Laman KM2: 6912 KM2 Index File Size: 10.2 Kb


TJ SP MGG: Ketari V: Demokrasi Dalam Kediaman Yang Terhad
By M.G.G. Pillai

24/3/2002 1:37 am Sun

Ketari V: Demokrasi Dalam Kediaman Yang Terhad

(Democracy In Restricted Residence)

Oleh: M.G.G. Pillai - 20/3/002.

Ketika berada di Russia minggu lalu, Perdana Menteri, Mahathir Mohamed telah menyuarakan satu pendapat yang tidak mungkin dituturkannya ketika berada di negara sendiri. Beliau menyebut bahawa Russia seharusnya berusaha menjadi sebuah kuasa besar dunia semula, memandangkan dunia sedang dibayangi sebuah kuasa besar sahaja. Dunia akan menjadi terlalu berbahaya seandainya dicengkam oleh sebuah kuasa besar sahaja. Kalau andaian ini dipanjangkan untuk mengambil-kira politik Malaysia, dia menganjurkan betapa sebuah parti politik ataupun sebuah gagasan politik tidak seharusya mendominasi sesebuah negara; bahawa parlimen dan dewan-dewan undangan negeri memerlukan lebih banyak lagi suara pembangkang untuk mengimbangi pengaruh gagasan Barisan Nasional dan mengawasinya. Tidak ada yang lebih tepat dalam kebenaran ini.

Bahaya dunia yang dibayangi kuasa unipolar memang amat bertepatan dengan andaian beliau. Cuma dia sengaja memperlekehkannya. Di negara ini dia amat percaya dengan hak BN memerintah tanpa pihak pembangkang yang mengawasinya. Apabila Bush merasakan dia tidak dapat memerintah dengan rakusnya, dia mengugut untuk melancarkan senjata nuklear. Begitu juga dengan Mahathir yang amat ghairah menggunakan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri yang zalim) untuk menahan sesiapa yang berani menyanggah pemerintahannya. Dia dan Presiden Bush, memerintah dengan peraturan yang sama di mana apa yang dipermudahkan kepada dewa Yunani tidak boleh dihulurkan kepada orang lain.

Ucapannya mengenai kuasa dunia berunsur unipolar bukannya untuk pengetahuan orangnya di tanahair, apatah lagi kalau saranan itu memperkasakan demokrasi. Di Malaysia, demokrasi adalah satu sistem pemerintahan yang terbelenggu, terhencot-hencot di kawasan perumahan yang menghantui musuh regim Mahathir, yang mesti mengikut paluan cambuk tuannya di Malaysia; Barisan Nasional dan sekali-sekala oleh polis Malaysia seperti yang dihadapi dengan teruknya oleh mantan timbalan perdana menteri Anwar Ibrahim satu ketika dulu. Di pihak dunia bebas pula, sudah wujud satu budaya betapa mereka diperlukan tunduk dan akur kepada Amerika Syarikat gara-gara munculnya satu cabaran besar terhadap kekuasaannya pada September dulu sehingga membuatkannya naik minyak. Begitulah juga dengan BN yang naik minyak mahu terus menguasai negara ini. Sebarang usaha pihak pembangkang untuk melukakan martabat BN dianggap sebagai satu ancaman serius laksana Bush menganggap sebarang ancaman terhadap kewibawaannya dengan cara mahu melepaskan bom nuklear terhadap musuhnya.

