Laman KM2: 6673 KM2 Index File Size: 11.8 Kb


TJ SP MGG: Hak Asasi Manusia dan Gulag di Teluk Guantanamo
By M.G.G. Pillai

28/1/2002 2:16 am Mon

Malaysiakini
Chiaroscuro
26/1/2002

Hak Asasi Manusia dan Gulag di Teluk Guantanamo

(Human Rights and the Gulag of Guantanamo Bay)

Oleh: M.G.G. Pillai

Afghanistan telah memangkah lebih banyak negara berkuasa di dunia ini berbanding Amerika Syarikat. Sejak Iskandar Dzulkarnain menakluk sebahagian negara itu pada abad ke-4 sebelum masehi, tidak ada negara lain termasuk Great Britain dan Soviet Union yang berjaya bertahan di negara itu untuk satu tempoh yang lama. Sejarah negara itu adalah satu sambungan hikayat kemusnahan setiap penjajah asing.

Yang terakhir ialah Amerika Syarikat, satu dekad selepas Soviet Union kecundang, disebabkan keghairannya untuk menakluki Afghanistan. Kini Washington sedang dipaksa menafikan impiannya disebabkan ejekan yang tidak dapat diterimanya - bahawa serangan pengganas pada 11 September 2001 adalah satu bentuk serangan terhadap kuasa sejagat ekonomi AS dan pusat perancangan ketenteraan mereka.

Amerika menjadi begitu ghairah gembira sakan, memuji diri sendiri kerana cara mereka menumpaskan Taliban dan al-Qaeda dengan menanggung hanya sedikit bencana kerugian nyawa yang terkorban pada orang mereka, betapa kecanggihan peralatan tentera menghancur dan menghuru-harakan 'musuh', betapa hebatnya menjadi seorang warga Amerika, bukan kerana kemampuan meletakkan tukang angguk pilihan bertkahta di Kabul, sehingga mencetuskan perasaan takut kepada kerajaan lain untuk turut mengikuti kehebatannya.

Demokrasi sudah berada di ambang Afghanistgan, demikianlah janji molok yang disogokkan kepada kita, sehinggakan menteri pelancongan baru kerajaan yang baru naik, angkuh dengan rencana membina semula patung Bamiyan yang pernah dimusnahkan oleh Taliban yang amat mereka benci dulu walaupun tindakan Taliban itu adalah menepati ajaran keIslaman fundamental mereka. Kini, para pelancong dipelawa melawat Afghanistan yang dikatakan begitu selamat untuk mereka. Inilah jaminan keselamatan daripada satu kerajaan yang mempunyai kuasa sekitar hanya beberapa kilometer jaraknya daripada lingkungan ibukota kerajaan mereka di Kabul!

Sudahpun dirancang beberapa persidangan antarabangsa untuk menunjukkan dunia betapa mereka bertanggungjawab berkongsi sama mewujudkan sebuah Afghanistan yang bebas dan berdemokrasi. Namun, persis usaha yang dulu-dulu di mana juga di dunia ini, semua janji dan jaminan ini dilupakan begitu sahaja sejurus selepas perhatian bertukar hala. Segala bantuan mempunyai erti hanya apabila kontrak mendapatnya memang sebenarnya telah diperolehi. Itu sebabnya Britain cepat menghantar askarnya, walaupun mereka dibenci kerana sejarah silam mereka, mereka tangkas datang membina markas dengan muslihat ada projek ekonomi dan industri yang mahu dirembat.

Segala perilaku Amerika Syarikat sekarang adalah sama ragamnya dengan gelagat Soviet Union di Kabul pada 1970-an dulu. Memang tidak ada bezanya, dalam sejarah Afghanistan, antara Babrak Karmal pilihan Moscow dulu, dengan Hamid Karzai yang merupakan nomini Washington, sekarang.

Seperti juga dengan Moscow, AS telah berpihak kepada satu kumpulan dalam peperangan saudara yang banyak fraksinya, dan cuba mendalangi satu kedamaian yang tidak mendatangkan kepuasan kepada sesiapa. Kerajaan sementara (interim) tidak dapat memacak kuasa kerana Karzai amat dibenci oleh semua panglima perang, yang berkuasa sendiri di takhta wilayah mereka. Untuk satu jangka pendek, di bawah pentadbiran Taliban dulu, mereka terpaksa menjilat luka sendirian, tetapi kini mereka muncul semula dengan penuh dendam. Pihak British, Soviet dan banyak lagi penjajah yang dulu-dulu dalam sejarah tidak berjaya menundukkan mereka; takkan Washington boleh berjaya.

