Laman KM2: 6952 KM2 Index File Size: 6.8 Kb


TJ SP MGG: Bila S/Dewata Bersuara: Tiada Pengasingan Kaum di Sekolah!
By M.G.G. Pillai

1/4/2002 1:29 am Mon

Bila Sang Dewata Bersuara: Tiada Pengasingan Kaum di Sekolah!

(The Oracle Speaks: No racial discrimination in schools)

Oleh: M.G.G. Pillai - 30/3/2002.

Perdana Menteri Mahathir muncul laksana Sang Dewata purba untuk menenangkan sesuatu yang sudah bercelaru. NUTP pernah mengadu akan perihal pengasingan kaum di sekolah-sekolah rendah. Kerajaan telah menafikannya dan menubuhkan satu jawatankuasa khas yang dianggotai oleh pendidik veteran untuk merakamkan kesalahan kepada NUTP dan mencetuskan satu kebangkitan suara mahukan NUTP meminta maaf secara terbuka. Tindakan kerajaan ini mencetuskan satu suana yang ia tidak mampu menanganinya.Seperti biasa, kerajaan tidak berfikir apa yang patut dilakukan. Ketua pemuda UMNO yang juga merupakan seorang menteri kabinet, Hishamuddin Hussein, telah membebek mengatakan tindakan NUTP itu adalah satu percubaan untuk memperlekehkan sekolah kebangsaan. Rakan kabinetnya Siti Zaharah Suleiman, mendedahkan perangkaan yang merangkumi 500 perkampungan yang mempunyai masalah perkauman yang mudah meledak seandainya tidak dilakukan sesuatu untuk menanganinya. Dua orang guru besar telah mengugut mahu menyaman Setiausaha Agung NUTP sebanyak RM1 juta. Nampak sangat semua yang ditonjolkan itu adalah satu tipu muslihat untuk menonjolkan kewibawaan seseorang disebabkan martabatnya yang sudah terhumban ke dalam longkang.

Konfrontasi seperti ini menonjolkan kualiti pencernaan yang tersendiri, betapa kerajaan sudah hilang air-muka disebabkan kenyataan yang dibuatnya. Kerajaan sengaja tidak mahu menerima hakikat betapa diskriminasi kaum dan pengasingan adalah satu cara hidup di sekolah rendah dan dalam seluruh sistem pendidikan, dan di setiap tahap kehidupan itu. Kalaulah hakikat ini diikhtiraf dan diterima oleh jawatankuasa siasatan dulu, dan setiap anggota kumpulan siasatan itu memberikan cadangan menanganinya, sudah tentu kerajaan menjadi lebih perkasa apabila melaksanakannya. Sebaliknya tindakan kerajaan adalah laksana meludah ke langit dan menahannya dengan muka sendiri. Polis turut sama melatah memihak kepada pihak yang sudah lama dungu. Polis memanggil Persatuan Ibu Bapa dan Guru-guru yang mula-mula mencetuskan isu ini, pegawai NUTP dan ramai lagi. Mereka mendakwa perbuatan itu mengikut satu seksyen yang menyebut kesalahan melanggarnya akan menyebabkan sesiapa yang disabitkan, dipenjara selama tiga tahun ataupun denda RM5,000. Jika demikian halnya, kenapa polis tidak bertindak pada tahap awal lagi ketika isu ini mula-mula menjelma? Kenapa polis mula membebek dan menguak ketika kerajaan sudah tidak berjaya mengawal keadaannya?

