Laman Webantu   KM2: 6462 File Size: 6.9 Kb *

| KM2 Index |


Agenda: Skandal Lama Atau Baru? [CLP]
By Abu Bakar Rashid

5/12/2001 1:55 am Wed

http://www.agendadaily.com/details.php?id=141

Asia Times pertikai apakah penipuan dalam isu CLP telah berlaku sebelum ini...

DARI JENDELA MEDIA ASING

Sususan ABU BAKAR RASHID

Satu lagi keributan yang akan menggawatkan keadaan tercetus di dalam dunia perundangan Malaysia ketika masih belum reda kemarahan umum baru-baru ini terhadap pelantikan peguam negara baru yang penuh kontroversi, lapor Asia Times 4 Disember.

Integriti peperiksaan untuk mendapatkan Sijil Amalan Perundangan (CLP), hangat dipersoalkan apabila terdedah berlakunya pemalsuan gred-gred yang diberikan dan juga kemungkinan berlakunya kebocoran soalan, kata akhbar itu.

Isnin minggu lalu, 921 siswazah undang-undang menerima berita gembira apabila keputusan peperiksaan CLP disahkan selepas dibatalkan selama dua minggu.

Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia mengakui bahawa sebab utama ia membatalkan peperiksaan Julai adalah kerana markah kelulusan telah dipalsukan - walaupun gambaran yang diberikan sebelum ini ialah mengenai berlakunya kebocoran soalan.

Sejumlah skrip jawapan yang tidak dinyatakan jumlahnya telah beri markah secara tidak sah, sama ada dilebihkan atau dikurangkan.

Asia Times seterusnya melaporkan, pelbagai pihak menuding jari kepada pengarah lembaga berkenaan, Khalid Yusoff yang mana tugasnya ialah untuk menyerahkan keputusan awal kepada lembaga.

"Selepas dilakukan siasatan untuk menentukan kesan (tuduhan soalan bocor), ahli-ahli lembaga mendapati wujudnya beberapa perkara yang tidak selaras antara markah-markah yang diberikan oleh pemeriksa (skrip jawapan) dan yang dikeluarkan oleh pengarah," kata setiausaha lembaga, Datuk Abdul Wahab Said.

Amalan yang menjadi tradisi selama ini, kata beliau, ialah bahawa pengarah bertanggungjawab menyelia peperiksaan CLP dan kemudian membentangkan keputusan peperiksaan untuk disahkan oleh lembaga.

Bagi mengatasi kemelut itu, lembaga mengeluarkan semula keputusan menggunakan markah sebenar yang diberikan oleh pemeriksa skrip jawapan.

Akhirnya 113 pelajar yang lulus di dalam peperiksaan utama Julai lalu begitu kecewa apabila mendapati mereka sebenarnya gagal; jumlah yang lulus dengan jelas dikurangkan sehingga separuh daripada 312 kepada 119.

Mereka yang lulus bersyarat pula jatuh dari 228 kepada 170 manakala jumlah mereka yang gagal bertambah dari 461 kepada 632.

Mereka yang diberikan kelulusan bersyarat boleh menduduki semula peperiksaan. Bagaimanapun, kertas tambahan mengenai pembuktian yang diambil pada bulan Oktober telah dibatalkan.

Kadar kelulusan kesemuanya jatuh dari 25.2 peratus kepada 12.9 peratus - dikatakan paling rendah dalam sejarah CLP.

Perkara itu tidak diterima begitu sahaja oleh semua pihak.

'Mengapa lembaga hanya pergi separuh jalan sahaja untuk mengredkan semula atau membetulkan pemalsuan markah di dalam peperiksaan CLP tahun ini, menyesuaikan skrip jawapan 'yang diberi markah secara tidak sah? tetapi tidak 'yang diturunkan markah secaratidak sah??' tanya Pengerusi DAP, Lim Kit Siang.

Di dalam kenyataannya, beliau menyifatkan apa yang berlaku itu sebagai ketidakadilan yang amat sangat kepada 'mangsa-mangsa yang patut diberi kelulusan tetapi keputusan mereka dipalsukan supaya gagal'.

