Laman Webantu   KM2: 6579 File Size: 10.3 Kb *

| KM2 Index |


TJ SP MGG: Songlapan Siang Hari Melibatkan Teksi Sewa Petronas
By M.G.G. Pillai

9/1/2002 10:22 pm Wed

Songlapan Siang Hari Melibatkan Teksi Sewa Petronas

(Highway Robbery And Skulldruggery At The Petronas Taxi Cab Rank)

Oleh: M.G.G. Pillai, 8/1/2002.

Ini adalah kisah bagaimana keangkuhan dan kuasa berlebihan menindas kebenaran dan pihak yang tertekan; dan ini juga kisah betapa angan-angan yang meninggi tingginya dan kepercayaan taksub kepada takdir tidak dapat dipertahankan selepas ghaibnya segala gembar-gembur dan kelentongan mengenainya. Negara yang sungguh kaya raya ini (satu ketika dulu - penterjemah) merelakan keangkuhan terus bermaharajakutty membolehkan (si kutty) melakukan pembaziran bermaharajagila dalam pembinaan projek mega dengan kos yang menggunung tingginya untuk dicatatkan dalam buku 'Guiness Book of World Records' sebelum segala projek itu menjadi bahan gajah putih untuk rakaman sejarah. Apabila siap, dan ghaibnya segala lolongan dan ribut-ribut mengenainya, projek itu tebiar begitu sahaja untuk mereput menemani masa. Yang untung ialah para kroni yang menyauk wang ringgit, membina segala projek itu untuk dibiarkan mereput menjadi bahan sejarah yang mahal harganya.

Apabila Malaysia memenangi peluang menjadi tuanrumah Sukan Komanwel 1998, satu pusingan pembikinan pelbagai stadium, projek rel keretapi laju antara Kuala Lumpur dengan apa yang dianggap sekarang sebagai projek lapangan terbang antarabangsa berstatus gajah putih, dan sebuah sistem rel transit ringan di Kuala Lumpur. Semua itu diswastakan kepada para kroni dengan alunan mantra kecekapan sektor awam yang dikatakan cekap. Semuanya kantul, dan semuanya balik semula kepada kerajaan, sambil alunan mantara itu dicemuh sebagai falsafah biul, menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung semua perojek yang sudah lama berbisul. Segala kemudahan yang dijanjikan dulu terpaksa disudahkan, seperti projek laluan keretapi laju, dan pengangkutan dalam bandaraya. Apabila segala laungan dan ribut-ribut itu menghilang, segala projek matjenin ini pun terbogel satu persatu.

Saya ingin rakamkan satu kisah - perihal sebuah perkhidmatan teksi yang beroperasi dengan menggunakan gas asli - yang sudah bertukar rupa menjadi satu songlapan berciri rompakan sianghari ekspres, lengkap dengan kesamsengannya, laporan polis yang berjela dan menyerlahkan kejijikan budaya korporat Malaysia. Semata-mata untuk Sukom 1998, Malaysia telah mengimport 1,800 unit van Renault (Enviro 200 NGV) yang digerakkan dengan kuasa gas asli untuk memberikan khidmat yang berkesan. Pembelian itu dilakukan dengan segala songlapan untuk mengambil kira keperluan perkhidmatan susulan ataupun kewujudan alat gantian yang diperlukan. Pemegang franchais Renault di Malaysia telah diketepikan dalam urusan niaga itu. Enjin yang dipilih adalah enjin yang tidak bersesuaian dan tidak pula ada pertimbangan mengenai khidmat susulan dan gantian alat yang diperlukan kemudiannya. Projek itu membisul pada mulanya lagi. Insan yang membelinya dengan arahan Perdana Menteri telah menghembuskan nafas terakhir dalam satu kemalangan helikopter.

