Laman Webantu   KM2: 6527 File Size: 6.4 Kb *

| KM2 Index |


TAG SP 545: WPost: Bekas Pegawai Taliban Yg Tidak Takutkan Balasan
By John Pomfret

27/12/2001 12:42 am Thu

www.washingtonpost.com

Bekas Pegawai Taliban Yang Tidak Takutkan Balasan

(For a Feared Taliban Officer, Few Worries About Reprisals)

Oleh: John Pomfret (24/12/01).

Nabibullah Rabbani mempunyai cemeti pelibas yang sengaja digantungnya di dinding rumah di bawah satu potongan ayat suci Al-Quran.

Rabbani, 37, pernah bertugas sebagai seorang pegawai Kementerian Amal Makruf Nahi Mungkar - dan beliau memang amat digeruni satu ketika dahulu. Tugasnya, mengikut cerita beliau, ialah 'menegakkan hukum Islam'.

Tugas itu mencakupi 'mendidik kaum wanita, dan mengajar orang lelaki agar takutkan Allah,' katanya sambil menghirup secangkir teh pada satu petang, baru-baru ini. Seperti ribuan anggota bala tentera Taliban yang mempertahankan amalan agama ala-abad ke-delapan, Rabbani tidak mempunyai sebarang perasan takut kalau-kalau ada yang mahu bertindak balas terhadap perangai ganasnya selama lima tahun yang berlalu.

Kisah Rabbani merupakan satu unsur penting mengenai peperangan di Afghanistan. Walaupun Taliban sudah tumpas, pergerakan itu masih bernafas. Para pegawai Taliban - bermula dari mereka dijalanan seperti Rabbani kepada Abdul Razaq, bekas menteri dalam negara mereka - berkata mereka masih bersiap sedia untuk merampas kuasa lagi, seandainya peluang terbuka.

'Aku tidak nampak peperangan ini sudah tamat,' kata Rabbani. 'kamu orang Amerika datang daripada jauh. Kami berada di Afghanistan. Satu hari nanti kamu akan pulang juga, mungkin satu ataupun dua tahun lagi. Tetapi kami masih tetap ada di sini.'

Rabbani ialah seorang lulusan sebuah madrasah, di Pakistan telah menganggotai Taliban pada 1995, ketika kebangkitannya memuncak. Dia menganggotai kumpulan pencegah maksiat pada 1996 ketika pasukan militia itu berkembang di Kandahar. Tugas itu adalah antara yang terbaik di bandar itu kerana ia menjanjikan gaji yang tetap. 'Kami merupakan satu pasukan istimewa,' katanya dengan satu nada yang sayu.

Pasukan pencegah maksiat Afghanistan telah mendapat gaji menerusi sumbangan Al Rashid Trust, sebuah badan amal berpangkalan di Karachi. Kini, segala aset pertubuhan itu telah dibekukan setelah Presiden Bush mengisytiharkan badan itu sebagai badan yang menyokong keganasan, satu tuduhan palsu yang dinafikan oleh pertubuhan itu. Badan amal itu terlibat dengan salah satu projek pembangunan terbesar di Afghanistan, membina Masjid Omar di Kandahar, yang terbantut kerana ketiadaan wang. Berjuta dollar dikatakan telah disonglap dalam projek itu (awas ini propaganda syaitan daripada Amerika!!!!).

Dengan gaji tetap itu, Rabbani menjadi manusia yang disegani di kampungnya yang hidup berumahkan tanah liat dan dalam keadaan penuh kemiskinan. Jiran beliau, Mohammad Najib, berkata dia menghormati Rabbani kerana pengetahuannya dalam pengajian Islam dan kepintarannya menghafal surah yang panjang-panjang.

Najib menceritakan kisah lama bagaimana Rabbani telah mengutuk beliau kerana janggutnya tidak panjang mengikut syarat yang ditentukan oleh Taliban yang mahukan ia disisir sepanjang dua-penumbuk. 'Dia pernah menegur saya sekali dulu,' kata Najib. Tetapi, katanya Rabbani selalu menghulurkan gula-gula kepada anak Najib.

Pendapat Najib terhadap jirannya, melambangkan satu kenyataan ekoran kejatuhan Taliban. Selepas berperang selama 23 tahun, orang Afghan sudah menjadi mangli kepada gelagat yang menyerupai kelakuan Rabbani seolah-olah keganasan yang beliau tunjukan itu merupakan sesuatu yang dapat diterima berbanding huru-hara yang muncul setiap kali sebuah kerajaan baru menjelma.

'Kami kenal siapa yang menjadi anggota Taliban,' kata Najib sambil berdiri di halaman rumahnya - sebuah rumah dua bilik yang tidak mempunyai bekalan api dan air. 'Kami memang tidak kenal segala pemimpin yang baru. Mereka tidak bermaruah. Taliban memang kasar dan ganas. Tetapi pada umumnya kami tidak melihat banyak rasuah.'

Dari satu sudut rumah itu, isteri Najib menyampuk.

'Saya gembira mereka sudah tiada,' kata beliau walaupun tidak mahu menampakkan mukanya. 'Orang macam Rabbani adalah orang jahat. Pergilah masuk rumah beliau dan lihat apakah dia amalkan apa yang dikatakannya.'

Najib merasa malu dengan pendapat isterinya itu. 'Orang perempuan mana faham politik,' katanya.

'Apa?' muncul jawapan dari sebalik dinding. 'Si jantan itu pernah melibas saya sekali kerana saya memakai kasut berwarna putih. Ketika perkara itu berlaku awak naik berang, dan kini awak mudah melupakannya.' Pasukan pencegah maksiat itu menegah rakyat menggunakan kasut putih kerana putih adalah warna lambang kumpulan Taliban.

Dalam rumah Rabbani memang terdapat lambang kemodenan, yang pernah ditolak oleh Taliban dulu - sehingga waktu ini. Keluarga Rabbani memiliki satu peti TV, walaupun Taliban menegahnya dulu. Mereka memiliki radio, dan daripada lacinya Rabaani pernah mengeluarkan secara perasaan bersalah, beberapa keping gambar keluarga yang dirakamkannya sebelum Taliban berkuasa.

'Aku tak percaya pada semua ini,' kata Rabbani, 'tetapi isteri aku akan terguris tanpa semua ini.'

Di sebalik pelbagai kecelarauan dalam hidupnya, Rabbani masih yakin Taliban akan merampas kuasa semula. 'Tidak ada seorangpun kami yang telah ditangkap dan anda boleh lihat orang ramai tidakpun memusuhi kami,' kata beliau.

Sememangnya, tidak banyak kisah kematian pegawai Taliban gara-gara balas dendam. Pasukan anti-Taliban tidak pula menyibuk untuk menangkap pemimpin Taliban. Beberapa pemimpin tertinggi yang dikehendaki kerana membunuh orang awam dulu, sudahpun dibebaskan oleh pasukan Pakatan Utara dan kumpulan bersenjata yang lain.

'Masyarakat sedar kami menjalankan tugas dengan ikhlas dan benar dan mereka tahu satu hari nanti kami akan berkuasa semula,' kata Rabbani. 'Kerana itu mereka berlembut dengan kami. Mereka tahu kalau kami naik marah, kami akan mengganas apabila kami merampas kuasa memerintah Afghanistan semula.'

***

Terjemahan: SPAR

[Catatan Penterjemah: Hanya kerajaan UMNO dan Utusan yang tidak yakin kebangkitan semula Taliban sehingga sanggup terus mengiktiraf wakil Pakatan Utara sebagai duta mereka di negara ini.]

26/12/01.