Laman KM2: 6712 KM2 Index File Size: 6.0 Kb


TJ SP MGG: BN Tolak Partipunjabi
By M.G.G. Pillai

4/2/2002 12:23 pm Mon

BN Tolak Partipunjabi

(The BN rejects the Punjabi Party)

Oleh: M.G.G. Pillai - 31/1/2002.

Barisan Nasional (BN) telah menyatakan keengganan menerima Parti Punjabi Malaysia yang mempunyai keanggotaan seramai 20,000 ahli. Saya tidak berapa tertarik dengan penolakan BN itu berbanding kepada keahlian parti. Daripada sekitar 200,000 warga Sikh di negara ini, setengah dari mereka adalah berumur di bawah 21 tahun ataupun berada di maktab dan universiti dan tidak layak menganggotai parti politik (kecuali Puteri UMNO - penterjemah). Terdapat sekitar 40,000 warga Sikh yang sudah berkahwin (kecuali wanitanya) yang aktif berpolitik. Yang lain adalah golongan yang masih membujang. Daripada kumpulan sekitar 60,000 ini, PPM (Parti Punjabi Malaysia) berjaya menarik warga mereka daripada keanggotaan MIC dan PPP, untuk menjadi ahli parti. Jumlah ini tidak termasuk mereka yang memang lama melibatkan diri berpolitik di barisan pembangkang seperti Karpal Singh dan anak-anak lelakinya, ataupun seperti KS Nijhar di MIC, dan segelintir pengikut mereka. Walaupun mereka pintar menguruskan pertubuhan, BN tidak memikirkan mereka layak menganggotai BN.

BN yang lebih cekap membesar-besarkan jumlah keanggotaan ahlinya lebih pintar lagi daripada Arther Anderson yang melakukannya di Enron (syarikat minyak Amerika - penterjemah), pasti sudah terbau sesuatu yang bermuslihat dalam permohonan PPM itu. Tentulah ia tidak mengemari pemohon yang berjaya meniru dengan lebih licik lagi cara BN menggembar-gemburkan jumlah keanggotaan ahlinya. Sedangkan ahli BN mendakwa mereka lebih pintar berpolitik cara ini sejak lama dulu lagi. Mereka sedar semua angka keahlian mereka ada kerja tipu. Jadi, kenapa pula PPM boleh mendakwa angka keahlian mereka bukan angka tipu? UMNO selalu bermegah mempunyai keahlian yang melebihi jumlah Melayu dewasa di negara ini. MIC mendakwa mempunyai jumlah anggota keahlian yang lebih ramai daripada jumlah India yang dewasa di negara ini. Begitu juga dengan tindakan MCA. Satu lagi parti politik Cina dalam BN, Parti Gerakan, mempunyai keahlian daripada orang Cina yang tidak menjadi ahli MCA. Setidak-tidaknya dakwaan MCA boleh dipercayai juga kerana sejak berlakunya pertelingkahan dalam parti sejak bertahun lamanya, ribuan nama yang tersenarai sebagai ahli parti sudah lama tertanam di dalam bumi. Ramai juga orang Melayu dan India yang diberikan nama Cina untuk menjadi anggota MCA, seolah-olah mereka begitu taksub sehinggakan sanggup menjadi ahli dengan menipu. Tradisi ini berterusan dalam parti itu walaupun tidak dalam parti yang lain.

Jumlah keanggotaan yang menentukan kekuatan parti bukan-Melayu dalam BN, dan bukannya keupayaannya memenangi kerusi Parlimen dan DUN dan untuk meraih apa juga pangkat dan kemewahan yang ada dalam BN. Kerana itu setiap kali ada parti pembangkang yang menyebut jumlah keahlian parti secara berterus terang (walaupun ada sedikit tambahan angka yang tidakpun begitu kuat temberangnya berbanding BN), usaha parti itu akan diperlekehkan oleh BN. UMNO menunjukkan sikap penipuan semacam ini setiap kali berlakunya pilihanraya kecil. Segelintir ahli yang melompat masuk UMNO mula bergerak dengan pelbagai bentuk loteri yang mereka 'menangi'. Ramai yang mula memandu Proton Waja yang diterima sebagai upahan untuk melompat memasuki UMNO. Kalaulah dicampurkan jumlah segala anggota parti politik di Malaysia, jumlah besar yang didapati akan menunjukkan pengilibatan nama budak-budak sekolah dan kanak-kanak yang baru berjalan di Malaysia, sedangkan mereka tidak dibenarkan berpolitik mengikut undang-undang, tetapi nama mereka disumbat dalam daftar parti politik jauh lebih dulu sebelum mereka mempunyai hak untuk berpolitik secara sah.

Jadi, BN tidak memerlukan PPM. Tetapi tong sampahnya, PPP (People's Progressive Party) memerlukan keahlian kaum Sikh. Presiden PPP Senator M. Kayveas, telah mengajak PPM menganggotai PPP dan sekaligus mencetuskan satu masalah. PPP tidak faham kenapa rakyat Malaysia enggan menganggotai parti itu. Tetapi parti ini hanya berminat dengan warga India untuk menganggotai parti dan tentu Kayveas faham amat muslihatnya.

Pertubuhan sosial dan organisasi awam tidak boleh cenderung berpolitik. Meminta ahli kelab seperti itu menganggotai PPP sudah tentu akan memendekkan usia kerjaya poltik Kayveas. Saya tidak menjadi anggota sebarang pertubuhan, kerana itu saya masuk menganggotai PPP secara senyap-senyap. Kayveas berfikiran seseorang itu menjadi ahli sebuah parti politik untuk mendewakan pemimpinnya dan bersikap membisu sahaja. Sikap berdiam dalam parti yang seolah-olah menjadi satu peraturan ini membuatkan ramai rakyat Malaysia yang tidak menyukainya. Kayveas masih tidak memahami masalah ini. Dia mempunyai masalah besar untuk menonjolkan ahli PPP menjadi calon pilihanraya di Parlimen ataupun kerusi DUN. Sedangkan masalah ini adalah lebih dahsyat daripada usaha mendaki Gunung Everest. Dia masih tidak faham kenapa Samy Vellu dan Lim Kheng Yaik bersama ramai orang lain lagi yang mengawasi pergerakannya laksana enggang.

Kayveas tidak faham kenapa warga Sikh mesti menolak tawarannya. Mereka mempunyai pendirian betapa mereka juga mempunyai hak asasi yang lebih sesuai diselesaikan dalam BN secara terus melalui parti sendiri. Semua ini adalah masalah besar menyangkuti budaya, kewarganegaraan dan undang-undang yang kerap dibakul-sampahkan dan sepatutnya tidak diketahui secara terbuka. Kayveas perlu menunjukkan bukti kepada rakyat Malaysia kenapa dia dan partinya dianggap tidak relevan. Yang relevannya ialah kewujudan beliau sebagai badut sahaja.

Terjemahan: SPAR

Asal: KM2 6694