Laman Webantu (M) KM2: 5394 File Size: 22.2 Kb |
|
BKAdil: Britain lebih 'mesra Islam' daripada kerajaan Malaysia? By Rafizi Ramli 6/9/2001 8:56 pm Thu |
http://berita-keadilan.net/kolum/kolumnis/060901rafizi.htm
Britain lebih 'mesra Islam' daripada kerajaan Malaysia?
Minggu lepas di Britain, badan penyiaran terbesar di dunia iaitu BBC
(Badan Penyiaran Britain) mengambil inisiatif mengadakan 'Minggu
Kesedaran Islam'. Ia bertujuan meraikan kepelbagaian dan sumbangan
Islam serta penganutnya kepada keharmonian Britain dan ketamadunan
manusia seluruhnya. Salah satu misi utama minggu tersebut adalah
untuk menghapuskan mitos dan 'stereotype' yang selalu mengaitkan
Islam dengan keganasan, sikap tidak toleran dan pelbagai unsur
negatif yang lain. Sebagai meraikan minggu kesedaran Islam itu, pelbagai rancangan telah
dikomisyenkan oleh BBC. Ini termasuklah sebuah siri yang bertajuk
"Islam: The Empire of Faith" (Islam: Empayar Keimanan) yang dihoskan
oleh Ben Kingsley, bekas penerima Anugerah Oskar hasil lakonannya
sebagai Mahatma Ghandi di dalam tahun 1982. Dokumentari bersejarah
itu merupakan yang terbaik pernah penulis saksikan datang dari negara
Barat mengenai Islam. Dalam tiga episod, ia menjejaki susur galur kelahiran islam dan
bagaimana ia berkembang daripada sebuah agama kecil di Semenanjung
Tanah Arab menjadi salah sebuah agama yang terbesar yang pernah
disaksikan dunia. Lebih penting lagi, dokumentari itu menekankan
sumbangan Islam kepada ketamadunan moden terutamanya nilai-nilai yang
dijunjung oleh dunia Barat kini - tidak lain dan tidak bukan untuk
menjawab pelbagai prejudis terhadap Islam yang timbul akibat
'stereotype' yang mengaitkan Islam dengan tindakan pelampau.
Nilai-nilai ini termasuklah peranan Islam meletakkan hak-hak asasi
manusia dan semangat kesejagatan yang jelas mendahului generasi dunia
ketika itu. Lebih penting lagi kata dokumentari itu ialah peranan
Islam sebagai pembela mereka yang tertindas, dan sejarah awal Islam
tidak sekali-kali memperlihatkan Islam berada di pihak yang menindas.
Salah satu contoh yang dipaparkan oleh dokumentari tersebut ialah
peristiwa pembukaan Mekah, yang mana penduduknya pada ketika itu
begitu takut mereka akan dihukum kerana kezaliman yang telah
dilakukan terhadap penganut awal agama Islam. Sebelum itu, penduduk
Mekah seringkali mengumpulkan bala tentera untuk menyerang Madinah.
Sebaliknya, Rasullah SAW memasuki dan membuka Kota Mekah dengan sifat
pengampun dan terbuka. Tidak ada seorangpun yang dihukum atau
diapa-apakan, lantas penduduk Kota Mekah memeluk agama Islam kerana
kagum dengan sifat pengampun penganut-penganutnya.
Sikap pengampun dan kedepanan Islam dalam menjaga hak asasi penduduk
kota yang dikuasainya dijadikan contoh berkali-kali, dan dijadikan
bandingan dengan Eropah ketika itu yang masih berada di dalam zaman
gelap. Ini termasuklah dengan sikap luarbiasa Sallehuddin al-Ayubi
(dikenali sebagai Saladin dikalangan cendikiawan Barat) yang
mengisytiharkan penduduk Baitul Maqdis yang tidak beragama Islam
bebas untuk terus kekal di kota itu dan mengamalkan agama yang mereka
anuti - sedangkan hampir seratus tahun sebelumnya kota itu dibanjiri
darah umat Islam, Kristian dan Yahudi yang sama-sama dibunuh oleh
pejuang tentera Salib. Begitu juga keadaannya apabila Muhammad al-Fatih (Mehmet the
Conqueror atau Mehmet Penakluk seperti yang dikenali di Barat)
membuka kota Constantinople dalam tahun 1453 M. Penduduk ibukota
kebanggaan Empayar Rom Timur Byzantium itu dibenarkan terus
menjalankan urusan seharian mereka tanpa gangguan.
