Laman Webantu   KM2: 6584 File Size: 20.9 Kb *

| KM2 Index |


TAG SP 552: HR: Dongeng Hikayat Al-Maunah
By Harun Rashid

10/1/2002 11:47 pm Thu

Dongeng Hikayat Al-Maunah

(The Framing of the Al-Maunah)

Oleh: Harun Rashid

Perdana Menteri Mahathir bertegas bahawa rompakan Al-Maunah adalah satu kejadian yang sebenar, dan segala kisah karut yang menyelubungi peristiwa itu bukannya hasil lakonan yang dirancang oleh Kerajaan. Dia berkata bahawa semua fakta yang dilaporkan oleh Ketua Polis Negara dan Menteri Pertahanan, yang bertindak sebagai jurucakap bersama bagi pihak kerajaan, adalah betul belaka. Hikayat yang penuh dongeng ini seperti yang diatur untuk santapan media oleh KPN Norian Mai dan Menteri Pertahanan Najib Razak begitu berkecamuk dan bercelaru. Kisah hikayat mereka berbeza antara satu babak ke satu babak seperti kisah penglipur lara dulu kala, sememangnya tidak tersusun dengan fakta yang logik dan masuk akal. Kisah yang mereka dongengkan tidakpun seragam dengan segala kenyataan yang dibentangkan di mahkamah yang mendengarnya.

Kerajaan telah gagal dalam usaha berlanjutan untuk menyogok minda rakyat jelata dengan maklumat songsang yang tidak masuk akal. Masalah mudah dalam hal ini ialah adanya perkara yang tidak boleh diterima oleh akal yang waras. Minda yang menuntut jawapan jelas mudah diperlekeh oleh butiran yang tidak waras, sambil menguji apakah PM sendiri sudah sewel dalam perjalanan otak penipunya. Ataupun kebijaksanannya berpolitik sudah mengecut sehingga dia sendiri tertipu memikirkan rakyat jelata masih boleh terus ditipunya dengan dongeng murahan yang begitu bahlul jalanan skrip ciptaannya.

Kisah di mahkamah yang mengadili kumpulan Al-Maunah itu memperakukan rumusan rakyat betapa itulah propaganda politik yang memang berunsur satu sandiwara, dilakonkan dulu di atas kertas sahaja tetapi dilaksanakan tanpa sebarang raptainya, oleh sebuah kerajaan yang begitu terhimpit untuk membuktikan secara tipu-helah betapa PAS sebagai sebuah parti pembangkang utama yang menyanggahnya, mempunyai ahli yang 'menyimpang' dan dianggap ekstremis ataupun pelampau dalam fahaman hidup mereka.

Empat orang lelaki mati dalam episod itu sedangkan 25 orang lagi menghadapi masadepan yang hancur lebur. Ramai antara mereka yang sudah tidak lagi stabil pemikirannya. Tiga orang sudahpun dijatuhkan hukuman gantung sampai mati, dan majoriti yang lain akan terus terpenjara seumur hidup mereka tanpa peluang untuk merasakan nikmat kebebasan di luar penjara.

[Catatan penterjemah: Bagaimana pula dengan ahli keluarga mereka yang terpenjara????]

Dengan sikapnya yang sudah sewel perdana menteri berkata bahawa hukuman gantung yang dikenakan kepada para tertuduh telah membuktikan betapa tuduhan terhadap mereka adalah sesuatu yang memang-memang benar. Di zaman dulu kala, orang yang tertuduh dikehendaki membuktikan mereka tidak bersalah dengan mencuba mengandar besi panas sepanjang sembilan langkah. Yang lain dipaksa berjalan atas tenggala yang panas menyala, ataupun disumbat dalam guni yang betutup kemas dan dihumban ke arus sungai yang deras. Mereka yang didapati terapung-apung didapati bersalah, dikait ke darat dan dibakar ditiang penderaan. Apakah kita fikir perdana menteri Malaysia akan melepaskan sesiapa antara orang yang dihukum mati itu seandainya mereka berjaya melepasi hukuman tali gantung?

