Laman Webantu (M) KM2: 5390 File Size: 10.9 Kb |
|
TJ SP MGG: Di Sebalik Kubah Tabung Haji By M.G.G. Pillai 6/9/2001 5:04 pm Thu |
Artikel Inggeris akan muncul dalam HARAKAH isu 15-30 September.
(The Jihad Of The Hamids Under The Shadow Of Tabung Haji)
5/9/2001: Satu jihad sudahpun meledak antara dua insan - seorang menjadi
menteri hal ehwal agama di Jabatan Perdana Menteri dan seorang lagi adalah
penasihat agama kepada Kerajaan. Kalau pandangan sahaja sudah mampu membunuh
seseorang, kedua-dua mereka ini sudahpun lama mati. Jeneral (bersara) Hamid
bin Zainal Abidin menganggotai kabinet sebaik dilantik menjadi anggota Senat
apabila Hamid Othman, orang yang digantinya kalah pada pemilu 1999. Hamid
Othman adalah orang kepercayaan Perdana Menteri, menjadi penasihat agama
kepada kerajaan. Mereka berdua ini memang saling membenci, dan sepanjang
masa celik sahaja mata, mereka saling membunuh usaha yang lain untuk terus
memekap-rapat dengan perdana menteri. Setiap mereka berkeyakinan bahawa
Islam yang ditonjolkan oleh UMNO mestilah mengikut ragam dan rentak yang
mereka aturkan (secara berasingan) Inilah dia 'Jihad di Putra Jaya' yang sering dibualkan di Putra Jaya.
Baru-baru ini Hamid Othman meletakkan keretanya di satu petak milik
kementerian agama. Hamid Zainal Abidin naik radang dan mengarahkan kereta
itu diengsotkan keluar daripada petak itu. Inilah yang menonjolkan jihad dua
insan ini, bekas jeneral itu menjadi seorang menteri dan yang menjadi bekas
menteri itu pula kini menjadi penasihat agama kepada perdana menteri. Jihad
mereka itu sebenarnya menjurus kepada satu kerakusan yang bertopeng untuk
menguasai harta yang luas dan pelaburan yang lumayan yang ada pada Tabung
Haji dan juga beberapa institusi Islam yang lain. Hamid Othman kehilangan
kuasa memanipulasi semua itu sebaik sahaja tewas pada pemilu yang lalu. Dia
berjaya mendapat sebahagian kuasa itu semula apabila dilantik sebagai
penasihat agama kepada kerajaan. Pada mulanya dia dilantik menjadi pengerusi
eksekutif dan kemudiannya bertukar menjadi pengerusi bukan bertaraf
eksekutif kepada mahkota gemerlapan, Tabung Haji. Tetapi, jawatan itu
ditarik-balik oleh Jeneral itu. Cuma dia terlupa betapa bekas menteri itu
adalah lebih disenangi oleh Perdana Menteri (gara-gara satu tongkang mari!
- penterjemah) Memang tidak ada sesiapa bercakap mengenainya, tetapi orang baru ini mahukan
para kroninya memegang jawatan lumayan untuk turut menungkit kek kewangan
dana Islam. Dia tidak ada banyak masa untuk menikmatinya. Sebagai seorang
senator, dia cuma ada lima tahun sahaja lagi. Namun, kehaprakan jihad yang
mereka lalui itu adalah sesuatu yang tidak bermakna. Mereka berdua perlu
menjawab kepada beberapa soalan apakah yang menyebabkan Tabung Haji lingkup.
Hamid Othman mempunyai peluang menghentikan kehaprakan Tabung Haji dengan
kuasa yang ada di tangannya. Dia tidak terdaya melakukan apa-apa ketika
bekas pengerusi Tabung Haji, yang juga merupakan ipar perdana menteri
menghamburkan kewangan tabung itu dalam pelaburan yang jauh menyimpang
daripada matlamat pertubuhan itu dulu.
Semua perhatian kini tertumpu kepada kisah RM1.7 ringgit yang dibalun oleh
kumpulan bajingan di Tabung Haji, tetapi kerugian yang lebih besar masih
lebih teruk lagi gara-gara kebajingan orang atasan. Beberapa ratus juta
ringgit telah hilang dalam pelaburan ladang sawit di Indonesia dan beberapa
ratus juta lagi dalam projek 'Negri Sembilan Technical Corridor.' Inilah
projek di Ngeri Sembilan yang dicadangkan untuk melengkapkan projek MSC di
Cyber Jaya, tetapi merupakan sesuatu yang tidak mampu mencapai sasarannya.
