Laman KM2: 6983 KM2 Index File Size: 9.6 Kb


TJ SP MGG: Keangkuhan Yang Menakutkan
By M.G.G. Pillai

12/4/2002 12:23 pm Fri

Harakah
Terbitan 15-30 April, 2002


Keangkuhan Yang Menakutkan

(Frightening Arrogance in the Land of Fear and Loathing)

Oleh: M.G.G. Pillai

Timbalan Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi, berterimakasih kepada ketua Suhakam (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia), Tan Sri Musa Hitam atas jasanya sebagai pengerusi badan itu. Tetapi, Abdullah masih samar siapa yang akan menggantikannya. Orangnya terpaksa dicari, kata beliau. Kenapa begitu caranya? Kerajaan bertindak menghentikan khidmat beberapa hakim mahkamah perindustrian di akhir tempoh khidmat mereka, dan meminta Majlis Peguam menamakan calon pengganti yang baru. Ada hakim yang bersara itu masih mempunyai kes mahkamah yang belumpun disiapkan penghakimannya.

Sepatutnya kekalutan ini sudah lama dapat ditelah oleh kerajaan sejak dulu lagi. Tetapi demikianlah jadinya. Setiap kali berlaku sesuatu yang mengaibkannya, kerajaan mengalah dan menyuruh manusia yang terbabit menunggu dulu. Sedangkan hakim yang terbabit sudah naik mual, sehingga ramai yang mengucapkan terima kasih kembali. Ada seorang yang merungut betapa mereka tidakpun diberikan ucapan terima kasih, walaupun itu adalah satu sikap sopan santun yang bermakna bahawa kerajaan sudah melupakan mereka.

Bukan itu sahaja. Kemelut mengenai Sijil Amalan Guaman, di mana kertas soalannya telah dibocorkan dan orang yang dituduh mendedahkan soalan itu kerana ganjaran yang biasa menjadi amalan Darulboleh adalah dilantik untuk menentukan martabat kerajaan begitu jadinya. Mahkamah negara ini sengaja diliwat supaya unsur keutuhan yang amat diharapkan daripadanya - keadilan - menjadi begitu sukar untuk diharapkan. Parlimen sudah dihaprakkan begitu hina tarafnya, sehingga hilang kilauan martabatnya. Kini sudah ada keputusan bahawa gaji dan elaun menteri bukannya boleh dibincangkan di Parlimen. Jika ia dibincangkan, ia hanya akan menjadi satu alat mengaibkan BN dan pentadbirannya, dan Parlimen tentulah bukan sesuai untuk dijadikan tempat membincangkannya.

Ketua Polis Negara boleh membaham seorang timbalan perdana menteri yang baru sangat ditangkap, digari tangannya di bahagian belakang dan matanya dipekap. Dia diberi peluang untuk menafikan perbuatan kejinya itu, tetapi dibenarkan pula mengaku bersalah, dan dibebaskan setelah dihukum dengan satu jentikan sahaja. Apabila oarang yang dimangsakannya itu yang kini terpenjara, dihadapkan ke mahkamah kerana rayuannya yang berpanjangan, beliau dianggap sebagai penjenayah yang berbahaya dan gerak gerinya dijadikan sumber memperkasakan mahkamah laksana satu kubu tentera. Tindakan itu bukannya disebabkan apa yang akan dicetuskannya tetapi kerana wujudnya ketakutan apa yang boleh berlakunya kalau berlaku cetusan itu.

Pada 1970 dulu, Tunku Abdul Rahman Putra telah bersara. Wang pencen beliau telah lambat diserahkan disebabkan kerenah birokrasi seorang pegawai kerajaan yang pada awalan Dasar Ekonomi Baru telah menunjukkan betapa bagak dan angkuhnya kuasa yang ada di tangannya untuk mendera bekas perdana menteri itu. Tunku pernah memberitahu saya betapa dia disuruh membuktikan yang dia dilahirkan pada 1903. Surat itu ditulis begitu bisa sindirannya, sehinggakan Tunku menyimpannya dan menunjukkan kepada saya, sambil bertanya apa sebenarnya yang menjangkiti pegawai kerajaan. Hanya apabila Dato Hussein Onn menjadi seorang perdana menteri barulah pencen Tunku dibayar sepenuhnya. Pengalaman yang dilalui oleh almarhum memang bukannya sesuatu yang ganjil dan luarbiasa.

Seorang lagi menteri kabinet, Dato' Bahaman Shamsuddin, yang bersara pada 1969, tidak diberikan pencennya sehinggalah 20 tahun (bukannya 25 tahun seperti yang diterbitkan - MGG) kemudiannya. Itupun setelah seorang peniaga yang ternama masuk campur untuk menentukan elaun bulanan itu dibayar kepadanya. Satu ketika dahulu Perdana Menteri Mahathir Mohamed menjadi terkejut melihatkan keadaan kediamannya di Kampung Baru sehinggakan beliau mengarahkan pencen itu diserahkan secepat mungkin. Jabatan Pencen mempunyai soalan yang bergunung tingginya untuk menyoal beliau, sehingga beliau tidak larat menjawabnya. Ada seorang menteri kabinet yang menyediakan penyata dan butiran untuk mendapatkan pencennya dan menyerahkan penyata itu sebelum beliau keluar daripada menganggotai kabinet. Ia menanti lapan tahun dan campurtangan Yang Dipertuan Agong waktu itu untuk membolehkan beliau menerima pencennya.