Dendam dan mahkamah tentera

Dengan berpandukan senario ini seharusnya menjadi asas untuk memahami kisah Gulag di Teluk Guantanamo. Washington hanya mahu membalas dendam, mengikut cara yang dirancangnnya. Setiausaha pertahanan AS Donald Rumsfeld, tidak pernah menafikannya: betapa bangsa Afghan dan orang lain yang mereka tangkap adalah bukan POW (Tahanan Perang) dan mereka akan dibicarakan oleh mahkamah tentera di luar AS mengikut keadaan hidup yang akan menafikan mereka segala hak asasi yang membolehkan mereka dibicarakan secara saksama.

Mahkamah seumpama ini di negara lain, kerap menerima cemuhan Jabatan Negara AS. Ia tidak pernah berkata lembut dalam laporan tahunannya mengenai hak asasi manusia di negara luar, yang tidak menghormati hak asasi manusia mengikut tafsiran Amerika. Dalam laporannya untuk tahun 2000, ia menggunakan perkataan keras mengutuk Mesir kerana menggunakan mahkamah tentera untuk mengadili orang awam, dan juga kumpulan komunis.

'Menggunakan mahkamah tentera' demikian laporan itu membebek, 'untuk mengadili orang awam adalah satu pencabulan hak asasi manusia kepada satu pembicaraan yang adil di hadapan badan penghakiman bebas...... walaupun hakim ketenteraan berkelulusan undang-undang, mereka adalah pegawai tentera yang dilantik oleh Kementerian Pertahanan dan tertakluk kepada disiplin tentera. Mereka bukannya bebas ataupun berkelayakan sebagai hakim sivil untuk menggunakan 'Penal Code' '. Tentu menarik apabila laporannya untuk tahun 2001 tersiar nanti, dan apa pula komen mereka terhadap amalan menghantar sekurang-kurangnya 70 manusia untuk dihukum dan ratusan lagi yang terpenjara (oleh Amerika terhadap orang asing - penterjemah).

Presiden Hosni Mubarak merasa bangga apabila AS menerima cara beliau memperuntukkan peraturan melaksanakan keadilan. Seperti Mesir, Malaysia turut merasa ceria apabila AS turut meniru piawai (standard) mencetuskan kekejaman dan amalan hak asasi manusia yang sudah lama terlaksana di Malaysia. Inilah yang membenarkan kerajaan di merata dunia turut sama mencemari hak asasi terhadap warga kerakyatan mereka.

Usaha AS memerangi keganasan mencekik peluang pembangkang di banyak negara luar. Di Malaysia, kerajaannyapun meluru dengan tindakan mencemuh pihak pembangkang sebagai kumpulan yang seiras Taliban, dan lebih dahsyat lagi bertindak untuk terus mencengkam kuasa haram mereka dengan menggunakan segala cara jahat dan tidak sah. Kegiatan kerajaan ini dipandang oleh sebahagian besar rakyat negara ini sebagai satu kejijikan yang tidak jauh bezanya dengan amalan komunis.

Kini, Kerajaan Britain sudah menanggung kehangatan kerja bedebah ini. Rakyat Britain dalam kumpulan Gulag Amerika berkemungkinan dijatuhkan hukuman mati. Kerana itu Britain merayu agar rakyatnya diberikan layanan yang istimewa. Antara mereka yang ditahan, ada seorang rakyat Amerika yang diberikan layanan istimewa oleh kerajaannya. Dia dihadapkan kepada mahkamah sivil Amerika sedangkan hak itu dinafikan kepada semua orang lain di Teluk Guantanamo. Orang lain yang bukan daripada pusat tamadun manusia yang dua ini, tidak guna dipertimbangkan.

Dengan lain perkataan, ada satu bentuk undang-undang untuk kita dan satu bentuk lagi untuk mereka. Kesatuan Eropah (European Union - EU) naik minyak melihatkan sikap membeza-bezakan ini, dan mengemukakan bantahan keras terhadap AS sehingga membawa kesan. Sejak itu Amerika menghentikan pengangkutan 'pejuang yang tidak sah'. Namun, baik Britain mahupun AS enggan memperbaiki ketidak-adilan yang ketara itu ketika mereka membincangkan layanan istimewa kepada warga mereka dan tidak mengambil-kira layanan kepada warga negara lain.

