Laman KM2: 6975 KM2 Index File Size: 8.7 Kb


TJ SP MGG: Pelawat Tidak Dibenarkan Soal W/Rakyat BN Di Parlimen
By M.G.G. Pillai

10/4/2002 10:33 pm Wed

Pelawat Tidak Dibenarkan Menyoal Wakil Rakyat BN Di Parlimen

(Parliament decides visitors cannot question BN MPs)

Oleh: M.G.G. Pillai

Apabila sistem (pentadbiran) jatuh tersungkur, yang paling berkuasa bukannya orang yang berada di mercu kuasa, tetapi kakitangan yang paling bawah kedudukannya dan sudah berlagak dengan kuasa yang disauknya walaupun tugas rasminya adalah tukang ensot pintu pagar sahaja.

Demikianlah kisahnya apabila seorang pengawal keselamatan diberikan kuasa menentukan siapa yang boleh diberikan laluan memasuki Parlimen sambil mengeluarkan syarat yang dia tidak berhak mengeluarkannya sedangkan gelagatnya itu dibiarkan begitu sahaja oleh pihak yang berkuasa.

Seorang pengawal keselamatan telah mengizinkan seorang wartawan Malaysiakini memasuki Parlimen pada 3 April dengan syarat dia menghabiskan masanya berbual dengan wakil rakyat parti pembangkang. Tetapi, pas lawatan beliau boleh ditarik-balik seandainya beliau menanayakan sesuatu kepada wakil rakyat BN. Syarat ini dikenakan juga kepada semua wartawan lain yang tidak mempunyai pas wartawan ataupun pas mereka sudah lupus tarikhnya..

Saya beranggapan bahawa Parlimen adalah sebuah institusi yang bebas daripada mainan kotor politik. Jadi, apakah tujuan sebenar mengenakan syarat semacam itu? Speaker parlimen diam membisu setiap kali parlimen menguasainya, apabila hak asasi perlembagaan tercabar.

Menteri kabinet yang bertanggungjawab dan sepatutnya arif akan hal ini, Rais Yatim, boleh berdengus di sana-sini, tetapi dia masih tidak melihatnya sebagai usaha merembat kuasa eksekutif.

Memang benar dia pernah menulis satu tesis kedoktoran yang baik mengenainya. Tetapi itulah tulisan yang disebutnya sebagai satu kebenaran hasil tanggapan fikiran ilmiahnya. Kini, kalau boleh dia tidak mahu menyentuh buku ilmiah itu lagi kerana dia sudah menolak setiap kebenaran yang tertulis itu yang dianggapnya satu tesis untuk mendapatkan ijazah kedoktoran sahaja.

Tetapi, yang menjadi isu sekarang ialah kisah seorang pengawal keselamatan memberi syarat kepada seorang pelawat sedangkan syarat yang sama tidak boleh dikenakan oleh seorang speaker parlimen. Wartawan Malaysiakini tidak mempunyai pas wartawan, kerana itu syarat yang dikuatkuasakan padanya dianggap satu perkara wajar. Tetapi itu bukan persoalannya. Soalnya ialah kenapa Parlimen boleh menguatkuasakan satu syarat membolehkan seseorang pelawat bertemu wakil rakyat tertentu dan tidak kesemuanya?

Betapa arahan itu dikeluarkan bukannya satu kesilapan. Ada seseorang di bahagian tertinggi yang mengeluarkan arahan itu. Lantas dikuat-kuasakan satu peraturan baru betapa Parlimen adalah satu kesinambungan BN dan bukannya negara ini.

Kesannya amat menakutkan. Parlimen menerima syarat itu. Begitu juga pihak pembangkang. (Pihak pembangkang pernah mencetuskan isu itu di parlimen tetapi beritanya tidak dilaporkan - pengarang Malaysiakini) Tidak ada sesiapa yang membangkitkan perkara ini dalam dewan dan menganggapnya sebagai pencabulan kuasa atasan. Akhbar perdana sengaja mendiamkannya.

Semua pihak menganggapnya sebagai keghairahan seorang pengawal keselamatan yang mahu menunjuk lagak, dan bukannya sebagai satu pencemaran perlembagaan yang sepatutnya boleh mengheret pengawal keselamatan itu kepada pengadilan agar perkara ini dapat diperbetulkan.

Apakah tindakan MP (ahli parlimen) pembangkang apabila diberitahu akan perkara ini? Kenapakah mereka tidak mendesak agar speaker parlimen menggunakan hak beliau untuk mempersoalkan martabat badan yang sudah terjejas itu?

Apa sahaja yang berlaku dalam sempadan Parlimen adalah tanggungjawabnya. Jelas, dia sudah memperkenankannya, walaupun pada masa yang lalu demikianlah amalannya. Pada hakikatnya Parlimen dianggap sebagai satu kesinambungan BN, pihak pembangkang dibiarkan masuk untuk didera dan kini secara sindirannya tidak mempunyai hak mendapatkan jawapan daripada MP BN.

