Laman KM2: 6932 KM2 Index File Size: 13.5 Kb


TAG SP 635: CPunch: Apa silapnya dengan 'Black Hawk Down'?
By Brendan Sexton III

28/3/2002 10:27 pm Thu

Counterpunch
Edisi 1 Mac 2002

Apa silapnya dengan 'Black Hawk Down'?

(What's Wrong With Black Hawk Down)

Oleh: Brendan Sexton III

Pertama kali saya membaca skrip 'Black Hawk Down', saya tidak memikirkan ia sebagai sesuatu yang terbaik di dunia ini - jauh sekali anggapan saya ketika itu. Namun, saya terfikir bahawa skrip filem itu setidak-tidaknya membangkitkan beberapa persoalan penting yang sekian lama menghilang daripada hasil pembikinan yang terakhir. Rupa-rupanya saya dipesongkan untuk berfikir bahawa beberapa persoalan itu dapat diberikan jawapannya. Dalam beberapa babak tertentu, askar AS - sebelum mereka kelihatan terlibat dalam pertempuran sengit di Mogadishu, telah bertanya apakah AS sepatutnya berada di sana, dan betapa berkesan kehadiran AS itu, dan kenapa pula AS mencari hanya seorang panglima perang secara khususnya di Somalia, General Mohammed Farah Aidid?

Semakin kami menghampiri hari penggambaran, skrip yang disediakan itu semakin bertukar rupa dan semakin bertukar pula ciri-ciri perfileman yang dicetuskan oleh persoalan yang menghantuinya.

Pada bulan Februari tahun lalu, seorang lagi seniman telah pergi bersama saya ke Georgia untuk menjalani latihan menyesuaikan diri kami di 'Ranger Orientation Training' di Fort Benning, Colombus, Georgia.

Dari Atlanta kami menaiki pesawat 'shuttle' terbang ke Columbus, dan dalam penerbangan itu terdapat beberapa orang anak muda yang menggayakan potongan rambut ala-komando tetapi mereka bercakap sesama mereka dalam Bahasa Sepanyol. Kami terpegun beberapa minit sebelum menyedari bahawa anak-anak muda itu adalah 'pelajar' di 'School of the Americas'. Inilah sekolah di mana tentera Amerika melatih pasukan 'pengganas' untuk Latin America, yang berpangkalan di Fort Benning. Penemuan kami itu membuatkan pengalaman saya mempunyai perspektifnya.

Selama lima hari kemudiannya, kami telah menjalani satu latihan ketenteraan secara intensif di Fort Benning, dan saya telah mempelajari banyak pengetahuan. Tentera 'US Army Rangers' seperti yang digambarkan dalam filem itu, merupakan satu kumpulan elit yang berjumlah sekitar 1,500 sahaja. Umur purata mereka ialah 19 tahun. Mereka bukannya 'Special Forces' (pasukan khas), tetapi mereka sebenarnya menjalankan tugas khas ataupun Operasi Khas (Special Operations).

Sejarah penubuhan Pasukan Khas ini boleh disorot begitu jauh ke lembaran sejarah peperangan ketika mereka ditugaskan menghapuskan peribumi Amerika Utara dan menunjukkan keberanian dalam Peperangan Saudara memihak kepada Pasukan Selatan. Kumpulan Rangers pada zaman moden ini merupakan satu alat untuk menyuntik semangat baru kepada jentera perperangan imperialis AS yang sudah kalah teruk dan ketandusan moral berperang selepas kekalahan di Vietnam. Sejak itu, mereka telah terlibat di beberapa medan perang - daripada Lubnan ke Grenada hingga Panaman, dan semestinya, Somalia.

