Laman Webantu   KM2: 6622 File Size: 11.8 Kb *

| KM2 Index |


TAG SP 566: KQ: Keadilan Yang Terus Dinafikan Kepada Anwar
By Kim Quek

17/1/2002 2:30 am Thu

[Catatan Awal Penterjemah: Kalaulah ada sesiapa di IK yang berupaya membaca tulisan Kim Quek ini dengan bersahaja, saya yakin para pengundi Melayu, India, Cina dan lain-lain lagi akan membuat janji dengan jejari mereka memangkah calon Keadilan bila tiba masanya. Kim Quek ialah seorang pemikir DAP. Tetapi tulisannya ini adalah tulisan seorang rakyat Malaysia yang amat dahagakan Keadilan - Penterjemah.]


Keadilan Yang Terus Dinafikan Kepada Anwar

(Justice Continued To Be Denied To Anwar)

Oleh: Kim Quek, 16.01.2002

Tipu muslihat puak Penguasa sekali lagi menunjukkan kemusibatannya apabila mantan Timbalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, dinafikan sekali lagi rayuan terhadap hukuman yang dideritainya yang telah ditangguhkan untuk kali ketiga tanpa sebab yang dapat diterima akal yang waras.

Daripada sebegitu ramai manusia di dunia ini, bolehkan si Gani Patail yang kini sudahpun menerima sogokan terbaru menjadi Peguam Negara, yang menggunakan alasan 'tidak bersedia' untuk menangguhkan kes itu didengar semula. Sedangkan dia merupakan raja segala khadam dalam pendakwaan tersohor terhadap Anwar, baik dari permulannya kepada penyudahnya, yang berakhir dengan hukum memenjarakan Anwar selama 15 tahun.

Sepatutnya si musibat Gani, adalah manusia yang begitu arif dalam kes ini, termasuk segala butiran sebesar zarah sekalipun, kerana beliau pernah hadir di ibupejabat Bukit Aman ketika Anwar dilanyak hampir maut oleh bekas Ketua Polis Negara, Rahim Noor, pada hari Anwar ditangkap bertarikh 20 September 1998. Gani juga merupakan pelakon utama dalam kes perbicaraan dalam perbicaran, apabila peguam Anwar memohon agar Gani diketepikan sebagai pendakwa raya kerana perbuatan jijik Gani memujuk (dengan ugutan hukuman mati) rakan permainan tennis Anwar, Nallakarupan, agar bersekongkolan dengannya untuk merencana satu tohmahan terhadap Anwar. Peranan jenayah yang dilaksanakan oleh Gani telah dipersoalkan dengan kritis oleh Mahkamah Persekutuan pada 28 Jun 2001. Ketika itu Mahkamah Persekutuan telah mengenepikan hukuman kerana mencela mahkaman terhadap peguam Anwar, Zainur Zakaria, gara-gara Zainur menolak Gani sebagai seorang pendakwa raya. (Sehingga hari ini Gani masih belum menjawab tuduhan mengadakan bahan bukti terhadap Anwar).

Selain kearifan Gani dalam kes ini, keseluruhan petugas dalam jabatan Peguam Negara tidak boleh diberikan kelulusan sebagai tidak bersedia, kerana rayuan ini telah mula sekali dijadualkan untuk dihakimi pada tahun 2000, dan telah ditangguhkan sekali lagi pada tahun 2001. Kini muncul 2002, kenapa pula pihak pendakwa raya masih tidak bersedia? Alasan Gani bahawa dia baru sahaja dilantik dan tidak punyai masa bersedia untuk kes ini mesti dikutuk dengan sekeras-kerasnya.

Kita seharusnya tidak lupa betapa Anwar sudah lama merana dalam penjara dikurung sendirian sejak tiga setengah tahun dulu, sedangkan dia punyai hak untuk berada di luar penjara dengan ikat jamin selama itu, seandainya proses perundangan dibenarkan berkuatkuasa pada tempatnya. Sepanjang tempoh itu, dia telah melalui satu jalan kehidupan yang sungguh dahsyat bermula dari penangkapannya di mana dia telah dihenyak sehingga lebam mata dan hampir hilang nyawa. Dia diaibkan melalui dua perbicaraan yang panjang, yang telah dikutuk sebagai satu manifestasi selewengan keadilan. Kemudian dia menanggung penderitaan ancaman dahsyat kerana dirasuk keracunan arsenik yang dirancang, yang terbantut hanya apabila racun itu dapat dikesan di sebuah makmal di Australia. Selama satu tahun setengah yang lalu, dia menanggung kesakitan berterusan kerana penyakit tulang belakang sebab dinafikan rawatan perubatan pilihannya. Kini dia terpaksa bergantung kepada kerusi beroda. Sebagai satu bentuk bantahan kepada penangguhan yang tidak bertepian, dia sudah mula berpuasa, sehinggalah tarikh perbicaran untuk menghakimi rayuannya ditetapkan. Memadailah kita bayangkan, bantahan secara berpuasa itu akan menjejaskan keadaan kesihatannya.

