Laman KM2: 6938 KM2 Index File Size: 6.0 Kb


TAG SP 637: B3: Time: Osama-Laden Asia
By Simon Elegant

30/3/2002 1:11 am Sat

Time Magazine
April 2002

OSAMA-LADEN ASIA - Bahagian 3

Oleh: Simon Elegant- Sungei Manggis

Sahabat handai Hambali dan juga ahli keluarganya tidak tahu-menahu kenapa dia bertindak berlepas ke Afghanistan dan apa pula yang dibuatnya di sana. Lagipun Hambali sengaja tidak suka bercerita akan pengalamannya selama tiga tahun sebagai seorang mujahidin. Ketika dia berdakwah di Malaysia dalam 1990-an dahulu, ada juga dia sekali-sekala menyebut pengalaman berjuang menentang Soviet, sambil berbangga menceritakan kisah dia bertemu muka dengan Osama bin Laden, sambil menyebut tarikhnya dan tempat pertemuan mereka. Seperti ramai tokoh radikal generasinya, Afghanistan merupakan medan perang yang menukarkan ketokohan Hambali menjadi penyambung ajaran Osama untuk mengembangkan fahaman Wahabi yang menyarankan bahawa perjuangan bersenjata adalah satu cara yang wajar untuk mengembalikan ajaran Islam yang suci yang pada asalnya menjadi asas perjuangan Nabi Mohammad SAW. Apabila pulang ke Malaysia pada akhir 1980-an, seperti yang diceritakan oleh rakan pendakwahnya (dan apa yang disebut oleh Barat sebagai pengganas yang disyaki) bernama Abubakar Ba'asyir, Hambali telah membawa bersamanya satu semangat yang membakar betapa untuk mengembangkan pengaruh ajaran Islam ialah dengan cara berjihad. 'Seperti saya juga, Hambali menggalakkan umat Islam berjihad, yang pada waktu itu tidakpun difahami oleh orang Malaysia.'

[Ha..ha.ha.....dia ingat Melayu lawan British dan Komunis dulu bukannya berjihad??? - SPAR]

Abubakar yang kini menetap di Solo, Jawa Tengah, memang amat dikehendaki oleh polis Singapura dan Malaysia. Mereka percaya dia dan Hambali adalah pengasas pergerakan JI, dan merupakan perancang usaha mengebom kedutaan AS dan beberapa kedutaan serta tapak membeli-belah di Singapura. Abubakar telah disoal-siasat oleh polis Indonesia pada Februari lalu tetapi dibebaskan begitu sahaja kerana dia menolak segala dakwaan itu. Namun, dia kerap berbangga betapa dia dan Hambali pernah menjalankan kegiatan aktif mencari derma untuk kumpulan militia Islam yang memerangi masyarakat Kristian di Kepulauan Maluku, yang mengakibatkan lebih 5,000 mati terbunuh selama empat tahun yang lalu. 'Hambali memang giat mencari derma,' kata Abubakar yang sudahpun berusia 64 tahun dan mempunyai janggut yang sudah memutih. 'Dia juga memimpin sesiapa yang mahu berjihad di Ambon,' bandar yang menjadi medan utama peperangan agama itu.

Polis di Malaysia dan Singapura mendakwa bahawa dua orang itu telah mengatur satu rencana yang lebih besar untuk menubuhkan sebuah negara Islam di Asia Tenggara yang dapat ditadbir dengan undang-undang Islam. Penubuhan 'Daulah Islamiah Raya' direncana merangkumi Indonesia, Malaysia, Singapura, Brunei dan sebahagian wilayah selatan Filipina, Thailand dan juga Kemboja. Impian penubuhan gagasan negara Islam itu merupakan sebahagian sejarah pengembangan kekuasaan Indonesia yang tercetus daripada harapan besar oleh penggiat dakwah Islamiah seperti Hambali dan Abubakar yang merasa tertekan di zaman Suharto dan lari untuk berdikari di bahagian lain di rantau Asia Tenggara. 'Ketika berada di luar Indonesia, mereka sedar kemungkinan mereka tersisih seandainya sebuah negara Islam terbina di Indonesia. Kerana itu mereka memilih menubuhkan Daulah Islamiah,' kata Al Chaidar, seorang anggota lama pertubuhan itu, yang kini merempat dalam buangan di Thailand.

Ketika dia sampai di Sungai Manggis pada tahun 1991, Hambali memang sibuk dengan beberapa perkara yang perlu diselesaikannya. Dalam keadaan papa kedana dengan hanya satu beg plastik yang mengisi pakaian hariannya, Hambali bertungkus lumus untuk bertahun lamanya menyara keluarganya. Mohammed, tuanpunya rumah yang disewa oleh Hambali pernah bercerita betapa Hambali pernah menjaja ubat bikinan Indonesia dan Arab. Kemudian beliau memulakan penjualan kebab di atas kereta tolak di luar perkarangan masjid di pekan Banting. Walaupun ketika dia berusaha untuk menyara nafkah kehidupan ahli keluarganya, Hambali masih mampu menonjolkan keterampilan persona yang amat menyerlahkan ketokohannya. 'Orang ramai amat mengkaguminya, dan amat mempercayainya,' kata Mohammed. Inilah ketokohan yang menjadi senjata Hambali untuk memaut para penyokongnya kepada wawasan untuk berjihad.

Pada tahun 1994, nasib pendakwah itu mula berubah. Dia mula menerima lawatan tetamu yang kelihatan menyerupai 'orang Timur Tengah' di rumahnya yang kecil. Mohammed mengimbau: 'Ada yang kelihatan semacam orang Arab, dan ada yang semacam orang putih.' Mereka kerap muncul di malam hari dan berpisah di sebelah pagi. 'Memang sukar mengajak mereka berborak, walaupun kesemuanya bersikap bersopan santun.' Malahan mereka bersikap pemurah. Pada 1994, Hambali sudahpun mempunyai sebuah kereta 'hatchback' berwarna merah dan memiliki beberapa telefon bimbit. Dengan keupayaan memiliki wang, Hambali mula menjadi seorang pemborong untuk membuat beberapa kerja kontrak kecil-kecilan, sambil mengambil khidmat mereka yang satu ketika dulu merupakan pembeli barang ubatan jualannya. Pada Mac 1995, kata Mohammed, Hambali telah menganjurkan rumah terbuka menyambut Idul Adha kepada beberapa ratus tetamu khas. Majlis seperti itu menjadi amalannya setiap tahun kepada warga Indonesia kebanyakannya, yang datang berkumpul di halaman rumahnya untuk bersolat beramai-ramai dan menyembelih kambing korban untuk dipanggang dan menjamu selera bersama-sama. Pada tahun itu juga, Hambali pulang ke Indonesia menyambut Idul Fithri yang merupakan upacara yang paling utama mengikut kalendar Islam.

....bersambung....

Terjemahan: SPAR
Asal: http://www.time.com/time/asia/features/malay_terror/hambali3.html