Laman KM2: 6903 KM2 Index File Size: 7.5 Kb


TJ SP MGG: Ketari VI: KPN campurtangan selesai masalah
By M.G.G. Pillai

22/3/2002 11:14 pm Fri

Ketari VI: KPN campurtangan selesai masalah

(The IGP steps in to undo a mess)

Oleh: M.G.G. Pillai - 21/3/2002.

Pilihanraya kecil Ketari sudah bertukar menjadi satu skrip kehaprakan belumpun hari pencalonan diadakan pada hujung minggu ini. SPR telah bertindak menjadikan hari mengundi pada cuti Easter Sunday. Polis Pahang bertindak menghadkan penggunaan bendera parti hanya untuk parti yang mendaftarkan calonnya, tetapi membenarkan BN mengibarkan semua bendera parti komponennya. Rombongan penyokong dihadkan juga dan setiap calon hanya dibenarkan 100 orang penyokong bersama bendera partinya sahaja berarak ke pusat pencalonan. Pihak berkuasa memang sanggup tunduk ke bumi dengan ketaksuban betapa BN seharusnya dibantu selalu dan pihak Pembangkang diperlekehkan begitu.

Demikianlah hapraknya keadaan yang sudahpun sampai ke telinga rakyat jelata. Sedangkan SPR yang sepatutnya lebih berkuasa dan bukannya polis yang ada kuasa menetapkan pelbagai syarat untuk mereka mengada-ngada. Kehaprakan ini menjadi semakin menyerlah apabila KPN Norian Mai campurtangan semalam 20/3/02 (sila lihat Bernama mengenai kisah ini) dan menarik balik arahan mengenai penggunaan bendera parti sehinggakan tindakan itu menyebabkan banyak soalan yang lain pula.

Kenapakah polis Pahang berlagak seolah-olah iapunya kuasa? Apakah ia tidak merujukkan dulu kepada ibupejabat polis dan SPR sebelum mengumumkan peraturan itu? Kenapakah arahan itu dikeluarkannya tanpa berbincang dengan parti politik dan SPR? Yang lebih penting lagi, kenapa pula arahan polis itu ditarik balik? Norian Mai berkata beberapa pihak telah membantahnya. Sejak bila pula polis mendengar bantahan orang ramai, kecuali bantahan 'beberapa pihak' itu datangnya daripada BN? Apakah polis tidak mendengar rintihan orang ramai sebelum mengeluarkan peraturan itu dulu?

Apakah benar pegawai polis kita sudah bertaraf Pak Pandir kerana mudah membuat keputusan sambil lewa tanpa memikirkan kesan buruknya? Ataupun apakah itu satu kiasan kepada Perdana Menteri betapa polis boleh diharapkanya untuk menjaga kepentingannya dan juga BN? Ataupun itu satu taktik salah langkah oleh polis Pahang mahu menunjuk-nunjuk yang ia taat dan setia? Dengan keupayaan menentukan peraturan tanpa merujuk kepada SPR apakah itu caranya menunjukkan kecekapan polis?

[Catatan penterjemah: Campurtangan Norian Mai dalam hal ini memang kita kagumi. Tetapi, adalah lebih baik Ketua Polis Pahang direhatkan sepanjang proses pilihanraya kecil Ketari untuk mengelakkan beliau memberi arahan lain yang mungkin menjejaskan suasana pilihanraya kecil itu. Kalau mahu lebih berkesan, suruh sahaja Ketua Polis Pahang itu bersara awal ataupun mengambil kursus bagaimana menjadi penjaja pasembor bersama-sama Ketua Polis Daerah Baling!!!!! ]

Dalam satu pilihanraya kecil di mana BN tidak mempunyai isu ataupun minat ataupun keduanya sekali, para pegawai membuat kesilapan yang tidak sepatutnya, dengan fitnah berleluasa mengambil tempat perdebatan terbuka walaupun hari pencalonan belum selesai, tindakan pengharaman oleh polis dan sikap acuh-tak-acuh SPAR menunjukkan betapa angkuhnya BN seolah-olah ia mampu berbuat sesuka hati dan bermegah dengan anggapan tidak ada sesiapa yang akan bertindak untuk membantah. Kerana itu juga presiden Gerakan, Lim Kheng Yaik mengungkit semula segala kisah dendam kesumat dengan DAP sedangkan apa yang patut diperjelaskan ialah rencana yang akan dibuat oleh calonnya, kalau menang kali ini. Pada waktu yang sama semua akhbar perdana Malaysia yang merupakan alat propaganda BN sengaja diam membisu.

