Laman Webantu (M) KM2: 5403 File Size: 7.6 Kb |
|
Detik: Puisi Gelombang Reformasi Kedua - Dari Derita Bangsa By Wartawan Cabaran 8/9/2001 12:17 am Sat |
[Nampak jelas sasterawan negara sudah lama mengikuti perkembangan semasa dan memeram rasa. Kita ternanti-nanti bilakah mereka akan muncul dengan lebih giat di laman web pula. Atau memang sudah muncul lama dengan nama dan gaya yang berbeda sehingga sukar diteka?? Tetapi jika hatimu tersentuh itu bermakna jawapannya sudahpun ada. Munculnya mereka adalah kerana tulisan anak-anak bangsanya juga. Kerana bukan sekadar lukiran yang dibaca tetapi sesuatu yang lebih hebat yang terpendam dalam setiap olahan kata. Ia tidak padam walaupun sudah tiga tahun dimakan masa kerana apinya masih tetap menyala. Hanya sibuta yang masih tidak dapat mengcamnya. Reformasi sebenarnya semakin berjaya - jika tidak takkan Mahathir terdesak menggunakan ISA untuk menggempur sesiapa sahaja. - Editor] Susunan : WARTAWAN CABARAN Antologi puisi Dari Derita Bangsa, yang diselenggarakan Sasterawan Negara, Usman Awang menimbulkan kejutan dalam dunia puisi tanahair apabila ramai penyair besar menyumbangkan karya yang dipercayai ada kaitan dengan peristiwa pemecatan Anwar Ibrahim dari jawatan kerajaan dan Umno. Berikut kami nukilkan kembali enam puisi yang tersiar dalam antologi itu. [Susunan semula: Editor KM2] Reformasi Bila benar Maka berani Maka kami melangkah lagi Tak gentar Tak ada kata tunggu sebentar Noor SM Sajak Berilhamkan Judith Wright di hujung hidup sajak ini kuambil jiwa kata, melapah dan buang lemaknya. iramanya tanpa bunga, kubenarkannya berenang dalam arus diri ceritanya sebabak: seorang watak dan seorang lawan seorang benar dan seorang palsu akhirannya - semua tahu: si palsu jadi raja dan wira meringkuk dalam penjara. Muhammad Haji Salleh Sajak Kepada Anwar Ibrahim Selepas bulan jatuh di atas ribamu Pekung malammu terhapus. Tetapi para wali masih berada di sekelilingmu masih mendoakan, agar kata-kata terdampar di hujung mimbar. Selepas matahari memecahkan fikir cinta tertikam di kakimu. Sidang jadi gempar kerana menjulang wasiat yang tidak tersurat. Semua peraturan bisa dibatalkan. Kerana semua sidang telah akur dengan keputusan.. selepas bintang melayang di kamar siangmu, ternyata kau memang tidak begitu panik, kerana kau sudah biasa menghadapi karenah sinar yang memanah wajahmu. Selepas sidang bubar, hukuman telah dibatalkan. Hanya kau sendiri yang akan memukau para makmum untuk meneruskan perjalanan yang telah hampir. Ahmad Razali Siapakah Hakim Yang Maha Bijaksana engkau boleh menyeksanya mencampakkannya di lubang-lubang gelap dunia tiba-tiba berubah jadi neraka dinding tak ada meski terpisah duka dan bahagia engkau boleh menikamnya dengan tuduhan dan fitnah yang dia sendiri tak pandai merekanya bahawa dia dianggap gila meski pintar otaknya masih siuman dan mengingat Tuhan engkau boleh mengotorkan tubuhnya engkau boleh mencampakkan najis ke mukanya engkau telah menghina engkau telah menyeksa engkau telah memutuskan segala yang ada kecuali manusia dan peribadi yang telah bebas dari tubuhnya menjalar diluar-luar penjara siapakah hakim yang maha bijaksana? Baha Zain Penjara Itu Kebesaran 'penjara itu kebesaran, ' katanya sedikit megah. 'dan bagi pejuang, penjara adalah kuliah membangunkan jiwanya, ' sambungnya membetulkan cermatanya. aku pernah melihat sang mandela - tiga dekad dalam kurungan, melangkah keluar membawa senyuman dunia.. aku teringat pak hamka - membawa keluar roman klasik, satira sejagat. 