Laman Webantu   KM2: 6493 File Size: 9.1 Kb *

| KM2 Index |


TAG SP 519: IUK: Fisk - Regim Yang Menindas Ditakdirkan Tamat dan Tumpas
By Robert Fisk

11/12/2001 11:36 pm Tue

Independent UK

Regim Yang Menindas Ditakdirkan Tamat dan Tumpas

(Repressive regime destined to end in oblivion)

Oleh: Robert Fisk

Memang ada sesuatu yang ganjil dan menyeramkan, mengenai kumpulan Taliban. Contonya ialah seorang pegawai muda jabatan imigresen yang memeriksa pasport untuk dicop di lapangan terbang Jalalabad pada 1997. Dia menyibuk, kerana saya tidak mendapatkan visa untuk keluar negara. Umurnya mungkin baru 14 tahun ketika itu, dan dia mengenakan pantis celak di kelopak matanya, sebagai satu mekap yang mencontohi Nabi Junjungannya.

Apabila saya membantah kerana tidak ada seorangpun dalam negaranya yang mundur semacam negara abad kedelapan itu, untuk mengeluarkan visa keluar (exit visa), dia mengangkat muka untuk meneruskan bebelannya. 'Tut-tut-tut-tut,' dia mengomel lagi, tanpa henti sambil kepalanya meliuk dari kanan ke kiri. Saya dianggapnya laksana seorang anak sekolah yang liar, dan dia, seorang kanak-kanak, sudah menjadi seorang ketua masyarakat Islam, menegur seorang warga Barat yang tidak mengikut peraturan.

Menegur perbuatan liar adalah merupakan unsur kegiatan Taliban. Pengekangan bersuka-suka dan menegur perbuatan yang menyalahi tafsiran mereka akan cara hidup di dunia mengikut yang mereka fahami. Menteri Keadilan dulu menghabiskan sebahagian masanya menjelajah Afghanistan untuk memerika janggut orang lelaki: setiap lelaki dimestikan memelihara janggut sepanjang 'dua penumbuk'. Selain itu, ada satu lagi kerja jijik yang dilakukan di stadium sukan di Kabul; di sana mereka menjatuhkan hukuman kepada lelaki dan perempuan, dengan mengerat tangan. Kalau Allah lebih pengampun dan pemurah, tanggapan Taliban akan perbuatan 'pengampunan' itu jelas menunjukkan perbezaannya.

Akan tetapi, - dan di sini memang mesti ada 'akan tetapi' nya - mereka merupakan jawapan yang bertepatan untuk menghentikan budaya merogol dan merompak yang dilakukan oleh anggota Pakatan Utara yang berjalan bertahun lamanya. Sememangnya, Taliban itu wujud disebabkan oleh sahabat baru kita, di Pakatan Utara. Apabila 50,000 lelaki dan perempuan disembelih di Kabul antara 1992 dan 1996, dan wujud pula satu kumpulan mafia yang giat berurusan dadah dan pelacuran, rakyat Afghan daripada setiap lapisan kaum merintih mahukan kedamaian dengan apa cara jua. Sebaik munculnya Taliban, mereka dialu-alukan secara sambil lewa, kerana masih ada perasaan ketakutan. Para pencuri mungkin dihukum potong tangan, tetapi tidak ada pencuri lagi selepas itu. Seseorang boleh memandu dengan selesa daripada Jalalabad hingga Kandahar dengan keyakinan perjalanan itu selamat tanpa sesiapa yang akan mengganggu. Tetapi, seperti yang dialami oleh para wartawan hari ini, tabiat begini tidak boleh diulangi lagi.

Maka terhentilah segala usaha pengeluaran dadah, sehinggakan PBB memujinya dengan megah. Tidak ada hashish dan heroin di kawasan yang dikawal oleh Taliban. Tetapi, ini membuatkan Pakatan Utara terus sibuk menyediakan bekalan yang diperlukan oleh dunia dadah di Barat - pada waktu yang sama, Mullah Omar terus menjelajahi Kandahar, memberi amaran kepada kaum Pashtun akan bahana melanggar perintahnya.

Demikianlah peraturan dan undang-undang yang bermula di khemah pelarian di Pakistan di mana sebilangan besar Taliban mula membesar. Tidak ada dadah. Pengajaran Al-Quran adalah melalui proses menghafal. Kaum wanita di khemah pelarian itu hidup tanpa dilihat wajahnya dan terdidik otaknya, hidup di kalangan lelaki untuk berkhidmat kepadanya. Inilah cara hidup dalam semua perkhemahan itu dan inilah yang diulang semula laksana pendua di Afghanisan pada 1996. Mereka telah mencorakkan keseluruhan negara itu menjadi satu khemah pelarian yang besar, lengkap dengan peraturan menangani hidup dengan kemiskinan yang mereka alami ketika Perang Afghan-Russia.

Akan tetapi semua peraturan itu mengandungi unsur-unsur kejijikan. Seorang kawan yang merupakan seorang diplomat daripada Scandinavia berada di sebuah hotel di Kabul dan menerima panggilan telefon daripada seorang pegawai Taliban. 'Kami akan menjatuhkan hukuman ke atas seorang pembunuh secara menembaknya. Apakah anda mahu menyaksikannya?' Diplomat itu menjawab dengan berhemah betapa negaranya menentang hukuman mati terhadap sebarang jenayah. Beberapa jam kemudiannya pegawai itu menelefon sekali lagi. Taliban tidak lagi mahu menghukum-tembak pesalah itu. Sebaliknya mereka mahu menghempap dinding tembok ke atasnya. Itupun, katanya, hukuman itu ditangguhkan untuk beberapa hari lagi.