Sekurang-kurangnya kita sedar kenapa Speaker parlimen tidak mahu meluluskan perdebatan dan usul yang dibuat secara tergempar daripada pihak pembangkang kerana ia akan memperlekehkan pihak kerajaan. Tetapi, setakat ini dia kelihatan berwaspada mengikuti hukum perlembagaan.

Adalah hak parlimen menentukan siapa yang boleh memasuki kawasan parlimen dan dikenakan syarat kerana kemasukannya. Tetapi semua peraturan itu tidak boleh dikuatkuasakan oleh seorang pengawal keselamatan. Malahan semua orang harus dikenakan peraturan parlimen seperti itu.

Adalah bukannya satu kemestian bahawa sesiapa yang meminta pas masuk mesti berjawatan seorang wartawan. Tetapi kita sudah boleh mengagak sesiapa yang diberikan pas masuk itu tidak boleh berjumpa dengan wakil rakyat BN. Namun, ini bukannya alasan kenapa masalah ini timbul.

Masalah yang tercetus adalah satu masalah remeh sahaja: wartawan Malaysiakini sepatutnya tidak dibenarkan masuk, tetapi sebagai satu sekatan dan hambatan, peraturan itu dikenakan terhadapnya sebagai syarat untuk menyulitkan tugasnya. Tidak ada sesiapa yang ambil peduli apakah peraturan itu akan mencemar martabat parlimen.

Adalah satu kesilapan apabila Malaysiakini cuba menggembar-gemburkan isu ini. Hukum-hakam mengenai kelulusan pas masuk adalah amat jelas. Tetapi Malaysiakini bergerak dalam satu persekitaran yang baru, satu media yang baru. Peraturannya tidak lagi seperti dulu.

Monopoli Yang Tercabar

Monopoli kerajaan terhadap pemberitaan kini sudah tercabar, sehinggakan kerajaan kebingungan cara mengawal sesuatu yang sukar untuk diamalkannya. Kerana itu kementerian penerangan sudah mencuba pelbagai cara untuk menyebabkan Malaysiakini tersungkur menyembah bumi.

Malaysiakini berurusan tanpa sebarang pas wartawan. Tetapi Malaysiakini, seperti kebanyakan kita semua, mempunyai satu semangat berani untuk berkonfrontasi, terutama apabila ada perkara yang memihak kepadanya. Ia meneruskan tugas kewartawanan dengan penderaan itu dengan mencuba membuktikan ia masih mampu dapat mengumpul berita walaupun ia kerap dihalang menyertai setiap peristiwa yang mencetuskan sumber berita itu.

Tiga dekad yang lalu ketika saya bertugas dengan Singapore Herald, keadaannya adalah lebih dahsyat berbanding keadaaan yang dihadapi oleh Malaysiakini. Kami dinafikan kenyataan akhbar yang rasmi, kerana kerajaan sengaja mengeluarkannya selepas tengah malam agar kami tidak dapat maklumat itu untuk disiarkan bertepatan masanya. Yang lebih merunsingkan ialah di waktu persidangan ketua kerajaan Komanwel yang berlangsung ketika itu.

Tetapi Singapore Herald masih mampu meneruskan usahanya dengan jaya. Secara yang tidak disangka seorang perdana menteri Komanwel telah bermurah hati menghantar nota persidangan ke pejabat Herald secara rahsia, lengkap dengan beberapa nota tulisan tangan mengenai beberapa persidangan yang akan dilangsungkan.

Rakan kami di bidang kewartawanan kerap memberi pelbagai maklumat mengenai perkembangan biasa. Kami menang peperangan itu, walaupun kerajaan Singapura menutup pejabat Herald dalam masa setahun. Namun, kami tidak pernah merasa malu dengan peristiwa yang berlaku. Saya adalah antara tiga orang yang diarah keluar daripada bumi Singapura. Sehingga kini saya masih diharamkan menjejak kaki ke republik itu.

Saya sudah masak dengan pengalaman itu. Seperti juga Malaysiakini. Ia menjadi sebuah akhbar internet yang lebih baik lagi dengan segala sekatan ini. Hambatan semacam ini mencetuskan kekuatan dalam pelbagai cara.

Yang lebih penting, apa yang didedahkan oleh kemelut Malaysiakini itu ialah betapa mereputnya negara ini dari segi perlembagaannya. Yang menakutkan kita bukan disebabkan ia sudah terjadi, tetapi tidak ada seorangpun wakil rakyat BN ataupun pembangkang yang sanggup meminta penjelasan speaker kenapa berlakunya fenomena ini.

Tidak ada sesiapa yang prihatin kepada perkara yang sungguh serius ini. Bahkan, Malaysiakini juga. Menyatakan pendapat bahawa peraturan baru itu akan menjejaskan banyak pihak tidak menggambarkan penentangan yang berkesan.

Isu yang lebih besar, seperti yang pernah saya katakan, ialah cara kuasa perlembagaan itu yang disauk secara haram. Institusi kerajaan yang sengaja diperlekehkan tanpa sebarang tentangan yang lantang sudah menjadi satu fenomena yang menakutkan. Tetapi adakah sesiapa yang sanggup ambil peduli?

Asal: KM2 6971