Laman KM2: 6913 KM2 Index File Size: 20.4 Kb


DMN 6A: Ditakdirkan Mahathir Nazak?
By Muaalim Toyiban

24/3/2002 1:44 am Sun

Ditakdirkan Mahathir Nazak? - Bab 6, Bhg 1

Kepimpinan Penuh Kepalsuan

Dalam sejarah peradaban Melayu, tidak ada seorang pemerintah baik raja Melayu ataupun pemimpin politik Melayu yang bertakhta ataupun mencengkam kuasa begitu lama yang dapat melebihi tempoh kekuasan Mahathir, walaupun darah yang mengalir dalam tubuh-badannya itu bukannya darah Melayu yang sepenuhnya. Oleh kerana terlalu lama berkuasa dalam arena politik Melayu, Mahathir sudah menganggap bahawa Malaysia adalah hak jajahannya seolah-olah dia mempunyai kuasa semacam kuasa maharajah, nabob dan sultan di India dulu.

Kerana itu, pilihanraya umum di Malaysia hanyalah satu syarat sahaja untuk Mahathir dan sidang parlimen hanyalah merupakan satu majlis untuk menghalalkan segala perancangan haprak bikinan beliau. Kalau kita lihat segala projek mega di negara ini, semuanya merupakan projek yang menggunakan banyak wang rakyat tetapi dilaksanakan tanpa izin dan kelulusan Dewan Rakyat. Sekaligus, Mahathir tidak pernah memikirkan tanggungjawab bahawa dia adalah penghulu kepada semua wakil rakyat di negara ini dan sebagai wakil rakyat, taat setianya mesti pergi kepada rakyat dulu.

Semua projek mega di negara ini yang direncana dan dimajukan oleh Mahathir adalah bertujuan menandingi projek yang sudah lama dibikin di negara maju. Semua projek besar di negara maju dibuat secara beransur-ansur dan bukannya dalam satu tempoh yang singkat. Malahan, kalau kita lihat semua negara maju, mereka membina sesuatu projek itu setelah diluluskan oleh rakyat jelata. Kerana itu, kita boleh lihat tempat kediaman Perdana Menteri Britain yang beralamat No. 10, Downing Street merupakan tempat kediaman perdana menteri yang begitu lama. Tidakpun ada sebarang usaha dan rencana perdana menteri selepas Winston Churchill yang mahu membina rumah kediaman baru untuk menggantikan rumah rasmi perdana menteri warisan sebelum perang dunia Pertama. Tetapi, lihat apa yang dilakukan oleh Mahathir dengan Putrajaya, sedangkan dia jarang sangat berada di tempat kediaman rasmi itu. Kalau dia ada di tanah airpun dia lebih suka menginap di rumah kediaman peribadi yang berjiran dengan kediaman Tan Sri Shamsuddin 'Sapura'.

Di mana bumi dipijak.....

Pepatah 'di mana bumi di pijak, di situ langit di junjung' merupakan satu bidalan lama yang ada hubung-kait dengan pemerintah dan pengikutnya. Ia membawa erti seseorang itu harus mengikut segala peraturan dan tatasusila hidup di tempat yang didudukinya. Makanya kalau orang setempat suka membebek, membebeklah dia dan kalau orang setempat suka menguak, maka menguaklah dia. Ini adalah bidalan basi yang melemahkan pemikiran orang Melayu sejak peradaban yang dipengaruhi oleh sistem feudal dulu.

Budaya mudah akur kepada pemerintah menjadikan Melayu satu bangsa yang lemah dan mudah dirasuah. Selepas kita merdeka orang Melayu didedahkan kepada cerita drama purba dan bangsawan Melayu yang disiarkan di radio dan TV dan ada juga opera bangsawan Melayu yang menjelajah dari satu kampung ke kampung; dari satu ladang Felda ke ladang yang lain, dengan tajaan kerajaan. Maklumlah, Melayu selepas merdeka adalah Melayu yang dipimpin oleh seorang perdana menteri yang berdarah raja. Pada waktu itu, budaya lama Melayu dipelihara sehinggakan rangkapan ayat 'Ampun tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik harap diampun...' hidup subur dalam kesusasteraan Melayu. Inilah yang melalaikan orang Melayu kerana apa sahaja yang perlu dibuatnya mesti akur kepada tatasusila feudal Melayu. Orang Melayu di awal kemerdekaan telah dirobot mindanya oleh rukun hidup protokol yang diajar kepada UMNO oleh kelas ningrat/aristokrat yang masih taksub kepada kuasa raja-raja.

