Laman KM2: 6946 KM2 Index File Size: 6.4 Kb


TAG SP 642: B5: Time: Osama-Laden Asia
By Simon Elegant

1/4/2002 12:59 am Mon

Time Magazine
April 2002

OSAMA-LADEN ASIA- Bahagian 5 (Akhir)

Oleh: Simon Elegant - Sungei Manggis

Dengan pengalamannya selama tiga tahun di Afghanistan, Hambali mampu mempengaruhi para pengikutnya. 'Setiap kali Hambali bercakap mengenai Jihad, anda rasa tertekan kerana mahu mengambil bahagian, membantu umat Islam di seluruh dunia yang sedang tertekan,' kata Sobri. Ada beberapa ahli kumpulan, katanya, yang tersentuh jiwanya untuk menganggotai kumpulan jihad di Kepulauan Maluku. Hambali tidak banyak bercakap mengenai AS ataupun menyebut pemimpin Barat sebagai melepaskan geram, kata Sobri. Sebaliknya beliau memberi tumpuan kepada beberapa wilayah di mana umat Islam sedang menghadapi maut seperti Palestin dan Chechnya. Namun dia kerap merayu bantuan untuk kerja-kerja jihad di Indonesia dan Selatan Filipina.

Hambali berdakwah betapa Perang Jihad itu adalah belandaskan dua prinsip: 'Pertama, sama ada kita menang ataupun mati; kedua - kematian bererti kehidupan yang berpanjangan. Hanya jasad yang mati, sedangkan mereka yang mati syahid hidup senantiasa.' Pendakwah ini menyebarkan panduannya kepada banyak perkara duniawi lagi. Dia kerap mengulangi nasihatnya apa yang perlu dilakukan seandainya ditangkap polis (diam membisu selagi perlu) dan dia memberi ingatan secara berulang-kali betapa pentingnya menyimpan rahsia, sehingga menegah pengikutnya menyebut nama pertubuhan mereka dengan sebarang nama khas. Kali terakhir Hambali dilihat di rumah Sobri ialah pada bulan Mac ataupun April tahun 2000. 'Dia telah memberikan satu syarahan mengenai jihad, dan pada kali itu dia mengakhirinya dengan saranan supaya kami teguh dan kuat tanpa sanggup mendedahkan sebarang rahsia kepada pihak polis. Kami dapat tahu kemudiannya dia telah pulang ke Indonesia,' kata Sobri.

Demikianlah halnya, dan kepulangannya itu mempunyai niat yang tertentu. Berbekalkan semangat jihad ciptaannya dia pulang ke kampung halamannya. Hambali telah merancang sekurang-kurangnya 30 rancangan untuk memusnahkan gereja di 10 bandar yang kemudiannya telah mengorbankan 22 nyawa dan mencederakan 96 mangsa pada 30 Disember 2000. Gambaran betapa seorang pendakwah yang juga perancang medan perang yang mampu mengarahkan orangnya berjihad untuk menemui kematian mereka muncul daripada kisah yang diceritakan oleh seorang pengikut Hambali, Iqballuzaman, yang kini dihukum penjara selama 20 tahun di Bandung kerana pembabitan beliau dalam pengeboman itu. Iqballuzaman, 46 tahun, menceritakan kisah Hambali yang tiba di Bandung dengan rencana yang tersusun dan wang bertimbun dan diiringi oleh dua orang pakar letupan. Dia hanya memerlukan orang suruhan sahaja - seperti Iqballuzaman. (Mereka berdua pernah berjumpa sebanyak empat kali sebelum itu dan Izballuzaman memang kagum dengan cara Hambali mengembangkan pengaruhnya dan semangat jihadnya.) Mangsa rencana Hambali, di kalangan orang suruhannya, memang tinggi. Daripada 12 orang yang didapatkan oleh Iqballuzaman untuk menyertai rencana pengeboman itu, 9 orang kini tersadai dalam penjara bersamanya, dan dua orang sudahpun mati kerana bom yang mereka pasang meledak dengan sendiri. Tetapi Hambali memang pakar menentukan keselamatannya, kerana dia menghilangkan diri beberapa hari sebelum rencana pengeboman itu.

Polis Indonesia berkata dia pulang ke Malaysia di mana Achmad Sajuli, seorang warga Indonesia yang kini dalam tahanan polis Malaysia, berkata bahawa pada Januari 2001, dia telah menyediakan satu pasport palsu dan visa untuk membolehkan Hambali pergi ke Pakistan. Minggu lalu, polis Indonesia menghantar satu pasukan penyiasat ke Pakistan untuk mencari Hambali, tetapi ramai pegawai barat dan rantau ini percaya jejak langkah Hambali sudah lama basi dan berkemungkinan dia sudah lama menyusup masuk ke perairan Indonesia pada tahun yang lalu.

Berbalik kita ke Kuala Lumpur, bekas pengikut setia Hambali, Mohamed Sobri menghadapi satu hari kebenaran pada April 2001. Beberapa orang kawannya yang dipimpin oleh orang kanan dan juga bekas pemandu kereta Hambali, yang bernama Zulkifli telah berdepan dengannya menanyakan apakah dia bersedia untuk berjihad. Mereka merancang melancarkan beberapa rencana yang difikirkan akan menggegarkan negara. Sobri berfikir panjang dan memberitahu Zulkifli dia perlu labih masa lagi untuk berjuang sebagai seorang pejuang jihad. 'Mereka kecewa dengan saya' kata Sobri dan 'selepas itu memencilkan saya.' Pada 18 April 2001, Zulkifli dan satu kumpulan seramai lima orang telah menceroboh Southern Bank untuk melakukan rompakan bersenjata di Petaling Jaya. Mereka tumpas kerana seorang pengawal bank berjaya menembak salah seorang perompak dan mencederakan dengan teruknya seorang lagi anggota kumpulan rompakan itu. Ketika menyoal-siasat perompak yang tercedera, barulah polis Malaysia sedar betapa mereka telah berdepan dengan satu jaraingan pengganas yang sungguh lama bertapak di negara ini. Satu minggu kemudiannya, Sobri dan rakannya yang lain telah ditahan dan ini merupakan satu gelombang penangkapan yang menangkap hampir 50 orang yang disyaki. Selepas ditahan selama 73 hari, Sobri telah dibebaskan pada awal Ogos, dan dia merupakan hanya seorang antara dua tahanan yang dibebaskan.

Sobri tidak gentar dengan penahanannya, tetapi bertindak pulang ke kampung halamannya sambil menjual rumah miliknya di pinggir Kuala Lumpur untuk pulang ke kampungnya di Sungai Petani. Tindakan itu adalah satu contoh betapa kuatnya pengaruh Hambali kerana di sebalik segala keperitan yang dihadapinya, Sobri masih mengingati dan mengkagumi bekas gurunya, sambil mengulang panggilan Ustaz yang diberikan kepadanya. 'Apapun yang terjadi, saya tidak dapat melupakannya. Dia telah membuka jendela kepada kesengsaraan umat Islam di dunia ini.'

Sobri mempunyai satu pesanan yang berbunyi begini: 'Ustaz Hambali akan terus dengan jihadnya sehingga akhir hayatnya... kemudian dia akan menjadi seorang yang mati syahid untuk terus hidup selama-lamanya.'

....Tamat.....

Terjemahan: SPAR
Asal: http://www.time.com/time/asia/features/malay_terror/hambali5.html