Pasukan Rangers ini mempunyai cogankata (motto) pasukan yang berbunyi: 'Rangers lead the way' - adalah menjadi lambang semangat kepada pasukan tentera Amerika. Latihan yang mereka jalani, beret yang mereka pakai dan potongan rambut yang mereka gayakan adalah ciri-ciri khusus yang membezakan mereka daripada ratusan ribu askar Amerika yang lain

Sebelum seseorang memasuki latihan di sekolah Rangers, dia terpaksa dihayun dulu oleh proses latihan lasak yang dipanggil RIP ataupun 'Ranger Indoctrination Program'. RIP memakan masa hanya tiga minggu. Di sekolah Rangers itu anda hanya diberikan satu sajian makan setiap hari dan tidur untuk dua jam sehari selama 10 minggu.

Tujuan latihan ini ialah untuk menyesuaikan diri anda kepada keadaan peperangan. Apapun yang anda lalui dan apa bentuk latihan yang anda rasakan di Fort Benning, ia sebenarnya tidak dapat menyediakan anda sepenuhnya kepada keadaan kombat yang sebenar, bilamana peluru hidup bersimpang-siur di atas kepala.

Semasa perang dingin dahulu, Somalia adalah anak-didik bekas kerajaan USSR, kerana kerajaan AS ketika itu menyogok regim Haile Selasse di negara jirannya Ethiopia. Apabila Haile Selassie digulingkan, keadaan bertukar rupa, dan AS bertindak memberi sokongan kepada Siad Barre di Somalia.

Dari akhir 1970-an dan seterusnya, AS telah mengirim sekitar US50 juta setahun dalam bentuk kelengkapan perang kepada regim Siad Barre untuk memperkasakan cengkamannya terhadap rakyat. Apabila penindasan difikirkan tidak mencukupi, Barre telah memecah-belahkan semangat penyatuan rakyat jelata dengan menggugat pula setiap suku kaum di Somalia. Apabila Barre digulingkan, pertandingan suku kaum meledak.

Peperangan saudara yang tercetus kemudiannya telah menyebabkan kebuluran secara besar-besaran hingga 300,000 nyawa terkorban. Kaum yang berperang saling merampas ladang musuh mereka dan membakar tanaman yang ada.

Kalaulah AS membangunkan Somalia secara memberikan bantuan seperti wang untuk kemajuan pertanian dan infrastruktur, dan bukannya alat ketenteraan, kebuluran mungkin tidak menjadi seteruk itu. Campurtangan AS itu pada asalnya adalah untuk menghentikan kebuluran, tetapi apa yang sebenarnya dilakukan adalah amat jauh berbeza.

Filem 'Black Hawk Down' (BHD) menggambarkan rakyat Somalia sebagai kumpulan manusia yang liar. Elvis Michell, yang telah menonton previu filem itu untuk New York Times pada Disember dulu telah menulis: 'Kurangnya perwatakan dalam filem itu menjadikan orang Somali sebagai satu kumpulan haiwan yang berkulit hitam dan gigi yang menjeringai - dengan tujuan tertentu ataupun sebaliknyua, ia adalah satu tayangan yang sengaja diadakan untuk menyuntik semangat perkauman.'

Saya berpendapat betapa gambaran itu memang tepat sekali. Orang Somali dipaparkan seolah-olah mereka tidak tahu-menahu apa sebenarnya yang sedang berlaku. Mereka digambarkan seolah-olah merka mahu membunuh askar Amerika kerana mereka - seperti orang jahat yang lain - bersedia melakukan apa sahaja untuk menggigit tangan yang menghulurkan makanan kepada mereka.

Tetapi, orang Somali bukannya satu bangsa yang sebodoh itu. Malahan, ramai antara mereka menjadi begitu mual dan tertekan kerana kehadiran askar AS adalah bertujuan untuk menyokong kumpulan manusia yang ada kaitan degnan regim Siad Barre yang begitu lama dan korup. PBB tidak berapa dihormati oleh orang Somali kerana waktu itu PBB dipimpin oleh Boutros Boutros Ghali, seorang bekas pegawai tertinggi Mesir yang memang menyokong kegiatan regim Siad Barre.