Turut dipaparkan sepanjang seminggu kempen kesedaran itu adalah
sebuah program yang mencoretkan perjalanan sekumpulan rakyat Britain
menjalankan ibadah haji. Salah seorang peserta rombongan dari Britain
pada tahun ini ialah seorang pakar bedah neurologi terkenal iaitu
Hajjah Aminah Abdullah (nama Islam) yang memeluk Islam.
Pendek kata, penulis dan rakyat Britain beragama Islam yang lain
sudah tentu berasa cukup sejuk hati dan terharu apabila melihat Islam
diraikan sebagai sebuah agama yang penuh warna dan kepelbagaian, yang
meraikan 'diversity', yang mengagungkan ilmu melebihi segala-galanya
dan menjadi salah satu penyumbang terbesar ketamadunan manusia.
Inisiatif atasi prejudis dan sentimen perkauman
Sudah tentu ada pihak akan mengaitkan minggu kesedaran ini dengan
kejadian rusuhan perkauman yang melibatkan pemuda-pemuda beragama
Islam di Bradford, Oldham dan Burnley baru-baru ini, kononnya ia
sandiwara Barat untuk menutup kelemahan di dalam rumah sendiri.
Sebelum ada pak-pak menteri atau tukang canang mereka membuat tuduhan
melulu, perlulah kita kaji latar belakang kejadian rusuhan itu,
iaitu:
Oleh kerana faktor-faktor ini, rusuhan itu tidak merebak ke kawasan
yang mempunyai penduduk Asia yang besar seperti Birmingham atau
Leicester. Kita juga perlu menilai dan memahami kenapakah rusuhan-rusuhan yang
berlaku secara sporadik ini tidak menjadi ancaman besar kepada
keselamatan negara seperti di Malaysia. Di Malaysia contohnya,
peristiwa hitam 13 Mei 1969 menjadi titik tolak yang mengubah lanskap
Malaysia selama-lamanya, sedangkan tiga rusuhan berbau perkauman di
Britain baru-baru ini tidak pula mempunyai kesan yang begitu mendalam
kepada aspek ketenteraman awam. Salah satu perbezaan utama kedua-dua senario ini adalah pendirian
kerajaan. Kerajaan Parti Buruh di Britain mengambil tindakan pantas
mengecam BNP dan anasir perkauman serta merancang pelbagai polisi
yang lain untuk mempastikan peristiwa yang sama tidak berlaku.
Sebaliknya di Malaysia, tiket perkauman adalah nadi kerajaan
pemerintah, kerana dasarnya yang berjuang selari dengan kehendak
perkauman. Dalam erti kata lain, kerajaan BN seolah-olah kembar tidak
seiras dengan BNP yang senantiasa bermain dengan api perkauman. Lihat
sahaja ucapan pemimpin-pemimpin mereka: Perdana Menteri menuduh kumpulan sivil masyarakat Cina atau Suqiu
sebagai komunis, Datuk Ibrahim Ali mengumpul ahli UMNO dengan poster
keris menghunus ke atas dilumuri darah dan yang terbaru Datuk Seri
Lim Keng Yaik pula menuduh PAS sebagai komunis.
