Laman Webantu   KM2: 6610 File Size: 7.5 Kb *

| KM2 Index |


TJ SP MGG: Ketokohan Anwar Masih Menghantui Mahathir
By M.G.G. Pillai

15/1/2002 2:08 am Tue

Malaysiakini
Chiaroscuro

14/1/2002


Ketokohan Anwar Masih Menghantui Mahathir

(Anwar's specter still haunts Mahathir)

Oleh: M.G.G. Pillai

Kalau ada sesuatu yang membuatkan kerajaan ini bergegar ke akar umbinya, ia akan dicetuskan oleh kematian mengejut banduan ulungnya, mantan timbalan perdana menteri Anwar Ibrahim yang kini merengkok dengan penuh kesakitan dan bergerak dengan menggunakan kerusi beroda. Itu sebabnya pihak yang berkuasa di Penjara Sungai Buluh semakin tertekan dan kita harus memahaminya kenapa, apabila Anwar enggan menjamah makanan yang disajikan kepadanya selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuannya untuk kali ketiga pada Jumaat lalu. Peguam Anwar telah dipanggil untuk memujuk beliau makan semula.

Sakit belakang yang ditanggungnya telah membuatkan rayuan itu ditangguhkan pada November 2000; keadaan salah seorang hakim yang jatuh sakit menangguhkan rayuan itu untuk kali yang kedua, setahun kemudiannya; dan kini penangguhan sekali lagi pula.

Peguam Negara adalah orang baru, demikian kita diberitahu, dan beliau memerlukan masa untuk bersiap sedia. Benarkah itu? Ataupun apakah ini masanya orang sibuk berkempen di Indera Kayangan? Ataupun masih lagi ada perundingan berahsia antara proksi Perdana Menteri dengan Anwar yang masih belum selesai lagi?

Pejabat Peguam Negara (AG) mempunyai dua tahun membuat persiapannya, dan sudah tentu segala persiapan itu sudahpun tamat kini. AG yang baru, Abdul Gani Patail, adalah orang yang mengetahui kes itu sejak dulu-dulu. Jadi, apakah alasannya yang haprak itu? Ini menunjukkan alasan yang kedua dan ketiga mempunyai kaitannya.

Apapun yang menjadi sebab musababnya, mogok lapar yang terjadi, mengejutkan kerajaan yang sedang dihenyak dilema kempen pilihanraya Indera Kayangan. Apatahlagi ia menarik perhatian orang Melayu, yang diperlukan memberi sokongan kepada Barisan Nasional untuk mengekalkan pencapaian matlamatnya: mencapai majoriti yang lebih besar daripada pilihanraya 1999 dulu.

Besar kemungkinan matlamat itu tercapai, walaupun pertempuran itu akan mereka menangi, tidak mesti mereka menang peperangan keseluruhannya.

Dua calon yang bertanding adalah orang Cina, tetapi masalah yang menjadi isu kempen bukannya mereka, menteri besar Perlis, Shahidan Kassim adalah penyebabnya. Kini, ditambah satu lagi isu yang ada kena mengena dengan mogok lapar Anwar. Inilah yang mencetuskan masalah sampingan yang dipertikaikan: ia ada sangkut paut dengan keengganan kerajaan menyelesaikan masalah Anwar secepat mungkin.

Inilah yang menyulitkan. Kesilapan kerajaan mendakwa Anwar dulu sudahpun mencetuskan keadaan haru-biru dan orang Melayu sudah memilih jalan di tepi sebaik sahaja Anwar dipecat dan diaibkan, kerana itu adalah satu sikap yang kurang ajar terhadap budaya Melayu dan amalan hidup mereka. Majoriti bangsa Melayu sudah memilih menjarakkan diri daripada kerajaan yang ada.

Tiga tahun kemudian, dengan arus perdana menyanggah mereka, kerajaan yang ada sudah menjadi semakin menggila. Kemelut Anwar sudahpun membuatkan masalah kerajaan itu kejang dan kaku. Ia terus hanyut dengan keadaan negara yang terumbang-ambing. Namun, kerajan terus berlakon menutup segala lubang dan rekah yang menyerlah sambil meraba-raba dan merayau-rayau mengharapkan munculnya sinar harapan yang dapat mengembalikan kilauan kepada politik, kewangan dan ekonomi negara yang terus merudum tanpa ada tepiannya.