Segala sudut peradaban Melayu ketika itu adalah di bawah pengaruh istana, sehinggakan sesiapa sahaja yang berpangkat di kalangan aristokrat Melayu, dia mesti terlebih dulu mempunyai hubungan persaudaraan ataupun darah dengan golongan raja. Demikian halnya di peringkat pendidikan, di mana anak-anak Melayu yang dibenarkan belajar di Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) mesti mempunyai kaitan dengan golongan istana, orang kaya-kaya, datuk empat dan penghulu serta pemerintah UMNO ataupun memang benar-benar pintar dan layak memasukinya. Kerana itu Dollah Komunis dapat belajar di MCKK bukan kerana dia seorang pelajar yang pintar tetapi kerana ayahnya adalah orang yang mewakili raja yang berpangkat penghulu cabuk sahaja. Najib Tun Razakpun belajar di MCKK kerana dia adalah anak Orangkaya Maha Bijaya Pahang. Begitu juga dengan hampir semua anak raja di negara ini. Cuma apabila mereka keluar daripada MCKK, sijil yang mereka perolehi itu boleh dipertikaikan kerana mereka tidak mempunyai minda yang boleh melayakkan mereka menjadi pemimpin bangsanya. Contohnya selepas kita merdeka 45 tahun, cuba sebutkan lima nama anak raja yang dapat menonjol di negara ini sebagai pemimpin yang berwibawa? Oleh kerana tidak berwibawa makanya kita lebih mendengar anak raja yang suka berfoya-foya, yang sanggup menyauk bini dan anak dara orang yang dilihat akan licin dahinya ataupun yang sanggup bertumbuk dan mengamuk apabila kalah di padang bola. Kerana mereka sudah menjadi satu golongan Melayu yang lupa daratan bahawa 'ampun tuanku beribu-ribu ampun' itu hanya satu ungkapan purba yang sengaja diajar oleh penjajah British agar orang Melayu taat kepada rajanya. Sedangkan raja Melayu itu dirobotkan mindanya agar taat kepada penasihat British di istana.

Orang Melayu Yang Mudah di rasuah

Rasuah walau dalam apa bentuknya merupakan sebahagian kehidupan orang Melayu kerana yang mengamalkannya secara terbuka dan berleluasa ialah raja-raja Melayu di zaman dulu-dulu lagi. Makanya tercatat dalam Serajah Melayu dan Hikayat Melayu purba yang disebarkan turun-temurun melalui lisan, syair dan pantun, bidalan dan kiasan dan cerita wayang kulit lama, betapa raja-raja Melayu asyik khayal menghisap candu, menyimpan gundik dan memaksa rakyat jelata membayar cukai dengan menggunakan kekerasan melalui tukang pukul dan orang kaya jajahan dan daerah, di bukit, ulu dan sungai.

Setiap kali berlaku pertembungan untuk mengawal sesuatu daerah, rakyat jelata dikerah untuk menjadi bala tentera mempertahankan kepentingan raja. Di waktu berperang, bala tentera kerahan itu dikehendaki menyediakan bekalan makanannya sendiri. Kalau dia mati, jandanya dibawa ke istana untuk menjadi gundik raja. Setiap kali mahu berperang, beberapa hari sebelum bertolak ke medan perang, semua askar kerahan dibenarkan memilih salah seorang gundik raja sebagai pasangan tidurnya sambil berkhayal akan keseronokkan pelukan penghibur raja untuk melupakan kemungkinan dia mati katak di medan perang kerana rajanya.

