Laman Webantu   KM2: 6446 File Size: 10.6 Kb *

| KM2 Index |


TAG SP 502: IUK: Fisk - Kita Menjadi Penjenayah Perang Sekarang
By Robert Fisk

1/12/2001 2:20 am Sat

Independent, UK
29 Nov 2001

Kita Menjadi Penjenayah Perang Sekarang

(We are the war criminals now)

Oleh: Robert Fisk

Kita sudah menjadi penjenayah perang sekarang ini. Angkatan tentera udara AS (USAF) telah menghujani Mazar-i-Sharif dengan bom untuk memudahkan kerja-kerja Pakatan Utara, dan wira Afghan yang merupakan sekutu kita - yang pernah membunuh dengan kejamnya 50,000 manusia di Kabul antara 1992 dan 1996 - sudahpun melangkahkan kaki memasuki bandar itu dan menghukum-bunuh lebih 300 orang pejuang Taliban. Laporan itu hanya dijadikan paparan notakaki di kebanyakan TV bersaluran satelit, sebagai satu tempelan sahaja mengikut istilah kata orang akhbar. Biasa sahaja perkara itu, nampaknya. Afghan memang mempunyai budaya membalas dendam sebagai tradisi hidup mereka. Jadinya, dengan sokongan strategi pihak USAF, satu jenayah perang telah dilakukan.

Kini, kita dihantui kisah 'pemberontakan' di penjara Mazar-i-Sharif, di mana banduan Taliban dikatakan menembak para petugas penjara di kalangan askar Pakatan Utara. Kini juga sudah terdedah betapa askar British - telah membantu Pakatan Utara menumpaskan kebangkitan itu, seperti yang diceritakan oleh CNN betapa beberapa banduan itu telah dihukum mati kerana cuba melarikan diri. Memang dahsyat perkara itu. Askar British kini sudah bergelumang dengan jenayah perang. Dalam beberapa hari sahaja, wartawan Justin Huggler daripada The Independent telah melihat begitu ramai anggota Taliban yang di tembak dengan kejam di Kunduz.

Amerika memang tidak mempunyai banyak alasan untuk mempertahankan kejadian pembunuhan beramai-ramai ini. Setiausaha Pertahanan Donald Rumsfeld, telah menyatakan dengan jelasnya ketika bandar itu sedang terkepung betapa serangan udara Amerika boleh dihentikan 'apabila Pakatan Utara memintanya'. Sambil tidak mahu mendedahakn peranan askar Pakatan Utara yang sudah berlagak laksana samseng dan algojo dan juga menjalankan tugas sebagai pengawal udara kepada pesawat USAF di medan perang, kenyataan Mr. Rumsfeld itu melayakkannya diseret ke Mahkamah Tirbunal Perang dalam kes mahkamah membabitkan Kunduz. Tindak tanduk Amerika itu adalah dengan sokongan menyeluruh militia Pakatan Utara.

Ramai wartawan TV tidak mahu menunjukkan minat terhadap jenayah yang sungguh menjijikkan ini. Mereka merasa selesa bersaing bahu dengan askar pakatan Utara, dan berbincang dengan askar Amerika, sambil kebanyakannya memberikan sedikit ulasan sahaja mengenai jenayah perang terhadap para banduan di dalam laporan mereka. Apakah agaknya yang sudah terjadi kepada pemahaman tatasusila kita sejak berlakunya episod 11 September?

Mungkin saya dapat memberikan jawapannya. Selepas tamatnya dua perang dunia dulu, kita - di 'BARAT' - telah membuat berkapuk perundangan untuk menyekat berlakunya jenayah perang. Usaha pertama kumpulan Anglo-French-Russian (British, Peranchis dan Russia) untuk melaksanakan undang-undang itu telah disanggah oleh apa yang disebut sebagai Holokos Armenia yang dicetuskan oleh Turki pada 1915; Penguatkuasa 'The Entente' (mungkin yang dimaksudkan ialah 'The Triple Entente' yakni satu perkongsian longgar antara Britain, Peranchis dan Russia pada satu ketika dulu - penterjemah) bertindak mahu mengenakan hukuman terhadap 'semua ahli kerajaan Osmaniah dan mereka yang terbabit dengan pembunuhan beramai-ramai itu.' Selepas itu berlaku pula Holokos Yahudi dan kemusnahan Jerman pada 1945, dan terciptalah artikel 6 (C) dalam Nuremberg Charter dan kata awalan Persidangan PBB mengenai penghapusan kaum yang dirujuk dengan istilah 'jenayah terhadap kemanusiaan'. Setiap peperangan yang tercetus pasca-1845, melahirkan pelbagai perundangan dan kemunculan lebih banyak lagi kumpulan hak asasi manusia untuk melobi seluruh dunia nilai hidup yang dikatakan liberal, berperikemanusian ala barat.