Semua itu masih tidak mencukupi. Perkhidmatan awam sudah menjadi satu perkhidmatan yang tidak mesra (kepada kumpulan penguasa - penterjemah) walaupun gaji dan imbuhan sudah dinaikkan untuk memancing sokongan. Warga muda Malaysia sudah melarikan diri. Mereka menghadapi kesulitan mendapat pekerjaan, sedangkan mereka terus diberitahu betapa kesetiaan mereka masih tidak dikira laku.

Tetapi bagaimana mungkin seseorang itu taat dan setia kepada sebuah kerajaan yang mengugut, berkhutbah tanpa menunjukkan sebarang keupayaan untuk memerintah? Mengikut tradisi budaya Melayu, di mana feudalisme menjadi akar umbinya, adalah satu kemestian bahawa seseorang pemimpin itu mengalahkan pencabarnya; seandainya dia tidak mampu dan berani berbuat begitu, sampai masanya dia melepaskan jawatan untuk berlalu.

Inilah yang tidak mampu dilaksanakan oleh Mahathir kerana dia tidak berani dan tidak mampu. Masadepannya di Putrajaya adalah bergantung kepada keadaan kesihatan insan yang diaibkannya untuk terpenjara di Sungai Buluh

Itu juga sebabnya banyak desas-desus wujudnya perundingan berahsia antara mereka berdua melalui wakil peribadi walaupun mereka tidak bersemuka sama sendiri. Namun, para penyokong kedua pihak memeperlekehkan desas-desus itu sebagai omongan semata.

Mereka cuba menghiburkan hati sendiri sedangkan UMNO sudah tiba terkapai di satu persimpangan jalan. Semua kerana Anwar, laksana seorang jagoan jalanan dia yang memimpin rentak perlawanan itu. Untuk meredakan rentak itu UMNO perlu memulihkan martabatnya.

Kini sudah dipersalahkan segalanya dan termasuk yang menjadi penyebabnya. Kisah sodomi dan korupsi bersama hukumannya sekali yang mendera Anwar untuk 15 tahun lamanya sudah dianggap oleh banyak pihak sebagai sesuatu yang penuh kesangsian.

Semua itu mesti diterbalikkan. Seandainya perkara itu dipersetujui walaupun oleh pihak yang paling kuat menyanggah Anwar satu ketika dulu, bererti dia telah dijadikan mangsa dan diaibkan dengan beragenda dari mula. Itu semua perlu dibetulkan semula.

Langkah Pertama

Mahkamah Persekutuan adalah tempat yang paling sesuai untuk membuat pembetulan itu: seandainya rayuannya dibenarkan, dia masih kekal dipenjara kerana hukuman yang kedua, tetapi ia akan membuka pintu untuk membetulkan semua itu sekali untuk semua. Kalau hukuman pertama diperbetul, pembetulan hukuman kedua pasti menyusul.

Inilah kesnya bagaimana seorang peguam negara bersekongkolan dengan ketua hakim negara untuk menyalah-gunakan kuasa keadilan. Para peguambela beliau dikenakan hukuman kerana menghasut dan dihukum kerana mencela mahkamah yang diwujudkan ala-kangaroo. Peguam Negara yang baru telah dituduh memesongkan minda para saksi dan barangbukti; dan banduan yang dimangsakan pernah menolak tawaran mahkamah yang pernah memberikan kemudahan kepadanya.

Semua ini masih diingati oleh orang Melayu yang terus membengkak kemarahannya kerana cara bersahaja mahkamah mengaibkan seorang insan yang tidak berdosa. Inilah bangsanya yang kini mencabar segala putar-belit pameran keadilan yang dilakonkan oleh kerajaan.

Memang ramai pemimpin UMNO yang sudah kecut telur kalau-kalau Anwar akan muncul kembali menjadi seorang Perdana Menteri gara-gara sekongkolan mereka menghapuskan kerjaya politiknya. Mereka tahu bahana yang mereka perlu hadapi. Keberanian Anwar melancarkan mogok lapar sudah menakutkan mereka lagi. Keadaan mesti dipulihkan dan mesti dipercepatkan, sebelum Mahathir menghadapi bahana kerja rakusnya untuk memajukan orang Melayu dengan formula abad ke-15 untuk mereka maju di abad ke-21.


Terjemahan: SPAR
Asal: KM2 6609 Ref: http://www.malaysiakini.com/Column/ 2002/01/2002011401.php3