
itu, dan secara tidak langsung melayari keperitan hidup daripada dunia yang
amat saya kasihi dan hargai. Memang sesuatu yang menyegarkan apabila dapat
diterima kembali dalam pelukan diraja tuanku.
Walaupun tuanku merasa lega dengan pencapaian saya, dia menjadi keliru
dengan Justice, yang diarahkannya untuk pulang ke Mqhekezweni. Justice
sudahpun mempunyai hubungan rapat dengan seorang wanita muda, dan saya tahu
dia tidak mempunyai sebarang niat untuk pulang ke kampungnya. Apabila tuanku
pulang, Bangindawo, salah seorang ketua kaum baginda telah melancarkan satu
dakwaan terhadap Justice dan sayapun bersetuju membantu Justice menangani
kes itu. Saya telah menjelaskan kepada majlis pribumi itu betapa Justice
adalah seorang dewasa, dan tidak perlu pulang ke Mqhekezweni hanya kerana
ayahnya mengeluarkan arahan itu. Apabila Bangindawo bercakap, dia tidak
menjawap hujah saya tetapi cuba memainkan perasaan mengenai kesetiaan saya.
Dia memanggil nama saya 'Madiba' seperti yang pernah diberikan oleh suku
kaum saya dulu. Ini adalah satu taktik untuk mengingatkan saya akan kaitan
Thembu saya dulu. 'Madiba" katanya, "tuanku telah memelihara kamu, mendidik
kamu, dan melayan kamu semacam anak lelakinya sendiri. Kini kamu mahu
menyimpan anak lelakinya sendiri untuk berada di sisi kamu dan memisahkannya
daripada baginda. Ini amat bertentangan dengan harapan seorang insan yang
telah menjadi penjaga kamu satu ketika dulu, dan amat bertentangan dengan
arus hidup yang disediakan untuk Justice."
Hujah Bangindawo itu telah menghenyak perasaan saya dengan hebatnya. Justice
memang mempunyai satu destini hidup yang amat berbeza daripada saya. Dia
adalah seorang putera kepada seorang ketua istana, dan akan menjadi seorang
ketua kaum satu hari nanti. Selepas persidangan itu, saya memberitahu
Justice bahawa saya mengubah fikiran dan berfikir yang dia seharusnya pulang
ke kampung. Dia terkejut dengan reaksi saya dan enggan mendengar nasihat
saya lagi. Dia bertegas untuk menetap juga dan tentu sudah memberitahu teman
wanitanya mengenai nasihat saya itu. Wanita itu enggan betegur sapa dengan
saya selepas itu. Terjemahkan: SPAR11 |