Laman KM2: 6930 KM2 Index File Size: 5.2 Kb


TAG SP 633: B2: Time: Osama-Laden Asia
By Simon Elegant

28/3/2002 10:19 pm Thu

Time Magazine
April 2002

OSAMA-LADEN ASIA - Bahagian 2

Oleh: Simon Elegant- Sungei Manggis

Setelah meneliti ketokohannya, polis dan pegawai keselamatan di rantau ini telah mengsyaki betapa Hambali telah merencana beberapa rancangan yang sungguh terperinci, tetapi tidak dapat dikesan lagi, melibatkan rencana keganasan sebelum beliau menghilangkan diri pada awal Januari 2001. Besar kemungkinan beliau pergi ke Pakistan. Apabila siasatan polis diteruskan setiap minggu yang berlalu menyerlahkan banyak kisah yang menunjukkan wujudnya satu organisaasi payung-pelindung untuk Al-Qaeda dan kegiatan keganasannya di Asia Tenggara yang dipimpin oleh Hambali. Kumpulan itu dikenali dengan nama Jemaah Islamiah (JI). Setelah berlakunya banyak penangkapan, kewujudan pertubuhan itu di Malaysia dan Singapura sudahpun dirakamkan sedangkan penangkapan minggu lalu akan tiga orang anggota JI Indonesia di Filipina telah memperkuatkan dakwaan betapa pergerakan itu memang aktif di dua buah negara. Walaupun banyak aktiviti pergerakan itu yang masih samar, masih ada dalil bahawa ia merupakan satu pergerakan yang memberi tumpuan besar terhadap perancangan jangka panjang. Usaha mengebom di Singapura, sebagai contohnya, telah dapat ditumpaskan akhir tahun lalu dengan tertangkapnya 13 orang petugas utama yang dikatakan oleh polis, adalah dalam proses mengumpulkan 21 tan bahan letupan yang diperlukan oleh projek itu.

Adalah sesuatu yang menyeramkan apabila difikirkan Hambali masih bebas untuk merencana projek kemusnahan; empat tan bahan ledakan yang dipesan di bawah arahannya di Malaysia dan Filipina masih belum dijumpai lagi. 'Kami baru sedar betapa Hambali adalah seorang manusia pintar,' kata Ketua Polis Negara Indonesia, Engkesman Hillep, yang mengetuai satu pasukan penyiasat menghambat Hambali. Seorang pegawai kanan AS di rantau itu ada berkata dengan selambanya: "Kami memang risau akan kegiatannya setiap masa. Itulah yang membuatkan kami tidak dapat melelapkan mata di malam hari.' (supaya ada alasan sahih boleh dapat ponteng dan tidur di siang hari - penterjamah).

Asal-susul ketaksuban Hambali dan kegiatannya menjadi terserlah pada satu hari di kampung asalnya di Sukamanah di Jawa barat. Waktu itu suara ibu saudaranya berkumandang di corong pembesar suara di kampung itu meminta kaum ibu menghadiri kelas membaca Al-Quran. Panggilan itu menjentik semangat sekumpulan wanita yang berbaju batik dengan kepalanya tertutup kemas dengan skaf, sambil mereka berlenggang di jalan melepasi masjid dan surau yang wujud di setiap beberapa ratus rantai di tepi jalan itu. Inilah gambaran sejak berabad lamanya betapa wujud sebuah masyarakat yang kuat pegangan agamanya. Kaum wanita itu berjalan menuju ke sebuah sekolah di mana majlis pengajian Al-Quran itu akan diadakan. Itulah sekolah pengajian yang sama yang diasaskan oleh datuk moyang Hambali satu ketika dulu.

Tetapi perlakuan berkumpul secara bebas itu adalah satu fenomena baru kepada orang kampung Sukamanah. Ketika Hambali membesar pada tahun 1970-an hingga 1980-an, seperti yang diceritakan oleh seorang bekas rakan pengajiannya, Ridwan, yang kini menjadi pengetua sekolah pengajian yang tertua di kampung itu, adalah amat sukar dan berbahaya untuk menunjukkan keghairahan terhadap pengajian Islam pada satu ketika dulu. Sewaktu Suharto di puncak kuasa kediktatorannya, sesiapa yang berminat untuk berdakwah dan memberikan kuliah agama, melibatkan tiga orang pengikut, dia perlu mendapatkan kebenaran daripada panglima tentera setempat. 'Pada waktu itu, adalah sesuatu yang lumrah untuk kelas pengajian Al-Quran terpaksa dibatalkan kerana guru yang mengajar itu ditangkap untuk disoal-siasat,' kata seorang kawan lama Hambali yang tidak mahu namanya disiarkan.

Sebagai seorang muda yang begitu kuat pegangan agamanya, Hambali dapat merasakan getaran sekatan yang menindas itu. 'Dia memang kuat beriman,' kata ibunya Eni Mariani yang sudah berusia 60 tahun, 'tetapi beliau amat pendiam dan suka menyendiri." "Pada mulanya," kata Eni, "Hambali beranggapan dia dapat menyambung pengajian Islam di Malaysia, di mana aktiviti keIslaman masih bebas lagi. Tetapi apabila dia tidak berjaya memperolehi biasiswa, lagipun sebagai seorang abang sulung kepada 12 lagi adiknya, Hambali diharap untuk menjadi pencari nafkah untuk menyara ahli keluarganya. 'Kami tidak mempunyai wang untuk membantu beliau,' kata ibunya. 'Tetapi dia memberitahu ketika berusia 20 tahun, dia bertindak pergi ke Malaysia, sambil berjanji kepada ibunya betapa dia mahu bekerja keras untuk mengirim wang ke kampung. Itu adalah caranya ramai pendatang Indonesia berhijrah untuk mencari kekayaan. Tetapi dalam hal Hambali, akan berlaku satu lencongan yang amat besar. Dalam masa beberapa tahun sahaja di Malaysia dia bertolak pergi ke Afghanistan.

....bersambung....

Terjemahan: SPAR
Asal: http://www.time.com/time/asia/features/malay_terror/hambali2.html