Maka tidak hairanlah, jika sesuatu kejadian berbau perkauman berlaku,
rakyat gundah gelana dan dunia memandang dengan prihatin - disebabkan
pandangan umum bahawa tidak ada jaminan kerajaan pemerintah bangun
membanteras prejudis perkauman kerana itu juga merupakan sifat
mereka! Sebaliknya di Britain, pihak berkuasa cepat-cepat mengambil tindakan
mengadakan satu 'blitzkrieg' media (atau 'gempur media') untuk
menghapuskan salah anggap dan 'stereotype' kumpulan minoriti. Jika
anda seorang ahli kumpulan minoriti di negara asing seperti penulis,
inisiatif sedemikian rupa boleh juga memberikan keyakinan akan
keprihatinan kerajaan. Kerajaan tekapkan 'stereotype' Islam ganas
Bercakap mengenai 'stereotype' bahawa Islam ganas, penulis berasa
amat kecewa dengan sikap kerajaan Malaysia, yang dikepalai oleh
penganut agama Islam dalam usaha mereka 'menekapkan' imej Islam ganas
di dalam pemikiran rakyat. Akhir-akhir ini, pak-pak menteri ghairah
berucap mengenai kumpulan-kumpulan 'militan Islam' seperti KMM
(walaupun mereka nampaknya masih belum menemui nama penuh yang
standard bagi akronim itu!) yang belum dibuktikan kewujudannya!
Lebih dikesali lagi adalah tindakan seorang menteri kanan kerajaan
yang arwah bapa serta datuknya disegani sebagai tokoh pemimpin dan
ulama Islam di pulau mutiara mengumumkan kepada seluruh dunia bahawa
Malaysia kini sudah menjadi sarang pengganas militan Islam!
Fobia terhadap Islam yang mendorong gerakan mendoktrinasikan imej
Islam militan ini memang jelas diperlihatkan oleh kerajaan. Apabila
mahasiswa di institusi pengajian tinggi tempatan nampak cenderong
kepada Islam, mereka dicap militan atau menyokong parti pembangkang.
Adakah semata-mata kerana pelajar-pelajar itu wara' sedikit, mereka
sudah menjadi militan dan menyokong parti pembangkang?
Malanglah Islam di Malaysia, kerana iri hati terhadap
pemimpin-pemimpin parti pembangkang yang rata-ratanya lebih arif
mengenai Islam dan nampak lebih wara' - pelajar yang cenderong kepada
Islam terus dicap cenderong kepada parti pembangkang! Adalah begitu dangkal jika atas sebab ini pelajar Malaysia tidak
boleh menjadi wara' dan mengamalkan tuntutan syariah Islam, jika
tidak akan dituduh bersifat militan. Bukankah lebih baik bagi Islam
keseluruhannya jika pemimpin parti pemerintah turut menyahut semangat
keadilan dan amanah yang diperjuangkan Islam agar pelajar yang
cenderong kepada Islam boleh juga menyokongnya? Dengan demikian,
hilanglah stigma pelajar wara' menjadi penyokong parti pembangkang
seperti yang ada sekarang. Begitu jugalah apabila seseorang professional memakai kopiah atau
serban, terus sahaja beliau digelar jumud atau 'tidak professional'.
Sejak bila pula mutu pekerjaan atau professional kita dinilai
berdasarkan pakaian atau penampilan, bukankah ia bergantung kepada
hasil kerja kita? Jika inilah mentaliti parti pemerintah, tidak
hairanlah parti-parti mereka dipenuhi oleh individu yang kelulusannya
tidaklah setinggi mana tetapi pakaian mengalahkan ketua eksekutif
bank! Rupa-rupanya 'keprofessionalan' ahli mereka dinilai daripada
cara mereka berpakaian. Inilah beberapa simpton yang membuktikan fobia parti pemerintah
dengan Islam. Malah bukan itu sahaja, apabila timbul masalah
keruntuhan akhlak dikalangan anak muda, Islam jugalah yang
disalahkan. Kononnya Islam diputar belitkan, Islam dipolitikkan,
Islam itu dan Islam ini. Islamlah punca pening kepala parti
pemerintah! Islam ibarat 'si bongkok hodoh' Notre Dame
Pendek kata, Islam di mata pemerintah hanyalah satu senjata dan alat
propaganda untuk terus berkuasa persis 'si bongkok hodoh' Notre Dame
dalam hikayat terkenal Perancis itu. Seperti juga 'si bongkok hodoh', Islam diherdik ke sana ke mari
mengikut kepentingan parti pemerintah, samalah dengan 'si bongkok
hodoh' yang menjadi kuli penguasa gereja!
Keindahan Islam 'disembunyikan' daripada orang ramai kerana bimbang
itu akan membuka pekong mereka, tidak ubah seperti 'si bongkok hodoh'
yang terus disembunyikan dari mata khalayak ramai!