Sebenarnya BN tidak senang hati menghadapi satu pilihanraya kecil yang kalau boleh tidak dipertandingkan. Kuasa besar politik di Malaysia betapapun pandangan pemimpinnya di arena global, memang tidak mahu pembangkang, yang dipandangnya dengan jijik sebagai golongan anti-nasional, walaupun kewujudan mereka adalah untuk mengimbangi kuasa di Malaysia. Kerana itu pemimpin politik pembangkang ditangkap dan ditahan tanpa perbicaraan mengikut ragam kerajaan Amerika Syarikat. BN mengancam mereka yang berpaling tadah dan melompat kepada parti lawan . Tidak jauh bezanya dengan Amerika Syarikat yang takut bertembung dengan pembangkangnya secara bersemuka tetapi lebih gemar menyerang daripada berbincang dengan mereka. Demikian halnya di Ketari. Presiden Gerakan, Lim Kheng Yaik, sedang menggelabah. MCA pula sedang berkecamuk dan terpaksa melupakan masalah dalaman untuk turut serta berkempen. UMNO tidak mahu melihat PAS menayangkan bendera parti pada hari penamaan calon, kerana itu polis membuat peraturan tidak membenarkan bendera lain kecuali bendera DAP yang dikibarkan di kawasan pembangkang. Tetapi BN diizinkan mengibarkan semua bendera parti komponennya walaupun calon Gerakan bertandinng atas nama BN.

Sejak pemilu 1999, UMNO, MIC dan MCA dan kini Gerakan terpaksa menghadapi pilihanraya kecil dengan suasana yang penuh mencabar. Kemungkinan akan muncul satu lagi pilihanraya kecil memang membuatkan Mahathir menggigil kalaulah ADUN Pahang, Dato Fauzi Abdul Rahman, yang merupakan penyokong kuat Anwar Ibrahim, mengancam melepaskan kerusinya sebagai tindakan menyagat UMNO Pahang. Kemungkinan ini memang ditakuti oleh UMNO dan BN kerana besar kemungkinannya PAS akan menang. Kerana itu UMNO mengalah secara berlembut dan mengharapkan Fauzi tidak berbuat begitu sebelum 30 November tahun ini. Selepas itu tidak lagi ada pilihanraya kecil yang dipertandingkan. Undang-undang pilihanraya Malaysia melarang sebarang pilihanraya kecil pada dua tahun terakhir sesi parlimen dan dewan undangan negeri.

Dalam lawatan Mahathir ke Russia itu, ada satu lagi kejutan yang dibuatnya dalam membeli 30 buah jet pejuang Sukhoi. Memang tidak ada cacat-celanya dalam pembelian itu kecuali agen jualan di Malaysia yang tidak diketahui umum. Dalang yang paling utama dalam pembelian itu ialah seorang insan bernama Rosmah Yaakob, yang secara kebetulan merupakan isteri kepada Najib Razak, menteri pertahanan kabinet Mahathir. Secara lazimnya, Soviet Union dan kemudiannya Russia tidak mempunyai agen khas untuk penjualan alat ketenteraan di negara barat. Sesiapa sahaja boleh menjadi agen kalau memintanya, sambil membayar balik apa juga harga komisen yang patut diterima oleh insan yang menjayakan penjualannya. Rosmah Yaakob berjaya merencana jual-beli itu. Ini perkara mudah kalau dikirakan siapa suami yang menolongnya. Satu ketika dulu Mahathir mendapati gelagat ini sungguh menjijikkan dan menukarkan Najib ke Kementerian Pendidikan Di sana Rosmah mengembangkan sayapnya menjadi ejen komisen untuk penjualan perisian komputer untuk projek 'Sekolah Bestari' yang sudah kantul kini. (Perisisan itu masih belum siap lagi walaupun bertahun dulu dia menjanjikannya.)

Tetapi Dato' Najib sudah menjadi sekutu yang bermutu dalam pencarian panjang insan yang akan menggantikan tempatnya. Kerana itu Mahathir menutup sebelah mata apa juga yang dilakukan oleh isteri Najib. Ini merupakan amalan biasa dalam Darulboleh seandaiya seseorang itu tukang ampu kepada Insan Yang Berfikir Dialah Maharaja Seluruh Malaysia. Anda akan dituduh sebagai rasuah seandainya anda dan saya sendiri melakukan apa yang Anwar Ibrahim lakukan, tetapi perkara itu dikira perkara biasa seandainya anda dianggap anak-didik dan peliharaan orang tua yang gila kuasa. Itu sebabnya Anwar Ibrahim merengkok dalam penjara dalam apa yang disebut oleh Ling Liong Sik kisah Sarjan Senapang bin Peluru masuk Sungai Bulu dulu, sedangkan Rafidah Aziz berlagak sakan di Putrajaya.

