Laman KM2: 6948 KM2 Index File Size: 7.5 Kb


TJ SP MGG: Diskriminasi Kaum: Pisau mula dihunus
By M.G.G. Pillai

1/4/2002 1:14 am Mon

Diskriminasi Kaum: Pisau mula dihunus

(Racial discrimination: The Knives Are Out)

Satu jawatankuasa penyiasat yang ditubuhkan oleh kerajaan dan diketuai oleh seorang sahabat baik kepada Menteri Pendidikan, telah membuat keputusan secara tiba-tiba, bahawa pengasingan kaum tidak wujud di sekolah-sekolah Malaysia. Timbalan perdana menteri amat yakin bahawa laporan itu sudah memadai dan Setiausaha Agung NUTP, Dato' N.Siva Subramaniam mesti meminta maaf kerana mengeluarkan kenyataan yang tidak berasas. Setiap anggota jawatankuasa penyiasat itu adalah manusia yang sudah bersara. Tidak ada seorangpun wakil ibu bapa ataupun guru-guru di dalamnya. Kenapa? Tetapi ketua pemuda UMNO dan menteri kabinet Persekutuan berkata bahawa segala tuduhan itu adalah bertujuan menjatuhkan martabat sekolah kebangsaan.

Dengan lain perkataan, kerajaan membuat keputusan seandainya wujud pengasingan perkauman, ia adalah kesilapan ibu bapa bukan-Melayu dan sesiapa yang menyokong mereka harus dikenakan tindakan sekeras-kerasnya. Pihak NUTP mendakwa wujudnya 261 buah sekolah yang mempunyai masalah seperti ini. Takkan jawatankuasa penyiasat itu mampu melawat semuanya, ataupun bertemubual dengan segelintir ibu bapa yang membuat rungutan adanya pengasingan terhadap anak-anak mereka. Tentu kita mahu memikirkan kalau berdasarkan apa yang sudah terjadi, apakah serba mungkin adanya hasil siasatan yang melepaskan tuduhan terhadap pihak kerajaan?

Kerajaan memang seronok dengan krisis seperti ini, bukannya untuk membetulkan sesuatu kesilapan tetapi untuk memberitahu para pengkritik betapa kesilapannya itu yang tidak boleh dibuktikan, dan sesiapa yang cuba menyulitkannya perlu dikenakan penderaan. Kerana itu dua orang guru-besar di Johor menyaman Dato' Siva Subramaniam, sebanyak RM1 juta kerana menyatakan bahawa sekolah mereka melaksanakan pengasingan kaum terhadap pelajar bukan-Melayu. Pengasingan warga negara sudah menjadi satu dasar kerajaan selama ini, kenapa pula ia menjadi terkejut apabila kerenahnya itu terpalit pada setiap rupa bentuk kehidupan? Apabila kerenah semacam itu berlaku di sekolah, adalah satu perkara yang logik, walaupun ia sepatutnya tidak berlaku seperti itu, sebenarnya itulah yang sudah berlaku sejak berdekad yang lalu.

Seorang warga bukan-Melayu merasakan dirinya tidak lengkap secara automatis, dan tidak dibenarkan mencampuri aktiviti kumpulan kecuali dalam keadaan yang amat istimewa, dan dia dibenarkan menonjol bukan sebagai anggota masyarakat yang diwakilinya. Seandainya mereka bergerak sendirian, mereka boleh menonjol seperti orang lain. Insan bukan-Melayu itu akan menghadapi risikonya sebaik sahaja dia bersekutu dalam satu perkongsian atau secara satu organisasi yang formal. Tidak kiralah apa kerjaya mereka, pakar jantung, jurutera sivil, arkitek, pakar matematik dan sebagainya. Ramai yang melepaskan jawatan untuk berhijrah ke luar negara. Mereka selalunya menghadapi banyak masalah yang merugikan kerana bersikap berdiam sahaja. Lainlah kalau mereka diterima sebagai seorang kroni.