Kali pertama rakyat jelata mempersoalkan kesahihan peristiwa haprak itu kerajaan bertindak pantas menjanjikan satu Kertas Putih. Seperti ikutan satu amalan tradisi, kertas putih itu tidakpun kunjung tiba. Kini, perdana menteri mengulang lagi janji kosong itu. Ia tidak menjadi satu bahan lelucon kepada rakyat jelata, di mana jua. Janji manis semacam itu sudah lama dianggap sebagai satu pengakuan bahawa perkara siasatan itu adalah satu peristiwa yang ditaja oleh kerajaan sahaja. Janji manis terbaru PM itu hanyalah laksana basong-penyumbat yang digunakan untuk menutup mulut botol ketidak-puasan hati rakyat.

Kalaulah kerajaan tunaikan segala janji manis dulu-dulu mengenai kertas putih yang dijanjikannya selama itu, sudah tentu ia memerlukan satu bangunan baru yang indah tersergam untuk menyimpan segala maklumat yang tersurat. Mujur juga terdapat dua alasan kenapa kemestian itu kecundang selama ini. Pertama, adalah satu kenyataan bahawasanya tidak ada Kertas Putih untuk difailkan, dan kedua, terlalu banyak bangunan tinggi yang kosong-kosang di bandaraya Kuala Lumpur. Penghijrahan beberapa kementerian ke Putrajaya menyebabkan melambaknya ruang kosong untuk dijadikan pejabat yang mudah disewa. Mungkin juga ruang kosong yang masih melopong di Menara Kedua KLCC boleh digunakan untuk tugasan ini.

Dulu, ada satu kertas putih yang dijanjikan oleh kerajaan untuk melaporkan episod Medan. Satu lagi telah dijanjikan mengenai kebakaran di Universiti Malaya. Banyak lagi kertas putih yang sepatutnya sudah disiapkan, tetapi tidak muncul-muncul juga. Apakah Malaysia kekurangan kepakaran untuk menyediakan Kertas Putih Kerajaan? Ketandusan kertas yang dijanjikan ini menjadikan satu bahan ketawa yang memalukan. Rakyat jelata kerugian besar dengan ketiadaan kertas putih ini. Mereka sudah semakin tidak sabar dan perdana menteri dengan menteri balacinya menjadi bahan ketawa dengan gelagat mengulang kembali janji menyediakan kertas putih itu.

Terlalu banyak yang masih tidak tertulis mengenai Al-Maunah dan cara mereka dilayan oleh pegawai kerajaan. Laksana kisah lama yang penuh kehebatan dan kesegaran yang memukau Charles Boudelaiare, segala semerbak yang mewanginya hilang lenyap sebaik sahaja kisah sebenar diketahui orang. Apabila terdedah segala kelentongan yang direncana, satu usaha menjelaskan perkara 'sebenar' itu telah dilaksanakan mengelilingi negara untuk memberi taklimat kepada kakitangan kerajaan. Tujuan utamanya ialah untuk mengembalikan maruah kerajaan yang terhenyak oleh kesangsian rakyat. Walaupun sesiapa sahaja dibenarkan menyertai majlis taklimat yang percuma itu, ia mencetuskan reaksi yang menakutkan. Tidak ramai yang berminat menghadirkan diri membuang masa mendengar kelentongan malbari.

Dua pasukan telah diwujudkan untuk meyakinkan rakyat jelata bahawasanya peristiwa Sauk itu benar-benar telah berlaku seperti yang didakwa oleh kerajaan. Anggota pasukan khas itu adalah daripada dua pasukan yang berbeza latarbelakangnya. Satu pasukan dianggotai mereka yang berlatar pengetahuan agama dan yang satu lagi disauk daripada anggota bawahan jabatan polis sahaja. Pihak tentera sengaja tidak diambilkira untuk memainkan peranan mereka. Tayangan di malam pertama tidak mendapat sambutan sedangkan persediaan yang diberikan mencetuskan lebih banyak tandatanya daripada yang mampu dibuktikan.