Inilah peradaban Melayu di zaman raja-raja Melayu dulu yang masih ada basi-basahnya hingga ke hari ini sehinggakan selepas 45 tahun kita merdeka keluarga raja-raja Melayu itu sudah menjadi satu golongan Melayu yang kebingungan apa sebenarnya peranan mereka dalam peradaban Melayu moden. Walaupun status mereka adalah sebagai raja Melayu yang sepatutnya menjaga martabat warisan bangsa yang bergelar Melayu, hampir semua raja Melayu itu sudah kehilangan punca tidak tahu menahu peranan mereka selain jadi Pak Congok di upacara yang mementingkan kehadiran mereka. Inilah bahana negara yang dipimpin oleh UMNO yang dirobotkan oleh Mahathir Kutty.

Sejak Melayu mengenal susur galur raja-raja mereka, tidak ada sesuatu yang membanggakan bangsa Melayu yang direncana oleh warga istana. Kalau kita baca sejarah Afrika, kita tentu bangga membaca kisah Raja Zulu yang berperang dengan beraninya menentang penjajah orang putih sehinggakan sistem dan kaedah pertahanan Raja Zulu kini dijadikan satu teladan dalam ketenteraan moden seluruh dunia.

Kalau kita baca sejarah raja-raja Melayu kita boleh ketawa melihatkan betapa bacul dan penakutnya raja dulu-dulu kepada British. Bayangkanlah apabila Singapura boleh diserahkan kepada British dengan hadiah coklat, dan toffi, biskut dan serbuk kopi. Kerana itu sehingga hari ini suku-sakat Raja Johor yang menyerahkan Singapura kepada British masih lagi disauk badi diraja sehinggakan air perut bumi Johor boleh tergadai kepada Singapura dan rakyat Johor terpaksa membelinya semula untuk kegunaan mereka. Yang ternyata mampu dibuat oleh Raja Johor (enggan dikenal sebagai sultan mengikut ragam datuknya dulu yang mahu dikenal sebagai Maharajah Johor) ialah bersikap angkuh terhadap rakyatnya dan melempang anak-anak Melayu yang lambat memberikan khidmat mereka, kerana mereka keliru dengan arahannya. Perangai biadap seorang raja terhadap rakyatnya tidak pernah dikutuk oleh UMNO Johor kerana taksub dengan kedaulatan raja. Lagipun siapa di kalangan pemimpin UMNO yang berani, takutkan gelaran bintang di tarik semula.

Perangai raja Johor yang gila sawan terhadap rakyatnya memang menjadi satu dilema rakyat jelata dan perangai itu terdapat di mana sahaja di Semenanjung Tanah Melayu. Ada raja yang gemar berfoya-foya di seberang laut dengan berjudi sepanjang hari. Apabila kalah, menelefon menteri besar mengirimkan wang untuk membayar hutangnya. Ada raja yang boleh jatuh sakit hanya bila muncul bulan Ramadan untuk memerlukan rawatan di luar negara. Peliknya apabila habis Ramadan, sakitnya itu betah (sihat) dan diapun pulang ke takhtanya semula menunggukan munculnya Ramadan yang lagi satu. Ada raja yang begitu bodoh apabila bercuti di Switzerland, dia kerap bertanya orang sana kenapa lembu di Switzerland berwarna coklat dan putih? Kenapa lembu di sana boleh berdiri di lereng gunung dan bukit?' Orang Switzerland yang tahu sultan ini jenis ngok, pun menjawab: 'Lembu kami berwarna coklat dan putih kerana kami beri makan coklat dan susu.... lembu kami boleh berdiri di kaki gunung kerana ada satu jenis kasut terpasang di bahagian kakinya...!' Demikain kisah betapa jauhnya tahap pendidikan kebanyakan raja Melayu, sehinggakan pada satu ketika dulu ada seorang raja yang mati bontang kerana mabuk di meja makan restoran Cina. Demikianlah juga aibnya yang terpaksa ditanggung oleh marhaen Melayu apabila mendapati ada rajanya ataupun tengku mahkota yang mengahwini pelayan kasino dan pelayan restoran sebagai teman hidupnya. Inilah bahana 'Ampun tuanku beribu-ribu ampun....' apa raja buat, rakyat masih kena minta ampun.