Selama 50 tahun yang berlalu, kita telah bertenggek dengan lagak orang yang bermoral dan memberikan khutbah kepada China dan Soviet Union, Arab dan Afrika, mengenai hak asasi manusia. Kita berhujah mengenai jenayah yang melanggar hak asasi manusia terhadap masyarakat Bosnia, Croatia dan Serb. Kita seret mereka di kandang orang salah di mahkamah, seperti gelagat kita terhadap Nazi di Nuremberg (sebut Niumbeg- penterjemah). Ribuan risalah telah dibentangkan, memberi gambaran, dengan jelas yang begitu menggerunkan - segala mahkamah rahsia dan skuad pembunuh dan pendera dan penglaksana penghakiman berlebihan yang dilakukan oleh negara bajingan dan para diktator mereka yang zalim dan berhati syaitan. Demikianlah kebenarannya.

Secara tidak semena-mena, selepas 11 September, kita naik minyak dan menjadi gila. Kita telah musnahkan perkampungan Afghan sehingga lumat, bersama para penduduk yang menghuni di sana - sambil menuduh Taliban yang gila dan Osama bin Laden sebagai penyebab kerja gila kita - dan sekarang kita telah merelakan sekutu militia yang memang ganas itu untuk membunuh dengan kejamnya segala tahanan perang mereka.

Presiden Bush telah menandatangani satu set perundangan penubuhan mahkamah tentera rahsia untuk mengadili dan memusnahkan sesiapa yang dipercayai sebagai 'pembunuh kejam' mengikut tafsiran kecamata Amerika yang dirumuskan oleh perkhidmatan perisikan Amerika yang diketahui amat tidak efisien. Jangan tersilap pula untuk memahami, bahawa kita kini membincangkan perihal pasukan algojo yang dihalalkan penubuhannya oleh kerajaan Amerika. Pasukan itu sudahpun ditubuhkan, supaya Osama bin Laden dan orangnya boleh dihukum mati seandainya tertangkap, untuk mengelakkan proses pembelaan secara terbuka. Jika tidak, akan diadakan satu perbicaraan olok-olok dan hukuman mati juga.

Memang jelas kini apa yang sudah berlaku. Apabila manusia yang berkulit sewo matang, kekuningan, hitam ataupun cokelat, yang mempunyai fahaman Komunis, Islamis ataupun Nasionalis, membunuh tahanan mereka ataupun menabur bom daripada udara laksana hujan yang turun banyaknya, ataupun mewujudkan mahkamah untuk menghukum mati setiap yang didakwa, tentu sekali orang semacam ini sudah menjadi bahan kutukan Amerika Syarikat, European Union, PBB dan dunia yang dikatakan 'bertamadun'.

Kitalah kumpulan manusia yang mengetahui apa itu hak asasi manusia, kumpulan yang liberal, yang jaguh dan johan yang pandai berkhutbah kepada masyarakat sejagat yang miskin dan papa kedana. Tetapi apabila orang kita dibunuh - ketika bangunan kita yang indah tersergam dihunjam sehingga jahanam - barulah kita koyak-rabakkan setiap muka surat perundangan hak asasi manusia, mengerahkan pesawat B-52, ke arah ribuan manusia yang hidupnya tertekan dan papa kedana dengan tujuan membunuh mereka kerana mereka sudah menjadi seteru kita.

