Laman Webantu (M) KM2: 5393 File Size: 34.7 Kb |
|
MMMM: B5 - Yang Bermain Api dan Bunga Api By Marhain Tua 6/9/2001 7:50 pm Thu |
[Mahathir semakin ghairah bermain api dimana Islam asyik menjadi
sasarannya. Bayangkan banyak perkara yang tidak enak dikaitkan dengan
ugama sahaja. Seolah-olah tiada faktor lain yang menjadi penyebabnya.
Episod al Maunah, Amanat Haji Hadi, Menegur JAWI, Prestasi Sekolah
Ugama, KMM, Memali, Al Arqam, dll telah sengaja diputarkan secara
songsang saban kali untuk mengaibkan sesuatu yang amat dibencinya
selama ini kerana inilah kekuatan (unik dan penyatu) orang melayu
yang terpendam sejak dulu. Kita boleh jangkakan banyak lagi tulisan seperti CDB ini, seperti juga yang
kerap ditulis oleh Amin Sapiro dan barisan penulis lain yang pernah saya
sebutkan nama mereka dalam Bahagian 28 KTLBELB 'Yang Berkobar dan Berkibar'
(sila lihat tajuk kecil: Memahami Kebangkitan Rakyat). Tanpa mahu dianggap
riak, sebenarnya Siri KTLBELB adalah cetusan rasa saya betapa negara ini
sudah dijajah semula oleh Mahathir dalam jangka masa 20 tahun dia menjadi
Perdana Menteri. Secara berkias dalam setiap 30 bahagian tulisan saya itu
ada dikiaskan segala fenomena di mana kalau ada kumpulan militan yang wujud
di negara ini ketuanya ialah Mahathir Mohammad. Kalau ada kumpulan
bersenjata yang mahu menguasai negara ini, ketuanya ialah Mahathir Mohammad
dan kalau ada manusia yang mahu menggantikan keseluruhan majlis raja-raja,
orangnya ialah Mahathir bin Mohammad.
Sesungguhnya Mahathir merupakan manusia yang bermain api selama ini. Soalnya
sekarang ramai manusia yang bergelar Melayu dan yang dipuji-puja oleh
segelintir masyarakat Melayu yang masih syok sendirian memperakukan
tindak-tanduk Mahathir sambil mereka turut bermain api. Inilah kumpulan
syok-syok sendiri bermain bunga-api sambil sebahagian yang lain masih leka
menjadi batu api. Saya pernah menulis: '...sekaligus, amanah rakyat kepada mahathir dan para jongosnya adalah satu amanah yang lama sudah diabaikan. Mahathir dan orang-orangnya lupa bahawa sebagai wakil rakyat mereka sepatutnya yang menyebut ampun rakyatku, ampun rakyatku,........! Kami wakil mu memang sudah lama menipu....! (Saya menulis itu sebagai menyambut ulangtahun kemerdekaan ke-43). Di dalam siri yang sama di bawah tajuk kecil: 'Bila Ular Bersalin Kulit' ada
satu keanehan tulisan saya itu yang tidak disedari waktu itu, cuma saya
dapat mengesannya pada 31 Ogos 2001: 'Demikianlah berkobarnya semangat bangsa Malaysia di tahun ke-44 negara mengharungi kemerdekannya. Ia bermula dengan kempen mengibarkan bendera yang gagal segagal-gagalnya. Kenapa? Kerana rakyat sudah getek dan muak dengan kepimpinan yang ada. Kini, kita lihat semua lapisan manusia sudah berani bersuara mahukan perubahan dalam kepimpinan negara...' Perenggan di atas saya tulis ketika kita menyambut ulangtahun kemerdekaan
ke-43. Tetapi, gambarannya amat jelas pada ulangatahun ke-44. Bagaimanakah
gambaran sambutan ulangtahun ke-44 dapat ditulis satu tahun lebih awal,
hanya Allah yang mengetahuinya.