Tahap pendidikan raja-raja Melayu telah ditentukan oleh penjajah British dulu supaya berada di tahap 'cukup makan' sahaja. Itulah juga taktik British terhadap golongan istana di India dulu sehinggakan British yang mempunyai askar yang dibawa oleh dua puluh kapal laut mampu akhirnya menjajah sebuah benua India. Rasuah utama British terhadap raja-raja Melayu ialah dalam bentuk puji-pujian. Makanya muncul 'ampun tuanku beribu-ribu ampun.....!' dikekalkan supaya raja raja pula memanggil penasihat British mereka dengan panggilan 'Tuan yang terutama Penasihat Diraja...'. Budaya inilah yang menular sehingga wakil rakyat yang sepatutnya menghambakan hidupnya untuk kepentingan keseluruhan rakyat mesti dihormati oleh rakyat dengan panggilan 'Yang Berhormat'. Apabila wakil rakyat diberi pangkat 'Yang Berhormat,' maka gugurlah asas tugas utamanya untuk berbakti kepada rakyat.

Soalnya sekarang budaya politk Melayu banyak meniru budaya ketuanan raja-raja Melayu. Di zaman raja-raja memang berulam di hati dan beraja di mata dulu, seorang raja hanya layak menjadi raja selagi dia memegang kuasa. Kalau dia kalah di medan perang, dia terus menjadi hamba dan isterinya diambil sebagai gundik kepada raja yang menang mengalahkannya.

Tetapi, dalam konteks politik Melayu ala-UMNO, seorang YB yang sudah kecundang dan ternyata haprakpun masih diberikan gelaran dan kehormatan kepadanya. Contohnya ialah kisah seorang YB yang membawa berkilo wang memasuki Australia dan tertangkap dan terhukum di sana, dia masih menjadi naib presiden UMNO dan masih diberi tempat menjadi pemimpin orang Melayu. Begitu juga dengan seorang menteri wanita yang ternyata begitu besar rasuahnya, dia masih menjadi pemimpin wanita UMNO dan keupayaannya memberikan lesen AP membawa kereta buatan asing yang sudah tentu menjejaskan penjualan kereta buatan sendiri, tidakpun dipertikaikan. Begitu juga dengan kisah seorang bekas menteri besar yang membalun balak di negerinya sehingga tidak ada lagi peruntukan untuk beberapa tahun yang terdekat. Tidak pula dia terhukum, malahan menjadi Menteri Penerangan kerajaan dan Setiausaha Agung UMNO.

Bagaimana kisah seorang menteri besar yang baru berusia 35 tahun yang mempunyai rekod cemerlang membalun harta negeri dalam tempoh belum cukup setahun jagung dia memegang jawatannya? Dia mentadbir negara semacam seorang doktor gigi melihat penyakit seorang pesakitnya. Dia ambil jalan pintas setiap gigi yang sakit mesti dicabutnya, tidak perlu korek dulu dan tampal mana yang perlu ataupun beri peluang dibius dulu untuk mencabutnya. Semua tindakannya lintang-pukang sambil dia membalun harta rakyat jelata tanpa memikirkan kesannya.

Kenapa pemimpin Melayu mudah lupa daratan

Pemimpin politik Melayu mudah lupa daratan kerana rasuah sudah menjadi darah daging kehidupan orang Melayu. Di zaman raja-raja Melayu dulu, rakyat jelata datang bersila dan melutut meminta ampun kepada raja sedangkan dia tidakpun berdosa. Sikap meminta ampun itu adalah satu pembuka bicara antara rakyat dengan raja yang disalah-ertikan oleh generasi Melayu selepas merdeka walaupun pembuka bicara itu sekarang di pendekkan menjadi 'ampun tuanku..' sahaja. Tetapi, di istana raja-raja masakini masih lagi ramai anggota istana yang bergelar pawang di raja, yang dibayar dengan hasil cukai rakyat jelata. Apakah kerja pawang sedangkan segala kerja itu amat bertentangan dengan ajaran Islam? Kenapakah mereka ini tidak diberhentikan dan dibiarkan sahaja oleh semua wakil rakyat kita?