Ketika ini, hampir semua orang terpaut kepada kisah keganasan sejagat, tetapi, adalah amat relevan untuk kita mengimbau semula ingatan kepada keadaan yang menyebabkan Mahathir merencana satu penderaan terhadap orang yang diramalkan untuk menggantikan beliau hampir 4 tahun yang lalu.

Ketika itu Malaysia dihantui satu keadaan kewangan dan ekonomi yang kritikal, seperti juga banyak negara lain di rantau ini. Suharto baru sahaja digulingkan oleh kebangkitan rakyat disebabkan ekonomi Indonesia yang merudum kerana hutang bertapuk yang menggunung disebabkan korupsi merata, kronisme dan nepotisme (KKN - penterjemah) dan perbelanjaan yang membazir. Keadaan Malaysia turut terancam, disebabkan penyakit yang serupa, walaupun pada skala yang kurang sedikit dahsyatnya.

Nilai matawang Malaysia jatuh meragam begitu juga dengan pasaran saham. Pasaran saham semacam terkena senggugut disebabkan skandal yang dilakukan oleh pihak yang berkuasa. Penyebab yang amat dahsyat ialah penyedutan dana yang banyak nilainya daripada UEM untuk membeli saham Renong yang dimiliki oleh penjual misteri. (Inilah yang membuatkan Halim Saad menandatangani satu akujanji yang kini amat tersohor sekali dalam bentuk 'put option' yang bernilai RM 3.2 bilion kepada UEM untuk meredakan pelabur awam yang sudah panik. Inilah dia perjanjian (put option) yang sudah dimaafkan oleh kerajaan, sebaik sahaja ia mengambil-alih UEM, dalam satu kerja penyamun untuk menyelamatkan Halim Saad dan Kumpulan Renong).

Terlalu banyak perusahaan besar para kroni menjadi muflis, menyebabkan pihak yang berkuasa mencurahkan berbilion dana marhaen untuk menyelamatkannya. Perbuatan menyelamatkan para kroni haprak ini telah mencetuskan satu pertelagahan antara Anwar dan sekongkolan Mahathir-Daim sehinggakan keadaan semakin hangat.

Sebagai Menteri Kewangan yang bertanggungjawab kepada kepentingan marhaen ketika itu, Anwar telah menentang sikap penyelamatan secara melulu, sehinggakan dia terpaksa berdepan dengan cemuhan dan kebencian Mahathir dan Daim, yang sudah nampak bahawa Anwar merupakan penghalang besar yang mengancam nafsu serakah mereka untuk menyelamatkan empayar niaga yang sudah terjerut keadaannya. Antara pelbagai perbalahan konflik itu, Mahathir menjadi tertekan kerana marah apabila Anwar memotong pembayaran kepada anak Mahathir bernama Mirzan oleh Petronas daripada RM2.2 bilion kepada RM1.7 ketika Petronas 'dipaksa' membeli syarikat kapal kepunyaan Mirzan. Pembelian itu merupakan satu urusniaga yang tidak kena pada tempatnya, dipacu hanya oleh keinginan Mahathir menyelamatkan anaknya daripada menjadi muflis disebabkan keadaan kewangannya yang semakin tipis.

Kerana takutkan Malaysia berkemungkinan meniru jejak langkah Indonesia yang sudah hilang keyakinan pelabur dan semakin tersungkur, pergerakan Pemuda UMNO yang ternyata dicuit oleh desakan Anwar telah bertindak melaksanakan satu gerakan perubahan dengan melancarkan satu kegiatan memerangi korupsi, kollusi dan nepotisme bertepatan dengan Persidangan Tahunan UMNO pada pertengahan 1998. Laungan perang Pemuda UMNO ini menyebabkan bergegar pertubuhan politik itu sehingga menghambat sekongkolan Mahathir-Daim. Ketika itu mereka membuat satu keputusan muktamad. Anwar mesti dilanyak sehingga lumat.