Ketika kita melangkah memasuki ambang ke-44 kemerdekaan negara ini adalah
elok kalau kita analisa sedikit kenapakah Malaysia sudah sampai ke tahap
bercelaru begini rupa sedangkan negara ini adalah salah sebuah negara yang
terkaya di dunia? Tidak ada negara lain termasuk Amerika, Jepun dan negara
kuasa besar lain yang mempunyai khazanah bumi yang begitu kaya raya dan
mewah harganya yang mampu dinikmati oleh seluruh rakyat jelata, seandainya
negara ini diperintah oleh sekumpulan pemimpin yang mempunyai niat yang suci
untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang dihormati. Sebaliknya, Malaysia
akan terjerumus ke kancah kemuflisan dan hina-dina selagi kumpulan manusia
yang sama dibiarkan terus memegang kuasa. Inilah bahananya apabila rakyat
diputarkan minda mereka berulang kali sehinggakan mereka percaya apa yang
disebut setiap hari. Sejarah akan marakamkan betapa Mahathir adalah sebesar-besar pengkhianat
negara dan para pemimpin UMNO yang masih hidup dan berkuasa dengannya adalah
sebesar-besar kumpulan manusia yang sanggup merelakan kedurjananannya. Untuk
memahami kenapa fenomena ini telah terjadi kita mesti sedar akan beberapa
faktor persekitaran yang menjadi pedoman dan pengawal pemerintahan mahathir
sejak 20 tahun yang lalu. 1. Kuasa dan Pengaruh Maklumat Songsang
Sepanjang pemerintahan Mahathir, maklumat songsang adalah senjata beliau
yang paling tajam. Maklumat songsang adalah sebahagian propaganda politik
UMNO dan BN yang disalurkan melalui pelbagai media elektronik dan melalui
kursus khas yang ditaja oleh Jabatan Perdana Menteri. Ini disokong penuh
oleh KEMAS, BTN, K3P, Persatuan Belia, Penerangan UMNO dan banyak lagi
institusi dengan menggunakan wang rakyat, sedangkan tujuan sebenarnya ialah
untuk memperkukuhkan ketuanan UMNO dan BN. Hampir seluruh media perdana kini
adalah milik UMNO dan BN dan dibenarkan dijual merata negara setiap hari.
Sebaliknya akhbar tajaan parti pembangkang hanya dibiarkan terjual dua kali
sebulan di tempat tertentu sahaja. Keseluruhan media elektronik yang rasmi seperti TV radio dan siaran jabatan
penerangan adalah bertujuan memutarkan maklumat songsang. Sebahagian besar
propaganda ialah menononjolkan kebesaran UMNO, BN dan Mahathir Mohammad.
Semua rancangan yang dihadiri oleh kabinet dan pemimpin negeri kerajaan UMNO
adalah bertujuan menonjolkan keagungan Mahathir dan pemerintahannya,
sedangkan semua kos majlis itu diambil daripada cukai pendapatan rakyat.
Apabila kita bercakap mengenai cukai pendapatan, berapa ramaikah orang
kaya-kaya dan bergelar yang menjadi kroni UMNO.BN yang benar-benar membayar
cukai pendapatan? Putaran minda dipergiatkan lagi oleh segala bentuk tekanan yang dilaksanakan
secara bersistem oleh regim Mahathir terhadap rakyat. Segala bentuk aktiviti
rakyat yang menentang tipu helah regim itu akan ditekan dan diaibkan. Kita
akan rakamkan sedikit contoh di sini: a) Al Arqam kini dikatakan sedang aktif semula dan kerajaan sedang memantau
pegerakan itu yang diharamkan dulu. Tetapi, apakah pengharaman kerajaan dulu
pernah dipersoal oleh orang Melayu sebagai satu kerja yang menekan ekonomi
Melayu? Saya fikir, sayalah yang mula-mula bersuara lantang menulis
panjang-panjang mempersoalkan tindakan kerajaan itu sebagai usaha memuaskan
kehendak pihak tertentu dengan tujuan sebenarnya untuk mencapai niat politik
yang tertentu. Yang paling menonjolkan sekarang, bekas Jeneral bersara sudah
dinaikkan pangkat menjadi menteri menjaga hal ehwal agama. Pada waktu yang
sama orang yang dulu memegang jawatan itu menjadi penasihat agama kepada
perdana menteri. Sekali lagi masyarakat Islam tidak mempersoalkan perlantikan dua manusia
ini, sedangkan ia membabitkan gaji mereka daripada duit rakyat. Apakah
istimewanya Jeneral itu menjadi menteri agama, sedangkan masih ramai orang
UMNO yang menjadi wakil rakyat melalui peti undi yang boleh dilantik menjadi
menteri agama? Kemudian, apakah istimewanya Mahathir mesti mempunyai
penasihat agama sedangkan dia sudah ada satu jabatan khas lengkap dengan
menteri khas mengenai agama Islam?
Di samping itu Mahathir ada JAKIM, YAKIM, YADIM, IKIM dan banyak lagi
pertubuhan agama Islam yang menggunakan wang rakyat untuk membiayai gaji
semua manusia yang dikatakan tokoh agama Islam. Apakah guna semua pertubuhan
Islam itu sedangkan semakin ramai orang Islam yang murtad di negara ini?