Orang Somali mempunyai banyak dalil kenapa mereka membenci kehadiran AS, terutama sekali apabila matlamat AS berubah daripada 'penderma makanan' bertukar kepada penculikan General Aidid. Aidid naik tangga pangkat regim Barre, dan kemudian membantu menggulingkan beliau untuk bertukar menjadi 'Musuh Nombor Satu' kerajaan AS.

Tidak ada banyak perbezaan antara Aidid dengan panglima perang yang lain dalam usaha mereka mahu mencengkam kuasa. Perbezaan yang utama adalah dia belum lagi bersedia ketika itu untuk bersekongkol dengan kemahuaan AS.

Panglima perang, diktator, pengganas (dan Raja Penyangak) selalunya dianggap mesra oleh AS selagi mereka sanggup bersekongkol untuk menjaga kepentingan korporat AS. Malahan AS telah menonjolkan Aidid untuk satu ketika yang lama. Dia merupakan anggota yang dirakamkan namanya dalam senarai panjang Amerika yang membolehkannya melakukan kerja jijik dengan bebas, tetapi apabila mereka terkeluar daripada landasan kemesraan Amerika, merekapun ditohmah dan dikutuk sebagai seorang 'Hitler baru' - dalam satu senarai baru yang telah tersenarai nama Osama bin Laden, Saddam Hussein dan Slobodan Milosevic.

Apa yang mahu dicapai oleh AS di Somalia adalah sesuatu yang belum terjadi di mana-aman lagi. Tujuannya ialah untuk mengembangkan sayap kuasa di beberapa benua dan cuba menculik seseorang yang dikawal ketat oleh pasukan bersenjata.

Beberapa percubaan awal untuk menangkap Aidid dan pegawai tingginya kantul dengan aibnya. Pertama, tentera Amerika telah menyerang rumah yang salah, yang rupanya adalah pejabat UNDP (United Nation Development Program). Kemudian, mereka menyerang beberapa pejabat milik badan amal 'World Concern' dan 'Doctors without Borders'.

Malangnya, tidak banyak maklumat apa sebenarnya terjadi di Somalia pada 1993 sehinggakan ia menjadi penglibatan Amerika yang paling kurang diselidiki sejak pembabitan Amerika selama 50 tahun.

Inilah yang menyedihkan kerana terlalu banyak yang perlu dipelajari daripada Somalia. Sebagai contohnya, ramai manusia yang terkejut dengan kemusnahan yang dilakukan oleh bom yang digugurkan oleh Amerika ke bumi Afghanistan. Inilah yang menyebabkan AS menggunakan askar darat untuk mengurangkan pembunuhan.

Kita harus tidak melupakan betapa tentera darat AS telah menghancurkan sebahagian besar Mogadishu - membunuh sekurang-kurangnya 10,000 manusia dalam tempoh beberapa minggu sahaja. Kita harus tidak melupakan betapa tentera darat AS telah memusnahkan keseluruhan perkampunan di Panama City menjadi runtuhan pada tahun 1989, dengan mengorbankan banyak nyawa.

Kita tidak mampu menyoal taktik Amerika dan ketenteraannya begitu sahaja. Kita perlu menyoal kerajaan AS apakah ia mempunyai nilai hidup yang murni untuk membabitkan diri pada bila-bila masa dan di mana jua yang disukainya.

Dalam banyak hal, Somalia merupakan satu tema pembabitan AS di luar negara, Ia merupakan salah satu negara termiskin di dunia ini, berdepan dengan negara yang paling kaya dan paling perkasa - seperti juga Afghanistan.

Salah satu tragedi peperangan sebenar di Somalia adalah dalam bentuk sokongan yang diterimanya daripada kumpulan liberal dan juga radikal.

Apabila kuasa besar ketenteraan yang paling perkasa di dunia ini menyerang satu negara yang sedang bertungkus-lumus mahu membebaskan cengkaman penjajah seperti yang dihadapi oleh Vietnam, ia telah menerima bantahan di negaranya sendiri. Inilah yng mencetuskan apa yang kini dikenali sebagai 'Vietnam Syndrome' - keenggaanan Amerika membabitkan tentera darat di negara luar.

