Laman Webantu   KM2: 6444 File Size: 13.6 Kb *

| KM2 Index |


TAG SP 501: Pilger: Kenyataan Yang Mereka Sorokkan [Mesti Baca]
By John Pilger

1/12/2001 2:10 am Sat

http://www.johnpilger.com

Kenyataan Yang Mereka Sorokkan

(The Truths They Never Tell Us)

Oleh: John Pilger, 26.11.01

Di kalangan masyarakat Barat yang dianggap beradab, para petugas yang menggugurkan bom tidak perlu menunggu lama untuk pusingan kedua. Dick Cheyney, Naib Presiden AS, sudahpun mengeluarkan amaran, minggu lalu bahawa Amerika berkemungkinan mengambil tindakan terhadap '40 hingga 50 negara'. Somalia yang didakwa sebagai tempat persembunyian Al-Qaeda, kini disenarai di bahagian utama dalam senarai-hitam yang memang lama mencatatkan Iraq sebagai salah satu sasaran serangan Amerika. Sambil diberikan tepukan galakan kerana kejayaan menggantikan pejuang yang tidak baik di Afghan dengan pengganas yang diiktiraf baik oleh Amerika, setiausaha pertahanan AS, Donald Rumsfeld telah meminta Pentagon untuk 'memikirkan apa yang sukar difikir', ekoran tindakannya menolak cadangan pasca-Afghanistan sebagai 'tidak cukup radikal'.

Seandainya Amerika menyerang Somalia, kata seorang wartawan Guardian kepada Jabatan Luar, 'ia merupakan satu peluang untuk membalas dendam kerana kematian 18 orang askar AS yang terbunuh di Mogadishu pada 1993....' Dia gagal menyebut betapa komando AS telah mengorbankan antara 7,000 hingga 10,000 rakyat Somali, seperti yang dilaporkan oleh CIA. Lapan belas nyawa warga Amerika dikira berbaloi untuk dilakukan balas-dendam itu; ribuan rakyat Somali yang terkorban tidak pula dianggap begitu.

Somalia akan menjadi satu balapan untuk melakukan pelbagai latihan sebelum Amerika melancarkan serangan terakhir untuk memusnahkan Iraq. Namun, seperti yang dilaporkan oleh Wall Street Journal, Iraq merupakan satu 'dilema', kerana 'bahan serangan yang sudah berkurangan.' Kita menghadapi masalah mencari sasaran untuk dibom, kata seorang pegawai AS sambil merujuk kepada pengeboman Iraq yang dilakukan setiap hari sehinggakan ia sudah tidak lagi menjadi bahan berita. Sejak beliau berjaya menyelamatkan martabatnya ketika Perang Teluk 1991 dulu; cengkaman kuasa Saddam Hussein ke atas Iraq telah diperkasakan oleh salah satu sekatan ekonomi yang pernah dirakamkan oleh sejarah, yang dikawal oleh bekas pembekal kelengkapan perang di Washington dan London. Kekebalan kubu pertahannnya, menjamin keselamatan Saddam Hussein. Keadaan ini amat berbeza dengan rakyat Iraq, yang terus diasak keperitan hidup gara-gara kedegilan diktator mereka menerima desakan dan tuntutan Amerika yang sentiasa berubah-ubah.

Di negara ini, propaganda songsang memainkan peranan utama seperti biasa. Oleh kerana sebahagian besar media di wilayah Anglo-Amerikan adalah dimiliki oleh beberapa pengawal kebenaran yang diizinkan, nasib rakyat Iraq dan Somalia akan dilaporkan dan diperdebatkan berasaskan lunas-lunas yang terlebih dulu ditentukan bahawa kerjaan AS dan British adalah memerangi keganasan. Seperti serangan yang dibuat terhadap Afghanistan, isu yang diketengahkan ialah 'apakah cara yang terbaik untuk menangani masalah masyarakat 'jahiliah'.