Demikianlah kiasan sindiran yang menghantui setiap pemimpin BN, setiap kali munculnya pilihanraya kecil di negara ini. BN berpendirian bahawa taktik terbaik untuk menang di Ketari ialah dengan menyerang DAP sebelum hari penamaan calon diisytiharkan. Dengan mengenepikan cara berhemah dan berunsur mulia, Gerakan memilih jalan aib untuk menang di sana. Kuasa besar politik Malaysia tidak mampu membiarkan sebarang jentikan terhadap kuasanya. Mereka sanggup berlagak laksana harimau yang terluka untuk mempertahankan maruahnya. Rencana BN dalam serangan keganasan ala-11 September adalah merupakan batu penghenyak Anwar Ibrahim. BN berlagak sama caranya dengan tingkah-laku Washington. Itu sebabnya Mahathir berlagak semacam Presiden Bush, dengan pendapat yang saling bertukar nadanya di hadapan hadirin yang berbeza, untuk menunjukkan betapa sebarang kuasa besar, dalam dunia politik ataupun global mempunyai hak istimewa yang tidak boleh diperolehi oleh orang lain.

Keupayaan BN dan Mahathir berlagak sombong tanpa banyak bantahan berbanding bantahan yang dihadapi oleh Presiden Bush, adalah satu gambaran betapa lompongnya kuasa pembangkang di Malaysia. Seperti yang disebut oleh MP PAS, Shahnon Ahmad, dalam tulisannya di Harakah terkini, UMNO telah merampas ketuanan feudal Melayu selama 55 tahun dulu lagi dan berjaya menguasai ketuanan politik dan feudal Melayu itu dan berjaya menyerkap ketuanan politik bukan-Melayu sehinggakan BN dan parti pembangkang dipaksa akur menerimanya. Yang mencabarnya ialah kebangkitan kesedaran di kalangan orang Melayu ekoran pengaiban Anwar. UMNO telah berusaha melancarkan perdebatan politik dan merencana hegemoni feudal dengan cara meruntuhkan peranan warga istana dan ulama.

Apabila UMNO cuba menonjolkan perananya sebagai pejuang budaya dan ketuanan feudal Melayu, sepatutnya ia menerima pakai segala hukum-hakam budaya yang lama tersusun itu. Tetapi ia enggan menerimanya, dan kini dihantui satu hukuman kerana melanggarnya, dan bertindak ganas dengan penuh kemarahan. Sebagai seorang ketua Melayu, Mahathir tidak pernah dicabar - kepimpinannya sebagai ketua feudal dapat bertahan bukan disebabkan aturan ragaman budaya tetapi oleh kerana kuasa dan putar-belitnya sehinggakan kuasa feudal itu lari daripadanya - begitu juga halnya dengan Presiden Bush yang disanggah oleh musuhnya dari kalangan golongan pejuang Islam.

Kerana itu Mahathir menyibuk di pentas dunia mengemukakan pendapat betapa AS tidak seharusnya dibenarkan berlagak sendirian sebagai kuasa dunia, sambil beliau merasa yakin betapa dunia tidak akan memandang serius segala mainan wayangnya.

Kalau dia boleh berlagak celupar di Moscow mengenai hal ehwal politik dalaman, dia juga tidak mempunyai sebarang niat untuk memenuhi janjinya seperti yang pernah dibuat mengenai sekolah Cina, akan dianggap sebagai sesuatu yang serius hingga memaksa ianya dipenuhi di Malaysia. Sekarang ini anda sukar mengamati pergerakan bibir Mahathir untuk meneka apakah dia berkata benar ataupun sengaja berbohong. Kalau ada kebenarannnya ialah apakah tindakannya ketika menyatakan sesuatu itu. Teori yang mengatakan Mahathir mahukan pihak pembangkang menang di Ketari tidakpun disokong oleh kenyataan. Kalaulah DAP menang, kesannya nanti adalah lebih serius daripada yang dijangkakan.

M.G.G. Pillai
pillai@mgg.pc.my

Terjemahan: SPAR

Asal: KM2 6896