Wakil petubuhan Islam telah berusaha menjelaskan keseluruhan 29 cara bagaimana amalan Islam boleh dianggap amalan yang sesat. Kemudian, secara mengejutkan hadirin yang datang, mereka membuat pengumuman kenapa mereka tidak dapat memutuskan apakah anggota Al-Maunah itu kumpulan yang sesat ataupun tidak.

Para hadirin naik menyampah. Apakah gunanya mereka dijemput oleh kerajaan, dengan menafikan mereka menjalankan kerja harian setengah hari, hanya untuk tidak diberitahu apa-apa yang bererti. Sepatutnya satu kenyataan ringkas yang dipaparkan di mesin perakam waktu sudah memadai untuk memberikan penjelasan akan hikayat dongeng itu.

Kemudian wakil pihak polis membuat penjelasan mengenai Al-Maunah dan kisah yang terjadi. Segala kisah penglipur lara polis itu sukar untuk dipercayai dan mencetuskan banyak tandatanya. Segala soalan yang dikemukakan menunjukkan rakyat jelata tidak puashati dengan penjelasan sedangkan jawapan yang diterima tidak pula meyakinkan.

Wakil polis itu berdiri tercacak laksana patung batu yang tegak sedangkan satu rakaman video amatur ditayangkan. Itulah gambaran yang dihasilkan daripada beberapa rakaman yang disunting di sana sini yang ditonjolkan sebagai aktiviti latihan Al-Maunah. Dalam tayangan itu diselitkan pula satu babak menyayat hati bagaimana dua mayat digali keluar daripada satu lubang kubur. Dua mayat itu ditunjukkkan terkambus secara tertindih dengan lubang yang menampung mayat itu kelihatan cukup dalam untuk menampungnya.

Satu mayat itu dikatakan mendiang Sarjan SB Sagadevan. Yang lagi satu dikatakan mayat Ranger Matthew a/k Medan. Lubang kubur dan mayat ahli Al-Maunah yang dikatakan terbunuh tidak pula dirakamkan oleh video, malahan tidak pula disebut ketika itu. Sudah tentu kumpulan Al-Maunah turut mengebumikannya dan penggalian mayatnya tentu dilakukan dengan cara yang sama, walaupun di satu masa dan tarikh yang mungkin berbeza.

Bukit Jenalik ialah satu kawasan pertanian yang tidak mempunyai tumbuhan penutup bumi yang mampu menjadi bahan menyorokkan diri. Dari situ terletak sebuah sekolah yang berada hanya beberapa ela sahaja jauhnya. Segala pandangan para penoreh getah, penanam sayur (berada di ruang masuk Bukit Jenalik, bersebelahan kawasan Sekolah - penterjemah) dan juga kanak-kanak sekolah tidak pernah diambil kira untuk dirakamkan di pita rakaman.

Mereka yang menyaksikan video itu berpendapat bahawa jurukamera video itu memang hadir melihat bagaimana mayat digali keluar daripada lubang yang terletak di kaki bukit kecil di situ. Identiti jurukamera itu tidak pula diperkenalkan, begitu juga tarikh rakaman video itu dilaksanakan. Mayat yang dibawa ke bilik mayat hospital memang sudah kejang kerana tempoh kematian yang sudah lama, kerana itu pakar pathologi membuat laporan betapa kematian telah terjadi dalam kedua kes itu sekitar empat hari sebelum itu. Mayat yang dibawa ke bilik mayat hospital menunjukkan kematian telah berlaku empat hari sebelum itu. Tetapi, dalam perbicaraan ada saksi yang bersumpah mengatakan kematian berlaku hanya satu ataupun dua hari sebelumnya sahaja. Bagaimanakah perkara semacam ini boleh berlaku? Semua butiran itu mungkin diketepikan secara disengaja, untuk dijadikan satu bahan rujukan dan penjelasan dalam satu kertas putih yang dijanjikan oleh perdana menteri.

