Laman Webantu   KM2: 6578 File Size: 6.0 Kb *

| KM2 Index |


TJ SP MGG: Indera Kayangan Dan Nasib Seorang Menteri Besar
By M.G.G. Pillai

9/1/2002 10:22 pm Wed

Indera Kayangan Dan Nasib Seorang Menteri Besar

(Indera Kayangan may determine fate of a distant menteri besar)

Oleh: M.G.G. Pillai

Pilihanraya kecil Indera Keyangan di Perlis yang dijadualkan pada 19 Januari seharusnya menjadi penting hanya apabila Barisan Nasional kecundang. Daripada penelitian saya tidak wujud sebarang petanda perkara itu mungkin berlaku. Namun, semua pemimpin sama ada dalam pihak kerajaan ataupun di pihak pembangkang amat mengharapkan suasana kedamaian sepanjang kempen memancing undi. MCA sudah terbelah, walaupun Mahathir difahamkan bahawa dua pemimpin tertinggi parti it mengusahakan satu bentuk damai yang dingin sepanjang tempoh berkempen, ia dijangka terbelah lagi sebaik sahaja pusat mengundi ditutup.

UMNO sudah begitu lama tidak menyelusuri kawasan pengundian, tetapi pihak pembangkang begitu berkecamuk untuk menjadikan kelemahan UMNO itu satu senjata untuk mereka. Contohnya, DAP telah mengugut untuk menyingkir sebarang ahli yang berkempen di kawasan itu. Ini menunjukkan betapa perlunya sesuatu pilihanraya kecil untuk mendedahkan sikap autokrasi parti politik yang sudah tidak relevan dalam bidang politik pembangkang di negara ini. Yang lebih teruk lagi ialah cara UMNO dan BN merencana dengan mudahnya agenda politik yang mampu mengheret parti lain untuk mengikutnya laksana kambing sahaja. Parti Keadilan Nasional akan mengemukakan calon pihak pembangkang bagi menandingi kerusi yang dikosongkan oleh wakil MCA yang mati kerana kanser. Pihak pembangkang tidakpun mempunyai satu dasar pilihanraya kecil yang mantap, kerana itu mereka akan menyertai pertandingan yang muncul secara menyondol sahaja. Kalaupun ada starategi yang baik, ia akan melancarkan satu perlawanan yang sengit untuk BN memenangi pilihanraya itu, sedangkan pilihanraya umum dijangkakan dalam satu tahun lagi membuat kemenangan pilihanraya kecil ini satu kemenangan pihak pembangkang yang memakan belanja yang besar. Seandainya BN menang, ia akan menjadi lebih berkhayal. Tetapi, strategi dan adakalanya taktik pilihanraya bukan merupakan kepintaran yang khusus kepada pihak pembangkang.

Kemenangan yang serba mungkin untuk BN mungkin menjadi satu gegaran kepada beberapa ibunegeri yang dikuasai kerajaan negerinya oleh UMNO. Menteri Besar Johor, Ghani Othman sudah menampakkan gelagat tidak senang diri kerana mudah gelabah apabila bertemu kawan-kawan lama. Dia mempunyai alasan kuat berperangai begitu kerana merasakan hangatnya kedudukan yang disebabkan oleh beberapa juta ringgit yang ghaib dikatakan telah dilaburkan di luar negara. Menteri Besar Pahang sedang kepanasan laksana cacing untuk menyelesaikan beberapa pertelagahan antara UMNO-PAS, dan amat takut seandainya berlaku pilihanraya kecil di negeinya. Tetapi, menteri besar yang menghadapi risiko yang paling besar ialah Mohd Khir Toyo, di Selangor.

Pemimpin UMNO memang yakin seandainya MCA menang di Indera Kayangan, Mahathir akan menyingkirkan Khir Toyo daripada jawatan menteri besar yang baru disandangnya. Dalam tempoh dua tahun dia telah bertukar perangai menjadi seorang menteri besar yang semacam kacang lupakan kulitnya. Dia telah menunjukkan betapa kuasa yang mendadak mengundang skim cepat kaya bikinan sendiri sehinggakan dia naik mencanak untuk dirasuk nafsu serakah yang menghumbannya ke longkang penghinaan. Khir Toyo adalah contoh terbaik bagaimana seorang menteri besar boleh menjatuhkan maruah sebuah parti dalam satu pilihanraya umum. Ramai lagi yang lain memang sama haprak dan berdosa semacam beliau tetapi kerana peranan mereka sebagai broker kuasa politik yang mempunyai pengaruh tersendiri, menyebabkan Mahathir yang amat memerlukan sokongan pengaruh semacam itu membiarkan kerakusan itu berterusan. Mahathir tidak ada banyak pilihan memandangkan risiko jawatan yang dipegangnya yang menumpulkan seleranya untuk bertanding secara terbuka dan memilih untuk menang tanpa bertanding.

Sejak kebelakangan ini menteri besar di Selangor melepaskan jawatan dalam suasana politik yang mendung. Sebelum Khir Toyo, Abu Hassan Omar, undur dengan aibnya kerana masalah aturan perkahwinannya. Orang yang digantikan oleh Abu Hassan, Mohammed (Tyson), telah teraib di Australia kerana membimbit beg membeli-belah yang mengandungi matawang asing bernilai lebih RM2.5 juta. Dr. Khir Toyo, merupakan seorang doktor gigi yang bersopan-santun sebelum dilantik menjadi menteri besar. Mengikut pilihan Mahathir yang berpendapat tidak ada seorang lain dalam barisan exco Selangor yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan peribadi yang bersih. Cara dia memilih Khir Toyo adalah satu lambang betapa Mahathir sudah jauh menyimpang daripada kenyataan sehinggakan beliau terpaksa bergantung kepada pendapat orang-orang yang dianggap sebagai balaci pilihan yang menasihatinya. Dr. Khir Toyo adalah seorang sahabat ikrab salah seorang anak Mahathir.

Mahathir tidak punyai banyak pilihan selain menyingkirkan Khir Toyo. Hanya 'caranya' yang penting untuk difikirkan. Mungkin dia akan menunggu menjelang pilihanraya umum yang mendatang tetapi masanya yang lama itu mungkin tidak bersesuaian untuk bertindak begitu. Ada satu cadangan yang semakin kencang tiupan bayunya, ialah diadakan satu pilihanraya kecil di mana Hassan Omar melepaskan jawatannya untuk membolehkan timbalan menteri kewangan, Dr. Shafee Salih bertanding dan menjadi menteri besar, kalau dia menang. Andaian itu memang ada logiknya. Tetapi politik ialah satu kesenian yang serba mungkin dan bukannya serba boleh. Ini merupakan satu falsafah yang difahami benar oleh Mahathir, dan mengamalkannya selalu.

M.G.G. Pillai
pillai@mgg.pc.my

Terjemahan: SPAR 10/1/2002
Asal: KM2 6568