Lulusan undang-undang mesti lulus peperiksaan CLP sebelum diterima sebagai peguam dan berkhidmat kepada umum.

Ketika belajar untuk mengambil CLP, para peguam membuat 'chambering' di firma undang-undang, biasanya dengan mendapat gaji yang rendah.

Tetapi amat sukar untuk lulus peperiksaan CLP, dengan hanya minoriti yang kecil sahaja yang berjaya dalam percubaan pertama mereka.

Umpamanya, ramai siswazah undang-undang Malaysia yang mendapatkan ijazah undang-undang mereka dari England yang berputus asa setelah gagal lulus dalam peperiksaan CLP walaupun mereka telah berusaha keras sebelumnya.

Ratusan lulusan undang-undang yang tidak mahu lagi meneruskan usaha untuk menjadi peguam selepas beberapa kali cuba menduduki peperiksaan CLP dan sebahagian dari mereka berjaya menempah kejayaan setelah berpindah kerjaya sebagai penasihat undang-undang di sektor swasta, pengurus sumber manusia, setiausaha syarikat dan pensyarah.

Implikasi skandal CLP tidak terhenti setakat perbuatan memalsukan keputusan sahaja, kata Asia Times.

Apa yang berlaku itu mengakibatkan keabsahan keputusan CLP beberapa tahun sebelum ini dipersoalkan dan memburukkan imej kerjaya perundangan, kata akhbar itu lagi.

Akhbar itu menambah, tidak ada siapa pun yang pasti adakah pemalsuan keputusan peperiksaan CLP hanya berlaku tahun ini sahaja atau memang telah berlaku sejak beberapa tahun lalu.

Ia juga, kata akhbar itu lagi, menimbulkan kecurigaan terhadap integriti peperiksaan-peperiksaan umum yang dijalankan di Malaysia, terutama selepas berlakunya beberapa kejadian kebocoran soalan peperiksaan di sekolah-sekolah.

Ia juga, pada pandangan Asia Times, mendedahkan kelemahan jelas pihak berkuasa di dalam menangani penyalahgunaan kuasa dan rasuah di peringkat tertinggi.

Apa yang menyakitkan hati sesetengah pihak, kata akhbar itu, ialah hakikat bahawa tidak ada tindakan yang diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab melakukan pemalsuan markah itu, walaupun beberapa yang lain telah ditangkap kerana dituduh membocorkan soalan peperiksaan.

Peguam negara yang akan bersara, Datuk Seri Ainum Mohd Saaid, dilaporkan oleh akhbar itu sebagai berkata bahawa lembaga kelayakan belum lagi membuat keputusan tentang status Khalid sebagai pengarah.

Lebih dari itu, kata akhbar itu lagi, usaha-usaha untuk membanteras rasuah sering digagalkan oleh kelemahan yang begitu jelas di pihak Badan Pencegah Rasuah di dalam menangani rasuah diperingkat tinggi terutama yang melibatkan tokoh-tokoh penting.

'Lembaga Kelayakan dan polis melayani Khalid Yusoff, pengarah peperiksaan CLP, dengan begitu lembut ketika beliau sepatutnya dipecat dari sekretariat CLP, ditangkap dan didakwa kerana bertanggungjawab dalam skandal pemalsuan markah CLP,' Asia Times memetik pengerusi DAP sebagai berkata.

Akhbar itu melaporkan, sesetengahnya berhujah bahawa skandal peperiksaan CLP hanyalah gejala kecil dari masalah besar yang membelit negara ini.

Asia Times menyimpulkan, skandal CLP adalah satu lagi pukulan ke atas moral dunia perundangan Malaysia yang masih dikejutkan oleh berita pelantikan Datuk Abdul Gani Patail sebagai peguam negara, salah seorang watak utama pihak pendakwa dalam perbicaraan yang memenjarakan Datuk Seri Anwar Ibrahim bekas timbalan perdana menteri.

Malaysia memerlukan masa yang panjang dan usaha-usaha memperbaiki kerosakan yang banyak untuk memulihkan imej buruk dunia perundangannya, kata akhbar itu.