Ketika perbicaraan dilangsungkan, seorang anggota polis menceritakan kisah dia diarahkan pergi ke Bukit Jenalik pada satu malam yang gelap gelita selepas penyerahan diri anggota Al-Maunah pada siang harinya. Waktu itu jam 10 malam apabila dia terserempak lubang yang menampung dua mayat yang tertanam dengan menggunakan cahaya lampu suluh. Apakah dia benar-benar dihantar untuk mencari kubur itu? Dia juga menceritakan bagaimana dia terjumpa selaras senapang raifel M16 dan kelengkapan lain di tepi kubur itu.

Rakaman video menunjukkan dua mayat digali pada siang buta. Tetapi rakaman mahkamah mencatatkan pengakuan bahawa kubur itu digali pada jam sepuluh malam. Apakah kita boleh percaya bahawa mayat itu digali pada waktu malam dan menunggu kedatangan jurugambar pada keesokan harinya sebelum dialihkan? Soalan yang menarik ini tidak pula dapat menarik minat ahli mahkamah yang mendengar perbicaraan itu. Malahan, video rakaman polis tidak dijadikan bahan bukti perbicaraan, walaupun ketika itu ada seorang peguambela yang sungguh berpengalaman terlibat dalam perbicaraan itu. Bagaimanakah kisah semacam ini boleh dilupakan begitu mudah sekali?

Anggota polis yang menjumpai kubur di malam hari itu sudah tentu mempunyai penglihatan malam dalam gelap yang sungguh menakjubkan. Kawasan pucak bukit itu adalah terlau kecil, dan seseorang amat mudah terfikirkan bagaimana satu regimen tentera yang menggeledah tempat itu sepanjang siang hari mencari bahan bukti untuk digunakan di mahkamah. Mereka tidakpun menjumpai kubur manusia ataupun raifel. Tetapi, seorang anggota polis boleh menjumpainya dalam gelap gelita, bersama selaras raifel dan peralatan lain. Orang yang pernah melawat tempat kejadian tentu akan merasa kehairanan begaimana cerita yang dibuat oleh saksi polis itu adalah satu dongeng yang sungguh menakjubkan.

[Catatan penterjemah - ada beberapa anggota Wataniah yang berada di tempat kejadian selepas pengunduran angota tentera yang mengaku bahawa lubang yang ditayangkan kepada rakyat awam adalah lubang yang digali selepas anggota Al-Maunah keluar daripada tempat itu.]

Anggota Al-Maunah yang terbunuh dikatakan telah terbunuh semasa mereka dikepung selama empat hari. Tetapi tidak ada sebarang butiran mengenai pengebumiannya ataupun penggalian mayatnya. Semua maklumat mengenainya hampir tidak wujud seolah-olah dia sengaja dilupakan. Begitu juga dengan laporan autopsi akan keadaan mayat beliau ketika digali. Apakah kematian itu tidak penting dalam kisah tersebut? Dia dikatakan mati kesan tembakan askar yang mengepong tempat itu. Apakah seseorang yang mati terbunuh tidak layak diberikan penghormatan terakhir untuk menyemadikan mayatnya betapapun keadaan kematiannya itu? Siapakah yang sepatutnya mesti menjawab semua ini? Apakah maklumat yang telah diberikan kepada keluarga si mati? Apakah kedudukannya sebagai pegawai keselamatan atapun perisik Al-Maunah mempunyai sebarang kaitan dengan kematiannya?

Peristiwa yang penuh drama sebelum penyerahan diri terakhir, seperti yang diulang-tayang oleh cakap-cakap seorang panglima tentera yang sanggup menerima jolokan sebagai wira, mengisahkan bagaimana salah seorang tertuduh telah terkena tembakan senapang Mohd Amin ketika penglima komando itu dengan beraninya menepis muncung senapang yang sedang meledak itu daripada mengena dirinya. Identiti anggota Al-Maunah yang terkena tembakan itu tidak pula disebut dan begitu juga dengan segala butiran akan rawatan yang diterimanya. Hospital tempatan tidak pula mempunayi catatan orang yang memerlukan rawatan itu. Siapa yang patut menjelaskan tekateki ini?

