Laman KM2: 6671 KM2 Index File Size: 6.9 Kb


TJ SP MGG: Kemunculan Masyarakat Fasis di Malaysia
By M.G.G. Pillai

28/1/2002 1:50 am Mon

Kemunculan Masyarakat Fasis di Malaysia

(A fascist society in the making, if it is not already)

Kakitangan kerajaan dimestikan menandatangani 'Aku Janji' sebelum mereka diberi izin meneruskan perkhidmatan. Pemuda UMNO menggalakkan mahasiswa membuat laporan seandainya ada pensyarah mereka yang difikirkan mempunyai unsur anti-kerajaan. Malahan mereka yang mengemukakan segala kebiadaban kerajaan dan kelentongan politiknya, kerana sikap mereka yang dianggap sebagai pembangkang itu diberikan takrifan menderhaka.

Konsep 'Aku Janji' bukannya ada sebarang kaitan untuk menguat-kuasakan undang-undang. Mahathir fikir perkara ini akan menyekat segala usaha pihak yang mahu menentang kepimpinan dan pentadbirannya. Usaha itu tidak akan berjaya. Semua pegawai kerajaan telah menandatangi perjanjian yang lebih berat implikasinya ketika mereka memulakan kerja, kerana wujudnya peraturan kerja yang ketat dan begitu berkesan yang mempunyai hukuman yang keras seandainya perjanjian itu dicemari. Jadi, kenapakah kerajaan jadikan satu isu baru yang mendedahkan perpecahan dalam masyarakat kita yang mahu dilawannya? Jawapannya terletak kepada tindakan pegawai kerajaan yang sudah bersatu dan tidak lagi mahu menyokong kerajaan yang dipimpin oleh UMNO seperti yang mereka lakukan pada masa dulu.

Tindakan mereka ini adalah satu gambaran betapa wujudnya penderhakaan atapun gerakan yang disengajakan untuk menghadapinya disebabkan sudah wujud kini satu jurang yang luas dalam masyarakat Melayu yang sengaja digalakkan oleh Mahathir. Inilah dia jurang luas yang sengaja diada-adakan yang bermula dengan UMNO diharamkan dulu. Kedua, pengaiban Dato Seri Anwar Ibrahim; dan yang lebih berbahaya lagi ialah munculnya banyak tandatanya yang mempertikaikan kewibawaan Mahathir mengaibkan seorang ketua masyarakat. UMNO tidak berminat menyelesaikan perkara ini kecuali mahukan semua pihak memperakui pandangannya sahaja. Inilah yang ditentang oleh orang Melayu, dan sekaligus mendedahkan jurang perbezaan yang tidak dapat ditangani oleh UMNO.

Lagi dahsyat UMNO bertegas dengan pendirian haprak mereka - walaupun ia mengada-ngada lebih dahsyat lagi daripada BN yang sudah dikuasainya - lagi cepat Malaysia menjadi satu negara fasis. Cuma ada satu sahaja pendirian yang mesti dianuti oleh pegawai kerajaan dan sesiapa sahaja yang menerima gaji daripada kerajaan. Inilah yang dikuat-kuasakan di sekolah-sekolah, maktab-maktab dan semua universiti. Tidak lagi ada lagi dalil lain yang berbeza dengan tohmahan betapa guru-guru dan para pensyarah membiakkan propaganda anti-kerajaan. Tidak ada siasatan ataupun bukti yang wujudnya satu kajian mengenainya. Kerajaan hanya menerima sebarang bukti yang ditonjolkan oleh Pemuda UMNO, kerana kenyataan Pemuda UMNO itu sudah dianggap sebagai kata-kata keramat oleh pihak yang berkuasa.

