Laman KM2: 6710 KM2 Index File Size: 4.5 Kb


TAG SP 592: TheAge: Malaysia Halau Pekerja Indonesia
By Mark Baker

4/2/2002 12:19 pm Mon

The Age

Malaysia Halau Pekerja Indonesia

(Malaysia deports Indonesian workers)

Oleh: Mark Baker, Asia Editor, Singapore - 28/1/2002.

Malaysia telah mengharamkan pengambilan pekerja Indonesia dan sudah mula mengusir puluhan ribu pekerja asing dalam satu gerakan besar-besaran yang mendingini hubungan antara kedua-dua buah negara.

Timbalan Presiden Indonesia Hamzah Haz telah merayu terhadap tindakan itu pada akhir minggu lalu ketika penguatkuasa Malaysia merencana penghantaran 30,000 pekerja Indonesia daripada Sabah dan seramai 10,000 lagi daripada Sarawak.

Namun, Perdana Menteri Mahathir Mohamed telah menolak cadangan untuk menemui Presiden Megawati Sukarnoputri untuk membincangkan perkara itu. Beliau bertegas bahawa Malaysia mempunyai lebihan pekerja asing dan tidak ingin lagi menerima kemasukan mereka daripada Indonesia.

'Kami sudah menghentikannya dan tidak ada lagi pekerjaan untuk mereka,' kata Mahathir.

Gerakan besar-besaran itu telah dicetuskan oleh satu rusuhan 10 hari lalu di sebuah kilang di Negri Sembilan di mana 147 pekerja Indonesia telah ditangkap setelah menyerang polis yang dikatakan membuat pemeriksaan dadah - dan pekerja itu dikatakan telah merosakkan bangunan dan kenderaan.

Lima belas pekerja Indonesia yang dikatakan telah mengambil bahagian dalam rusuhan itu akan didakwa di mahkamah esok, demikian laporan akhbar semalam.

Tenaganita, kumpulan hak asasi manusia di Malaysia telah menjalankan siasatan mengenai kejadian itu dan berkata bahawa rusuhan itu adalah cetusan provokasi pihak polis, yang telah memaksa para pekerja berbaris dan mula menampar muka mereka semasa memaksa mereka menjalani ujian air kencing.

Para pekerja bertindak balas dan pihak polis terus menggunakan kekerasan untuk mendera para pekerja itu,' demikian kenyataan Irene Fernandez, pengarah Tenaganita. 'Mereka tidak dapat bersabar sehingga mencetuskan rusuhan yang terus membesar.'

Mahathir menolak tuduhan itu, yang disokong oleh kumpulan hak asasi pekerja di Indonesia, Kpobumi - bahawasanya polis yang mencetuskan provokasi.

'Mereka harus tunjukkan bukti dakwaan mereka,' kata Mahathir. 'Kalau kita bandingkan apa yang disebut sebagai keganasan polis kita dengan keganasan polis mereka, saya fikir mereka bertindak ganas lagi.

'Kalau dilihat gambar keganasan polis mereka, memang ternyata mereka lebih mengganas di sana.'

Menteri Tenaga Manusia Indonesia, Jacob Nuwa Wea telah membuat pengakuan minggu lalu betapa Indonesia merasakan aibnya peristiwa di Negri Sembilan itu - yang merupakan ekoran satu rusuhan oleh 1600 pekerja Indonesia di sebuah kem tahanan di Johor bulan Disember lalu - dan telah mengumumkan satu rencana mengirim satu pasukan guaman untuk mempertahanakn pekerja yang tertahan itu.

Seramai 38 pekerja yang ditangkap di Negri Sembilan telah dihantar pulang ke Indonesia pada hari Sabtu.

Ini bermakna 129 sudahpun dihantar pulang sejak peristiwa itu.

Mahathir menuduh 'pembuat kacau' di kalangan pekerja asing yang mencetuskan salahfaham antara Malaysia dan Indonesia dan bertegas betapa hubungan dua hala antara dua negara tidak akan terjejas oleh isu itu. 'Itu adalah tindakan mereka yang menyebabkan Kerajaan Malaysia bertindak dan membuatkan rakyat kurang senang terhadap pekerja imigran Indonesia,' kata beliau.

'Mereka telah mencemarkan hubungan ini, dan bukannya kita. Apabila rusuhan dicetuskan oleh satu kumpulan, dan diikuti oleh kumpulan yang lain, saya fikir kita tidak boleh berdiam diri. Kita telah bersabar banyak kali dan memberikan keistimewaan kepada mereka. Sekarang kita tidak lagi berminat menyimpan mereka.'

Kebanyakan pekerja Indonesia di Malaysia yang dianggarkan berjumlah satu juta itu adalah dipercayai pendatang tanpa izin, yang diseludup masuk oleh sindiket haram untuk menyediakan tenaga murahan kepada syarikat di Malaysia.

Ms. Fernandez berkata satu sindiket industri penyeludupan manusia adalah hasil persekongkolan polis Malaysia dan pegawai imigresen.

Tamat.

Terjemahan: SPAR.

Asal: KM2 6676 Ref: http://theage.com.au/news/world/2002/01/28/FFXOY5KPXWC.html