Seorang lagi anggota polis cawangan khas (SB) telah hadir sebagai orang tahanan (tebusan?). Dia berkata bahawa dia tidak nampak apa-apa kerana dia telah dipaksa duduk sedangkan tangannya terikat di belakang memeluk sebatang pokok durian, bersama dua orang lain yang turut dijadikan orang tebusan. Apabila dibebaskan pada satu tengah hari dia terlupa pula menyebut bahawa rakan sejawatannya sedang tertanam bersama seorang tentera, Ranger Matthew anak Medan.

Kegagalan melaporkan lokasi sebenar kubur itu menjadi satu bahan pelik kepada rakyat marhaen. Sudah tentu isteri dan ahli keluarga si mati mahu tahu perkara sebenarnya. Apakah kita mesti mempercayai hakikat bahawa tidak ada sesiapa yang mahu menyoal mata-mata gelap yang hidup itu (dan dinaikan pangkat menjadi Sarjan - penterjemah) lokasi sebenar dua orang lagi yang ditahan bersama dirinya? Sudah tentu pihak berkuasa polis mahu tahu kedudukan mereka yang hilang. Lagipun masyarakat awam mahu tahu cerita sebenar. Sehingga kini tidak ada jawapan sebenar akan misteri itu.

Jaafar Puteh seorang peraih durian, telah ditangkap sebagai tebusan pada tengah hari Sabtu, pada hari sebelum berlakunya kecurian senjata di khemah tentera. Dia hadir pada upacara penyerahan diri. Dia tidak pula menyebut dan menunjukkan kubur yang menyimpan orang yang mati. Kenapa pula? Dia telah ditahan oleh pihak polis selama sepuluh hari, sebelum dia mati secara tiba-tiba tanpa sebarang simtom sebab-musababnya. Kematian yang sungguh misteri ini menunjukkan polis yang bertanggungjawab, tetapi tidak ada satupun fakta yang ada kaitan dengan layanan yang ditanggungnya sejurus selepas Al-Maunah menyerah diri pernah dikemukakan oleh pihak peguambela dalam perbicaran itu.

Beberapa bulan selepas kejadian Al-Maunah, pokok getah di Bukit Jenalik telah ditoreh semula setiap hari seperti biasa. Itu adalah satu kawasan yang sunyi di mana beberapa petani menguruskan kebun sayur di kiri kanan jalan yang mendaki bukit yang tidak berapa tinggi itu. Ribuan manusia, yang ghairah melawat tempat itu, pergi kepuncak bukit itu melihat sendiri segala bukti yang ada mengikut peristiwa yang diceritakan.

Para pengunjung terus muncul berbondong-bondong kerana keseluruhan kisah itu begitu bercelaru dan menakjubkan sehingga tidak ada yang boleh dipercayai. Penduduk setempat yang menetap di kawasan berdekatan memperakukan segala dongeng dan pembohongan yang telah diberikan kepada para wartawan dan jurugambar yang berada berbatu jauhnya daripada tempat kejadian. Penduduk kampung telah menceritakan kisah kedatangan ratusan anggota polis dan tentera di Bukit Jenalik sebelum berlakunya peristiwa kecurian. Mereka telah berlonggok dan berkerumun di situ pada minggu menjelang peristiwa itu dan berada di tempat yang sama beberapa hari selepasnya. Mereka mengeluarkan amaran agar sesiapa tidak menceritakan apa yang mereka alami dan dengar kepada orang luar.

Kini, ribuan manusia yang mendaki Bukit Jenalik sudah melihat betapa lubang yang digali adalah terlalu sempit untuk dijadikan kubur manusia. Tidakpun ada tandas di situ seperti yang didakwa, dan tidak adapun tanda-tanda tempat itu pernah diduduki oleh manusia. Cuma terdapat beberapa pembetung yang tertegak, yang dikatakan digunakan utnuk menyimpan air untuk pertanian. Para wartawan diberitahu betapa senjata yang dicuri tersimpan dalam pembetung yang tegak itu. Tetapi, apabila para wartawan memeriksa segala senjata yang dipamirkan untuk tontonan masyarakat marhaen, di balai polis, mereka mendapati semua senjata itu kelihatan baru, seolah-olah baru dikeluarkan daripada petinya.