Vietnam Syndrome itu memang sesuatu yang baik. Ini bererti AS terpaksa menarik diri keluar daripada Indochina, dan ini juga membawa erti pembuli terbesar dunia tidak lagi boleh pergi menjajah di mana ia suka, sekaligus menyelamatkan nyawa orang yang tidak berdosa.

Tahun 1980-an memulakan kebangkitan semangat imperialisme AS - selangkah demi selangkah - dengan beberapa operasi rahsia dan operasi terbuka di Granada, Nicaragua, El Salvador dan Panama.

Tetapi, pemulihan itu hanya bertapak pada 1990-an - dengan satu pembaharuan imperialise AS melaluui apa yang disebut sebagai 'penglibatan perikemanusian' - inilah operasi yang menyerupai 'Operation Restore Hope' (Operasi Mengembalikan Harapan), di Somalia, 'Operatiaon Restore Democracy' (Operasi Mengembalikan Demokrasi) di Haiti pada 1994, dan pembabitan yang lain di bekas Yugoslavia pada tahun 1995 dan 1999.

Apabila AS menyerang pergerakan kebebasan kebangsaan yang tulen, adalah semakin jelas kenapa Amerika bertindak begitu dan kenapa ia mesti ditentang habis-habisan. Tetapi, apabila AS bertindak menyerang 'evil dictators' (diktator syaitan) dengan tipu-muslihat untuk 'membantu penduduk setempat', tujuan Amerika itu menjadi sesuatu yang mengelirukan.

Pegawai AS kerap mengunakan program 'campurtangan kemanusian' itu sebagai satu topeng untuk melancarkan missi seberang laut yang sebenarnya menghenyak dan mempapa-kedanakan penduduk di negara yang 'dibantu' oleh AS itu.

Afghanistan - yang dibom sedangkan negara itu adalah negara yang hancur oleh peperangan yang panjang, telah mengakibatkan 3,700 nyawa terkorban dan ratusan ribu yang kebuluran. Kosovo - 2,000 naywa yang terkorban dalam kempen pengeboman 1999, sehinggakan peperangan menjadi hebat mencetuskan krisis pelarian perang, dan generasi mendatang akan mengidap barah yang lebih dahsyat disebabkan AS menggunakan senjata yang bersalut 'depleted uranium'. Inilah yang dikatakan keinsanan pembabitan insani AS.

Kita harus sedar bahawa Amerika sebenarnya mencetuskan keganasan sesitap kali ia campur tangan di negara luar.

Ramai orang berkata bahawa manusia di kalangan kita yang menentang peperangan tidak mempunyai jawapan kepada masalah dunia. Mereka berkata kita sebenarnya tidak berjaya melakukan sesuatu yang baik. Tetapi menyekat pembabitan AS untuk campurtangan sebenarnya mencetuskan sesuatu yang baik - kerana ia menyelamatkan nyawa.

Lagipun pergerakan kita boleh menonjolkan slogan dan tuntutan seperti 'Wang untuk pekerjaan, bukan untuk peperangan' dan 'AS mesti keluar daripada Timur Tengah'. Kalau kita menang dalam perkara ini kita sebenarnya berjaya memperbaiki keadaan hidup berjuta manusia di dunia.

Inilah projek yang sewajarnya diperjuangkan, dan seandainya anda tidak telibat dengan perjuangan ini, saya menggalakkan anda agar menceburkan diri.

Brendan Sexton II telah mengambil peranan dalam filem 'Welcome to the Dollhouse' dan 'Boys Don't Cry'. Dia memegang peranan 'Alphabet' dalam Black Hawk Down. Inilah tadi teks ucapan beliau pada 11 Februari yang dibentangkannya dalam satu forum mengenai peperangan, di Columbia University.

Terjemahan: SPAR
Asal: http://www.counterpunch.org/sexton1.html