Itu baru dua buah projek sahaja, sedangkan banyak lagi yang belum dibuka
pekungnya. Tidak ada sesiapa yang berani bercakap perihal kerugian itu
secara terbuka. Mereka lebih selesa menceritakan kisah pencuri picisan yang
sempat lari. Tabung Haji sudah menjadi satu tempat yang banyak ulat tahinya. Ia kerugian
di sana-sini, kerana sistem akaun yang tidak mengikut peraturan. Perdana
Menteri terkejut sehingga terpaksa membawa masuk pengurus professional,
untuk meredakan ketegangan dan memperbaiki keadaan. Tetapi, politik masih
berkecamuk, kerana dua Hamid itu yang masih bemain politik di situ. Masalah
semakin membesar sehingga tidak mudah diperbetulkan. Tindakan segera amat
diperlukan kerana kemelut Tabung Haji sudah meresap ke daerah pendalaman.
Seorang ahli politik UMNO menjadi kaku apabila ibunya yang tua di sebuah
kampung di Perak memintanya menjelaskan bagaimana Tabung Haji boleh kerugian
setakat ini. Tabung Haji adalah benteng terakhir untuk Kerajaan mempertahankan
martabatnya. Perdana Menteri sedar akan fenomena ini dan mahukan masalah itu
dibetulkan secepat mungkin. Tetapi, apakah mudah mengapungkan satu raksasa
kewangan seperti Tabung Haji dengan melakukan pertukaran di bahagian atasan,
menukarkan halatujunya tanpa mencari kepastian setakat mana masalahnya?
Kerajaan bertindak tanpa memikirkannya masak-masak, begilah caranya selama
ini, dan itulah jua kaedahnya dalam menangani masalah Tabung Haji -
sedangkan itulah kaedah yang tidak akan menyelesaikan segala keadaan yang
sudah lama bercelaru. Dalam perencanaan memusnahkan institusi negara sejak
dua dekad yang lalu, Tabung Haji merupakan salah satu institusi itu. Setiap
menteri yang menguasainya mempunyai alasan tersendiri apa yang telah
dilakukannya, sambil memastikan kesinambungannya dan terus menggalakkan
perilaku korupsi yang tidak ada tolok bandingnya.
Akan tetapi, Tabung haji bukan sahaja satu institusi kewangan yang penting
dengan asetnya yang kurang sikit daripada aset KWSP (disebabkan usia
kewujudannya yang lebih muda daripada EPF: KWSP - penterjemah). Namun Tabung
Haji telah memberikan nama harum kepada kerajaan kerana prestasinya sebelum
itu. Ia menggalakkan orang ramai menabung untuk belanja mengerjakan Haji,
dan ramai yang terus menganggapnya sebagai tempat yang mudah untuk menyimpan
wang mereka. Tetapi, apabila ahli politik mula memberikan perhatian kepada
tabung itu, dan institusi itu sendiri mudah dikotak-katikkan oleh orang
politik, mulalah proses institusi itu mereput. Pada mulanya politik campur
tangan dalam pengangkutan jemaah haji, kemudian dalam jenis pelaburannya,
selepas itu meresaplah segala budaya korupsi dan keangkuhan dalam institusi
itu. Selepas itu kita dapati ramai yang menyimpan jumlah wang yang besar
sebagai deposit dalam akaun mereka, seolah-olah mahu lari daripada jangkauan
agensi penyiasat seperti Polis dan Badan Pencegah Rasuah.
Tabung haji membenarkan had pelaburan sebanyak RM3 juta bagi setiap ahlinya,
tetapi jumlah sebanyak itu hanya merupakan satu impian kepada sebahagian
besar ahli pencarumnya. Tetapi untuk ahli yang lain, peraturan yang istimewa
dikenakan. Pernah terjadi apabila seorang pengarah membawa masuk berjuta
wang sebagai deposit pada namanya dan juga nama ahli keluarganya. Wang
deposit itu diterima, walaupun setiap mereka itu sudah mempunyai tabungan
yang melebehi hadnya sebelum itu. Sebelum pengurus professional dibawa masuk
dua tahun yang lalu, pengerusi politik telah mengarahkan beberapa pelaburan
yang besar tanpa sebarang penyelidikan awal dan Tabung Haji telah membayar
wang yang melebehi nilai bayaran sepatutnya tanpa sebarang alasan selain
mengikut nafsu-nafsi pengerusi yang mengarahkannya.
