Laman Webantu   KM2: 6476 File Size: 7.8 Kb *

| KM2 Index |


TAG SP 507: IUK: Fisk - Arafat Menanti Kecundangnya 'Perang' Israel
By Robert Fisk

8/12/2001 2:19 am Sat

The Independent, London.
5/12/01

Arafat Akan Sabar Menantikan Kecundangnya 'Perang' Israel

(Arafat Will Gamble On Israel's 'War' Failing Again)

Oleh: Robert Fisk

Ariel Sharon telah mencetuskan satu kerlipan sinar yang menerangi kegelapan yang sedang diharungi oleh Osama bin Laden ketika dia mengisytiharkan 'peperangan membasmi keganasan.' George Bush Senior telah berjaya mengenepikan Israel daripada terlibat dalam Perang Teluk 1991 dulu dan berjaya mengekalkan pakatan negara Islam untuk terus menyokongnnya.Tetapi anaknya George Bush Jr. pasti telah memaki seranah kemunculan Israel yang sama menenggek usaha Amerika dalam melancarkan perang salibnya memerangi keganasan. Kemarahan itu nampak jelas apabila Mr. Sharon membandingkan kecelakaan yang menimpa Israel disebabkan serangan pejuang relamati Palestin yang dikatakannya sama-berat bencananya dengan peristiwa ngeri yang ditanggungi Amerika pada 11 September. Kerana itu Presiden AS tidak ada sebab untuk berterima kasih kepada Perdana Menteri Israel kerana retorik terbarunya.

Yasser Arafat tidak boleh disamakan dengan Osama bin Laden, walaupun Israel bertungkus-lumus mendesak seluruh dunia menyamakan mereka berdua. Beliau tidak begitu cekap, dan jelas lebih korup dan sudah pasti tidak mengancam kehidupan kita ini.

Oleh itu apakah Mr. Arafat 'akan bertindak tegas menghentikan keganasan...' alangkah mudahnya kita menggunakan perkataan yang diluahkan oleh Israel - ataupun apakah Palestin sekarang ini sudah ditakdirkan akan semakin kehilangan harapan mendirikan negaranya tersendiri disebabkan tindakan ganas Israel menyerang-balas? Kenyataan bahawa serangan bom pejuang relamati adalah gara-gara balas dendam Hamas terhadap tindakan Israel membunuh seorang pemimpin Hamas - yang merupakan satu serang balas terhadap pengeboman Hamas yang lain yang juga merupakan satu tindakan serang balas terhadap serangan Israel - semua itu tidak akan merobah segala 'penderitaaan orang Palestin.'

Israel kini sedang mengasak Mr. Arafat dan 'Palestinian Authority' (PA) dan beberapa kumpulan keselamatannya dengan tuduhan semua itu adalah institusi mafia yang jahat, dan penuh 'keganasan' 'tidak berotak hanya tahu mengganas sahaja,' dan banyak lagi. Kini Mr. Arafat dikehendaki menangkap orangnya dan arahan itu bukan sahaja datang daripada kerajaan Sharon tetapi daripada European Union dan juga Amerika Syarikat.

Seperti lumrah, kita sengaja melupakan sejarah terdekat dengan mudah. Hamas yang kini menjadi sasaran utama Sharon dalam kempen 'perang membasmi keganasan' sebenarnya adalah satu pertubuhan yang ditaja oleh Israel. Seawal 1980-an, ketika Mr. Arafat dicap sebagai 'super terrorist' (Raja Pengganas) dan Hamas diberikan takrifan sebagai sebuah pertubuhan amal Islam, kerana tidak berbisa kepada Israel, kerajaan Israel telah menggalakkan ahli Hamas membina masjid di Tebing Gaza. Beberapa pegawai yang pintar dalam tentera Israel telah membuat keputusan bahwa cara terbaik untuk mensabotaj kebangkitan nasionalisme PLO ialah dengan berlakon memajukan Islam di kawasan taklukan mereka. Malahan setelah tercapainya perjanjian Oslo, ketika berlakunya pertelagahan dengan Mr. Arafat, beberapa pegawai tinggi Tentera Israel membuat pengumuman bahawa mereka mahu berunding dengan pemimpin Hamas. Ketika Israel menghalau secara haram ratusan anggota Hamas ke Lebanon pada 1992, salah seorang pemimpin ini, setelah mengetahui saya sedang menuju Israel, telah menawarkan nombor telefon rumah Shimon Peres daripada buku catatannya.

