Laman Webantu   KM2: 6645 File Size: 8.6 Kb *

| KM2 Index |


TAG SP 576: TheAge: Mahathir menyalahgunakan budaya takutkan keganasan
By Mark Baker

20/1/2002 1:48 pm Sun

The Age

Mahathir menyalahgunakan budaya takutkan keganasan

(Mahathir capitalises on terrosim fear)

Oleh: Mark Baker, Asia Editor, Kuala Lumpur

Sabtu 19/1/2002

Setiap malam sejak minggu dulu ada satu paparan yang dahsyat ditonjolkan oleh stesen TV kerajaan setiapkali munculnya berita malam.

Tayangan gerak-lambat, menunjukkan seorang lelaki berserban dan bersenjata di tangan melepaskan tembakan ke arah kepala seorang wanita yang bersungkup kepalanya dengan burka ketika zaman pemerintahan Taliban.

Paparan itu diselang-seli oleh gambaran peswat pengebom Amerika melepaskan tembakan kearah tempat persembunyian di Afghanistan sambil menunjukkan paparan pemimpin satu kumpulan agama yang diselitkan pula gambaran parti pembangkang terbesar di negara ini, PAS ketika berkumpul dalam satu persidangan tahunannya.

Walaupun suara latar tidak menyebut PAS secara jelas, mesej yang mengiringi babak pembunuhan kejam itu sudah mencukupi menjadi satu propaganda yang dimaksudkan: 'Inilah gambaran seandainya negara diperintah oleh pentabdiran yang ekstrim dan berunsur militan agama....nasib yang dialami oleh wanita Afghan akan dialami oleh wanita negara ini...'. Ketika pesawat Amerika menggugurkan bomnya muncul suara lagi: 'Sudah tentu rakyat Malaysia tidak mahu melihat negara ditimpa bencana ini di mana kuasa asing diperlukan untuk menyelamatkannya dengan menggunakan kekuatan tentera...'

Budaya mentohmah memang merupakan ragam politik yang mempunyai sejarahnya yang panjang di Malaysia, di mana Mahathir Mohamad telah mencengkam kuasa lebih 20 tahun dengan amalan yang kasar tetapi dianggap berkesan gara-gara naungan dan ugutan - baik dalam partinya sendiri UMNO, mahupun terhadap puak pembangkang. Sejak 11 September, mainan ini semakin kasar ragamnya, dengan Mahathir menyalahgunakan kegiatan kempen anti-keganasan sejagat untuk memperkukuhkan cengkaman kuasanya. Dengan wujudnya media nasional yang diawasi pergerakannya, ia menjadikan salahguna kuasa itu semakin menebal.

Kempen memomokkan PAS sebagai sebuah parti fanatik yang ekstrem - telah dicetuskan oleh kegusaran kerajaan disebabkan berlakunya perubahan sokongan orang Melayu dariapda UMNO kepada pihak pembangkang, bermula lebih lama sebelum terjadinya serangan terhadap AS. Kini pergerakan kempen itu sudah semakin dipacu sejak September.

Minggu lalu Singapura menangkap 13 lelaki yang dikatakan mempunyai hubungan dengan satu pertubuhan agama yang berpangkalan di Indonesia - Jemaah Islamiah - yang dituduh oleh pentadbiran Singapura sebagai mempunyai hubungan dengan Al Qaeda pimpinan Osama bin Laden. Inilah pertubuhan yang dikatakan mahu mengebom kedutaan Amerika dan banyak lagi sasaran lain kepunyaan Amerika. Gelagat Singapura itu dirangsang pula oleh saranan Mahathir yang bertalu-talu mendakwa betapa Malaysia menghadapi ancaman serius daripada kumpulan ekstrem Islam dan inilah yang semestinya memerlukan kepimpinan Mahathir untuk menanganinya.

Mengikut pegawai Singapura yang menjejaki kumpulan itu selepas terjumpanya satu rakaman video dan dokumen yang merakamkan sasaran yang berpotensi daripada runtuhan rumah seorang pemimpin al Qaeda di Afghanistan pada bulan Disember. Kumpulan itu adalah sebahagian satu rangkaian pengganas yang turut beroperasi di Malaysia dan Indonesia. Salah seorang yang ditangkap, Faiz Abu Bafana, seorang warga Malaysia, telah menhyebut wujudnya satu simpanan longgokan ammonium nitrat di satu lokasi rahsia di Malaysia sebagai bahan untuk membuat bom-trak.