Orang Melayu yang mempunyai kuasa dalam perkhidmatan awam kini terjebak dalam satu cengkaman yang besar gara-gara kemelut Anwar menghantui negara. Persona budaya pegawai Melayu itu sudah menjadi satu anatema (sumpahan) kepada pendirian kerajaan itu sendiri. Satu ketika dulu pegawai Melayu itu digalakkan bergiat cergas untuk menentukan ketuanan Melayu dalam segenap penjuru kerajaan, kini dia menggunakan kuasa yang sama untuk mencabar kerajaan kerana dia sudah memutuskan hubungan budaya dengannya. Kerana itu kerajaan dihaprakkan supaya keangkuhannya bukan lagi disebabkan kekuatan yang ada tetapi kerana ketakutan dan kelemahannya. Sudah ada segelintir alasan untuk dipercayai betapa peristiwa yang tidak boleh diampuni terjadi kerana pegawai awam sudah bersedia membiarkan kerajaan terus gelabah dengan pelbagai urusan yang akan menghinjak martabatnya.

Keadaan demikian tidak sahaja memendungi perkhidmatan awam. Perbalahan antara Malaysia dan Singapura digambarkan sebagai perbalahan politik antara dua pemimpin politik di mana satu pihak mengasah pisaunya sambil mengarahkannya kepada kesilapan Singapura. Itu sebabnya Malaysia masih tidak mampu mengirim satu nota rasmi diplomasi dengan bantahannya terhadap salahlaku Singapura.

Malaysia mendebatkan isu itu dengan cara cakap politik membabitkan tiga orang politik: seorang ialah Abdul Ghani Othman yang kini menjadi Menteri Besar Johor, seorang lagi ialah Muhiyuddin Yassin seorang menteri kabinet persekutuan yang pernah menjadi menteri besar Johor dan seorang lagi ialah Menteri Luar bernama Syed Hamid Albar yang merupakan wakil rakyat di kawasan yang berdepan dengan kawasan laut yang ditambak oleh Singapura. Kehangatan isu ini semakin memanas setiap hari, malangnya isu yang semacam ini, kehangatan yang itu membara di tempat lain pula.

Yang peliknya, Singapura melakukan sesuatu yang mesti dilakukannya dengan merujuk kepada beberapa kenyataan yang pernah disuarakan oleh Mahathir mengenai pembangunan di bahagian Malaysia di tebing Selat Tebrau itu. Turut sama menonjol ialah penonjolan mendadak seorang peniaga beras Kedah, sebagai proksi kepada Muhiyuddin dengan persetujuan Mahathir, dalam urusan menguasai kemudahan pelabuhan di selatan Johor. Inilah yang menonjolkan satu percaturan politik yang tidak menyerlah: Betapa Kedah mempunyai pengaruh yang kuat ke atas Johor, tetapi ini merupakan satu isu yang lain pula.

Satu ketika dulu Malaysia mempunyai pengaruh yang kuat dalam hubungannya dengan Singapura. Disebabkan kerakusan untuk mengisi tembolok sendiri dalam setiap urusan negara dengan sebuah negara yang memberi tumpuan kepada kepentingan negaranya sahaja, Malaysia kini terpaksa mengambil tindakan berjaga-jaga. Malaysia sudah hilang kuasa ke atas tanah landasan keretapi, malahan kuasa menentukan tapak baru tambak yang mahu dibina. Namun, Malaysia masih berdegil mahu menentukan tapak satu jambatan yang baru yang dijangka berkesudahan di tengah laut untuk disambung oleh Singapura agar menyudahkannya. Begitulah satu ketika dulu, semasa Muhiyuddin mahu membina satu bandaraya terapung, dan kemudiannya satu kompleks kastam di Tanjung Petri yang diilhamkan oleh Ghani Othman pula. Dua projek itu kantul menjadi sejarah ilham dan angan-angan sahaja. Kalau adapun hubungan dalam perencanaan Malaysia yang begitu haprak di selat itu ialah perbalahan UMNO untuk menentukan siapa panglima perang yang mengasah pisau kontot di tepian untuk menentukan peperangan sebenar akan terlepas begitu sahaja.

Inilah kesannya apabila agenda kebangsaan itu dil*wat, sehinggakan institusi yang ada jatuh martabatnya, tersungkur dan menyembah hanya kepada seorang insan sahaja. Inilah pendedahan satu dasar yang bermula dengan usaha memberikan hak dan faedah yang wajar kepada orang Melayu secara sama rata sama rasa, tetapi berakhir dengan dasar haprak sehingga majoriti bangsa Melayu itu terpinggir untuk merempat di tepian sahaja. Semuanya bermula dengan nawaitu yang suci, tetapi mudah bertukar rupa sehingga menjijikkan segala kesucian itu pada hari ini. Yang lebih menyulitkan keangkuhan ini ialah ketakutan kerajaan dan kebenciannya terhadap mereka yang menentangnya.

Disebabkan mahu terus mencangkam kuasa, UMNO dan BN serta Mahathir terpaksa bertindak lebih ganas untuk memperagakan betapa tiga pihak ini masih mempunyai kuasa yang dapat bertahan. Inilah yang menakutkan kita kerana untuk mencantas sebarang getaran kebangkitan revolusi yang meledak dari dalam yang hanya mereka mempunyai kuasa menafikannya, adalah satu tindakan autokratik yang berpunca bukan disebabkan kekuatan tetapi disebabkan kelemahan. Lagi galak mereka menggigil di hujung mata pedang, lagi menakutkan segala harapan terhadap masa depan Malaysia.

M.G.G. Pillai
pillai@mgg.pc.my

Terjemahan: SPAR

Asal; KM2 6976