Setakat ini BN berpendirian taktik memburukkan DAP adalah cara terbaik untuk membuka minda pengundi Ketari mengalahkan calon pembangkang. Kerana itu taktik menyulitkan DAP dianggapnya dapat menjadikan DAP tempang dan sukar mendapatkan sokongan pihak pembangkang datang membantu. Kedua-dua taktik kotor ini sudah jelas memakan tuannya. Kalaulah arahan polis itu dipatuhi, sudah tentu ia akan menyulitkan BN dan bukannya DAP. Sekurang-kurangnya pihak pembangkang akan mengusahakan satu kemenangan juga. BN hanya berkempen di kawasan yang diduduki oleh penyokongnya, kerana itu bendera parti komponen adalah lambang terpenting ketika kempen berbanding mengibarkan bendera BN sahaja.

Seperti yang saya rakamkan, pilihanraya kecil Ketari ini bolehlah dianggap sebagai satu titik-tolak perubahan di mana proses demokrasi dalam pilihanraya di masa hadapan menjadi satu proses yang boleh disangsikan. (Raja Pasembor) Norian Mai bercakap mengenai masalah keselamatan di Ketari. Bilakah masalah itu muncul? Ketika pilihanraya kecil diumumkan ataupun sebelum itu lagi? Kalah masalah itu berlaku sebelum pengumuman pilihanraya kecil itu, kenapakah polis tidak mengambil tindakan untuk membanterasnya? Kalau masalah timbul selepas pengumuman pilihanraya kecil itu, apakah yang menjadi penyebabnya? Apakah kerana kemungkinan pilihanraya kecil itu? Ataupun apakah itu satu tipu-helah untuk menangkap dan mengugut sesiapa sahaja dengan menggunakan pilihanraya kecil itu sebagai alasan sahaja? Apakah itu muslihat menyerkap sesiapa yang boleh lesap selepas hari pencalonan? Dengan lain perkataan apakah BN terlalu galak menyalak 'Serigala.. serigala ... tolong.... tolong serigala... lebih kerap daripada yang sepatutnya???

Seorang bekas menteri kabinet yang pernah menjadi MP Bentong, Dato' Seri Chan Siang Sun, pernah membawa saya melihat kawasan pilihanraya mendiang pada 1970-an. Mendiang pernah memberitahu betapa MCA Bentong memang amat dibenci, kerana itu dia tidak mampu melawat kawasan itu dalam apa keadaanpun, dan terpaksa pemandunya memecut kereta setiap kali melalui tempat itu. Inilah kawasan perkampungan baru Cina yang bertegas dengan sikap anti-komunis ketika darurat tetapi apabila kemerdekaan dicapai telah diabaikan untuk hidup sendirian. Contohnya pada 1979, peruntukan negara untuk kemajuan perkampungan baru hanya sekitar $5 juta untuk memberi kemudahan kepada 456 perkampungan baru di seluruh negara. Peruntukan untuk tujuan itu tidakpun banyak peningkatannya pada waktu ini. Setiap kali pilihanraya kecil terjadi, segala kehaprakan pengabaian perkampungan itu terserlah untuk semua melihatnya.

Perkara ini memang boleh diperaku oleh presiden Gerakan. Ketika beliau menjadi menteri yang bertanggungjawab dengan perkampungan baru Cina di awal 1970-an dulu, rungutan beliau yang terbesar ialah peruntukan yang diberitakan padanya tidak mampu memajukan satu perkampungan baru, apatah lagi keseluruhan 456 kampung itu. Inilah yang menyulitkan BN, disebabkan keangkuhan dan riak betapa hanya BN yang dapat menyelesaikan masalah negara ini. Pada waktu yang sama BN tidak mampu meraih perhatian rakyat untuk mereka mendengarnya apatah lagi mempercayainya. Pihak tertentu yang turut angkuh dan menjadi degil seperti pihak polis, beranggapan betapa hanya kekerasan dan arahan haprak memadai menentukan keamanan negara. Sedangkan jawapan sebenar tidak lagi seperti itu. Jurang perbezaan sudah terlalu besar dan sudah bergegar. Inilah yang membuatkan BN dan bukannya pembangkang yang sedang menggeletar. Tidak kiralah kalau Ketari, seperti yang ramai menjangkakan, akan dimenanginya sekali lagi.

M.G.G. Pillai
pillai@mgg.pc.my

Terjemahan: SPAR

Asal: KM2 6902