Kini, Tabung Haji sudah menaikkan tambang mengerjakan haji sekali lagi.
Inilah bahana kerugian yang besar yang dialami oleh hampir semua anak
syarikatnya, sehinggakan Tabung Haji tidak mampu memberikan penjelasan yang
memuaskan, sedangkan orang yang mengerjakan haji secara persendirian mampu
berbelanja hanya separuh daripada kos yang dikenakan oleh Tabung Haji.
Nampak sangat adanya budaya mengaut untung di setiap siku perjalanan untuk
mengerjakan haji melalui Tabung Haji. Khidmat pengangkutan datang daripada
para kroni, dan dalam hal ini, untuk satu ketika, seorang anak lelaki
Perdana Menteri terbabit sama. Dulu, satu dekad yang lalu, urusan
penerbangan telah menjadi perniagaan bapa kepada seorang menteri kabinet
yang telah diaibkan. Tidak ada sesiapa yang berani menyoalnya. Sesiapa yang
mempersoalkan perkara itu pasti kehilangan jawatannya.
Begitulah tragedi yang menghantui Tabung Haji, seperti langkah yang dilalui
oleh setiap institusi negara ini. Segala hukum akauntabiliti dan
peraturannya sengaja diabai setiap kali ada orang politik yang berpengaruh
bertegas mahukan caranya dipakai. Korupsi sudah menjalar hingga di tahap
atasan Tabung Haji sejak lama dulu lagi sehinggakan segala kerugiannya dalam
usahasama terbaru amat mudah dikesan kalau kita perhatikan rakan niaga
Tabung Haji membalun keuntungan daripada usahasama mereka. Pengurusan
professional yang terbaru cuba membetulkan segala kepincangan, tetapi apakah
mereka mampu melaksanakannya tanpa mencemar martabat tinggi yang masih
dimiliki oleh Tabung Haji di mata masyarakat Islam. Namun pengurusan itu
mesti diberikan pujian kerana adanya mereka yang berbuat salah dihadapkan ke
mahkamah pengadilan. Jika tidak jangan haraplah akan adanya perubahan.
Tabung Haji memang merupakan institusi yang diingini oleh kerajaan kerana
simpanan dana yang besar. KWSP, yang tidak mempunyai simpanan dana sebesar
itu, merupakan satu tabung simpanan yang telah dihamba-abdikan untuk melabur
dalam rencana gila-gila seperti Empangan Hidro-Bakun dan dalam pembikinan
hotel yang tidak akan meraih keuntungan kerana pelaburan yang haprak. KWSP
mengaku ada aset bernilai 180 bilion ringgit. Kita tahu itu adalah nilai
kiraan dulu dan bukan kiraan buku semasa, disebabkan harga belian pelaburan
itu yang terlalu tinggi dulu. Cuba usahakan menarik simpanan anda semula,
dan anda akan diarah ke jalan yang berpusing-pusing sehingga anda akan putus
asa. Apabila angka rasmi mengenai hutang bertapuk adalah bernilai 190
bilion, dengan kesamaran sejauh mana hutang korporat yang tertanggung,
kerajaan dijangka menghadapi masalah wang tunai tidak lama lagi. Di sinilah
simpanan Tabung Haji merupakan senjata yang amat diperlukan oleh kerajaan.
Tetapi, patutkah simpanan itu digunakan untuk menyelamatkan kerajaan?
Perkara penting semacam ini memang tidak ada dalam agenda dua Hamid itu,
kerana mereka terlalu taksub cuba saling menjatuhkan saingan mereka. Inilah
sasaran Jihad mereka berdua. M.G.G. Pillai Terjemahan: SPAR-01-1581 Asal: KM2 5388 MGG: The Jihad Of The Hamids Under The Shadow Of Tabung Haji
|