Laman Webantu   KM2: 6530 File Size: 6.3 Kb *

| KM2 Index |


TJ SP MGG: Lapangan Terbang Duniawan Dengan Kadar Sewa Tidak Menawan
By M.G.G. Pillai

27/12/2001 12:47 am Thu

Lapangan Terbang Duniawan Dengan Kadar Sewa Tidak Menawan

(World Class Airport With World Class Rentals And No Takers)

Oleh: M.G.G. Pillai

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tentu dapat meringankan masalah lalulintas seandainya dibina di Bangkok ataupun Manila. Tetapi, ia telah dibina di Sepang, untuk menyaingi Changi dan Hongkong hanya kemudian didapati hanya berupaya menandingi Kuching. Itulah musibah membina tergesa-gesa tanpa sebab kecuali untuk mengembangkan tembolok para kroni pihak pentadbiran, dan pembinaan itu bukan kerana lain selain mengangkat ego. Ia bertujuan menonjolkan Malaysia di dalam peta dunia, untuk memperkecilkan Singapura dan orang lain yang mempunyai tanggapan tinggi terhadap Singapura dengan kata-kata yang tidak molek dirakamkan di sini.

Pembinaan itu bukan berasaskan kajian laluan penumpang yang memerlukannya sehingga sebesar itu, kalau bukan untuk seluruh dunia melopong terhadap struktur yang fantastik pada abad ke-21 itu. Tetapi sebuah lapangan terbang yang kosong, melopong di atas satu ladang yang sungguh tinggi hasilnya satu ketika dulu membuatkan ramai orang memikirkan alangkah dungunya perancang projek itu. Apatah lagi apabila hasil kutipan pendaratan harian jauh lebih rendah daripada kos menyalakan lampu setiap hari untuk bersinar di situ. Beberapa seksyen sudahpun ditutup untuk menjimatkan kos. Walaupun baru, ia memberikan gambaran satu binaan besar yang semakin terabai untuk mereput kerana cuai.

Oleh kerana kurang penumpang dan kurang penerbangan, mereka yang merana adalah para penyewa tapak perniagan di situ. Sewaan memang murah jika diambil kira piawaian sejagat; antara RM360,000 hingga RM12juta setahun bersamaan RM30,000 hinggga RM1 juta sebulan. Para peniaga di New York, Zurich, Heathrow, Tokyo, Hong Kong, dan Singpura mudah melompat untuk menyambarnya kalaulah itu harga sewanya di negara mereka. Sejak Samy Vellu bertegas bahawa harga tol adalah mesra pelanggan kerana ia lebih murah daripada harga di Ougadougou, ukuran yang sama mesti digunakan untuk membezakan harga sewaan. Kebanyakan mereka enggan menerima andaian betapa satu ringgit Malaysia mempunyai sama taraf kuasa beliannya dengan satu pound sterling di London ataupun satu dollar di New York. Mereka juga tidak faham kenapa orang Malaysia merungut membayar US$5 untuk satu pinggan mi siam kerana harganya lebih murah di New York.

Di Kuala Lumpur para peniaga membayar sewa yang begitu tinggi untuk menampar lalat. Sebuah klinik dikenakan sewa RM100,000 yang di kira patut, seandainya setiap penumpang yang berlari menaiki pesawat itu singgah dulu di klinik untuk mendapatkan rawatan. Harga sewa telah diturunkan sebanyak 40 peratus. Tetapi penumpang yang tidak bersyukur masih tidak mahu menggunakan kemudahan yang ada. Setiap penumpang terlalu sibuk mengejar pesawatnya. Harga makanan terlalu mahal sehingga tidak menepati selera pembeli kerana itu perniagaan menjadi rugi. Saya jarang menggunakannya kerana harga kos tambang pergi ke KLIA adalah sama mahal tambang penerbangan. Kerana itu saya lebih bersedia menggunakan bas ataupun kereta api yang bukan sahaja lebih murah tetapi berupaya membawa saya lebih cepat masanya dengan hanya secebis kos menggunakan perkhidmatan udara.

Pengurusan KLIA beranggapan bahawa para peniaga itu tidak berusaha dengan gigih untuk meningkatkan perniagaan mereka. KLIA bertegas walaupun jumlah penumpang berkurangan, tempat itu masih sibuk, kerana itu para peniaga tidak ada hak untuk membuat rungutan. Tetapi, keadaan perniagaan memang meleset sekarang di Singapura, Hong Kong, Zurich, Heathrow, JFK tetapi tidak di Malaysia ataupun KLIA. Jadi kenapakah peniaga yang tidak tahu bersyukur itu merungut mengenai harga sewa? Pengurusan MAB berkata, para peniaga berkeupayaan mendapat keuntungan, dan itu adalah satu kemestian! Tetapi KLIA lebih bersifat sebagai lapangan terbang yang memberikan khidmat sambungan kepada Singapura dan bukannya sebagai pusat pengangkutan udara serantau. Adalah lebih murah memandu kereta pergi ke Singapura walaupun harga tol yang dikenakan oleh pengendali lebuhraya yang muflis itu, daripada kita menaiki pesawat udara. Ekonomi yang merudum di mana juga berbanding Darulboleh, menyebabkan semakin berkurangan manusia menaiki kapal terbang daripada Changi untuk menghabiskan hujung minggu di Kuala Lumpur. Kalau mereka datang, memang mereka kerap membeli belah di kedai-kedai di lapangan terbang itu.

Jurucakap MAB berkeyakinan bahawa peristiwa serangan ganas di Pusat Dagangan Dunia dan Pentagon tidak memberi kesan kepada KLIA, seperti yang menjejaskan lapangan terbang lain. Kenapa? Kerana tumpuan penerbangan utama ialah laluan Asian, Eropah dan Amerika sahaja. Kerana itu mereka yang terbang ke Kuala Lumpur menumpukan pembelian mereka di kedai lapangan terbang itu dan tidakpun takut untuk terbang seperti mereka yang mempunyai destinasinya di Singapura.

Keangkuhan adalah cara para birokrat berdalih. Dia akan mengelirukan anda dengan kelentongan. Tentu kita masih ingat bagaimana MAB cuba memutar minda mengenai KLIA yang dikatakannya tidak kosong berasaskan profil lalulintas dan bukannya jumlah penumpang yang turun naik. Jurucakap MAB tidak faham kenapa para peniaga merungut. Mereka terpaut kepada statistik di mana pembelian per penumpang sudah naik pada RM24.75 pada bulan Oktober berbanding RM21 pada bulan April. Bagaimana mereka mencongak angka ini? Jumlah jualan kasar dibahagi dengan jumlah penumpang; tanpa mengambil kira inflasi, kalau bukan di Malaysia tentu di negara lain yang membekalkan barangan yang dijual. Tetapi, itu sajalah. Memang tidak ada lagi bukti yang lebih baik daripada ini. Kalau setiap penumpang yang naik dan turun bebelanja sebanyak itu di kedai lapangan terbang itu, ramai peniaga yang mampu menggunakan BMW 740 lengkap dengan supirnya. Apabila mereka tidak mampu berbuat demikian menunjukkan MAB hanya pintar beromong kosong.

M.G.G. Pillai
pillai@mgg.pc.my

Terjemahan: SPAR 12.12.01
Asal: KM2 6505