Yang anehnya semakin ramai pakar Islam di keliling pinggang Mahathir,
semakin lantang beliau memperlekehkan ajaran Islam. Mana silapnya? Sejak pemilu 1999, kita dapat mengesan betapa Mahathir begitu tertekan
sehingga dia sanggup memperlekehkan agama Islam. Satu ketika dulu saya
menyifatkan gelagat ini sebagai kesan 'badi Anwar Ibrahim' yang menghantui
Mahathir Mohammad. Tetapi, saya tidak sangka samasekali, Mahathir boleh
menjadi sebagai buruk sangkaannya terhadap ajaran Islam. Dulu, dia menghina
Nabi dan pelbagai kisah menggunakan ayat Quran untuk menjadi penawar. Kita
fikir dia boleh bertaubat melalui panduan yang diberikan oleh dua pakar
agama yang sentiasa berada di jabatannya.
Saya mula-mula fikir dia memperlekehkan ajaran Islam itu sebagai bahan untuk
memperlekehkan beberapa tokoh agama Islam di negara ini seperti Dato Harun
Din dan juga beberapa tokoh pemimpin PAS seperti TG Nik Aziz dan TG Hadi
Awang. Tetapi, apabila dia mula cetuskan kisah Al-Maunah dengan rompakan
senjata di Gerik dan munculnya apa yang dikatakannya usaha mengebom kuil dan
kilang bir di Lembah Kelang, saya nampak bahawa Mahathir sudah nyanyuk
kerana sanggup menggunakan Islam sebagai topeng untuk terus berkuasa.
Sehingga hari ini, sepanjang perjalanan perbicaraan Kumpulan Al-Maunah di
mahkamah, kita belum terdengar sebarang kisah ditimbulkan untuk menuduh
sesiapa antara kumpulan Prebet Amin yang didakwa kerana mengebom kilang bir
dan kuil Hindu. Kita akan tunggu sehingga 18 September untuk mendengar kes
ini digulung di mahkamah. Kemudian insyaAllah kita akan sambung kisah ini
mengikut beberapa kisah yang kita tahu. Selama ini ramai penulis media
marhaen sengaja peram dulu kisah perkara ini kerana tidak mahu menjejaskan
perjalanan mahkamah dalam kes itu.
Inilah pertama kali saya menulis dengan soalan dan tandatanya apakah benar
Mahathir merupakan seorang musuh Islam? Sekali pandang jawapannya ialah
'Tidak Mungkin!'. Tetapi, apabila kita amati betul-betul segala
tindak-tanduk regim Mahathir kebelakangan ini dan segala tuturkatanya
sekarang ini, kita yakin, Mahathir sudah terpaksa membuat pendirian yang
meyakinkan orang luar bahawa dia sudah menjadi musuh Islam. Berikut adalah
alasan saya: Sebenarnya ramai orang Melayu dan Islam yang menarik nafas panjang dengan
fenomena yang disebutkan di atas. Saya merasa berdosa jikalau tidak
meluangkan masa menulis pendapat dalam hal ini. Sepatutnya semua perkara
yang di atas tidak timbul langsung kerana saya berani katakan semua itu
adalah tipu muslihat yang amat sukar untuk dipercayai oleh umat Islam di
mana juga di dunia ini. Saya ingin menarik perhatian pembaca kepada satu artikel mengenai Taliban
yang berjodol 'Helping Hand' Newsweek bertarikh 13 Oktober, 1997 (hampir
empat tahun yang lalu) yang telah saya terjemahkan dan disiarkan di internet
pada 15 Mac 2001 dengan nombor TAG 058. Saya amat berharap para WM Reformasi
dapat cungkil artikel ini dan siarkan semula beberapa artikel mengenai
Taliban yang pernah saya terjemahkan. Beberapa penganalis luar (asing) dan juga tempatan, pernah menulis betapa
Mahathir mula meunjukkan kebiadapannya terhadap agama Islam dan orang yang
mengamalkan ajaran Islam, sejak dia menjadi terlalu ghairah dan gian untuk
diundang ke Rumah Putih, sejak George Bush menjadi Presiden Amerika yang
baru. Malahan, kita sedar dan faham Mahathir telah memberikan komen yang
molok-molok apabila Bush berjaya mengalahkan Al Gore.
Tetapi, apabila dia diperlekehkan sahaja oleh Rumah Putih, Mahahtir sudah
mengambil jalan untuk menarik perhatian Amerika dengan memperlekehkan
pergerakan Islam di negaranya sendiri dan juga di luar negara. Yang
mula-mula dilakukannya ialah membabitkan beberapa bekas pelajar Melayu di
Pakistan dengan pergerakan Taliban. Mahathir sanggup menuduh pemuda Melayu
yang berjihad itu sebagai kumpulan yang mahu menjatuhkan kerajaan Malaysia.