Sejurus setelah dipecat daripada Kabinet dan UMNO pada awal September 1998, Anwar bertindak balas dengan mendedahkan kegiatan korupsi yang maha besar dan salahguna kuasa pihak atasan dalam beberapa ucapan yang dihadiri oleh rakyat marhaen yang jumlahnya masih tidak ada tandingan sehingga kini. Eloklah dirakamkan di sini, dalam rencana mengisytiharkan pelancaran pergerakan Reformasi pada beberapa hari kebebasan yang masih dinikmatinya sebelum beliau ditangkap pada 20 September itu, agenda beliau tidak terhad kepada memerangi korupsi, tetapi ke arah mengembalikan keadilan dan demokrasi, yang sudah hampir dikasi keseluruhannya oleh Mahathir melalui perubahan undang-undang dan perampasan kebebasan dan kedaulatan institusi yang bebas sepanjang cengkaman kuasanya.

Jeritan 'Reformasi' Anwar telah menyedarkan satu generasi baru orang Melayu daripada ketaksuban begitu lama menyokong UMNO yang mempunyai pemimpin yang sudah lupa daratan dan yang sudah melupakan kewibawaan kaum yang lain. Korupsi yang berleluasa yang memperkayakan hanya segelintir Melayu aristokrat bukan sahaja telah menggagalkan usaha memperbaiki status ekonomi masyarakat Melayu yang lebih besar, tetapi telah menghancurkan corak kehidupan masyarakat Malaysia seolah-olah diserang penyakit kanser yang membarah sehingga mengancam keberkesanan keseluruhan marhaen Malaysia. Kegagalan struktur kewangan yang menyeluruh disebabkan gegaran 'Krisis Asian' terutama sekali yang menghunjam masyarakat niaga Melayu, telah meyakinkan ramai orang Melayu sendiri betapa perjuangan politik mereka tidak semestinya terhad kepada perjuangan UMNO vs. Kaum yang lain. Sejak dari itu, Bangsa Melayu mesti sama-sama berjuang berganding bahu dengan kaum yang lain di Malaysia yang mereka cinta untuk memerangi korupsi dan pemimpin yang rasuah, untuk mengembalikan martabat bangsa dan memperbaiki corak pentadbiran negara.

Demikianlah, melalui kejatuhannya dan segala penderitaan yang ditanggungnya, Anwar telah membuka tirai gerbang politik Malaysia yang baru. Inilah ketikanya apabila orang Melayu keluar bebas daripada belenggu yang dirantai oleh UMNO dan ketaksuban feudalnya. Inilah kesedaran yang telah diserlahkan oleh penghijrahan undi Melayu daripada UMNO kepada pihak Pembangkang dalam Pemilu yang lalu. Sehingga hari ini, kebuasan masyarakat akademik dan perkhidmatan awam terhadap Mahathir dan UMNO terus menyerlah berbanding semangat empati mereka menyebelahi perjuangan Anwar.

Di sebalik segala episod perbicaraan Anwar yang mengaibkan beliau, penghukuman dan pemenjaraannya, rekod wibawa Anwar yang ternyata telus dan ikhlas dan imej pejuang bangsa yang tidak mudah patah semangat walaupun sentiasa disengat, telah menjadikan beliau tunjang semangat baru masyarakat Melayu dan juga bukan-Melayu yang terpanggil untuk sama-sama bangkit di bawah kepimpinannya. Sememangnya, kepimpinan dan ketokohannya yang hebat itu dapat dirasa kemesraannya oleh pemimpin ulung di merata dunia.

Di negara maju seperti Jepun dan negara barat yang lain, pemimpin kebangsaan kerap datang dan pergi, kerapkali tanpa sebarang kesan yang membawa bencana besar kepada rakyatnya. Tetapi di negara membangun (seperti Malaysia) yang terpaksa bertungkus lumus untuk mencapai kemajuan ekonomi dan kematangan berpolitik, kualiti kepimpinan atasanya kerap sangat menjadi bahan penentu apakah negara itu mampu berjaya dalam segala usahanya.

Bukannya selalu sesebuah negara membangun itu diberkati dengan pemimpin yang baik. Tatkala kita dianugerahkan pemimpin baik semacam itu, apakah kita mampu melihatkan beliau pergi disebabkan budaya 'tidak apa' kita dan sifat berpeluk tubuh sahaja?

Anwar telah mengorbankan segala yang ada pada dirinya untuk menegakkan prinsip hidup dan mempertahankan kepentingan negara. Setidak-tidaknya rakyat marhaen mampu menunjukkan sepakatan dan sokongan padu menyokongnya dengan janji dan bakti pada saat yang amat genting ini, sedangkan nyawa yang masih berdenyut di tubuh Anwar itu sudah semakin beralun seolah-olah tergantung pada sehelai benang sahaja.

Kim Quek

Asal: KM2 6618