Di zaman dulu, pawang istana adalah makhluk yang menentukan nasihat kepada raja apakah persembahan rakyat marhaen itu benar-benar ada keikhlasannya. Kalau betul, barulah raja mengarahkan dihadiahkan sepasang pakaian kepada rakyat marhaen itu. Demikianlah hubungan raja Melayu dengan rakyatnya. Setiap kali rakyat marhaen berjasa kepada raja dia dianugerahkan sepasang pakaian. Tentunya baju raja yang lama-lama dan yang tidak mahu dipakainya lagi ataupun sudah sendat kerana raja sudah tambah berisi berat badannya. Sudah tentu pakaian hadiah raja dijadikan satu lambang kemegahan oleh si penerima walaupun hadiah itu merupakan ganjaran kerana dia sanggup menggadaikan nyawanya. Hadiah raja menjadi penyedap walaupun ketika itu ramai sahabat dan saudara-mara yang terkorban kerana mempertahankan hak raja yang kebetulan selalunya berada di kamar dengan gundik dan madat candunya.

Rasuah raja dengan memberikan sepasang pakaian ditambah lagi dengan memberi gelaran kepada penerimanya. Contohnya ialah gelaran 'orang kaya mahabijaya.... Ulu Jempul misalnya ataupun 'laksamana pembakar jambatan.......' ataupun 'Orang Bergelar Empat ...' dan sebagainya.

Susur-galur kurniaan diraja itu menjadi asas penganugerahan bintang dan kehormatan oleh warga istana kepada rakyat jelata. Sehingga kini, penghormatan dan gelaran itu sudah tidak membawa makna lagi kepada generasi muda Melayu walaupun ia merupakan barang idaman kaum lain terutama sekali kaum Cina. Ada yang sanggup berbelanja besar menyogok istana untuk memberikan gelaran semacam itu. Beberapa tahun dulu pernah tercetus cerita bagaimana seorang usahawan bukan-Melayu menghadiahkan Yang Dipertuan Agong ketika itu dengan saham syarikatnya yang bernilai lebih lima belas juta ringgit di pasaran saham ketika itu. Apabila hadiah khas itu diberikan, harga sahamnya turun daripada RM17.00 sesaham menjadi hanya RM2.00 sahaja.

Hadiah gelaran bintang adalah mainan politik UMNO terutama sekali oleh Mahathir yang menentukan hampir semua kroninya daripada kaum bukan-Melayu mendapat gelaran Tan Sri. Hampir semua yang menerima gelaran ini merupakan lintah darat yang kecundang dalam perniagaan mereka dan terpaksa diselamatkan dengan menggunakan wang rakyat marhaen.

Dengan lain perkataan kepimpinan Melayu yang penuh kepalsuan bermula daripada warga raja-raja di istana dan kerana mereka lalai memahami kuasa dan peranan mereka, ketuanan Melayu yang diamanahkan kepada mereka dengan mudah bertukar tangan kepada UMNO yang kemudiannya memfaraidkannya ke tangan Mahathir Kutty.

Dengan kata mudah, peranan dan tugas utama Mahathir ketika bangkit semula menjadi pemimpin UMNO ialah menutup minda orang Melayu dengan turut memperlekehkan raja-raja Melayu sehinggakan kuasa yang ada pada raja bertukar tangan kepada Mahathir sahaja. Ini menunjukkan raja-raja Melayu pada keseluruhannya masih kebingungan kerana ketiadaan penasihat British yang memang sudah lama memukau minda mereka menjadi satu golongan Melayu laksana melukut di tepi gantang sahaja.