Saya pernah berkata, apabila seseorang Islam berjihad, tidak kira di mana;
di Afghanistan, Bosnia, Somalia, ataupun Malaysia, jalanan jihadnya itu
adalah kepada jalan Allah. Ini adalah satu panggilan kemestian yang direstui
oleh Allah.Tetapi apabila Mahathir memperlekehkan Taliban, dia sebenarnya
memasuki satu fasa kekeliruan sendiri kerana dia lupa bagaimanakah Taliban
itu wujud pada tahap awalannya. Izinkan saya turunkan sedikit sahaja sedutan
daripada terjemahan mengenai asal-usul Taliban:
'Asal-usul Taliban bermula pada awal 1980-an. Ramai rekrut yang menjalani latihan adalah manusia yang kuat pegangan agama sehingga digelar kumpulan fanatik. Inilah kumpulan yang dilatih oleh Imam, seorang pegawai khas (special-ops) Pakistan. Sebelum itu mereka merupakan pelajar sekolah agama tradisional di kampung-kampung. Inilah kumpulan yang disenangi dengan panggilan 'taliban' bererti pelajar. Beberapa pejuang elit di kalangan pelajar inilah yang diserapkan dalam pasukan bersenjata mujahidin. Yang lainnya dibentuk dalam satu pasukan bersenjata bersendirian dengan dipimpin oleh pemimpin agama yang tidak mudah dipengaruhi oleh sistem kabillah (puak) yang lama. Dalam artikel itu nanti akan terserlah peranan seorang hartawan Arab yang
bernama Osama bin Laden yang kini menjadi orang buruan Amerika. Tetapi
akhbar rasmi dunia Islam ada menyebut Osama berada di Afghanistan kerana
membiayai usaha mendidik anak-anak pejuang Afghanistan yang sudah mati
syahid. Amerika marah dengan kumpulan Taliban kerana beberapa masalah
seperti ketuanan pengangkutan candu dan dadah di laluan sutera (Silk Route),
dan penjualan senjata penembak pesawat terbang yang dibekalkan kepada
Taliban untuk menumpaskan jet Russia, tetapi telah dijual kepada musuh
Amerika untuk membolehkan mereka mempelajari teknologinya. Kini, sudah
terdedah rahsia betapa orang luar beminat untuk mempengaruhi kerajaan
Taliban kerana sebab-sebab lain, yang akan kita bincangkan dalam bahagian
terakhir tulisan ini. Apabila Mahathir mengarahkan Norian Mai menuduh beberapa pemuda Melayu
berjuang di Afghanistan dan mengaitkan mereka kepada ura-ura menjatuhkan
kerajaan Mahathir, saya pernah membantah dengan menulis bahawa kelentongan
Mahathir yang terbaru itu tidak akan dipercaya lagi oleh rakyat terutama
sekali orang Melayu. Pada hemah saya kalau ada kumpulan Melayu yang terlatih
dan mampu menggulingkan kerajaan Mahathir, mereka adalah orang Melayu dalam
ATM sekarang dengan sokongan padu bekas askar Melayu yang sudah bersara.
Sebenarnya, apabila Norian Mai menuduh anak TG Nik Aziz bersama
kawan-kawannya berpotensi menjatuhkan regim Mahathir, dia sudah terlalu jauh
tersasar sebagai seorang Ketua Polis Negara. Begitu juga gelagatnya dulu
apabila menahan Ezam dan kawan-kawannya di Kemunting sekarang ini.