Petronas, lembu tenusu Malaysia yang nombor satu, telah tertambat dengan projek itu. Ia tidakpun mempunyai lesen menguruskan perkhidmatan teksi. Kerana itu perkhidmatan itu diserahkan kepada satu syarikat yang bernama Eco-Transit. Pemandu teksi membayar wang pendahuluan yang tinggi dan diberi gaji harian kerana khidmat mereka dan projek usahasama itu berjalan dengan licin gamaknya. Muncullah satu ketika apabila Petronas yang terdesak kerana hutang yang tidak berbayar oleh pembeli kenderaan itu, bertindak untuk menekan Eco-Transit. Dalam kontrak jualbeli dengan para pemandu teksi, Eco-Transit telah bermuslihat seolah-olah ia adalah tuanpunya kenderaan yang dijadikan teksi itu. Tetapi ia hanya mampu menguruskan operasi 200 teksi sahaja. Di tempat lain ia tidak dapat beroperasi kerana Petronas tidak pernah mengusahakan penabungan gas asli di rangkaian stesen minyak kepunyaannya di merata negara. Banyak teksi lain yang bergerak dengan gas asli mempunyai kemudahan 'converter' untuk bergerak dengan kuasa petrol. Tetapi, kenderaan Eco-Transit tidak mempunyai kemudahan itu. Sebanyak 800 lagi kereta yang berbaki dan tidak terpakai yang satu ketika dulu diparkir di bahagian 'basemen' KLCC kini sedang tersadai di ruang lapang di Shah Alam. Ada yang sudah dibogelkan untuk mendapat alat gantian kepada kereta lain yang beroperasi.

Kali pertama para pemandu menyedari wujudnya sesuatu yang tidak kena adalah ketika mereka pergi mendapatkan bekalan gas asli di stesen gas Petronas pada 25 Disember 2001. Mereka telah diunjukkan satu risalah yang dikatakan terbitan Petronas yang berbunyi: 'Pemberitahu kepada semua pemandu teksi ENVIRO 200 NGV: Pada 27 November 2001, PNGV (Petronas/Petronas NGV Sdn Bhd) telah menghantar satu surat menamatkan perjanjian jualbeli teksi Enviro 2000 kepada Eco-Transit (M) Sdn. Bhd. Sila ambil perhatian bahawasanya hakmilik teksi Enviro 2000 NGV adalah kepunyaan Petronas/PNGV dan Petronas /PNGV berhasrat untuk memiliki semua teksi ini semula. Dengan ini anda sebenarnya menggunakan teksi Enviro 200 yang menjadi hakmilik Petronas/PNGV. Sila kembalikan teksi Enviro 2000 NGV kepada Petronas/PNGV di ruang terbuka tempat letak kereta KLCC (berhampiran masjid Assyakirin KLCC). (Antara 9.00 pagi hingga 5.00 petang). Petronas/PNGV akan bertindak menyekat bekalan gas asli (NGV) kepada semua teksi Enviro 2000 NGV dengan berkuatkuasa pada 27 Disember 2001.' Risalah ini telah diserahkan dengan iringan satu kertas putih yang tertulis: 'Pemandu Enviro 2000 yang masih berminat memandu teksi Enviro, boleh menghubungi Sunlight Radio Taxi Services Sdn Bhd. Tel. 03-92001166 (Mr. Lim).'

Seperti yang mungkin diberitahu oleh mana-mana peguam, kenyataan risalah itu tidak membawa sebarang makna. Ia bukannya merupakan salah satu pihak yang berbabit dengan kontrak antara Eco-Transit dengan para pemandu. Kalau masalah berpunca pada Eco-Transit, sepatutnya tindakan mahkamah ataupun guaman harus dirundingkan dengan Eco-Transit untuk mencari jalan penyelesaiannya. Ia tidak boleh mengugut mereka yang tidak ada kaitan perjanjian dengannya. Sudah tentu ia tidak boleh menyekat bekalan gas kepada mereka yang memerlukannya. Malahan, Mr. Lim tidak boleh mengiklan sesuatu yang dia masih tidak miliki lagi.

