Laman Webantu   KM2: 6602 File Size: 5.9 Kb *

| KM2 Index |


TJ SP MGG: Kuasa Ghaib Membantu atau Kebetulan Begitu
By M.G.G. Pillai

13/1/2002 3:44 pm Sun

Kuasa Ghaib Membantu atau Kebetulan Begitu?

(Divine intervention or coincidence?)

Oleh: M.G.G. Pillai

Timbalan PM Abdulah Ahmad Badawi memang berkata benar mengingatkan pembangkang supaya tidak menjadikan perihal kisah kematian yang menimpa anak lelaki Shahidan Kassim sebagai isu kempen pilihanraya. Anaknya itu jatuh daripada satu jendela terbuka sebuah kondo di tingkat 31 di Kuala Lumpur pada 10 November 2001. Seorang pemidato parti pembangkang yang berkempen untuk plilihanraya kecil 19 Januari 2002 bagi kerusi Indera Kayangan, Perlis telah menyebut takziahnya sambil cuba mengingatkan menteri besar Perlis itu bahawa kematian itu seharusnya diambil iktibar kepada Shahidan agar beliau mengingati juga keperitan dan kesiksaan yang ditanggung oleh ahli keluarga mantan timbalan perdana menteri Dato Seri Anwar Ibrahim.

Abdullah Ahmad Badawi berkata adalah tidak adil dan zalim menjadikan satu tragedi sebagai isu kempen piihanraya. Shahidan Kassim semacam terluka memberitahu para wartawan betapa pembangkang sengaja memprovok dan menguji kesabarannya. Dia mampu bersabar katanya; 'tetapi saya tidak boleh jamin apakah para penyokong yang bersimpati dengan saya dapat mengawal kesabaran mereka apabila mendengar perkara begitu.' Beliau memberi amaran kepada pembangkang untuk 'jangan bermain api.' Dengan lain perkataan, kata-kata Abdullah Badawi itu telah ditumpulkan oleh amaran Shahidan yang menyebut perkataan bergasak. Dan beliau menyebutnya sebagai satu isu pilihanraya.

Keadaan ini tidak akan menjadi hangat seandainya Shahidan menganggapnya sebagai satu perkara biasa: melihatnya sebagai satu keghairahan dalam satu ucapan politik yang banyak memaparkan beberapa kebetulan yang agak aneh ataupun apakah itu semacam satu campurtangan kuasa ghaib yang mengenai dan menghenyak mereka yang bertanggungjawab dengan mengaibkan Dato Seri Anwar Ibrahim. Apakah itu satu campurtangan kuasa ghaib ataupun kisah kebetulan semata yang menimpakan kecelakaan kepada mereka yang pernah bersahabat dengan beliau ataupun dinaungi oleh beliau tetapi berpaling tadah dan menyerang untuk menghinanya? Perkara begini memang amat bermakna kepada masyarakat Melayu Perlis yang sungguh kuat pegangan agama mereka. Indera Kayangan mempunyai jumlah pengundi Cina dan Melayu yang lebih kurang sama dengan disaluti segelintier pengundi India dan Thai. Undi orang Melayu amat penting dan sebarang kebetulan yang tidak disenangi akan menyebabkan undi itu terhoyong-hayang, hingga memperkukuhkan sentimen kebencian terhadap UMNO, walaupun ramalan mengatakan BN mempunyai peluang yang lebih cerah untuk menang. Ada orang berpendapat bahawa calon MCA itu akan menang dengan majoriti yang lebih besar.

Inilah yang membuatkan Abdullah Badawai gelabah dan Shahidan Kassim sentiasa marah dan resah gelisah. Tiga tahun sudah berlalu sejak Dato' Seri Anwar Ibrahim dipecat, ditahan, dihenyak ketika tangan bergari di belakang dan wajahnya dilanyak sehingga melebamkan matanya oleh Ketua Polis Negara ketika itu. Kemudian, Anwar dipenjarakan. Pada setiap musim Ramadan selepas peristiwa itu, tercetus berbagai-bagai kisah pilu yang berakhir dengan kematian antara mereka yang bersekongkolan dan para pemimpin yang pernah menjadi kumpulan kroni beliau. Pada Ramadan pertama beliau terpenjara, isteri kepada Azizan Abu Bakar, yang menuduh timbalan perdana menteri itu melakukan perbuatan sumbang terhadapnya, mati dalam satu kelangan di jalanraya. Pada Ramadan berikutnya isteri kepada timbalan menteri pendidikan, Aziz Shamsuddin, mati dalam satu kemalangan jalan raya yang sungguh pelik ceritanya. Pada Ramadan ketiga, anak lelaki Shahidan Kassim, yang pernah satu ketika dulu dinaungi dan disayangi oleh Anwar Ibrahim dengan projek kontrak yang molok-molok, menerima nasih buruknya. Orang-orang Anwar masih tidak memaafkan Shahidan kerana gelagatnya menderhaka. Apa yang disebut dalam ucapan politik itu bukannya satu cerita baru: ia tersebar luas secara lisan dalam mesyuarat dan persidangan Parti Keadilan Negara, yang dinaungi oleh Dato Seri Anwar, juga.

Apabila Abdullah Badawi menyatakan ketidak-senangannya, dia tidak pula menyatakan kesalahan itu pada tempat yang wajarnya. Kalaulah Mahathir yang menjadi Perdana Menteri tidak mengaibkan Anwar Ibrahim setelah memecat beliau, tragedi peribadi itu akan terbiar begitu sahaja seperti yang sepatutnya. Perbuatan Mahathir selama itu adalah sama tidak berhati-perut dan zalim seperti yang dilakukan oleh seorang pemidato Keadilan. Barisan Nasional mengharapkan selama ini, bahawa kejijikan politik yang lama dicanang itu dipengap begitu sahaja dalam perang mendapatkan undi pada waktu semasa. Kedua-dua calon yang bertanding adalah daripada kaum Cina. Tetapi mana mungkin perkara itu dipengap begitu. Masyarakat Melayu sudah begitu terbelah dan berpecah, selepas September 1998, untuk membolehkan yang lepas-lepas dibiarkan terlepas. UMNO sudah tidak mampu lagi mencetuskan satu agenda menyatukan semula dua kumpulan yang bercerai itu selagi Dato' Seri Anwar masih merengkok di penjara. Itu sebabnya UMNO semakin terumbang-ambing dengan desas-desus pemulihan Dato' Seri Anwar. Bagaimana dan kenapa desas-desus itu terus berdesup, adalah satu tekateki juga. Tetapi ada satu perkara yang amat jelas dalam perkara ini: selagi beliau terus diaibkan, selagi itulah celaka berbahaya akan terus menghambat UMNO.


MGG Pillai
pillai@mgg.pc.my

Tamat

Terjemahan: SPAR 12/1/2001