Semua senjata itu tidak menunjukkan kesan pernah digunakan, tanpa ada sebarang calar, tanda hakmilik, menandakan semuanya masih baru; berminyak dan belum digunakan. Memang jelas senjata itu belum pernah diguna, walaupun oleh askar biasa, di mana senjata itu dikatakan telah dirampas. Segala pengamatan ini yang dilaksanakan oleh ratusan manusia yang berminat, sudah tentu tidak dapat dikecualikan daripada sebarang catatan penjelasannya.

Kita kembali kepada video yang ditayangkan kepada umum itu. Di mana dan bilakah video itu dirakamkan? Sudah tentu ia tidak dilaksanakan di Bukit Jenalik kerana tidak terdapat sebarang lubang yang begitu luas untuk menanam seekor khinzir, apalagi dua orang manusia yang sudah mati. Setiap kakitangan kerajaan diberikan peluang melihat video ini, dan setiap orang melihatnya berpendapat video itu dibuat selepas kejadian. Kemudian video itu ditayang dengan tujuan utama untuk menegakkan benang basah kerajaan. Ia tidak mampu menyokong kisah dongeng yang dihikayatkan oleh KPN Norian Mai dan Menteri Pertahanan Najib ketika mereka mengumpulkan pemberita yang berkerumun untuk mengetahui perjalanan kisah Bukit Jenalik. Kenapakah mereka dijauhkan daripada tempat kejadian yang sebenar untuk membolehkan mereka membuat rumusan dan andaian sendiri akan peristiwa yang terjadi?

Seandainya PM mahu semua orang mempercayai Al-Maunah itu adalah satu pertubuhan yang bukan sahaja bergiat dalam ilmu mempertahankan diri, dan segala dakwaan rompakan itu adalah bukan satu sandiwara yang direncanakannya, dilakonkan oleh balaci upahannya, dia seharunya membenarkan semua orang yang tertuduh peluang untuk mempertahankan diri mereka mengikut peraturan yang sewajarnya. Apa yang direngeknya selama ini sebagai satu perbicaraan yang memberikan keadilan adalah sebenarnya tidak jauh berbeza daripada satu mahkamah kangaroo bikinan partinya.

Ada satu artikel (bertarikh September 9, 2000) yang menyebut betapa perbicaraan tidak mungkin akan terlaksana, tetapi kejadian yang menyusul menunjukkan perkara yang berbeza. Segala keangkuhan dan gembar-gembur yang dipaparkan memang di luar anggapan. Tetapi, sekali lagi peluang terbuka muncul semula. Kertas putih yang dijanjikan itu akan bernanah dengan penuh bahan fitnah, begitu berbisa dengan bukti yang gila-gila, penuh disaluti bahan kelentongan yang akan membuatkan perdana menteri menjadi pengecut untuk mengeluarkannya. (He.he...inikan Raja Kelengtong yang takut menghadirkan diri apabila disapina oleh mahkamah????)

Seseorang mudah menerima dengan segala rendah diri akan kesilapan yang terdahulu, di mana pengaruh syaitan membuatkan manusia gelabah telah disalah-ertikan.Tetapi, apabila peluang mula muncul sekali lagi untuk merasuk keadaan, ia akan muncul mendadak dengan segala kelentongan yang memuncak. Kelentongan dan penipuan akan mencetuskan kemarahan manusia. Akan muncul nanti laungan dan desakan; keluarkan semua Kertas Putih yang dijanjikan itu, dengan segala butiran yang terperinci, sekiranya anda betul-betul berani!!!!!.

-Harun Rashid-

Terjemahan: SPAR
Asal: KM2 6582 Ref: http://www.geocities.com/harunrmy/15AlMaunah.html