Laman KM2: 6666 KM2 Index File Size: 6.3 Kb


MGG: P. Tioman: Kemudahan Bebas Cukai Utk Kemudahan Seorang Insan
By M.G.G. Pillai

26/1/2002 12:20 am Sat

Pulau Tioman: Kemudahan Bebas Cukai Untuk Kemudahan Seorang Insan

(Pulau Tioman: A special duty-free arrangement for one man)

Oleh: M.G.G. Pillai, 23/1/2002

Pulau Tioman yang terletak 50 km daripada pantai Pahang di Laut China Selatan, dijadikan sebuah kawasan bebas-cukai, seperti Pulau Langkawi di Kedah, supaya pelancongan terus merupakan punca tukaran matawang yang kedua terbesar di negara ini. Semua usaha digunakan untuk menarik lebih ramai pelancong. Apakah keistimewaannya untuk menjadikan pulau itu sebuah kawasan bebas cukai? Kenapakah Pahang dan Kuala Lumpur begitu ghairah dengan rancangan menjadikan tempat itu menarik pelancong? Tidak syak lagi, memang ada rencana yang serupa dibuat untuk menarik pelancong melawat Pulau Pangkor, di Perak.

Tidak ada siapapun, termasuk Straits Times di Singapura yang selalunya mempunyai fahaman yang kritis memperdulikan pengumuman kerajaan itu. Siapa yang akan untung dengan status Pulau Tioman menjadi bebas cukai? Pada 1970-an, sebuah kasino dirancang di situ, tetapi ia lenyap begitu sahaja dengan suara lantang untuk menolaknya oleh pembangkang. Lokasinya terlalu jauh daripada persisiran pantai (Semenanjung) dan hanya dapat dicapai melalui Endau di Johor, dan ini pasti merisaukan orang kampung. Di zaman dahulu, penolakan orang tempatan sudah memadai untuk membantut sesuatu projek. Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak, yang mengawasi pulau itu sebagai sebahagian kawasan parlimen beliau, memang tidak mahu memikirkan rencana semacam itu.

Suatu ketika dulu, Malaysia terkenal kerana sebuah pulau bebas cukai, di Pulau Pinang (Penang). Kemudahan itu disembelih kerana sebab yang tidak sukar untuk difahami. Kalaulah pelancongan merupakan tujuan menjadikan Pulau Tioman sebagai kawasan bebas-cukai, adalah lebih berguna kalau kerajaan memberikan pertimbangan begitu kepada Pulau Pinang. Pulau itu mempunyai segala kemudahan untuk menarik pelancong, terdapat ratusan hotel yang mesra kepada selera pelbagai jenis pelancong.

Pulau Langkawi yang menjadi pulau bebas cukai telah dibina daripada permulaannya. Kerja begini amat ketara. Penduduk pulau itu dinafikan kemewahan yang sepatutnya kerana tanah mereka dibeli dengan harga murah untuk orang lain menyewa dengan harga sewa yang melangit tingginya yang mencekik para pelaburnya sekali. Pulau itu dimajukan untuk membolehkan para kroni menjadi kaya-raya dengan bergaya sedangkan orang tempatan terus papa kedana. Tetapi, pelancong tidak juga kunjung tiba, dan setiap kali dibuat pameran dan ekspo di sana, hotel dan dewan pameran mengenakan bayaran yang tinggi sehinggakan ramai yang pernah datang tidak mahu mengulangnya lagi.

Jadi, Pulau Langkawi merupakan satu projek (Mahathir) yang sudah gagal, sehinggakan kerajaan sedang merancang untuk menarik-balik status kawasan bebas cukai di pulau itu. Malahan, satu jawatankuasa kerja sedang membuat kajian apakah boleh dilaksana penarikan itu tanpa menjejaskan keadaan di Langkawi, dan tanpa membuat pengakuan betapa projek Langkawi sudah merupakan projek menunggu mati? Kini, Pulau Tioman dijadikan sebuah kawasan bebas cukai. Satu emporium yang bebas cukai tanpa pengawasan kastam pasti akan kecundang. Jadi kenapa terburu-buru mengisytiharnya? Hanya....untuk memudahkan kroni kelas musibat mengaut untung daripadanya!!!!!

Di Pulau Tioman, kalau adapun pembangunan yang bertujuan untuk kegunaan pelancong, ia dimiliki oleh Kumpulan Berjaya (Berjaya Group) yang dimiliki oleh Vincent Tan. Untuk ke sana, anda perlu mengharungi samudera selama tiga jam daripada Endau ataupun menaiki Berjaya Air daripada Kuantan. Hanya seorang manusia yang untung daripada keputusan menjadikan tempat itu bebas cukai, dan beliau ialah Vincent Tan. Dia sudah lama di situ dan lama memulakan kerja pembangunannya.

Vincent Tan mempunyai satu kampung pelancongan di Pulau Redang, di Terengganu yang mudah dihampiri tetapi tidak mendapat banyak keistimewaan kerana Terengganu ditadbir oleh PAS dan kerajaan pusat amat ghairah mahu menghumbannya. Kerana itu Vincent Tan diberikan keistimewaan di Pulau Tioman. Kenapa? Apakah ada rencana memindahkan Club Med di Cherating ke Tioman? Apakah ada rencana membuka sebuah kasino di sana? Kalau tujuan menjadikan Malaysia sasaran pelancong, kenapa diutamakan Pulau Tioman, sedangkan sudah tidak ramai pelancong yang tiba di Pulau Langkawi?

Satu ketika dulu sebuah kasino pernah dicadangkan di Langkawi. Pengerusi Genting Berhad, Tan Sri Lim Goh Tong telah menjelajah kawasan itu tetapi menjadi takut melihatkan kejayaan PAS yang di luar jangkaan dalam Pemilu 1999. Apakah itu sebabnya rencana itu dialihkan ke Pulau Tioman? Untuk rencana itu terlaksana, mesti ada kemudahan untuk pulau itu mudah didatangi. Buat masa ini hanya Vincent Tan yang akan untung dari tindakan kerajaan itu, dan itupun bukan ada jaminan rencana itu akan berjaya. Ada seorang manusia sahaja yang ghairah di sebalik memajukan Pulau Langkawi dulu. Namanya ialah Dr. Mahathir Mohamed. Tetapi diapun tidak berjaya menjadikan Langkawi masyhur dan kaya raya. Bagaimana gerangan Vincent Tan akan menjayakan projek Pulau Tioman?

Kenapa agaknya Vincent Tan begitu disayangi dengan projek mewah seperti ini? Apakah itu menjadi satu imbuhan kerana melumpuhkan The Sun untuk membolehkan The New Straits Times menambahkan edarannya. Apakah itu sekali lagi contoh bagaimana seorang kroni yang disuapkan projek penswastaan setelah gagal tiga kali? Semua projek penswastaan yang diberikan kepada Vincent Tan - gagal segagal-gagalnya. Tetapi, dia masih dipertimbangakna dengan sogokan lagi. Kenapa? Apakah Pulau Tioman kini menjadi sebuah pulau bebas cukai untuk membolehkan seorang kroni terus bernafas lega? Inilah persoalan yang pasti tidak akan ada jawapannya.

M.G.G. Pillai
pillai@mgg.pc.my

TAMAT.

Terjemahan: SPAR

Asal: KM2 6658