Laman Webantu   KM2: 6532 File Size: 7.5 Kb *

| KM2 Index |


TAG SP 546: KQ: UEM/Renong: Kronisme Yang Berterusan
By Kim Quek

27/12/2001 1:01 am Thu

UEM/RENONG: KRONISME YANG BERTERUSAN

(UEM/RENONG: NEVER ENDING CRONYISM)

Oleh: Kim Quek

Segelintir pelabur akan merasa terhibur dengan pengumuman penyusunan semula Kumpulan UEM/Renong dan menganggapnya satu peristiwa yang akan membawa perubahan kepada keadaan dunia korporat Malaysia yang begitu lama dihantui penyakit kronisme dan pengurusan haprak.

Namun, sebelum sesiapa terbawa-bawa dengan kehangatan uforia ini, dia seharusnya memahami dulu kisah yang sebenarnya. Dalam pengumuman yang sama dengan penyusunan ini, ada satu berita bahawa 'put option' bernilai RM3.2 billion yang dulunya ditempah oleh Halim Saad sudahpun dimansuhkan oleh UEM satu bulan yang lalu. Dengan ini Halim kini bebas daripada tanggungan (hutang) RM3.2 billion kepada UEM, bererti UEM menganggapnya sebagai hutang lapuk (tidak terlunas) bernilai RM2.4billion. Sekali lagi, Kerajaan telah memberikan Halim menikmati 'bailout' yang besar nilainya. Kerana sikap Kerajaan itu UEM menanggung kerugian yang bukan kepalang besar yang jumlahnya besamaan dengan dua pertiga harga pasaran UEM masakini.

Oleh kerana UEM sudah menjadi milik Kerajaan sepenuhnya, kerugian ini sekaligus menjadi kerugian setiap rakyat negara ini. Apabila dicongak ini membawa erti bahawa setiap keluarga di Negara ini telah dirompak duitnya bernilai RM500, semata-mata kerana Kerajaan bertindak memberikan belas kasihan kepada seorang anak-emasnya.

Tindakan kerajaan ini merupakan yang terbaru dalam satu program panjang menyelamatkan Halim dan Kumpulan Renong. Sebelum ini ada satu perancangan 'bailout' yang hampir sama nilainya apabila Halim telah diberikan keampunan terhadap satu hutang lapuk yang tertunggak bernilai RM3.0 billion setahun yang lalu. Jumlah itu ada kaitan dengan pelaburan di Filipina yang merudum.

Halim memang sudah lama diiktiraf sebagai proksi kepada kepentingan kewangan pihak yang sedang berkuasa. Beliau dan Kumpulan Renong sudah lama menjadi lambang elitis kronisme Malaysia yang dinaungi pentadbiran Mahathir. Dia merupakan pilihan pertama untuk melaksanakan beberapa projek kerajaan yang besar-besar, yang selalunya merupakan anugerah tanpa tender. Tindakan mengecualikan Halim daripada menunaikan janjinya terhadap 'put option' yang ditempahnya memang sudah lama dijangkakan (malahan diiktiraf sebagai agenda utama kerajaan) ketika kerajaan mengumumkan membeli balik UEM pada Julai dulu dan menarik penyenaraiannya daripada Pasaran Saham.

Ada satu unsur yang harus disedari bahawasanya Kumpulan Renong masih merupakan konglomerat yang paling besar dan paling berpengaruh di negara ini. Halm dan segala kemudahan yang terselindung yang dibebaninya masih merupakan kumpulan pemegang saham yang paling besar, walaupun Halim tidak lagi memegang kemudi pengurusan utama dan kerajaan sudah dilihat bebas mengemudi syarikat itu melalui pembelian semula UEM yang mempunyai saham yang menguasai Renong Berhad. Sepatutnya, apa juga keputusan kerajaan bagi pihak UEM dan Kumpulan Renong, terutama sekali yang ada kaitan langsung dengan Halim dan para sekutunya, harus dilihat sebagai telus dan mematuhi saluran undang-undang. Namun, dalam perkara ini kerajaan sudah nyata gagal ujian yang pertama. Kerajaan sudah melepaskan Halim daripada tanggungan besarnya bernilai RM3.2 billion tanpa pengetahuan masyarakat awam selama satu bulan. (Tempahan 'put option' Halim pupus pada 16.11.01) Dari mengampunkan Halim kenapakah UEM tidak bertindak membekukan segala aset kepunyaan Halim dan para nomini beliau beberapa bulan dulu? Kenapa kerajaan sengaja melecehkan isu ini jawapan yang menepis soalan itu? (Contohnya ialah kerajaan tidak tahu jumlah pegangan Halim yang sebenarnya dalam Renong).