Apabila khidmat mereka tidak lagi diperlukan, mereka ditendang ke tepi dan dipandang sipi. Laksana oren yang habis disedut, ia menjadi kecut, demikian kata K. Nilakanta Sastri. Dia merujuk perkara ini kepada kisah pekerja India di perladangan, pada 1930-an dulu, tetapi ia juga merujuk kepada orang bukan-Melayu di Malaysia moden. Apabila seorang Melayu membeli rumah, dia mendapat keistimewaan potongan harga yang tidak dapat dinikmati oleh pembeli bukan-Melayu. Dia menerima keistimewaan untuk memasuki universiti walaupun markahnya adalah tidak seberapa, berbanding pelajar bukan-Melayu yang perlu mendapat markah tinggi dan terpaksa melepasi pilihan kuota yang dikenakan kepadanya. Apakah anda mahu menganggotai perkhidmatan awam? Anda perlu mempunyai nasib yang baik antara 20 peratus orang bukan-Melayu yang diberikan kuota itu. Jadi, kenapakah setiap orang terkejut apabila ada pelajar bukan-Melayu yang dilayan begitu di sekolah rendah?

Lagi galak dipertahankan perkara haprak ini, lagi bergolak perbalahan mengenainya. Dato' Hishamuddin Hussein berpendapat bahawa ibu bapa bukan Melayu sengaja mencemburui sistem di sekolah kebangsaan dan berusaha untuk memperlekehkannya dengan tuduhan seperti itu. Dia adalah seorang menteri kabinet dan pemimpin Pemuda UMNO, sudah tentu dia bersuara dengan penuh kuasa. Tetapi apabila dia membebek dengan pertahanan seperti ini, ia menghaprakkan sebarang perdebatan dengan kerajaan yang kelihatan mahu menyorokkan sesuatu. Lagipun inilah cara yang terbaik untuk memusnahkan ketokohan seorang insan yang dipercayai oleh UMNO telah naik begitu tinggi dalam tangga kesatuan sekerja yang mesti dibaruakan untuk jatuh setakuk dua. Ini merupakan satu bidang yang UMNO enggan merelakan orang lain menguasainya. MTUC dan kesatuan sekerja Malaysia yang lain sengaja diketepikan kerana pemimpin yang kebanyakannya orang bukan-Melayu.

Di Dewan Negara, ada satu kerusi yang khusus untuk kesatuan sekerja. Ia tidak pernah diisi untuk beberapa tahun kerana tidak ada calon yang difikirkan sesuai oleh kerajaan. Akhirnya muncul seorang ketua kesatuan sekerja menganut agama Islam dan diapun telah dilantik mengisi kerusi dewan itu. Ketika mendiang P.P. Narayanan mula-mula sekali ditawarkan kerusi itu, ketika pemerintahan Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman, dia meminta agar MTUC mencalonkan dirinya dulu. Dia tidak dapat membaca arah-aliran (mood) kesatuan sekerja ketika itu, dan tidak mendapat persetujuan ramai. Kemelut rusuhan kaum 13 Mei, 1969 dan petua Melayu-dulu yang merupakan kesan dari kemelut itu telah menyingkirkan kepentingan menonjolkan orang yang terbaik untuk mengetuai kesatuan sekerja. Dengan lain perkataan untuk menyedapkan perkara ini, seandainya orang yang diperlukan itu bukan berbangsa Melayu, makanya dia tidak dianggap sesuai untuk sesuatu pencalonan jawatan itu.

Cara kerajaan menangani keributan dalam cangkir itu sudah mencapai satu tahap kecanggihan sehinggakan sesuatu keributan itu dianggap laksana satu taufan yang mampu mempunah-ranahkan cangkir tersebut. Ia bertindak seolah-olah ketuanannya dicabar oleh orang Melayu yang menyokongnya dengan anggapan ia tidak mampu bertahan lama kalau ada bukan-Melayu yang mampu mencabarnya pula. Inilah dilemma yang menyerupai kemelut yang menghantui kerajaan Singapura dalam kisah pengharaman tudung terhadap pelajar sekolah. Apabila tiga orang pelajar itu bertegas tidak akan berganjak, kerajaan PAP merasakan keaibannya. Ia beranggapan ketiga-tiga pelajar itu berdegil kerana adanya sokongan rakyat Malaysia daripada seberang tambak. Sebenarnya tidak ada, tetapi apakah penting perkara itu?

Demikian juga halnya dalam kisah ini. Adalah dianggap satu perkara penting untuk Dato' N.Siva Subramaniam dan NUTP diajar sedikit. Inilah harapannya betapa krisis yang sengaja diada-adakan itu dapat melalaikan rakyat Malaysia kepada kerja haprak yang sebenarnya telah lama direncana.

M.G.G. Pillai
pillai@mgg.pc.my

Terjemahan: SPAR
Asal: KM2 6935