Tuduhannya ialah Ezam bersama sahabatnya itu mahu menggulingkan kerajaan
dengan menyimpan beberapa senjata api termasuk pelancar roket. Sehingga hari
ini tidak ada satupun bukti wujudnya senjata api itu ataupun pelancar
roketnya. Kemudian, Norian Mai dan menteri kabinet Mahathir bersuara lantang
mengaitkan kumpulan penjahat yang ditangkap mengebom sebuah kedutaan di
Jakarta sebagai sebahagian anggota militan yang bersekongkol dengan orang
Malaysia. Malang bagi Norian Mai penjahat Indonesia itu sendiri telah
menafikannya. Satu ketika yang terdekat Norian Mai pernah berbohong secara terbuka: Ketika
episod Al-Maunah tercetus Norian Mai kerap memberikan kenyataan akhbar yang
memeningkan risikan tentera, sehingga dia menceritakan bagaimana seorang
Jeneral komando menepis senapang Amin. Sedangkan ketika jeneral itu
melangkah ke pondok di atas Bukit Jenalik, Amin dan kawan-nya sudahpun
tertiarap di bumi setelah di 'serang' oleh komando polis. Disebabkan
kelentongan 'yang sudah sedikit lebih' daripada Norian Mai, Jeneral Zaini
terpaksa berlakon pula menceritakan bagaimana dia menepis senapang Amin
sehingga tertembak salah seorang anak-buah Amin pada hari terakhir sebelum
Al- Maunah menyerah kalah. Malangnya, Norian Mai dan Jeneral Zaini tidak
teringat bahawa mereka boleh merancang, tetapi Allah merancang juga. Apabila
mayat 'komando' Al-Maunah itu diperiksa oleh doktor, autopsinya merakamkan
bahawa mayat itu sudah tertembak tiga hari sebelum 'peluru yang dilepaskan
oleh Amin' mengena kepalanya. Apabila autopsi itu tersebar secara rahsia tetapi meluas ke seluruh negara,
anggota tentera Malaysia merasa malu kerana ada anggota polis yang menyindir
mereka selalu. Inilah salah satu sebab kenapa anggota ATM memusuhi Mahathir
dan polis. Ketika kes Al-Maunah muncul dulu, kerajaan melarang sesiapa menyebut bahawa
'rompakan senjata untuk menggulingkan kerajaan' adalah sandiwara kerajaan.
Tetapi, sehingga kini, dua tahun sudahpun berlalu, kerajaan masih tidak
mampu menyelesaikan kekusutan fikiran rakyat yang sedar bahawa Bukit Jenalik
sebenarnya satu sandiwara di mana skripnya dirancang di Putra Jaya. (Sila
lihat Berita Harian, Rabu 2 Ogos 2000, muka surat 2 bawah tajuk 'SAUK - PAS
perlu henti hasut rakyat' olahan Wan Hazmir Bakar). Bayangkan sendiri,
apakah perasaan rakyat jelata apbila mereka memikirkan nasib ahli keluarga
kesemua mereka yang ditahan itu? Bagaimana dengan anak dan isteri mereka
yang masih ditahan kerana menganggotai Al-Maunah dan bagaimana pula kisah
ahli-ahli Al-Maunah yang lain yang ditangkap tetapi tidakpun tahu-menahu
akan hal Episod Bukit Jenalik. Soalnya sekarang, hanya segelintir sahaja
yang terbabit di Bukit Jenalik itu, benar-benar melakonkan episod tersebut
sedangkan sebahagian besar yang lain menjadi mangsa lakonan mereka.
Kewujudan lakonan dan sandiwara dalam episod Bukit Jenalik itu semakin
disedari oleh rakyat apabila Mohd. Amin berpura-pura 'naik gila' dalam
mahkamah. Dia direhatkan dan diberikan kelepasan untuk tidak menghadirkan
diri di mahkamah. Alangkah pelik kisah ini, sedangkan yang sepatutnya
dilaksanakan ialah menghantarnya untuk pemeriksaan doktor pakar yang rapi
menentukan apakah dia sudah benar-benar gila ataupun sengaja buat gila-gila?
Malahan, saya sendiri hairan, sejak Karpal Singh menjadi peguam bela Mohd.
Amin, perangainyapun nampak berubah apabila dia bercakap hal politik di luar
mahkamah. Sudah beberapa kali Karpal menyebut perkara yang tidak sepatut
dituturkannya dalam memperlekehkan PAS. Karpal Singh bertindak seolah-olah
dia tahu sesuatu yang sebenarnya berlaku kepada Mohamad Amin. Jika tidak,
kenapakah dia sendiri tidak mengusahakan agar Amin dihantar untuk diperiksa
oleh doktor pakar? Apabila satu kumpulan perompak yang dianggotai oleh anggota tentera
melakukan serangan terhadap kem tentera dan mencuri senjata api dan
kelengkapan perang, secara hukumnya, mereka adalah kumpulan yang cuba
menggulingkan negara. Dengan lain perkataan mereka adalah kumpulan yang cuba
merampas kuasa. Malahan, kalau kita lihat semua rampasan kuasa tentera di
Afrika, bilangan askar yang telibat pada serangan awal adalah lebih kecil
lagi daripada kumpulan di Bukit Jenalik. Kenapakah kumpulan Mohd. Amin di
Bukit Jenalik tidak dituduh merampas kuasa? Jawapanya ialah mereka bukan
ditubuhkan untuk merampas kuasa. Kalau mereka benar-benar mahu merampas
kuasa mereka tidak perlu menguji senjata secara menggila menembak dahan kayu
di situ, bertalu-talu sedangkan tempat pekhemahan mereka itu adalah lorong
orang kampung lalu. Bukankah arwah Jaafar Putih ditangkap di situ?