Ada tanggapan bahawa Petronas sudahpun membatalkan perjanjiannya dengan Eco-Transit dan menandatangani satu perjanjian baru dengan Sunlight Radio Taxi Services. Tetapi, perkara ini sepatutnya tidak mungkin berlaku. Notis tamat perjanjian Petronas berakhir dengan Eco-Transit hanya pada 27 Disember. Bagaimana pula Sunlight mampu menawarkan teksi Enviro 2000 NGV yang belumpun dimilikinya? Betapapun kedudukan guaman Petronas terhadap kenderaan yang tersebut, Petronas tidak mempunyai hak untuk merampas kenderaan itu tanpa notis guaman yang wajar, dan ia tidak boleh menafikan bekalan gas asli kepada teksi Enviro 2000 NGV disebabkan wujudnya perbalahan dengan teksi Eco-Transit.

Seperti yang dijangka, para pemandu terbabit naik gelabah. Satu jawatankuasa bertindak telah ditubuhkan oleh syarikat kerjasama mereka, untuk berdepan dengan pegawai Petronas dan mendapatkan ihsan sambungan bekalan gas sehingga 10 Januari 2002. Eco-Transit pula bertindak merapatkan barisan para pemandunya setelah mereka yang menuduhnya melakukan kerja busuk itu enggan berurusan dengannya lagi. Bayaran sewa harian kini disalurkan kepada akaun seorang peguamnya, kata syarikat itu, dan tindakan guaman sedang dimulakan. Pada waktu yang sama, para penyokong Eco-Transit yang wujud di kalangan para pemandu teksi itu, para pengambil-balik kenderaan dan ramai orang lain bertindak memulas telinga para pemandu lain untuk menyokong perjuangan mereka. Kesannya ada pemandu yang diancam dan didera, dikejar di lebuh raya, sehingga polis terpaksa campur tangan pula. Pada kemuncak kisah mencelaru ini, para pemandu cuba mendapatkan perhatian perdana menteri, tetapi para balaci beliau menyuruh mereka pergi dan tidak mengganggunya lagi.

Kisah ini sampai ke tahap bercelaru. Saya tidak akan hairan kalau ada peristiwa lain yang akan berlaku. Petronas sudah kehilangan wibawa kewarasannya. Pada satu ketika seorang pegawai tinggi Petronas pernah memberiahu para pemandu teksi itu bahawa Petronas mempunyai hak ke atas semua teksi dan boleh melakukan apa juga tindakan sesuka hati. Ini adalah satu tindakan yang mengaibkan sekali. Petronas mesti menjelaskan bagaimana Mr. Lim boleh turut terbabit. Kenapa pula pentingnya semua teksi itu diuruskan oleh sebuah syarikat. Kenapakah teksi itu tidak dijual terus kepada para pemndu secara ansuran dan biarkan mereka mengendalikannya sendirian? Apa pula yang sudah terjadi kepada bayaran pendahuluan berupa 'goodwill' yang disauk oleh Eco-Transit sebanyak RM4,500 daripada para pemandu teksi di tahap awalan dulu? Kini, Sunlight Taxis menuntut bayaran RM5,000 daripada setiap pemandu yang mahukan teksi mereka. Tidak ada sesiapa yang muncul ke depan cuba menyelesaikan kekusutan yang terjadi. Seperti yang saya katakan dulu, ini bukannya kisah yang menonjolkan kisah yang tinggi moralnya. Inilah kisah segala kerja bajingan, salah guna kuasa, keangkuhan dan satu ketaksuban dalam budaya kerja Darulboleh di mana mereka yang beranggapan tidak mampu melawan untuk mempertahankan hak asasi mereka akan ditindas secara penyalahgunaan apa juga hukum-hakam yang ada tertulis. Pejabat Perdana Menteri mesti mulakan pelbagai soalan. Semua soalan yang berkaitan dalam hal ini mesti dimulakan sekarang.

[Catatan Penterjemah: Oleh kerana Mahathir merupakan Raja Penyangak Petronas, beliau harus minta maaf kepada semua pemandu teksi Eco-Transit dan memecat setiap individu yang terbabit dalam skandal van Enviro 200 NGV ini, sejak kemasukan kenderaan itu sehingga ia tersadai selama ini.]


M.G.G. Pillai
pillai@mgg.pc.my

Terjemahan: SPAR
Asal: KM2 6570