Kebenaran yang paling terserlah dikira sesuatu yang 'taboo' (pantang) dan diharamkan. Inilah caranya Amerika terus berkuasa sebagai sebuah negara pengganas dan syurga dunia kepada para pengganas, yang mengungguli negara lain. Hakikat betapa AS merupakan hanya sebuah negara yang dirakamkan sebagai menerima kutukan Mahkamah Dunia kerana kegiatan keganasannya di peringkat antarabangsa dan pernah menggunakan undi vetonya menyanggah resolusi Majlis Keselamatan PBB yang mahukan kerajaan menghormati undang-undang sejagat, tidak pernah disebut.

Baru-baru ini, Dennis Halliday, bekas timbalan setiausaha agong PBB yang meletakkan jawatannya kerana enggan menguruskan hal-ehwal pentadbiran yang dianggapnya sebagai satu 'dasar penghapusan bangsa' terhadap Iraq, telah menaikan kemarahan Michael Buerk daripada BBC. 'Sudah tentu anda tidak boleh membandingkan Saddam Hussein sama tarafnya dengan (bekas presiden) George Bush Senior'" kata Buerk. Ketika itu Halliday sedang mengambil peranan dalam salah satu program pilihan yang dipengerusikan oleh Buerk, yang menyentuh kisah pembunuhan beramai-ramai rakyat Iraq, terutama sekali orang awam, yang dilakukan oleh Amerka ketika Perang Teluk dulu. Dia menceritakan bagaimana ramai yang mati tertimbus hidup-hidup, dan bagaimana 'depleted uranium' telah digunakan secara meluas, yang sudah pasti menyebabkan merebaknya penyakit barah di selatan Iraq.

Sejarah terbaru jenayah barat yang sebenarnya itu, membuatkan Saddam Hussein kelihatan sebagai seorang amatur sahaja, seperti yang dikatakan oleh Halliday. Tetapi, kenyataan Haliday itu tidak pernah dicatat untuk siaran di mana-mana. Oleh kerana tidak ada sebarang penafian kebenaran itu, mereka yang menyebutnya dituduh sebagai 'anti-Amerika'.

Richard Falk, seorang professor politik antarabangsa di Princeton, pernah memberikan penjelasannya akan perkara ini. Dasar luar negara Barat, katanya, disemai melalui media melalui satu rencana penyebaran berita positif yang bersifat satu hala di mana segala imej nilai hidup positif barat yang kelihatan suci murni itu digambarkan sedang terancam, sekaligus merestukan sebarang kempen keganasan politik yang tidak ada tepiannya.

Menjulangnya Rumsfeld dan timbalan beliau, Paul Wolfowitz, dan sekutuan mereka seperti Richard Perle dan Elliot Adams, membawa erti betapa sebahagian besar dunia ini sedang diancam secara terbuka oleh 'geopolitical fascim' (konsep sikap fasis serantau) yang telah dicanai sejak 1945 dan dipacu ligat sejak 11 September.

Kumpulan samseng yang ada di Washington sekarang ini adalah merupakan kumpulan fundamental Amerika yang tulen. Mereka ini adalah suku-sakat John Foster Dulles dan Allan Dulles, pasangan 'Baptist fanatic' sewaktu 1950-an dulu, mencengkam kuasa di Jabatan Negara dan CIA. JF Dulles menguasai jabatan Negara dan Allan Dulles pula menguasai CIA, dan mereka telah campurtangan dalam pertadbiaran luar negara - Iran, Iraq, Guatemala - memperlekehkan banyak perjanjian antarabangsa, seperti Perjanjian Geneva 1954 yang khusus kepada Indochina, Tindakan Foster Dulles mensabotaj perjanjian yang khusus itu, menyebabkan tercetusnya Perang Vietnam yang mengorbankan lima JUTA nyawa. Maklumat negara daripada fail yang sudah didedahkan rahsianya, menunjukkan betapa AS hampir menggunakan senjata nuklear sebanyak dua kali.