Namun, di sebalik dakwaan minggu lalu oleh Mahathir betapa 50 orang rakyat Malaysia telah dipilih oleh al Qaeda, pentadbiran Mahathir masih tidak membuat sebarang pengumuman adanya bukti kewujudan jaringan pengganas di dalam negara. Begitu juga dengan sebarang bukti adanya penglibatan PAS dalam kegiatan keganasan. Walaupun polis berkata 13 rakyat Malaysia yang ditahan pada bulan Disember itu mempunyai hubungan dengan Zacarias Moussaoui - seorang warga Peranchis yang sedang dibicarakan di AS kerana peranannya dalam serangan September 11, yang pernah (dikatakan) melawat Malaysia dua kali pada akhir 2000. Segala kaitan itu walaupun dianggap penting, masih samar kesahihannya. Seperti 25 orang lagi yang ditangkap di Malaysia sejak Ogos lalu kerana dakwaan kegiatan keganasan - termasuk dua orang yang ditahan ekoran penangkapan di Singapura, - semua yang disyakki itu telah dipenjarakan di bawah undang-undang zalim ISA yang membolehkan pihak berkuasa menangkap sesiapa sahaja tanpa perbicaran sehingga dua tahun tanpa perlu menyebut kes yang sebenar terhadap mereka.

Dalam satu kenyataannya yang pelik pada akhir minggu, Dr. Mahathir telah berkata bahawa dia yakin adanya hubungan antara Jemaah Islamiah yang ditahan di Singapura dan satu kumpulan militan Malaysia yang disebutnya sebagai KMM. Inilah juga kumpulan yang ditohmahnya sebagai puak yang mengganas dengan mengebom dan merompak dan membunuh seor ng wakil rakyat DUN. 'Saya yakin mereka (KMM) ini mempunyai hubungan dengan mereka di Singapura tetapi saya tidak mempunyai buktinya,' kata beliau.

Dakwaan kerajaan itu semakin kelihatan kelentongannya pada minggu ini apabila timbalan Mahathir, Abdullah Badawi bertegas bahawa stokpail ammonium nitrat yang didakwa wujud di Malaysia, sudah pun ghaib kerana dialihkan keluar negara. Dia tidak pula dapat menyebut mana letaknya longgokan itu dulu, siapa yang membawa masuk dan siapa pula yang menyonglapnya keluar negara.

Yang terserlah ialah kerajaan sedang memacu usaha menggunakan kisah keganasan untuk mencambuk parti pembangkang, terutama sekali dalam usaha memomokkan keadaan menjelang pilihanraya kecil di Indera Kayangan yang dianggap sebapai peristiwa penting yang menguji nasib UMNO.

'Peristiwa September 11 merupakan satu tragedi kepada kami,' kata Wan Azizah pemimpin pembangkang dari parti Keadilan dan isteri kepada mantan timbalan perdana menteri Anwar Ibrahim, yang sedang merengkok dalam penjara menjalani hukuman 15 tahun berasaskan perjalanan mahkamah yang palsu tuduhannya. 'Mereka telah memberikan Mahathir alasan untuk terus menindas dan mencekik suara rintihan. Dia kini mempunyai alasan besar untuk menggunakan ISA menangkap dan menyiksa rakyat jelata.'

Dia memperakukan betapa sesuatu kerusi yang dipertandingkan dalam pilihanraya kecil mudah dirampas daripada kerajaan satu ketika dulu kerana keadaan kerajaan yang korup dan angkuh. Tetapi selepas September 11, kerusi semacam itu akan mudah memenangkan kerajaan dengan undi besar kepada UMNO. 'Namun mereka masih melihat kami sebagai satu ancaman. Mereka membelanjakan wang yang banyak, dan mereka mempunyai ribuan manusia bekerja untuk menyerang dan mengugut orang kami,' kata Azizah.

Nasib pihak pembangkang terus terancam dengan adanya kekecohan dalam Keadilan ataupun oleh keputusan PAS untuk terus menyuarakan simpatinya terhadap Taliban walaupun perkara itu sudah lama basinya sambil mengutuk kesan serangan udara Amerika yang mengazabkan rakyat Afghanistan. Ketegasan PAS untuk mewujudkan negara Islam - walaupun terus memperakukan hak rakyat kaum Cina dan India - telah memudahkan kelentongan Mahathir dan pada akhir tahun dulu inilah yang membuatkan ramai pengikut DAP yang keluar daripada gagasan pembangkang.

Kegelojohan Mahathir menyalahgunakan isu keganasan telah memperkasakan kedudukannya lebih mudah lagi terutama sekali selepas Amerika membuat pendirian untuk bermesra dengan mereka yang menyanggupi gelagat Amerika memerangi keganasan sejagat. Sebelum September Malaysia telah ditekan oeh AS terhadap peraturan hak asasi manusia, cara layanannya kepada Anwar Ibrahim dan kegelojohan untuk terus menyalahgunakan ISA.

Kini apa juga suara yang muncul daripada AS ialah sanjungan dan pujian terhadap Malaysia kerana ketegasannya menyokong tindakan Amerika menangani ancaman keganasan.

Tamat.

Terjemahan: SPAR.

Asal: KM2 6636 Ref: http://theage.com.au/news/world/2002/01/19/FFX3PMRUKWC.html