Apabila martabat raja-raja dapat diperbodohkan oleh Mahathir dengan kerelaaan hati orang UMNO, apakah lagi yang dapat diharapkan kepada mereka sebagai pewaris wawasan Melayu? Sekaligus, mereka akur kepada apa juga tipu muslihat yang direncana oleh Mahathir secara terbuka. Perkara ini boleh dirakamkan secara ringkas sahaja dalam bab ini.

Pertama, setelah berjaya memperlekehkan raja-raja, Mahathir berjaya menumpaskan tentangan terbuka oleh sebahagian keanggotaan parti yang dipelopori oleh Musa Hitam tetapi diproksikannya kepada Tengku Razaleigh. Undi pemilihan sudah memihak kepada Razaleigah, tetapi tup-tup, lampu pula terputus dan apabila dikira semula tong undi, Razaleigh kecundang kerana ada 'undi angin' yang memihak kepada Mahathir. Berlakulah perpecahan dalam UMNO sehingga UMNO dibubarkan. UMNO yang ada pada hari ini yang dulunya digelar UMNO Baru, adalah satu parti yang tidak sah dari segi undang-undang. Tetapi oleh kerana sistem kehakiman negara sudah dirobotkan juga maka apa juga yang dibuat oleh Mahathir menjadi halal belaka.

Apabila UMNO berpecah dua, lahirlah Semangat 46, yang dipelopori oleh Razaleigh bersama ramai orang kuat yang mempunyai ilmu bakar jambatan, kencing di pusara, mencium bontot Mahathir dan banyak lagi ketokohannya. Tetapi, Tengku Razaleigh adalah seorang anak raja yang tidak pernah memahami pahit-getir sesuatu perjuangan. Dia lahir di istana yang penuh kemewahan yang diwarnai budaya rasuah ala-raja-raja Melayu. Yang amat dipentingkannya ialah kemasyhuran dan segala gah dan keceriaan dijulang-julang sebagai seorang pemimpin, sedangkan sebagai anak raja dia tidak pernah melalui satu proses mengenal keperitan orang Melayu seperti yang dilalui oleh Tunku Abdul Rahman Putra. Lagipun kebanyakan pengampunya adalah terdiri daripada hulubalang Melayu yang hanya pakar untuk menjadi pemimpin tanpa keperitan berjuang bersama rakyat marhaen. Mereka hanya pakar retorik sahaja. Kisah keberanian kencing di pusara, membakar jambatan dan mencium bontot Mahathir adalah gimik politik sahaja. Sebenarnya mereka dahagakan pangkat YB yang hanya dapat mereka perolehi dengan belas ihsan Raja Penyangak sahaja. Menjadi wakil rakyat dengan ihsan Mahathir adalah satu kemewahan dunia yang tidak dapat diberikan oleh orang lain, kerana Mahathir merelakan apa sahaja kepada mereka yang sanggup bermati-matian mengampunya. Itu sebabnya Rais Yatim, Ibrahim Ali, Mohd Zain, dan ramai lagi bekas pemimpin Semangat 46 yang akur dengan tindakan Tengku Razaleigh untuk membubarkan parti itu dan sekaligus memasuki UMNO semula. Mereka melanggar ikrar dan sumpah setia mereka untuk memasuki UMNO semula sedangkan mereka yang melompat keluar dan merayu kepada orang Melayu untuk menyokong 'perjuangan' (perut dan temobol) mereka. Sepatutnya kalau mereka benar-benar ikhlas berpolitik, mereka sepatutnya mengikut jejak langkah Datuk Lee Lam Thye untuk undur terus daripada muka-bumi politik Melayu dan buat kerja lain yang tidak berbau politik. Tetapi, kerana gilakan kuasa yang mudah dicapai melalui politik Mahathir, kumpulan bangsat ini sanggup mewarnai politik Melayu dan mengaku mereka memperjuangkan nasib orang Melayu. Sekali lagi budaya rasuah raja-raja Melayu menjadi amalan Mahathir Kutty..

Dengan terhumbannya Parti Semangat 46 ke lipatan sejarah Melayu moden, Mahathir meneruskan agenda untuk terus memperkasakan kedudukannya.

...bersambung....