Tidak hairanlah 'si bongkok hodoh' itu akhirnya bangun memberontak,
meronta-ronta melawan kezaliman penguasa gereja yang dangkal itu.
Inilah yang penulis amat kesali dengan pendekatan dan pembangunan
Islam yang diperlihatkan kerajaan Perdana Menteri Dr. Mahathir
Mohamad akhir-akhir ini. Sebelum gebang KMM ini dimainkan sekalipun,
Islam seolah-olah hanya menjadi 'make up', senjata atau apa sahaja -
asalkan ia tidak menjadi penghalang kepada langkah kerajaan untuk
terus berkuasa. Jika tidak, Islam akan di'persyaitan'kan (mengambil
perkataan 'demonised' dari Bahasa Inggeris) dan alim ulama' yang
menjunjung kemuliaan Islam menjadi bahan omokan pemimpin kerajaan.
Berlatar belakangkan senario inilah, pemimpin-pemimpin kerajaan
mempersendakan Datuk Prof. Dr. Harun Din sebagai penjampi air
professional, mereka berteori bahawa Rasulullah SAW menyimpan janggut
kerana tiadanya pisau cukur Gillette pada ketika itu dan lain-lain
lagi. Polisi Islam sebagai 'make up' juga jelas kedapatan apabila kita
meneliti pembinaan masjid-masijd besar. Kerajaan mendabik dada
mengaku bahawa dibawahnya Malaysia menjadi model 'negara Islam'
kerana bangga dengan masjid indah yang dibinanya - malang sekali,
masjid-masjid itu tidak pula dibenarkan menjadi pusat dakwah
perkembangan Islam dan ilmu, tetapi alat mereka mengabui mata dunia
dan rakyat. Lebih malang lagi, apabila ada di kalangan rakyat
beragama Islam sendiri yang gah menjadikan masjid-masjid indah itu
sebagai bukti 'Islamnya' pemerintah yang ada sekarang!
Masjid nadi kemajuan Islam Mereka yang berpendapat sedemikian rupa bukanlah pembaca sirah Islam
yang mengkaji selok belok kemanisan agama yang dianuti mereka.
Sesungguhnya Islam tidak dibina di atas landasan 'masjid indah';
keagungannya berpaksikan kepada kekuatan akidah dan ilmu yang datang
dari kekuatan akidah tadi. Atas paksi inilah, masjid sebagai rumah
Allah menjadi pusat perkembangan ilmu dan kebajikan masyarakat yang
memacu perkembangan Islam lebih seribu tahun dahulu!
Pada zaman permulaan Islam dan zaman emasnya, masjid merupakan dewan
pelbagai fungsi - ia juga menempatkan hospital, sekolah, perpustakaan
dan dewan masyarakat. Pemimpin-pemimpin agung membina masjid-masjid besar untuk
menjadikannya nadi kemajuan negara. Sultan Sulaiman contohnya
(Suleiman the Magnificent, atau Suleiman yang Mengkagumkan kerana
kejayaan beliau memperluaskan Islam hingga ke pintu Vienna, pusat
pentadbiran Empayar Austro-Habsburg), membina Masjid Sulaimaniyyah di
Istanbul turut menempatkan salah sebuah perpustakaan yang terbesar di
dunia pada ketika itu. Masjid itu memuatkan tulisan-tulisan
cendikiawan dan saintis Islam seperti al-Burundi, al-Kindi, al-Razi
dan lain-lain. Malah, asal-usul dunia digital - iaitu penciptaan konsep binari serta
pelbagai teorem-teorem berkaitan frekuensi dan 'sampling' - yang
dibanggakan dunia Barat kini bermula di perpustakaan Masjid
Sulaimaniyyah, melalui koleksi penyelidikan-penyelidikan al-Razi
mengenai teorem itu. Ilmu yang diterokai oleh saintis agung Islam ini
jugalah yang digunakan oleh Sir Francis Walsingham untuk
membongkarkan kod-kod rahsia Queen Mary of Scots, sehingga
menyebabkan beliau dipenggal kepalanya atas tuduhan menderhaka!
