Laman KM2: 6680 KM2 Index File Size: 7.7 Kb


TJ SP MGG: Bila Gajah dengan Gajah Bertempur, Rumput Di Bumi Turut Lebur
By M.G.G. Pillai

29/1/2002 11:52 am Tue

28/1/2002.

Bila Gajah dengan Gajah Bertempur, Rumput Di Bumi Turut Lebur

(The elephants fight, the grass gets trampled)

Oleh: M.G.G. Pillai

Ketika Perdana Menteri Mahathir Mohamed, mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam, maka terdedahlah kisah jihad antara dua orang insan yang bernama 'Abdul Hamid'. Mahathir telah meminta dulu nasihat daripada penasihat khasnya Abdul Hamid Othman yang menyokong hasrat Mahathir itu. Tetapi, apabila dirujuknya soalan yang sama kepada menteri hal ehwal Islam di Jabatan Perdana Menteri, Brig-Gen. (B) Hamid Zainal Abidin, jawapan yang diberikan menunjukkan penentangan pula. Demikianlah, dalam setiap perkara menyangkuti agama, dua menteri (bahlul - penterjemah) ini tidak pernah sekata.

Si Hamid (tua) merupakan seorang ilmuan dalam pengajian agama Islam yang memegang ijazah kedoktoran. Beliau menunjukkan kewibawaan setaraf ilmu pengetahuannya, dan memberikan kata nasihat setelah mengkajinya dalam-dalam. Si Hamid (B) terlalu ghairah menjalankan tugas untuk menekan wibawa si Hamid (tua). Dengan lain perkataan, mereka berdua ini mentadbir urusan pentadbiran Islam di Jabatan Perdana Menteri dengan cara berjihad bersaing sesama sendiri. Pertelagahan dua insan ini amat ketara dalam urusan Lembaga Tabung Haji, di mana Hamid Baru sedang berusaha melantik para kroninya untuk menggantikan pegawai lama yang merupakan pilihan Hamid Tua. Mereka yang sedang bertugas merasakan bahang peperangan ini kerana ramai orang lama dikatakan tidak diperlukan lagi atas pelbagai sebab selain daripada pekerjaan yang tidak cekap. Sekitar 1,000 petugas akan kehilangan pekerjaan mereka.

Hamid Baru menjalankan tugas secara memandai-mandai, laksana seekor tikus membaiki labu. Dia telah melantik beberapa pengerusi dan ahli lembaga anak syarikat Tabung Haji dengan orang pilihannya. Mereka pula memainkan peranan seolah-olah syarikat itu semua milik emak dan bapak mereka. Ada seorang pengerusi yang tidak berstatus eksekutif telah melantik dirinya menjadi Pengerusi Eksekutif syarikat dalam jangkamasa beberapa minggu selepas perlantikannya sebagai pengerusi biasa sahaja. Perubahan begini terjadi hanya selepas berlakunya perubahan penting dalam pengurusan Tabung Haji. Danaharta, sebuah agensi kerajaan yang ditubuhkan untuk menyelamatkan para kroni dan suku-sakat untuk membantu pengurusan dan perubahan syarikat, telah dibawa masuk untuk membetulkan Tabung Haji selepas mantan pengerusi syarikat kerugian RM1 billion dalam pelaburan haprak di Indonesia.

Di sinilah letaknya risiko masa depan Tabung Haji. Hampir semua pegawai baru Danaharta adalah akauntan yang menerima sekitar RM30,000 hingga RM40,000 sebagai gaji bulanan, ataupun dua kali ganda seandainya mereka bertugas untuk memulihkan Tabung Haji. Selalunya mereka bertugas menjual asset, menyatukan syarikat yang perlu dan menutup syarikat seandainya didapati perlu. Mereka tidak mahu melihat penyata akaun yang bewarna merah. Pendekatan baru mereka, kalau berdasarkan pendirian Hamid Baru, akan menjanjikan bencana besar kepada Tabung Haji dan akhirnya kepada kerajaan juga.