Ramai pemimpin UMNO yang menggunakan episod Sauk untuk memperlekehkan PAS
dan menggunakan perkataan 'jihad'. Malahan, Mahathir pernah berucap di
London memperkenalkan konsep Jihad ala-Mahathir. Penulis pernah mengupas
gelagat Mahathir di London itu dalam YTDT 2: 'Yang Terbang Akan Pasti
Terbang Jua'. Dalam tulisan itu ada dipetik laporan Bernama bertarikh 4
Oktober 2000 muka surat 2. Saya ingin petik satu perenggan tafsiran jihad
ala-Mahathir itu: "Kumpulan Al-Maunah yang baru-baru ini cuba melakukan pemberontakan bersenjata bagi menggulingkan kerajaan adalah pergerakan serpihan sebuah parti Islam dan mereka percaya kerajaan kafir mesti digulingkan menerusi kekerasan. Oleh kerana umat Islam terlalu sibuk dengan perbahasan yang tidak habis-habis, negara menjadi mundur dan umat Islam ketinggalan berbanding orang bukan Islam. Apabila era perindustrian tiba, kita tidak langsung menyedarinya hingga tidak cuba berubah dan mengambil peluang daripadanya untuk mengekalkan pembangunan. Sekarang kita dapati mereka sudah memasuki era teknologi maklumat. Kini, kita tidak dapat bersembunyi di sebalik sempadan, menghalang aliran masuk modal, perniagaan dan maklumat,' kata Mahathir. Saya mengharapkan WM Reformasi dapat sambungkan semula siri itu untuk dibaca
bersama. Dalam kisah Mahathir memperlekahkan bangsanya sendiri di tanahair
dengan mencemuh mereka di negara Barat saya ada menulis begini:
'Mampukah semua masyarakat di bandaraya London itu memahami betapa di sebalik segala cakap Mahathir di London itu ada dua buah negeri Islam di Malaysia di mana hak rakyat ke atas royalti minyak dan gas telah diselewengkan oleh Mahathir bin Mohammad. Apakah jenis jihad yang mahu dijualnya di London sehinggakan rakyat Islam di Terengganu dan Kelantan sengaja didera untuk menidakkan hak mereka kepada royalti itu? Bagaimana pula dengan keadaan rakyat marhaen yang masih merempat di negara sendiri kerana hutang besar setelah pasaran BSKL lingkup disebabkan mainan nafsu serakah para kroni Mahathir itu?" Orang Melayu naik getek apabila Mahathir dan para pengampunya mengingatkan
Melayu agar bersyukur kerana kecemerlangan UMNO. Sebenarnya Mahathir dan
pemimpin UMNO dan juga warga istana harus bersyukur kerana angkatan tentera
Malaysia tidak merampas kuasa, walaupun cara dan jalannya sudah ditunjukkan
oleh Mahathir di Bukit Jenalik. Majoriti anggota askar di negara ini adalah
orang Melayu, kalau mereka tidak BERIMAN Mahathir dan beberapa pemimpin UMNO
sudah lama kehilangan kuasa dan mungkin merengkok dalam penjara, itupun
kalau masih bernyawa. Penulis ada memberikan beberapa kiasan kenapa Mahathir
dan UMNO harus bersyukur dalam hal ini. Sila baca Siri MMM 9: Melayu Sudah
Menjadi Hamba Abdi UMNO. Saya ingin petik sedikit secara tebuk-menebuk apa
yang ditulis dalam siri tersebut: 'Rakyat marhaen sudah semakin sedar betapa Mahathir dan orang-orang
kesayangannya menyalahgunakan wang rakyat di Tabung Haji, KWSP, dan pelbagai
dana Amanah Saham. Bila Ezam menonjolkan agenda 'mengawasi wang rakyat' dia
sebenarnya menjolok sarang tabuan di mana segala bajingan Mahathir sedang
bersarang. Bayangkan apa yang berlaku di Tabung Haji (Saya tulis ini pada
bulan Mac, 2001) 'Kerajaan India sanggup mengeluarkan subsidi kepada sekitar 75,000 (tujuh
puluh lima ribu) jemaah haji di kalangan rakyatnya yang beragama Islam.