Contoh-contoh ini dikemukakan oleh penulis untuk mengimbau kenangan
kita akan peranan besar yang dimainkan oleh masjid dari perspektif
Islam. Sebaliknya, lihat pula fungsi masjid dari kaca mata pemimpin-pemimpin
UMNO. Masjid seboleh-bolehnya mahu dikongkong mengikut cita rasa
mereka semata-mata, perselisihan pendapat langsung tidak dibenarkan -
sedangkan perselisihan pendapat sebegitulah yang mengangkat masjid
dan Islam sebagai gedung ilmu ketamadunan dunia sebelum ini. Aktiviti
di masjid seboleh-bolehnya dihadkan kepada kuliah-kuliah yang tidak
menyentuh aspek selain daripada ibadah sembahyang! Malah, ahli
jawatankuasa masjid sekalipun hendak ditapis agar sekepala dengan
mereka - walaupun sebahagian besar dari mereka (pemimpin UMNO) jarang
sekali nampak kelibat di masjid-masjid tersebut!
Islam adalah 'ad-deen' Akibat sempitnya penterjemahan Islam dari kaca mata mereka, maka
pemerintah mengambil tindakan-tindakan yang langsung tidak
mencerminkan semangat Islam. Di manakah kita sebagai umat Islam mahu meletakkan muka apabila
seorang pegawai tinggi agama Islam di negara ini suatu ketika dahulu
memberikan khutbah yang terlalu berbau partisan sehinggakan jemaah
bangun membantah dengan melaungkan 'Allahu Akbar'? Apakah Islam jenis
ini yang membawa sinar kepada dunia 800 tahun sebelum Renaissance
mula berputik di Eropah? Di manakah keikhlasan dan keyakinan mereka kepada keagungan nilai
yang dibawa Islam apabila 'think thank' (kumpulan pemikir) yang
ditubuh dan dibiayai mereka bertungkus-lumus memutar belitkan Islam
bagi kepentingan partisan parti pemerintah?
Bagaimanakah Islam boleh memainkan peranan memacu kemajuan negara dan
ummah apabila penuntut Universiti Islam Antarabangsa dihalang
berdiskusi secara bebas dan mengamalkan kebebasan intelektual?
Semangat Islamkah yang mendorong pentadbir universiti itu mengenakan
tindakan terhadap penuntut-penuntutnya kerana dituduh menganjurkan
seminar ilmu undang-undang yang disifatkan tidak selari dengan
kehendak pemerintah? Bagi penulis, ini adalah bentuk Islam ala 'si bongkok hodoh' yang
disebutkan sebelum ini. Ia tidak akan membawa kemajuan dan
perkembangan ilmiah, malah mendorong keruntuhan dan ketamadunan
Islam! Islam yang membawa ajaran itu ke rantau ini adalah agama yang
semangatnya perlu dijadikan pegangan hidup - 'ad deen'. Islam sebagai
'ad deen' - seperti yang dimaktubkan di dalam Manifesto Barisan
Alternatif - mengajak ummah menghayati semangat Islam - berpaksikan
kekuatan akidah dan keagungan ilmu, meletakkan toleransi sebagai
pra-syarat utama, menghormati hak manusia sama ada Islam atau tidak,
menitik berat soal amanah dan keadilan!
Hentam Islam kerana marahkan PAS
Kebelakangan ini, pemerintah nampaknya meningkatkan retorik prejudis
Islamnya dalam usaha mereka membendung pengaruh PAS. Pelbagai isu
ditimbulkan berkaitan Islam, semuanya ditohmahkan kembali kepada PAS
- harapan mereka agar parti itu akan dipandang keji di mata rakyat.
Namun dalam keghairahan berpolitik itu, mereka alpa bahawa tindakan
mereka acapkali menghina Islam lebih daripada melemahkan PAS. Oleh
kerana tiada modal lain, Islam dipersenda-sendakan, simbol-simbol
berkaitan Islam seperti pakaian berjubah diharamkan. Paling malang
sekali apabila perkataan 'mujahideen' - yang maksudnya orang yang
berjihad di jalan Allah dan Islam, jika gugur hukumnya mati syahid -
dipermain-mainkan sehingga ia mempunyai konotasi pengganas.