Antara Hamid Zainal Abidin yang memang goyah kedudukannya, dan para akauntan yang bertindak berjimat cermat untuk memudahkan penyelamatan syarikat, sudah wujud kini satu situasi betapa beberapa asset anak syarikat Tabung Haji yang berkemungkinan dicuri. Kini sudah wujud kehadiran seorang tokguru dalang yang mahu memindahkan harta berharga Tabung Haji kepada sebuah syarikat kecil yang di bawah kawalannya. Bagaimana cara beliau melaksanakan ini? Pertama dia cari beberapa syarikat kecil yang kerugian dalam urusan perniagaan, dan memang banyak terdapat dalam kumpulan syarikat yang tercungap, untuk digunakan mengambil-alih syarikat yang lebih besar dan dikendalikan dengan lebih kemas. Contohnya ialah Tabung Haji Properties yang mengambil alih Enstek, yang mempunyai banyak tanah sebagai harta asetnya berdekatan dengan MSC (Multimedia Super Corridor). Satu lagi contoh ialah Tabung Haji Technology, mengambil alih sebuah syarikat pembinaan, Tabung Haji Universal Builders. Ini adalah contoh betapa syarikat kecilan bertaraf ular lidi cuba menelan syarikat lebih besar bertaraf naga, yang akan mengorbankan 1,000 pekerjaan, akhirnya. Menteri yang bertanggungjawab sepatutnya campur-tangan, tetapi dia tidak berani melakukannya. Orang utama yang melakukan kerja putarbelit ini ialah bekas pelajarnya di Victoria Institution ketika dia mengajar di sekolah itu, dulu.

Tetapi, si tukang putar ini melakukan segala kerja itu tanpa dapat difahami muslihatnya. Kerajaan mempunyai satu dasar yang menentukan agar syarikat pembinaan tidak dianggotai oleh barisan lembaga pengarah yang sama. Peraturan ini telah dicemari. Seorang pengarah dalam satu syarikat pembinaan yang tersenarai di pasaran saham kini dilantik menjadi ahli lembaga pengarah Tabung Haji Universal Builders. Ini mencetuskan tandatanya apakah putar-belit ini melibatkan syarikat pembinaan yang lain pula. Betapapun diamati perkara ini, seolah-olah sudah wujud satu penyelewengan, yang mungkin tidak akan direstui oleh Si Hamid Tua kalaulah dia masih mempunyai kuasa. Situasi menjual khazanah rakyat ini menyebabkan para petugas di syarikat kawalan Tabung Haji tidak mempunyai semangat segar untuk meneruskan kerja.

Para akauntan daripada Danaharta, seperti yang diketahui oleh semua pihak, menjual asset syarikat yang mereka kawal secara melulu semata-mata mahu menonjolkan aktiviti ekonomi untuk menghiasi penyata kewangan. Merekapun berundur daripada syarikat yang mereka telanjang-bogelkan itu dua hingga tiga tahun kemudiannya, setelah menunjukkan adanya susun-atur organisasi syarikat, hanya beberapa bulan sebelum terdedah segala kerugian yang mereka buat. Cuba lihat apa yang terjadi kepada Bank Bumiputra Malaysia Berhad. BBMB dirombak kerana 'dirompak' setiap empat hingga lima tahun sekali, dengan kerugian berbilion yang tidak termimpi. Dengan lain perkataan, syarikat yang diambil-alih untuk diuruskan oleh para akauntan hanya untuk menjamin kemunculan mini-Enron yang menunggu untuk meletup. Tabung Haji adalah satu institusi besar yang begitu penting untuk dibiarkan terus dicekik dalam rompakan lebuhraya kroni Mahathir.

Kini, Perdana Menteri sedang bersiap untuk keluar negara mendapatkan rawatan kesihatannya, dan dia mempunyai banyak lagi masalah yang lebih serius yang perlu diberikan perhatian berbanding segala titik-bengik Tabung Haji. Tetapi dia tidak ada pilihan tetapi menilai semula apa yang berlaku kerana dialah yang menggembar-gemburkan Malaysia sebagai sebuah neggara Islam. Dia tidak mampu melihat satu hari nanti betapa asas keIslaman pentadbirannya diliwat dan dirembat oleh kegiatan perniagaan yang disebabkan menteri bertanggungjawab ke atas aktiviti itu tidak faham satu bendapun mengenai dunia perniagaan yang penuh penipu. Seandainya ini berlaku, kesan yang akan menyengat perdana menteri (yang tidak ingat mati - penterjemah) adalah amat membahayakannya. Inilah situasi yang memberikan PAS senjata canggih untuk menghentam perdana menteri betapa dia sengaja membiarkan para kroninya menyamun khazanah berharga Tabung Haji, selain meruntuhkan moral dan etika bekerja para petugas syarikat yang tergugat. Yang pasti ini akan menjadi isu politk pada pemilu yang akan datang.

M.G.G. Pillai
pillai@mgg.pc.my

Tamat.

Terjemahan: SPAR
29/1/02.