Israel kini sedang cuba berdakwah satu pengajaran yang pernah dicuba oleh Yizhak Rabin ke atas Mr. Arafat untuk mengajarnya; bahawasanya kenegaraan yang tulen boleh mencetuskan perang saudara; sepertimana kerajaan Israel terpaksa menembak mati ahli Irgun yang mengganas. Kerana itu Mr. Arafat mungkin terpaksa memusnahkan orang-orangnya yang mahu menghancurkan Israel. Tetapi sekarang ini kita berada pada 2001, dan bukannya 1948. Kalau tercetus perang saudara antara bangsa Palestin, ia mungkin membawa menafaat kepada Israel - mungkin akan berlaku pemilihan ketua PLO yang baru - tetapi ia tidak akan mendatangkan faedah kepada Mr. Arafat dan sudah tentu tidak kepada bangsa Palestin. Apapun, seandainya Israel benar-benar mahu menyengat Mr. Arafat untuk menumpaskan para penentang dalaman, ia bukan dengan cara mengebom dan memusnahkan balai polis dan pusat keselamatan, kerana inilah institusi dan alat jentera yang diperlukannya untuk mengesan segala musuh Israel di kalangan orang Palestin.

Mr. Arafat memang arif akan perkara ini dengan masaknya. Walaupun satu ketika dulu dia mengurus pertubuhannya melalui satu kawasan buangan di Lebanon, dia membunuh hanya militan Palestin yang benar-benar mengancam kedudukannya. Dia adalah seorang yang penyabar, seorang pemimpin gerila yang amat arif betapa pentingnya untuk menunggu masa sehingga musuhnya membuat sedikit kesilapan. Berapa lama lagikah sebelum peperangan membasmi keganasan yang dicetus oleh Sharon akan menyebabkan tangan-tangan Israel bergelumang dengan darah rakyat Palestin? Berapa lama lagikah agaknya baru Amerika sedar betapa tipu-muslihat mereka di Afghanistan akan terlondeh disebabkan sokongan Israel terhadap 'peperangan membasmi keganasan' yang tidakpun dikehendaki oleh Washington? Hari ini, pojok akhbar di Pakistan sudah memaparkan kisah peluru berpandu Israel yang menghunjam Gaza dan bukan lagi nasib Osama bin Laden.

Lagipun, Mr.Afrafat memang tahu, betapapun ramai wartawan yang akan percayakan muslihat Israel itu, tindakan Israel untuk 'berperang membasmi keganasan' selalu sahaja kecundang. Mr. Sharon pernah melancarkan 'perang membasmi keganasan' di Lebanon pada 1982 yang berkesudahan dengan jenayah perang - penghapusan pelarian Palestin di khemah pelarian Sabra dan Chatila. Sejak 1970 Israel telah menggunakan pejuang perang F-16, kereta kebal dan peluru berpandu untuk beribu kali menyerang Palestin di Lebanon, semata-mata untuk 'peperangan membasmi keganasan.' Itulah yang dilakukannya berbulan lamanya di Gaza dan Tebing Barat. Itupun kecundang. Orang Arab sudah tidak takutkan Israel lagi, dan apabila ketakutan itu sudah menghilang ia tidak dapat disuntik kembali. Usaha Sharon melancarkan 'peperangan membasmi keganasan' lantas kehilangan bisanya sebaik sahaja ia dilancarkan. Itu semua akan dibuktikan oleh satu lagi serangan bom pejuang relamati yang AKAN BERLAKU LAGI.

Kerana itu Mr. Arafat hanya perlu menunggu. Dia akan menaruh harapan kepada satu perkiraan yang amat mudah: bahawa kemarahan Amerika terhadapnya akan lambat laun disejukkan oleh keaiban yang ditanggungi oleh Amerika disebabkan Mr. Sharon, bahawa 'peperangan membasmi keganasan' di Afghanistan akan diancam oleh 'peperangan membasmi keganasan' cetusan Sharon di Palestin. Mr.Arafat faham benar, akhirnya nanti betapapun berpengaruhnya kumpulan pelobi Yahudi di Rumah Putih, nyawa rakyat Amerika adalah dikira lebih berharga dari nyawa orang Israel. Kalau adapun kecacatan dalam perdebatan ini ialah rumusannya, betapapun Amerika mampu mengawal semua sekutunya di Timur Tengah, apakah Israel mampu mengawal Mr. Sharon.

Terjemahan: SPAR
07.12.01

Asal: KM2 6475 Ref: http://www.independent.co.uk/story.jsp?story=108362