Laman Webantu   KM2: 6510 File Size: 5.2 Kb *

| KM2 Index |


TAG SP 528: TOI: Taliban belum dikalahkan
By TimesIndia

25/12/2001 8:44 pm Tue

The Times of India

Taliban belum dikalahkan

(Taliban have not been conquered)

KABUL: Pengeboman bertalu-talu berjaya mendesak Mullah Mohammad Omar melepaskan kuasa Taliban di Kandahar. Namun, semakin ramai yang gusar, penyerahan itu adalah satu muslihat untuk membolehkan mereka bergabung semula melancarkan serangan gerila.

Dua bulan asakan bom yang dahsyat dari angkasa mungkin menyebabkan Mullah Omar menyerah kalah, tetapi semangat juangnya belum dapat dipatahkan sepenuhnya.

Mengikut adat Afghan sebarang perjanjian menyerah kalah membolehkan pihak yang menyerah diri itu berundur dari medan perang dengan senjata perang masih di tangan. Ini bererti mereka mungkin masih mengekalkan semangat keperwiraan untuk menegakkan ideal fundamental mereka.

Para pejuang yang lain, terutama orang asing, yang menganggotai Al-QAIDA, dan Osama Laden telah lari bersembunyi ketika pasukan Pakatan Utara mara memasuki Kabul, kerana itu amat kurang pertumpahan darah, dalam peperangan itu.

Omar telahpun menjanjikan satu peperangan gerila yang panjang, dan kehadiran puak Taliban yang bersenjata 'memang menakutkan ramai pemerhati' kata Kenton Keith, seorang jurucakap pasukan tentera bersekutu. 'Kita tentu khuatir dengan kemungkinan Taliban berada di beberapa tempat mencetuskan huru-hara sebagai satu kumpulan yang bersenjata.'

Tetapi, Taliban yang tulen tidak kelihatan seperti penganas yang berkeliaran, mereka lebih rela pergi bersembunyi di kawasan pergunungan untuk berkumpul semula.

Para pejuang ini yang bersumpah untuk berjuang ke titisan darah yang akhir adalah pasukan yang sama yang bergerak dari satu wilayah ke wilayah yang lain di Afghanistan antara 1994 - 1996.

Mengikut mereka yang menyaksikannya, sekitar 400 buah trak pikap (pick-ups) yang merupakan kenderaan kegemaran Taliban, sudah kelihatan berkumpul di salah satu lorong pergunungan di Tora Bora, sebuah terowong bawah tanah di mana Osama Laden dikatakan sedang bersembunyi.

Keith bukan orang yang pertama memberi amaran bahawa apabila Taliban menyerah diri ia tidak bererti satu kekalahan kepada mereka.

Ketika Kabul tumpas pada 13 November, bekas pejuang anti-Soviet, Panglima Perang Gulbudin Hetmatyar telah memberi amaran kemungkinan tercetusnya satu perang gerila yang panjang.

'Peperangan ini belum berakhir, walaupun Taliban menyerahkan semua bandaraya yang mereka kuasai,' kata beliau ketika ditemuramah.

Perang penentuan di Afghanistan tidak pernah ditentukan di bandar dan pekan. Ia berlaku di pergunungan dan gua dan inilah strategi yang digunakan oleh Hekmatyar dengan jayanya bersama panglima perang yang lain ketika menumpaskan Soviet Union pada 1979-1998.

Dengan bersembunyi di kawasan pergunungan yang amat sukar itu akan memberikan masa kepada Taliban. Mereka akan menunggu apakah kerajaan baru dapat membawa kedamaian dan apakah negara akan terjerumus ke kancah kekecohan semula.

Setakat ini sudah muncul kumpulan pengganas, dan panglima perang memasuki kawasan perkampungan menyebabkan munculnya semula sisem kehidupan yang lampau yang mencetuskan kewujudan Taliban.

Masar-i-Sharif yang merupakan satu bandar utama yang diambil-alih oleh Pakatan Utara sudahpun bergolak menjadi kancah pertempuran antara beberapa panglima perang yang mahu menguasai kawasan sehinggakan rompakan sudah berleluasa, dan keadaan yang sama muncul di Kunduz di bahagian Barat, di mana Taliban telah menyerah kalah, minggu lalu.

Kehadiran pegawai PBB sudahpun dikurangkan, terhad di Kabul, Herat dan Bamiyan.

'Bahagian lain di negara itu adalah kawasan larangan, dan berbahaya,' kata jurucakap PBB di Kabul, Yusuf Hassan.

Mullah Omar adalah seorang pejuang yang tahan lasak, beliau sudah kehilangan sebiji mata ketika berperang sebagai panglima perang di sisi Osama Laden melawan Soviet pada 1980-an dulu,

Beliau menonjol sebagai pejuang Islam pada 1994, ketika berlaku anarki yang menjatuhkan kerajaan Burhanuddin Rabbani.

Pada asalnya, puak Taliban digaji untuk mengawal konvoi barangan yang dihantar ke Turkmenistan, dan dari situ mereka berjaya merampas kuasa di Kandahar, dan akhirnya di kebanyakan kawasan di negara itu.

Dalam masa dua tahun, mereka menerima kemasukan ramai pejuang Islam yang lain terutama Pakistan, mereka berjaya merampas Kabul dan menegakkan sistem pentadbiran yang sungguh ketat peraturannya.

Populariti mereka kerana membawa keselamatan di negara itu menjadi rapuh apabila memperkenalkan peraturan yang ketat termasuk menegah kaum wanita untuk bekerja dan menerima pendidikan sambil mengharamkan banyak bentuk hiburan.

Akan tetapi dalam sebuah negara yang melihat kesetiaan seseorang sentiasa berubah-ubah, kegagalan kerajaan yang baru, menyekat kemunculan anarki yang dicetuskan oleh para panglima perang, akan mendesak simpatisan untuk menonjolkan satu kuasa lain yang akan membawa ketenteraman kepada penduduk yang sudah muak dengan peperangan yang berlarutan selama 23 tahun lamanya.

Terjemahan: SPAR
11.12.01