Tetapi, kerajaan India adalah kerajaan Hindu. Di Singapura pelbagai potongan
(rebat) sedang diberikan kepada rakyatnya. Tetapi, apabila orang Islam
Malaysia pergi mengerjakan haji dan umrah setiap tahun kosnya dinaikkan
lagi. Soalnya sekarang bagaimanakah MAS setiap tahun kalah tender untuk
mengangkut jemaah haji ke tanah suci. Bagaimanakah syarikat perkhidmatan
udara yang dikuasai oleh seorang klon diktator tua boleh memenangi tender
itu? Apakah rakyat marhaen tidak boleh berfikir bahawa MAS kalah tender
kerana disuruh menaikkan sebut-harga tendernya? Bukankah 'Air-Asia' pada
asalnya satu syarikat perkhidmatan udara yang diasaskan oleh Tan Sri
Ting?.......' 'Kita juga ghairah mahu mengetahui bagaimana Tabung Haji tidak mampu
memberikan dividen yang lebih tinggi daripada yang diisytiharkannya. Jawapan
seperti yang saya nyatakan dulu ialah dengan mengetahui apakah jenis saham
yang dipegang oleh Tabung Haji secara terkini. Hasil tulisan saya dulu, saya
telah menerima maklumat pegangan saham yang dibeli oleh beberapa Dana Amanah
bank di negara ini. MasyaAllah, terkejut saya kerana kebanyakan pegangan
tabung dana ini adalah saham-saham kepunyaan para kroni sahaja. Inilah
sebabnya Ezam disokong oleh rakyat marhaen kerana pihak yang arif mengenai
pasaran saham sudah lama tahu bahawa salah satu sebab kenapa pasaran BSKL
menjadi lemah ialah kerana terlalu banyak saham para kroni yang dibeli oleh
Dana Amanah ini, sedangkan hampir semua Tabung Dana Amanah ini menjual
sahamnya kepada orang Melayu kelas pekerja. Hampir semua pembeli saham
amanah meminjam daripada bank. Cuba bayangkan nasib rakyat marhaen yang
meminjam duit bank membeli saham ASJ dengan harga par RM1 sedangkan harganya
sekarang sekitar dua puluh sen (purata) sahaja. Bayangkan azab dan sengsara
rakyat marhaen yang mengikut nasihat para penyangak dalam UMNO untuk
meminjam duit bank untuk melabur dalam dana amanah ini. Bagaimana pula
keadaan mereka yang kini sudahpun diberhentikan kerana proses pembuangan
pekerja kerana kilang ditutup ataupun perniagaan yang lingkup?'
Dua tahun yang lalu, Mahathir telah menyambut ulangtahun kemerdekaan ke-42,
dengan ucapan menakutkan secara menyebut kemunculan kumpulan agama dan
perkauman yang ekstrim. MGG Pillai ada mengupas perkara ini dalam satu
artikel berjodol: 'The Millenium: A Far Cry From Midnight'. Saya ada
menterjemahkannya dengan memberi tajuk: MGG65: 'Alaf Yang Kelam' Menjelang
sambutan kemerdekaan tahun itu, MGG Pillai ada menulis kisah penculikan di
Jolo yang saya terjemah dengan tajuk: 'Pembabitan Seorang Jeneral Bersara
dalam Penculikan'. Yang anehnya sandiwara di Jolo itu tercetus sama dengan
tarikh kemunculan Lee Kuan Yew di Malaysia.
[Rujuk: Sejak beberapa hari selepas sambutan kemerdekaan muncul nama seorang
'drop-out' universiti bernama Wan Norhayati. Gadis yang gagal meneruskan
pelajarannya telah 'menyingkap' segala keburukan pergerakan penuntut Islam
yang 'sibuk dengan kerja-kerja' yang sia-sia kerana terpengaruh dengan
ajaran PAS. Kita mahu tanya orang UMNO dan Mahathir sendiri dalam hal ini, kerana tidak
ada guna menyoal Wan Norhayati, kerana dia tidak cerdik lagi:
- Daripada ribuan ramai pelajar Islam yang turut bersama Wan Norhayati dalam
usrah dan kelas agama tajaan PAS itu, berapa ramaikah yang tidak lulus dan
gagal dalam pengajian mereka ? - Apakah mata pelajaran yang diambil oleh Wan Norhayati di universiti itu
dan bagaimanakah dia diterima masuk untuk belajar? Adakah dia menerima
sebarang biasiswa ataupun dermasiswa ataupun masuk dengan tajaan sendiri
kerana kelulusannya setakat dagu sahaja?
- kalau ramai pelajar yang gagal bersama Wan Norhayati dulu, ke manakah
mereka kini? Adakah antara mereka itu yang terus berjihad di Ambon dan
Afghanistan? - Pendedahan Wan Norhayati dan pendedahan bawah tanah para pelajar
universiti adalah satu unsur yang menakutkan bukan sahaja rakyat negara ini
malahan para pelancong daripada luar negara. Apakah kerajaan sedar, budaya
menakutkan ini membuatkan stadium permainan perlumbaan saringan Sukan SEA
ketandusan penonton? - Apakah kerajaan tidak fikir, proses menakutkan dengan kewujudan kumpulan
militan di negara ini sudah dijadikan bahan oleh penganjur syarikat
pelancongan dan penerbangan di Singapura, Thailand, Filipina dan Indonesia
dan U.A.E. malahan di London agar pelancong 'melupakan dulu Malaysia kerana
ancaman keganasan yang diperakui sendiri oleh kerajaan?'