'penjara itu bukan kuburan,' katanya. pidato yang menyengat hadirin; 'pejuang tulen pasti mendepani fitnah,' tambahnya kian keras. ketika wajahnya lebam dan darahnya ke makmal, dia bisa bertasbih; 'penjara adalah rumah akal, mengumpul ketulenan, juga kepalsuan ?' Imlan Adabi Langit Kelabu Kuala Lumpur September 1998 Langit kelabu Kuala Lumpur September 1998 Suara-suara garau Antara dua planet Alif dan Mim Musibah yang ini Antara hidup dan mati Kebenaran jangan dipersenda Kejujuran dan cakap-cakap politik Sejarah Melayu dan amuk Melayu Berulang kali ini? Pawai rakyat dan dosa pemimpin Perpecahan dan perbenturan Hikmah yang tersembunyi Kalau kau tidak mengenal akumu Kalau aku tidak mengenal kaumu Maka kalian mengambil jalan singkat, 'membunuh' Musuh politik untuk apa? Kebenaran mutlak Atau kebenaran relatif, sementara Siapa menggugat siapa? Selamanyakah rakyat hina dina ini Pandir politik, mengambil jalan diam Terkepung dalam sindrom bisu the silent majority Langit kelabu Kuala Lumpur September 1998 Kelabukah kalbu politikus Melayu, tak menggenggam Amanah Ilahi sebagai khalifah taqwa dan Pasrah kepada pengadilan di Yaumil Mahsyar. Langit kelabu dan orang Melayu (Yang kononnya) tinggi tatasusila, adab sopan iltizamnya kepada al-Khaliq, wahai adakah rakyatku yang hinadina itu akan mati dalam kesongsangan dan perkecohan ini antara Mim dan Alif tayangan dan tantangan isi dan agenda yang tersurat dan tersirat yang benar dan yang batil dan bapa-bapa politikus berkarat dan impoten cukup sekian perjanjian Tuhan rahsia dalam buku-buku terbuka menghiris roh nenek moyang, kita telah membakar sejarah dan amanah, kita telah merobek malu di jalan-jalan panjang yang rusuh rumah-rumah suci yang menjadi saksi di bawah langit Kuala Lumpur yang kelabu serigala-serigala lapar mencakar-cakar mengoyakkan perjanjian dan harapan empat dasawarsa mengapa cermin kemerdekaan ini retak sejuta mengapa? Aku penyair Melayu, untuk bangsa dan negara ini, mengambil tanggungjawab dengan sajakku di bawah langit kelabu Kuala Lumpur ini, wahai pemimpin kembalilah ke pangkal jalan, tindakan gegabah lambatbangat akan meramas dan melemaskanmu dalam taufan murka Ilahi Mim dan Alif tak bakal sampai ke mana-mana Sejarah akan merobek kerana kalian mengambil Nafsunafsi sebagai sahabat Sejuta kata yang luncur dalam marah dan dendam Ibarat lumpur terlimpar kembali Ke muka sendiri. Yang Perkasa Pencipta Perdana Yang gagah, Dia Yang Esa. Aku menatap mendung kelabu yang terapung-apung Di langit Kuala Lumpur Kota tanah airku Dunia menatap sinis 'kedunguan Melayu' Di manakah hikmah kebijaksanaan Melayu itu? Kini dirongkong, dirongkong rakus perebutan Takhta, Harta dari Wanita Yang telah menipu seribu Fir'aun dan Qarun Sebagai penyair Di hadapan bangsa dan di bawah langit tanah air tercinta ini Aku melaungkan sajakku Untuk Mim dan Alif dan politikus Melayu Lambatbangat angin abad baru Akan melemaskan kalian, melenyapkan tamadun Melayu 'Tak Melayu hilang di dunia' hanya klise, toksid terbuang pabila kalian tidak belajar dari cermin kesilapan sejarah semaalam 'Yang batil tetap akan hancur Yang benar bakal menyongsong datang' Langit kelabu Kuala Lumpur September 1998 Membawa musibah terbesar abad ini Terpaku, terpukau atau kembali Menjadi mangsa besar! Sebagai penyair sajakku kali ini menyapamu lagi Untuk kembali mengenal diri Langit kelabu Kuala Lumpur September 1998 Langit kau, langitku, langit kalian Dengan latar, layar dan iktibarnya. Kemala Link Reference : Detik Puisi Gelombang Reformasi Kedua |