Kini, kerajaan sudah menyediakan satu senarai pensyarah yang dikatakannya sebagai anti-kerajaan yang mengikut pandangan Dr.Adham Baba, ketua biro pendidikan Pemuda UMNO sebagai; 'mereka yang menyebarkan mesej anti-Kerajaan dan berkempen untuk mempengaruhi kakitangan dan pelajar'. Di situ ada terselit satu rumusan, yang amat jelas dalam kenyataan beliau bahawa pensyarah universiti hanya dibenarkan menganggotai parti politik yang menjadi komponen BN. Memang ramai dalam kerajaan sekarang ini - baik di pusat ataupun di peringkat negeri - yang memilih jalan ini. Saya kenal beberapa orang pensyarah kelas ini yang melobi untuk mendapatkan kerusi parlimen dan negeri ketika masih bersyarah di universiti. (Sehinggakan yang hanya mampu mempunyai ijazah sarjana haprak sanggup mengaku mempunyai ijazah kedoktoran - penterjemah).

Berasaskan prinsip bahawasanya hanya pandangan politik yang menjilat kerajaan dibenarkan, Pemuda UMNO terkejut beruk melihatkan kebebasan berfikir dalam bidang politik yang didedahkan kepada mahasiswa mengikut fahaman pemikiran kritis. Kejutan kepada Pemuda UMNO ini menyebabkan munculnya satu usaha menggalakan golongan mahasiswa membuat aduan terhadap tenaga pengajar yang mereka fikirkan tidak memihak kepada kerajaan. kaedah ini memang pernah diamalkan dalam era pemerintahan Nazi Jerman dan Komunis Russia dan China, ada kalangan ibu bapa yang dihukum mati kerana perbuatan anak-anak mereka yang menentang kerajaan.

Jadi, bagaimanakah si Adham dan orang-orangnya membuat siasatan terhadap penyelewengan terhadap 'politik yang betul' itu? Mereka dapatkan kerjasama mahasiswa untuk membuat aduan terhadap sikap para pensyarah yang berkelakuan berbeza daripada apa yang mereka anggap perbuatan yang normal. Tetapi, golongan pelajar di universiti ditegah berpolitik, kenapa pula perkara ini dibenarkan? Kementerian Pendidikan, katanya, akan menjalankan siasatan, tetapi nama tali-barutnya tidak akan didedahkan selagi mereka tidak diberikan perlindungan, teristimewa daripada para pensyarah mereka. Bagaimanakah perkara ini dapat dilaksanakan sedangkan siasatan diperlukan terhadap golongan mahasiswa yang melanggar peraturan aktif berpolitik?

Apapun, apa gunanya kementerian bersetuju menyiasat aduan daripada sayap pemuda sebuah parti politik? Apakah keistimewaannya sayap pemuda ini sehingga dikira mempunyai maruah untuk menuntut satu pembetulan, sedangkan mereka seharusnya mengemukakan aduan mereka kepada Majlis Tertinggi UMNO untuk tindakan selanjutnya. Apakah ini satu cara baru yang membolehkan Pemuda UMNO berkelakuan begitu? (satu perubahan daripada cara berdiri atas tembok dan mengugut membakar sebuah Dewan Perhimpunan Cina? - penterjemah). Jikalau demikianlah caranya, barulah boleh difahami kenapa kakitangan kerajaan naik jelak dengan usaha untuk menyauk mereka menyokong UMNO. Sudah banyak petanda yang berbahaya: sudah menjadi satu amalan bahawa biasiswa hanya diberikan kepada pemohon yang dapat membuktikan betapa ibu dan bapa mereka adalah anggota UMO dan parti BN.

Inilah yang membogelkan satu corak berbahaya yang memecah-belahkan negara ini antara mereka yang menyokong UMNO dan BN, yang meraih segala imbuhan kerajaan, dengan mereka yang tidak berbuat begitu dan seharusnya diberikan layanan sehinggakan anak-anak mereka dianak-tirikan oleh kerajaan kerana prinsip ibu bapa mereka, yang kebanyakannya lebih rela tidak menganggotai sebarang parti dan mengambil sikap berkecuali. Keputusan sebegini dibuat begitu bersahaja sehingga ia memberikan gambaran betapa sudah wujud masyarakat fasis di negara ini, yang meruntuhkan martabat dan nilai murni kehidupan di Malaysia.

M.G.G. Pillai
pillai@mgg.pc.my

Terjemahan: SPAR

Asal: KM2 6660