Kerajaan telah menghamburkan berbilion dana awam untuk membantu Halim dan Kumpulan Renong untuk memudahkan mereka, yang paling terkini ialah membeli UEM dengan harga RM3.8 bilion, pengampunan kepada Halim berkaitan tanggunganya terhadap UEM bernilai RM3.2 bilion, dan pengambil-alihan hutang bertapuk yang tertunggak daripada LRT bernilai RM5.5 bilion. Kita boleh menjangkakan dengan penuh kepastian betapa kerajaan akan terus menyauk wang rakyat untuk menyegarkan Kumpulan itu seterusnya. Apatah lagi setelah kerajaan mengambil-alih pengurusan dan terpaksa berdepan dengan hutang menggunung yang menunggu bernilai RM30 bilion besarnya.

Di sebalik segala htuang besar yang bernilai berbilion ringgit itu, Halim sebagai proksi segala musibat yang memegang kuasa sekarang ini masih lagi merupakan si bedebah utama yang menikmati segala kemewahan yang terpancar daripada usaha kerajaan meramas dana rakyat yang memang tidak kelihatan mana tepiannya.

Kerajaan sudah tidak ada jalan untuk meyakinkan rakyat bahwa usaha menyusun semula Renong adalah satu usaha untuk membetulkan kepincangan silam yang sememangnya disadur dengan segala unsur pilih-kasih, korupsi dan pengurusan haprak. Kehampaan rakyat akan berterusan kecuali kerajaan mendedahkan dengan jelas dan ikhlas berapa banyakkah saham kerajaan yang diproksikan kepada Halim selama ini.

Yang nyata, pertembungan kepentingan mereka yang sedang mencengkam kuasa politik adalah begitu dalam akar umbinya, sehingga menyulitkan Kerajaan untuk berlepas tangan daripada sebarang cemaran korupsi, setiap kali kerajaan menggunakan dana rakyat untuk menyelamatkan sesiapa sahaja dalam dunia konglomerat itu.

Tohmahan bahawa kerajaan tidak pernah ikhlas mengusahakan satu tindakan pemulihan yang tulen boleh dilihat daripada gelagatnya melakukan bailout kepada projek LRT. Setelah mengambil-alih syarikat yang gagal dan bertapuk hutangnya, dengan suntikan bernilai RM5.5 billion sebagai mengambil-alih hutang tertunggak syarikat itu, kerajaan telah bertindak menyerahkan kembali projek itu untuk diuruskan semula oleh pemegang saham asal, yang sejak mula dulu bertanggungjawab mempunah-ranahkan syarikat itu disebabkan kehaprakan pengurusan mereka.

Kerana itu pembayar cukai negara ini telah ditipu dan dikelentong lebih tiga kali. Pertama, para perancang dan pemegang saham projek tersebut telah menyauk durian runtuh daripada kerja pembikinan projek dengan menggunakan pinjaman bank (yang diperolehi melalui bantuan kerajaan) yang dibayar kembali oleh kerajaan bagi pihak mereka yang meminjam. Kemudian mereka menyauk bonus yang mewah dengan cara menjual projek itu kepada Kerajaan (UEM sudahpun membuat pengumuman akan menerima keuntungan RM600 juta daripada penjualan itu). Akhirnya projek itu diserahkan semula di atas dulang perak untuk mereka menyamun lagi segala keuntungan masa depan. Tidak syak lagi, rakyat negara ini akan terus disonglap untuk menentukan satu pesta membalun wang rakyat oleh para musibat ini di tahun yang mendatang, apatahlagi kalau diambil kira kehaprakan mereka melaksanakan tugas pengurusan.

Setiap rencana kerajaan merancang penyusunan sesuatu struktur yang kelihatan cantik dan menarik seharusnya tidak dapat diterima dengan mudah. Usaha itu semestinya disokong oleh kepimpinan politik yang tinggi martabatnya dan yang menghormati segala prinsip tatasusila pengurusan yang berhemah. Malangnya pucuk kepimpinan politik negara ini gagal meyakinkan kita yang mereka memilikki waima satupun ciri-ciri perwatakan ini.

Kim Quek.

Terjemahan: SPAR
15.12.01

Asal: KM2 6531