Laman KM2: 6923 KM2 Index File Size: 5.5 Kb


TAG SP 631: KWSP Boleh! [Mesti Baca]
By Martin Jalleh

27/3/2002 12:54 am Wed

KWSP Boleh!

(EPF Boleh!)

Pengurus dana yang terbesar di Malaysia - dengan dana yang bernilai kesemuanya melebihi RM181 bilion pada 2001 - hanya mampu membayar kepada pencarumnya, dividen yang paling kecil sejak 38 tahun - dengan diiringi bermacam alasan haprak.

Harta kekayaannya mempunyai kekuatan untuk membeli hampir separuh syarikat yang tersenarai di negara ini - tetapi ia mampu membayar dividen sebanyak lima peratus sahaja - sedangkan dana yang lain seperti Permodalan Nasional Berhad telah mampu mengeluarkan dividen yang lebih tinggi!

Ketika negara dihenyak krisis ekonomi pada tahun 1986, ia telah mengeluarkan dividen sebanyak 8.5% dan sewaktu ekonomi mengerang kerana merudum pada tahun 1997, dividen yang dikeluarkan ialah 6.7%. MALANGNYA, ketika ekonomi negara dikatakan semakin pulih dan segala fundamentalnya disebut semakin kukuh dividen yang mampu dikeluarkan hanya 5% sahaja.

Daripada segi kekayaannya, ia adalah lebih kaya daripada sebarang bank di negara ini, malahan kalau semua bank dicantumkan, ia masih lebih kaya lagi. Namun ia hanya berkemampuan membayar dividen yang sama dengan kadar deposit tetap yang ditawarkan oleh sistem perbankan di negara ini.

Inilah institusi yang lantang mengatakan betapa ia beriltizam kepada kemajuan negara yang dianggapnya sebagai 'pembangun sosio-ekonomi negara' tetapi apa yang mampu diberikan kepada pencarumnya sekarang ialah dividen tahunan yang dianggapnya satu kemajuan sejak 1995.

Pengerusinya mendakwa 'kerana wujudnya keadaan susut nilai yang begitu tinggi terhadap ekuiti dan bertambanhnya pinjaman yang disangsikan' menyebabkan dividen yang tidak seberapa ini - tetapi pada waktu yang sama, membisu sahaja kenapa dana ini telah terus membuat takrifan terhadap pelaburannya yang dikatakan 'pinjaman yang disangsikan'.

Pada tahun 2001, ia telah mengambil-kira RM1.41 bilion pelaburannya sebagai 'pinjaman yang tidak boleh diharapkan' - ini merupakan pertambahan daripa RM754 juta pada tahun 2000 - hingga mencetuskan kesangsian marhaen apakah sebenarnya yang dikatakan pinjaman yang disangsikan itu.

Lebih suku daripada pinjaman yang disangsikan itu bernilai sekitar RM500 juta telah digunakan untuk menyelamatkan syarikat telekom Time dotCom Bhd., pada tahun 2001, sehinggakan pelaburan ini dianggap sebagai pelaburan yang haprak dan mengecewakan.

Pada tahun yang sama ia kerugian sekitar RM110 juta dalam urusniaga yang mengecewakan - namun ia masih bertegas itu adalah satu pelaburan yang tidak disangsikannya tetapi 'berasaskan pertimbangan kewangan yang jitu'.

Pengerusinya masih dapat membuat pengumuman dengan penuh keangkuhan betapa 'Setiap sen wang marhaen adalah selamat. Tidak ada sebarang bahaya wang itu akan hilang kerana ia dilaburkan dengan cermat.' (The Sun 13.04.01)

Dia menyebut betapa di sebalik segala kerugian yang sungguh besar itu, dana awam telah dilaburkan 'secara cermat' untuk menyelamatkan beberapa syarikat yang nazak seperti Perwaja Terengganu Sdn. Bhd (RM600 juta kerugiannya) dan Sistem Transit Aliran Ringan Sdn. Bhd. (STAR).

(STAR telah diberikan pinjaman sebanyak RM500 juta walaupun syarikat itu sedang beroperasi dengan kerugian - menyebabkan ekuiti dana bernilai RM135 juta terpaksa dipupuskan kerana susut-nilai dan sahamnya hanya bernilai RM96 juta pada 1999)

Kemudian tercetus berita kerugian besar anak syarikatnya seperti Malaysia Building Society Berhad, YTR Harta Sdn Bhd., Affordable Homes Sdn.Bhd., Malaysia Capital Venture Sdn. Bhd. Projet bandar Samarian, dan banyak lagi.

Tidak ada sesiapa yang mengetahui apakah kerugian KWSP yang sebenarnya gara-gara 'pelaburan yang berhemah' selama ini. KWSPpun sengaja diam membisu mengenainya - walaupun disiarkannya berita betapa ia mahu mengeluarkan kenyataan umum untuk 'berhubung secara terbuka dan dengan penuh ketelusan'.

Pengerusinya telah menggunakan alasan betapa wujudnya 'unsur suasana kewangan luaran' sebagai dalil kenapa diedarkan dividen sebanyak lima peratus - tetapi tidak ada sepatahpun perkataan menyebut akan segala kelemahan dalaman, masalah dan muslihatnya - yang semakin terserlah, dan sudah lama bernanah.

Dalam 'missi utamanya' yang mahu diumumkannya kepada semua pihak ialah 'menyediakan kemudahan persaraan kepada anggota keahlian' - namun begitu sejak beberapa tahun yang lalu, ia sudah mencipta beberapa bentuk rancangan agar para pencarum mengeluarkan wang mereka lebih awal dan bukan untuk memperkasakan tabungan mereka ketika bersara nanti.

Pengerusinya berkata 'sistem perakaunan yang wajar dilaksanakan untuk semua bentuk pelaburan selepas kajian yang jitu dilaksanakan oleh satu panel yang arif akan pasaran' - tetapi dia lupa untuk menambah bahawa panel pelaburan itu adalah bertanggungjawab kepada Menteri Kewangan dan tertakluk kepada badan Lembaga.

Demikianlah hapraknya segala kelentongan, pembohongan dan drama muslihat menipu rakyat yang akan berterusan - hanya mampu dilaksanakan oleh KWSP.

Martin Jalleh
23 Mac, 2002.

Terjemahan: SPAR
Asal: KM2 6920