Mencari Seteru Baru

Sepanjang sejarah silamnya, Amerika Syarikat memerlukan satu musuh untuk menjadi sasaran dan tumpuan seluruh negaranya. Selama empat ratus tahun, sejak kisah Salem yang penuh cerita momokannya, diikuti kisah gereja Roman Katholik, yang terubat hanya apabila John F. Kennedy ditabalkan menjadi seorang presiden. Kemudian muncul sejarah panjang kumpulan kulit hitam. Perang saudara membolehkan mereka mendapat kebebasan oleh puak-puak berperang saudara yang menang. Tetapi, ia merlukan 99 tahun lagi, selepas perisytiharan Kebebasan (Emancipation Declaration) oleh Presiden Abraham Lincoln sebelum Hak Asasi Manusia mencetuskan Akta 1996, untuk membebaskan mereka.

Perang Dingin melahirkan fahaman komunisme, mengikut tafsiran Presiden Reagan yang mewujudkan 'Evil Empire' (Empayar Momokan - penterjemah). Perang Dingin sudah lama berlalu. Kini mereka memerangi Islam, walaupun perkara itu dianyam begitu rapi dan bijak sebagai peperangan menentang keganasan, ia akan menjadi terdedah dan keluar laksana muntah sebagai satu tindakan yang akan memakan tuannya mengikut perjalanan masa.

Seperti dengan kempen yang banyak sebelum ini, tujuannya hanya tertumpu kepada seorang insan sahaja, dan inilah yang menjadi satu masalah besar seranta awam: Seandainya seorang insan, seperti Osama bin Laden boleh mencetuskan huru-hara bukan sahaja terhadap Amerika Syarikat, malahan dunia sejagat gara-gara kewujudan Islam fundamental yang kelihatan di merata dunia, apa yang akan terjadi selanjutnya adalah sesuatu yang tidak dapat diramalkan.

Inilah yang membesarkan kemarahan umat Islam terhadap pelbagai isu yang tertangguh selama ini seperti Palestin kerana Amerika Syarikat, kalaupun bukan seluruh negara barat, memang tidak mahu isu itu diselesaikan. Lagi lama perkara ini berlaku, lagi tebal fahaman dunia betapa kesengsaraan dunia Islam itu memang kena pada keadaannya.

Itulah sebabnya peperangan itu tidak ada kesudahannya. Inilah bahananya apabila Presiden Bush ataupun sekutunya tidak dapat menjelaskan apa sebenarnya matlamat peperangan mereka. Dia memerlukan satu pergolakan di luar negara untuk mengekalkan kuasa perundangannya. Perang di Afghanistan dilaksanakan seolah-olah seorang pembuli mendera seorang yang lemah anggotanya. Tetapi, negara yang lemah itu bukannya lemah, cuma tidak berdaya. AS telah mencampuri satu perang saudara dengan memihak kepada satu pihak yang terus memenanginya. Ini juga yang pernah dilakukan oleh Moscow satu ketika dulu.

Washington telah merancang terlalu banyak medan perang yang diharapkannya akan disertai oleh kumpulan penjilat dan sekutunya. Tetapi peperangan secara kawalan jauh (remote), telah mencetuskan satu kekuatan dalaman terhadap mereka yang menjadi bahan sasaran. Inilah yang menjadi asas peperangan pada masa hadapan. Semangat perjuangan manusia tidak dapat dimusnahkan oleh ugutan kekuatan senjata nuklear.

Kerana itu, keangkuhan Washington tidak banyak berbeza daripada keangkuhan Moscow satu ketika dulu dan juga keangkuhan Britain di zaman keagungannya. Kini Amerika sudahpun melupakan Afghanistan kecuali di hadapan majlis seranta awam. Apa yang sebenarnya dilakukan oleh Amerika di Afghanistan ialah himpunan dan longgokan jerangkap samar yang sungguh berbahaya dan segala perlatan perang yang akan menjadi bencana kepada rakyat Afghan berdekad-dekad lamanya selepas perang itu tamat. Itulah yang terjadi di Kambodia, Laos dan Vietnam.

Sejak Perang Dunia Kedua, tidak ada seorangpun presiden Amerika Syarikat yang menawarkan kerja membaik-pulih segala bencana perang yang dihimpun oleh AS ke atas negara dunia Ketiga. Kecuali seorang presiden sahaja, Presiden Truman, yang mencipta Marshall Plan, tetapi itupun untuk kebaikan Eropah, dan bukannya untuk negara di dunia ketiga. Yang membuatkan perkara ini sungguh menakutkan ialah, ketiadaan kuasa dunia lain, seperti yang pernah wujud di Soviet Union satu ketika dulu, yang mampu mencabar Amerika sekarang. Inilah yang sepatutnya menjadi kerisauan kita semua.

M.G.G. Pillai
pillai@mgg.pc.my

Terjemahan: SPAR

Asal: KM2 6668 Ref: http://www.malaysiakini.com/Column/2002/01/2002012602.php3