Begitulah seterusnya. Tidak kedengaran irama muzik, tidak ada mainan wau yang melayang-layang, tiada merpati yang terbang, tiada TV dan wayang. Kaum wanita dinafikan hak untuk mendapatkan pendidikan dan punca pekerjaan. Taliban pernah berkata mereka menghormati kaum wanita. Tetapi, seperti juga ramai pengamal ajaran usang, ada semacam satu keraguan kenapa mereka takut dengan wanita.

Kerana itu Kementerian Amal Maaruf Nahi Mungkar, menggunakan rotan panjang untuk menyebat kaum wanita yang keluar rumah tanpa ditemani saudara lelakinya atau tidak menutup muka dengan burqa. Kita di barat mengetap gigi melihakan semua ini dengan sikap mencemuh seperti yang ditunjukkan oleh pegawai imigresen muda di Jalalabad.

Secara sengaja kita telah memilih membiarkan pengamal Wahabi di Arab Saudi, sedangkan para pemimpin istananya adalah hampr sama bengis dan kejam dan tidak sensitif kepada peredaran dunia luarnya. Sekutu kita di Saudi dibarkan menyungkup kaum wanita mereka dengan pakaian hitam, menegah mereka memandu kereta dan pada setiap hari Jumaat, memenggal kepala di perkarangan masjid di hadapan khalayak ramai yang selesai berjumaah. Semua itu kita biarkan tanpa sebarang suara Barat yang berdecit untuk mengkritiknya. Kerana itu rakyat Amerika yang riang gembira dengan tertumpasnya Taliban, memang pintar menyebut dan merujuk kepada juru tunjuk Taliban yang berada di Arab Saudi, yang mengamalkan teologi yang sama taksubnya dan mempunyai polis mutawa yang menjadi ikutan pejuang Taliban. Lantas, tentu kita begitu pantas melupakan bahawa kebanyakan pejuang yang menghunjamkan pesawat peledak pada 11 September dulu adalah warga Arab Saudi. Tidak seorangpun antara mereka itu merupakan anggota Taliban, walaupun anda mungkin boleh dimaafkan, berdasarkan segala maklumat songsang bahawa kisahnya adalah yang sebaliknya.

Kita berperang di Afghanisan bukannya untuk memberi kebebasan kepada warganya bermain layang-layang, ataupun untuk memudahkan peminat panggung wayang, ataupun untuk membebaskan kaum wanita yang selama ini hidup menyungkup mukanya. Kita memerangi Taliban kerana mereka melindungi Osama bin Laden. Apakah dengan ini akan berakhir pergerakan militan Islam? Apakah Amerika akan berpaling ke arah Hamas dan Jihad Islamiah melalui sahabat mereka Israel - dan Hizbollah di Lubnan serta setiap lelaki yang berjanggut dan berjambang yang menentang Amerika Syarikat? Saya fikir bahawa umat Islam yang cenderung kepada 'amalan melampau' mempunyai ketahanan yang lebih kental daripada itu, malahan lebih kental daripada Taliban. Memang sudah lama wujud pelbagai versi pengamal agama itu di dunia ini, yang lebih berminat mempraktikkan hukum syariah daripada menentang pelbagai pengaruh budaya barat yang menindas mereka.

Puak Taliban tidak pernah bersedia berjuang untuk Iraq, ataupun untuk Palestin ataupun Lubnan. Mereka tidak mempunyai strategi ketenteraan untuk memerangi sesiapa, hanya satu strategi teologi. Mereka telah mentadbir Afghanistan mengikut cara yang mereka lakukan itu, kerana itu sahaja yang mereka tahu.

Ketika mereka terlupa akan prinsip tonggak kuasa: 'bahawasanya anda mesti pura-pura melindungi, menyayangi dan membelai kasih dan sayang orang-orang anda.' Taliban telah tumpas dan kecundang kerana mereka terlalu taksub akan tatasusila hidup dan bukan mengenai kehidupan, lebih mementingkan kesempurnaan berbanding martabat bangsa, mementingkan peraturan berbanding jatidiri, hingga mewujudkan satu dunia kehidupan di mana sebarang bantahan dianggap satu bentuk kedurjanaan.

Beberapa hari yang lalu ketika berada di pintu masuk negara mereka, seorang pegawai muda imigresen membelek pasport saya untuk meneliti visa masuk yang dikeluarkan oleh 'Islamic Emirate of Afghanistan' - itulah mohor terakhir yang dikeluarkan oleh puak Taliban, yang dihentak pada pasport saya oleh pegawai mereka di Islamabad, sejurus selepas kedutaan mereka ditutup secara rasminya. Pegawai muda itu mencapai satu alat pengecop untuk menghentak muka surat pasport saya sekali lagi. 'EXIT' (keluar), demikian perkataan yang dicop. Dia sudah tersilap cop. Tetapi begitulah lambang cara pentadbiran Taliban selama ini.

Terjemahan: SPAR
09.12.01

Asal: KM2 6492 Ref: http://www.independent.co.uk/story.jsp?story=109017