Cuba tanya diri sendiri kenapakah agama Islam dijadikan bahan ejekan setiap
kali Lee Kuan Yew tiba di negara ini? Yang terfikir oleh saya (ketika ini)
ialah isu itu akan menjadi bahan hangat yang akan mendapat liputan meluas
dunia kerana Lee Kuan Yew datang bersama puluhan pemberita akhbar dunia.
Lagipun Mossad yang merupakan badan perisik Israel dan kumpulan Freemason
menjadikan Singapura sebagai ibupejabatnya di rantau Asia-Pasific.
Sekaligus, Mahathir mendapat liputan yang luas di Amerika dan dunia
Kristian. Tetapi, Mahahtir baru sahaja membubarkan (melalui proksinya Tok Uban) dewan
undangan negeri Sarawak yang akan mengadakan pemilu negeri pada 27 September
nanti. Di Sarawak, tentangan terkuat Taib dan PBS nanti ialah orang Islam.
Oleh itu PAS yang dijangka akan bergiat dalam kempen di sana sudahpun
diperlekehkan dulu sejak beberapa bulan yang lalu oleh Mahathir.
Sebagai orang Islam kenapakah Mahathir merestui segala kerja memperlekehkan
Islam, semata-mata tidak mahu melihatkan PAS bertapak di Sarawak? Apakah
salahnya kalau PAS berjaya memenangi satu dua kerusi di Sarawak? Kalau
selama ini ramai orang yang beragama Kristian yang menang di Sarawak bukan
kerana kempen yang kuat oleh BN, tetapi kerana kuasa dan pengaruh sokongan
besar-besaran oleh Gereja Kristian Malaysia Timur dengan sokongan padu
Ibupejabat Wilayah Katholik di Manila, apakah salahnya kalau PAS menang satu
dua kerusi untuk mula merintis pengaruh perkembangan Islam di Sarawak?
Demikianlah jalan cerita Mahathir memerintah negara ini selepas sambutan
kemerdekaan yang ke-44. Segalanya kucar-kacir sehinggakan Mahathir sendiri
naik bingung yang mana satu yang benar-benar fakta dan yang mana satu hasil
kelentong yang bertujuan mahu menyokong pemerintahannya sehingga pemilu yang
lagi satu. Kita sudah dapat sindiran tajam betapa Mahathir sedang melangkah satu titian
yang amat licin dalam hutan rimba politik yang liar kerana terlalu banyak
haiwan lapar. Kerana itu dia terpaksa bermain api untuk menakut-nakutkan
sesiapa yang mahu menjatuhkannya. Lagi kerap dia bermain api lagi terdedah
kedudukannya yang rapuh. Mahathir sudah kehilangan kuasanya yang sebenar.
Kerana itu dia banyak bergantung kepada polis Malaysia menjaga
keselamatannya. Hampir segenap lapisan masyarakat sudah dimusuhinya. Rakyat marhaen yang
dulu mudah ditipu kini sudah semakin pintar untuk memperlekehkan sahaja
setiap sandiwara yang Mahathir lakonkan. Angkatan Tentera Malaysia yang
sekian lami digula-gulakan oleh Mahathir sudah memihak kepada rakyat.
Semakin lantang kedengaran nyanyian: 'Tentera dan Rakyat Berpisah Tiada'.
Mahathir dan pemimpin UMNO sudah memusuhi pelajar dan pensyarah Universiti
dan golongan guru-guru di sekolah. Yang diharapkannya ialah segelintir
kumpulan pensyarah yang mata duitan dan gila pangkat untuk meneruskan
propagandanya. Kini, Mahathir terus menggunakan kuasa polis negara untuk
membohongi rakyat terutama yang ada di desa. (Kita akan sambung kisah ini
dalam tulisan yang lagi satu menerangkan apakah unsur-unsur yang membuat
Mahathir berkelakuan ganjil kebelakangan ini, InsyaAllah.)
Sejarah akan merakamkan ada anggota polis yang akan bangkit memutarkan
perjalanan sejarah di luar jangkaan semua rakyat di negara ini. Bukankah itu
yang berlaku kepada Mahatma Gahandi, Indira dan Rajiv Ghandi di India ?
Bukankah itu juga kisahnya yang terjadi pada Gus Dur di Indonesia?
|