Di manakah kewarasan kita sebagai umat Islam apabila perkataan
'mujahideen' diperlakukan sedemikian rupa semata-mata untuk
kepentingan politik partisan pemerintah?
Apakah umat Islam di dalam UMNO (bukan semuanya Islam kerana ada juga
yang berketurunan Kadazan, Cina dan sebagainya!) boleh terus
memejamkan mata dan menutup telinga, lantas menelan sahaja hempedu
penghinaan ini? Di kalangan penyokong parti pembangkang sekalipun mengakui bahawa PAS
bukanlah Islam dan Islam tidak pula diwakili sepenuhnya oleh PAS. PAS
adalah sebuah parti politik yang meletakkan Islam sebagai dasar
perjuangannya, walaupun pentafsiran mereka mungkin berbeza daripada
pihak-pihak yang lain. Jadi kenapa perlu diperlakukan Islam dengan sedemikian rupa? Jika PAS
dan pembangkang yang dimusuhi, hadapilah mereka secara 'anak jantan'
- jangan sekali-kali bermain-main dengan perkara yang menyentuh
kemuliaan dan 'sanctity' agama Islam.
Benteng identiti terakhir Sebagai anak muda yang menghabiskan separuh usia remajanya di negara
asing, kecenderongan menghentam Islam sebagai helah politik seperti
yang sedang berlaku di tanahair amat meruntun jiwa penulis. Di kala
umat Islam di Palestin dizalimi saban hari dan kita hanya mampu
berdoa dan menangis semata-mata, cukuplah dikesali apabila pemerintah
Islam sendiri seolah-olah memijaknya untuk meraih sokongan penduduk
bukan Islam. Secara peribadi, pengalaman penulis dewasa di negara asing sebagai
umat Islam yang menjadi kaum minoriti mengajarnya menghargai erti
kemanisan dan semangat Islam. Salah satu perasaan yang cukup manis
adalah apabila bersama-sama menunaikan sembahyang Jumaat atau terawih
bersama-sama umat Islam lain yang pelbagai bangsa dan latar belakang
- perasaan persaudaraan jelas dirasakan apabila jemaah
bersalam-salaman dan berpeluk-pelukan selepas menunaikan ibadat
sembahyang. Di negara asing seperti Britain, ras perkauman tidak lagi
menjadi penting. Anda dikenali sebagai seorang 'Muslim' (penganut
agama Islam) tidak kira sama ada anda datang dari Malaysia, Jordan
atau Ulan Batur sekalipun! Identiti Islam inilah yang menjadi benteng
identiti terakhir - terutamanya tatkala gelombang globalisasi makin
deras melanda dunia. Mungkin Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad dan timbalannya Abdullah
Ahmad Badawi perlu tinggal di Britain buat beberapa ketika, untuk
mengalami liku-liku menjalani kehidupan sebagai seorang ahli
masyarakat minoriti - barulah mereka faham keprihatinan kaum Cina dan
India di Malaysia, serta bahayanya bermain-main dengan kemuliaan
Islam untuk tujuan politik partisan! Akhir sekali, semangat Islam sebagai 'ad-deen' - yang menekankan
kemajuan ilmu, toleransi, keadilan dan sebagainya - perlulah dihayati
bersama-sama; janganlah Islam sebagai agama dijadikan 'bedak muka'
semata-mata atau diperlakukan ibarat 'si bongkok hodoh' dari Notre
Dame. Benarlah kata-kata Pengerusi Masjid Pusat Birmingham di
England, Dr. Sayyed bahawa: "The greatest tragedy that can befall the Muslim world is when Islam
is reduced to a set of rituals practised by a set of people, if this
happens - I fear Islam cannot lift its followers from the present
state of despair? "Malapetaka terbesar yang boleh menimpa umat Islam adalah apabila
Islam disempitkan menjadi satu set amalan semata-mata yang diamalkan
oleh satu kumpulan manusia, jika ini berlaku - saya khuatir Islam
tidak mampu membawa keluar penganutnya daripada keadaan kucar-kacir
sekarang.." Rafizi Ramli, 24 tahun adalah Pengerusi Biro Antarabangsa, Pemuda keADILan |