Winston Churchill pernah melaksanakan tindakan yang kini dipraktikan oleh Bush terhadap musuhnya. Pada 1945, dia memilih jalan menghukum mati para pemimpin Nazi. Namun, wlaupun telah nyata betapa Hitler dan jentera raksasanya yang ganas itu bertanggungjawab dengan sekurang-kurangnya 50 juta kematian - 10,000 kali lebih besar dan banyaknya daripada jumlah mangsa 11 September - para pembunuh Nazi itu telah dihadapkan ke mahkamah di Nuremberg kerana Presiden Truman bertindak bijak dengan keputusannya. 'Penghukuman mendera ataupun membunuh yang dibuat secara berpilih-pilih,' katanya, 'tanpa penentuan siapakah berdosa dalam melakukannya, tidak boleh diterima dengan mudah oleh kewarasan Amerika ataupun untuk dijadikan satu kenangan oleh anak-anak kita dengan bangganya.'

Tidak ada sesiapa yang seharusnya terkejut apabila Mr. Bush - seorang algojo yang dulunya seorang gabenor haprak Texas - boleh gagal memahami martabat kenegarawan di Rumah Putih. Apa yang mengejutkan ialah manusia yang sebulu dengan Blair, Schroder (Jerman) Chirac (Peranchis) dan segala wartawan TV sanggup diam membisu setelah mengetahui pembunuhan kejam yang berlaku di Afghanistan dan kemunculan perundangan ala-Eropah Timur yang dilakar ekoran episod 11 September.

Memang banyak bayang-bayang yang menghantui kita ekoran pembunuhan beramai-ramai yang direstui oleh sesuatu negara. Di Peranchis, seorang jeneral telah dihadapkan ke mahkamah setelah mengaku melakukan penderaan dan pembunuhan ketika Perang Algeria 1954-62, kerana dia menganggap perbuatannya itu sebagai 'tindakan yang dilaksanakan dalam menjalankan tugas tanpa sebarang keseronokan ataupun sesalan'. Dan di Brussels, seorang hakim akan membuat keputusan apakah Perdana Menteri Israel, Arial Sharon, boleh didakwa kerana 'penglibatan peribadi' dalam pembunuhan beramai-ramai pada 1982, di Sabra dan Chatila.

Saya memang faham bahawa Taliban adalah satu kumpulan bajingan yang zalim. Mereka pernah melakukan dosa besar membunuh orang di luar Masar-i-Sharif pada akhir 1990-an. Mereka pernah membunuh wanita di stadium bola sepak di Kabul. Memang kita harus mengingatnya seperti kita mengingati 11 September sebagai satu peristiwa jenayah terhadap kemanusiaan.

Akan tetapi, saya mempunyai masalah dengan semua ini. George Bush pernah berkata bahawa 'anda adalah menyokong kami ataupun membangkang kami' dalam peperangan menghapuskan kejahatan. Saya tidak menyebelahi Osama bin Laden. Tetapi saya juga tidak bersetuju dengan Bush. Saya sentiasa menentang keganasan, sindiran, dan pembohongan dalam 'peperangan untuk kemanusian' yang dia telah lancarkan begitu ghairah sekali bagi pihak kita sehingga mengorbankan nyawa yang sama banyaknya seperti yang terkorban di Pusat Dagangan Dunia.

Waktu ini, ingatan terimbau mengingatkan ayah saya. Ketika tercetusnya Perang Dunia Pertama dia sudah mencapai usia yang membolehkannya untuk turut serta. Dia berjuang dalam medan Perang di Arras peringkat ketiga. Apabila usia gemilang menghampiri akhir abad dulu, dia naik marah memikirkan segala pembaziran dan pembunuhan ketika perang 1014-1918. Apabila dia menghembuskan nafasnya terakhir pada 1992, saya telah mewarisi satu medal kenangan yang membuatkan ayah berbangga satu ketika dulu, kerana itulah bukti yang dia mampu menunggang peperangan yang akhirnya dia amat benci dan kutuk selalu. Di sebalik medal itu ada satu catatan yang tepahat: 'Perang Besar Untuk Tamadun Manusia'. Elok juga kalau saya hantar medal itu kepada George Bush.

Terjemahan: SPAR
29.11.01

Asal: KM2 6445