Kesamaan ugutan itu jelas terbayang ketika Cheyney membuat ugutan terhadap '40 hingga 50 negara', dan mengenai peperangan 'yang tidak akan tamat sepanjang hayat kita.' Istilahkata segala alasan kepada gerakan ketenteraan ini telah lama disediakan maklumatnya di dua seberang Lautan Atlantik oleh satu 'kilang cerdik-pandai' yang telah menyauk keinsanan daripada kajian mereka terhadap pelbagai negara dan membekukan semua kajian itu untuk dicetuskan satu cogankata yang digunakan sebagai lambang tindakan kuasa yang dominan. Negara yang miskin diistilahkan sebagai 'negara yang gagal'; sesiapa yang menyanggah Amerika diberi label 'negara pengganas'; sebarang serangan oleh Barat diiktiraf sebagai 'campurtangan berperikemanusian'. (Salah seorang juruterbang yang melakukan pengeboman dulu dengan ligatnya ialah Michael Ignatieff, kini bertugaas sebagai 'professor hak asasi manusia' di Harvard). Seperti yang pernah berlaku di zaman Dulles dulu, peranan PBB sudah menggelonsor kepada satu watak tukang sapu segala serpihan bom dan terus menjalankan tugas sebagai pelindung kawasan jajahan.

Serangan udara ke atas Menara Kembar di New York memberikan peluang kepada Bush dan Rumah Putih dengan satu alat pemacu yang muncul secara kebetulan yang menakjubkan. Bekas menteri luar Pakistan, Niaz Naik telah mendedahkan kisah dia diberitahu oleh seorang pegawai tinggi AS pada pertengahan Julai, betapa tindakan ketenteraan terhadap Afghanistan berkemungkinan dimulakan pada pertengahan Oktober. Ketika itu, setiausaha negara AS, Collin Powell, sedang berada di Asia Tengah, meraih sokongan untuk menubuhkan satu pasukan melancarkan perang anti-Afghanistan.

Masalah sebenar Washington dengan Taliban, tidak ada kena mengena dengan hak asasi manusia, kerana semua itu tidak relevan. Regim Taliban tidak mempunyai kuasa yang menyeluruhi Afghanistan. Ini adalah hakikatnya yang melunturkan semangat para pelabur untuk membiayai saluran paip minyak dan gas daripada Lautan Caspian. Sedangkan semua itu mempunyai kedudukan yang strategi berbanding Russia dan China dan sumber asli yang belum digerudi itu adalah merupakan bahan kepentingan yang diminati oleh Amerika.

Pada 1998, Dick Cheyney telah memberitahu para eksekutif industi minyak, 'Saya tidak dapat fikirkan satu situasi di mana sebuah wilayah tiba-tiba menonjol menjadi begitu penting sebagai bahan strategi seperti Caspian.'

Sememangnya, ketika Taliban merangkul kuasa pada 1996, bukan sahaja puak ini dialu-alukan oleh Washington, dan pemimpin mereka diterbangkan ke Texas, yang ketika itu mempunyai seorang gabenor bernama George W Bush, dan mereka telah diberikan layanan oleh pegawai syarikat minyak Unocal. Puak Taliban telah dijanjikan sebahagian keuntungan projek itu 15 peratus khabarnya. Seorang pegawai tinggi AS berpendapat, apabila minyak dan gas Caspian sudah mula mengalir, 'Afghanistan akan menjadi sebuah negara baru ala-Arab Saudi', sebuah tanah jajahan minyak yang tidak ada demokrasi dan di mana kaum wanita mudah didera. 'Kami tidak kisah itu semua', katanya. Perundingan itu gagal dimeterai apabila dua buah kedutaan Amerika di Afrika Timur telah dimusnahkan dan kumpulan Al-Qaeda dituduh sebagai kumpulan yang melakukannya.

Dengan pantas, Taliban sudah menonjol naik di bahagian teratas senarai momok dunia keganasan, sedangkan masih banyak pengecualian sengaja dilaksanakan. Sebagai contohnya ialah regim Vladimir Putin di Moscow, pembunuh kejam yang mengorbankan 20,000 rakyat Checnya telah sengaja dikecualikan. Minggu lalu, Putin telah diberikan layanan oleh 'sahabat terbaru'nya, George W Bush di ladang (ranch) di Texas.

