Laman Webantu   KM2: 6614 File Size: 6.2 Kb *

| KM2 Index |


TJ SP MGG: Pengaruh Kelentongan Goebbels
By M.G.G. Pillai

15/1/2002 12:37 pm Tue

Pengaruh Kelentongan Goebbels

(Goebbels Gobbelled)

Oleh: M.G.G. Pillai

Perdana Menteri Mahathir Mohamad adalah seorang insan yang kecewa kebelakangan ini. Dia merupakan nadi penggerak Malaysia, dan untuk meneruskan aktiviti itu, tidak ada akhbar perdana yang berani menulis apa yang terjadi sebenarnya, kecuali berita yang tidak menyentuh perasaan seorang maharaja kecewa di Putrajaya. Usaha mengagak apa yang tersumbat di otaknya adalah satu kerja yang bergantung kepada nasib juga, seperti yang telah dialami oleh beberapa bekas ketua pengarang di akhbar yang dikuasai oleh UMNO. Selalunya versi berita Bernama diterbitkan, untuk mendewa-dewakan si maharajah. Pilihan seperti ini semakin menyempit setiap hari. UMNO dan Barisan Nasional sudahpun menerima hakikatnya betapa warga muda Melayu, di kampus universiti ataupun di universiti terbuka sudah lama menjauhkan diri daripadanya.

Baru-baru ini beberapa akhbar melaporkan kisah pegawai risikan UMNO yang telah menangkap lapan pelajar universiti kerana menceroboh kawasan larangan mereka. Mereka menuduh pelajar itu sebagai 'spy' yang merisik bilik gerakan operasi UMNO untuk pilihanraya kecil Indera Kayangan di Perlis. Bagaimana caranya semua ini boleh tercetus sebelum hari pencalonan adalah satu misteri yang besar kemungkinannya tidak akan dapat diteka asal usulnhya. Tetapi satu laman web pihak pembangkang memberikan satu kisah yang amat berbeza. Pelajar yang ditangkap itu telah dipungut di satu tempat lain, dan dibawa memasuki bilik operasi barisan nasional untuk dituduh melakukan sialan. Laporan polis telah dibuat. Pihak universiti menghantar pasukan khas yang ada kena mengena dengan tatatertib pelajar untuk memantau peranan pelajar universiti itu, yang sudahpun diberitahu betapa mereka tidak boleh terlibat dengan kempen pilihanraya. Tetapi bagaimana universiti mampu mengesan mereka seandainya mereka menjalankan tugas secara berhati-hati, sedangkan mereka menghadapi kesulitan mengecam para pelajar mereka yang masih berkeliaran di kampus?

Semua ini menunjukkan kepada maharajah tua itu betapa pihak pembangkang adalah terdiri dari para bajingan yang menyekat Barisan nasional menjalankan kerja-kerja kempen dalam suasana pilihanraya yang bersih. Hak untuk mengganggu-gugat, mengikut istilah Barisan Nasional ialah terhad kepada pembabitan dengan Barisan Nasional sahaja, penglibatan dengan pihak lain bererti melanggar peraturan pilihanraya dan segala hukum hakamnya.

Tetapi apakah Dr. Mahathir puashati dengan keadaan ini? Berita yang digembar-gemburkan adalah satu ingatan kepada rakyat Malaysia bahawasanya para pelajar universiti mesti menumpukan masa kepada pelajaran dan tidak bergiat aktif dalam kempen politik, dan mereka boleh menyokong hanya sebuah parti poltik tanpa dipertikai oleh pihak polis. Katakanlah berita yang dilaporkan itu ada kebenarannya kerana kebenaran dalam media perdana sudah menjadi satu sabjektif sahaja. Walaupun ia diterbitkan secara serius, kesannya sudah melantun semula. Kesannya warga pelajar universiti sudah naik minyak dengan gelagat kerajaan sehinggakan tercetus kini pelbagai berita betapa UMNO dan Barisan Nasional berkemungkinan menghadapai masalah yang lebih besar lagi dengan golongan pelajar universiti.

Dengan lain perkataan, sepatutnya BN menumpukan perhatian yang penuh kepada pilihanraya yang memang ia mempunyai kelebihan untuk memenanginya. Tetapi, kerana kerakusan, ia memilih untuk menjejaki wilayah berbahaya di kampus universiti dengan tujuan untuk menggula-gulakan mereka. Kaedah menyejukkan hati yang panas itu dianggap oleh kebanyakan veteran UMNO sebagai perbuatan yang berbahaya persis seseorang pelatih yang memasuki kandang singa. Yang lebih memburukkan keadaan ialah dengan wujudnya seorang ketua pengarang Utusan Malaysia yang kini dijadikan sebagai seorang 'tukang karut' di media perdana. Makin teruklah keadaan yang melanda UMNO.

Kerana itu Mahathir merasa jelek apabila kisah sebenar dikatakan tersalah ditangani. Tetapi yang sebenarnya dia sendiri tidak faham betapa dia tersalah waham. Kalau Perdana menteri beranggapan bahawa satu kisah biasa pihak pembangkang itu dianggap salah, berapakah pula nilai tanggapan yang boleh kita akui daripada segala berita yang disiarkan oleh akhbar perdana mengenai kegiatan pihak pembangkang? Sebenarnya ada garis pemisah yang begitu nipis antara propaganda dan laporan berita. Seandainya tidak ada kesungguhan di pihak akhbar untuk berlagak laksana suara bebas, maka tidak akan wujud unsur kebebasan berakhbar di negara ini. Kerajaan memang tidak mengingini keadaan begini, dan membenarkan hanya hak mereka menyiarkan puji-pujian terhadap aktivitinya. Pihak pembangkang diperlekeh kecuali ada sesuatu yang menggugat mereka. Kerana itu ada tanggapan bahawa pembangkang berkecamuk di Indera Kayangan kerana DAP enggan berkempen dan kerana itu terjadi perpecahan dalam parti.

Apabila para wartawan di sakat agar tidak melaporkan berita yang sebenarnya berlaku, ia menjadikan satu keadaan bagaimana pemberitaan itu diberikan liputannya. Wartawan itu akan berhati-hati dan sangsi setiap kali membuat laporannya. Sekaligus segala unsur kebenaran laporannya itu ghaib tidak menentu. Inilah yang menjadi perkara biasa di Malaysia. Apabila akhbar perdana bertegas agar semua pemberita memainkan peranan ala-Goebbels sebagai wakil kerajaan yang berkuasa, harinya akan tiba tidak lama lagi apabila apa yang mereka tulis itu menyongsangkan berita baik kerajaan yang sebenarnya. Apabila sebuah akhbar perdana berbahasa Inggeris yang dikuasai UMNO mempunyai seorang ketua pengarang yang menganggap dirinya adalah semacam Dr.Goebbels kepada Dr. Mahathir, masanya akan tiba apabila doktor yang baik itu akan terpaksa risaukan kebenaran liputan berita mengenainya.

M.G.G. Pillai
pillai@mgg.pc.my

Terjemahan: SPAR

Asal: KM2 6598