Hanya Sang Dewata yang dikatakan mampu menyelesaikannya. Dia memang terpaksa melakukannya. Jika tidak, pentadbirannya akan menjadi satu kandang di mana banyak suara menguak dan membebek yang lebih lantang. Lantas dia mahu perkara itu dianggap sudah beres dan selesai sahaja. Guru besar yang gatal mulut seharusnya menghentikan ura-ura mahu menyaman malu, kerana 'mereka sengaja mahu membuat duit'. Tetapi, bagaimana mungkin mereka menyaman-malu tanpa merujuk perkara itu kepada Kementerian Pendidikan? Kalaupun mereka merujukkannya dulu, apakah kementerian memberikan ihsan? Kalau mereka tidak meminta izin dulu, kenapa pula begitu? Apakah kementerian akan mendisiplin mereka? Media perdana sengaja mengipaskan angin hasutan, sambil memberi tumpuan kepada orang yang membuat tohmahan dan bukannya kepada tohmahan itu sendiri. Terlalu banyak persoalan yang dibangkitkan. Tidak satupun yang menampilkan ketokohan pihak kerajaan. Kenapakah laporan jawatankuasa khas itu tidak diumumkan secara terbuka? NUTP hanya diberikan salinan rumusan dan bukan laporan siasatan itu sepenuhnya. Apakah kemungkinan segala hasil siasatan itu, seandainya diberitahu secara sepenuhnya, menjadi satu skrip lelucon sahaja?

Kerana itu, seperti yang selalu berlaku, keputusan yang sengaja diada-adakan kepada krisis yang memang sengaja dilakonkan, menghaprakkan keyakinan awam secara rasminya. Malahan timbalan perdana menteri, yang memegang tampuk pentadbiran ketika Sang Dewata mengadakan lawatan rasmi di luar negara, yakin betapa diskriminasi ras dan pengasingan boleh terjadi di negara Apartheid Afrika Selatan, tetapi tidak di Malaysia yang dikuasai regim Mahathir. Kalaulah perkara yang sepenting ini, yang merupakan satu pembaharuan yang mendasari konsep kepelbagaian kaum, kerajaan menghaprakkannya dan gagal segagal-gagalnya, apakah kerajaan yang sama boleh diharapkan bertindak dengan saksama terhadap isu perkauman yang lebih serius lagi? Kalaulah seorang perdana menteri kena turun padang memadamkan bara krisis perkauman, ia memberi gambaran betapa kabinet yang ada tidak tahu menjalankan peranan mereka, hanya pandai dan suka mengipas untuk memburukkan keadaan, dan menutup mulut apabila perdana menteri campur tangan. Apakah ini penyelesaian terbaik yang dapat dikemukakan oleh Barisan Nasional? Mana perginya menteri India dan Cina yang mengetahui kisah sebenarnya tetapi turut menjadi bisu belaka?

Akhirnya, ini hanya merupakan ribut dalam cawan kopi yang berlaku di Darulboleh di mana memang jutaan cangkir pecah kerana ribut setiap hari. Inilah caranya kerajaan cuba menyelesaikan ribut kehidupan itu mengikut seleranya, sambil ia terus mengecewakan dan gagal segaga-gagalnya. Yang menakutkan ialah cara sesuatu isu itu dipengapkan dan tidak diselesaikan secara wajar, tenang dengan ada andaian untuk membetulkan keadaan. Setiap kali muncul campur tangan perdana menteri, ia adalah satu permulaan menyapu isu itu ke bawah permaidani. Untuk menghentikan perkara itu terus menjadi isu perdebatan, Akta Hasutan dikuatkuasakan. Tetapi setiap yang disapu untuk disorokkan terus membusut dan membengkak. Satu hari nanti yang membusut itu akan menanah hingga meledak, menjadikan rusuhan 13 Mei dulu laksana kisah jamuan di taman sahaja. Apatah lagi kalau setiap kali kerajaan berlagak angkuh betapa setiap masalah itu hanya kerajaan yang tahu cara terbaik untuk menanganinya, dan sesiapa yang tidak bersetuju lebih baik dipenjarakan ataupun dikenakan tuduhan kemuflisan sahaja. Inilah yang menjanjikan ketegangan perkauman pada masa hadapan, apabila pemimpin haprak yang merencana semua ini sudah lama mampus dan hanya melihat 'daripada atas sana sahaja'.

M.G.G. Pillai
pillai@mgg.pc.my

Terjemahan: SPAR
Asal: KM2 6951