Bush dan Blair merupakan insan yang dikecualikan sehingga kiamat - walaupun lebih ramai kanak-kanak Iraq yang mati setiap bulan, kebanyakannya disebabkan sekatan ekonomi (embargo) Anglo-Amerika. Apabila dibuat perbandingan dengan kematian yang berlaku di menara kembar yang menyembah bumi itu, terserlah satu kebenaran yang tidak boleh disiarkan untuk menyuntik pemikiran dunia. Pembunuhan kanak-kanak Iraq, seperti juga pembunuhan beramai-ramai di Chechnhya, dan juga pembunuhan rakyat awam Afghan, diperlekehkan jauh lebih hina berbanding pembunuhan di Amerika.

Pengalaman peribadi mengenai semua pengeboman dahsyat ini, membuatkan saya terpinga-pinga melihatkan mereka yang menggelar diri sebagai 'liberal' dan 'progresif' yang dengan sengaja bersedia membiarkan sahaja segala keperitan hidup mereka yang tidak berdosa di Afghanistan. Apakah anggapan para pengulas yang mementingkan diri ini, yang tidak menyaksikan setiap pergolakan dunia luar, terhadap keluarga para pelarian yang mati dibom disebuah pekan bernama Gardez, beberapa hari selepas pekan itu sudahpun jatuh ke tangan pasukan anti-Taliban?

Apakah yang mereka katakan kepada ibu bapa kanak-kanak yang mati bergelimpangan di jalanraya Kunduz pada hari Ahad yang lalu? 'Empat puluh orang terkorban,' kata Zumery, seorang pelarian. 'ada yang mati melecur kerana bom yang meledak, ada yang ditimpa tembok dan bumbung rumah yang runtuh, disebabkan kuatnya gegaran.' Apakah yang dicakapkan oleh Polly Toynbee daripada Guardian kapadanya: 'Apakah anda tidak dapat melihat betapa berkesannya pengeboman itu?' Apakah wanita itu akan menuduh si Afghan tadi sebagai anti-Amerika? Apa pula yang dicakapkan oleh 'humanitarian interventionists' (jururunding keinsanan?) kepada manusia yang akan mati ataupun bakal dimangsakan oleh 700,000 (tujuh ratus ribu) butir bom berangkai yang gugur di bumi tetapi belum meledak lagi?

Selama beberapa minggu, 'the Observer' sebuah akhbar liberal, telah menerbitkan laporan yang tidak disahkan yang melibatkan Iraq kepada persistiwa 11 September dan kisah anthrax yang menakutkan. 'Sumber Whitehall' dan 'sumber risikan' merupakan tukang canang cerita pembohongan seperti ini. 'Bukti yang sungguh banyak...' kata salah satu pemberitaan itu. Nilai segala bahan bukti itu sebenarnya kosong belaka, kerana semua itu adalah bahan tipu muslihat manusia seperti Wolfowitz dan Perle dan mungkin juga Blair, yang memang dijangka akan akur dengan serangan itu.

Dalam penulisannya; 'The Banality of Evil' (Kedurjanaan Kejahatan) seorang aktivis pembangkang ulung Amerika, Edward Herman, telah menceritakan kisah pembahagian tugas di kalangan mereka yang mencipta dan mengeluarkan senjata seperti bom berangkai dan 'daisy cutters' (bom punah-ranah napalm), dan mereka yang membuat keputusan politik untuk mengguna segala senjata itu dengan mereka yang bertugas menyediakan propaganda penuh ilusi untuk mengesahkan penggunaannya. 'Inilah tugas persekongkolan para pakar, dan media perdana,' katanya, 'untuk menyogok minda orang awam menerima perkara yang tidak masuk akal itu menjadi sesuatu yang lumrah dan biasa.'

Sudah tiba masanya, para wartawan merenungkan perkara ini, dan menilai risiko mendedahkan kebenaran tentang ancaman yang tidak disedari bahawa segala bahaya yang mengancam itu tidak datang daripada tempat yang jauh jaraknya, kerana semua sudah berada di depan mata.

Terjemahan: SPAR - 29.11.01

Asal: KM2 6424